Sunday 21 July 2019

ADAKAH SUPLEMEN ANTIOKSIDAN, VITAMIN, MINERAL DAN MAKANAN TAMBAHAN BERMANFAAT UNTUK KESIHATAN JANTUNG ?


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Medical Mythbusters Malaysia

Kajiselidik di Amerika menunjukkan bahawa 52% daripada rakyatnya mengamalkan makanan tambahan di mana 10% mengambil sekurang-kurangnya 4 makanan tambahan. Kajiselidik ke atas rakyat yang berusia lebih daripada 60 tahun pula menunjukkan peratusan yang lebih tinggi iaitu 70% mengamalkan sekurang-kurangnya 1 jenis makanan tambahan. Makanan tambahan ini dalam bentuk suplemen mineral, vitamin dan lain-lain.

Satu analisis besar mengumpulkan kajian-kajian besar telah dilakukan dan hasil analisis tersebut telah disiarkan pada bulan Julai 2019. Mereka telah menemui 105 meta-analisis, 24 kajian intervensi dan 277 RCTs melibatkan lebih 990,000 peserta. Analisis ini ingin mengkaji adakah amalan mengambil suplemen seperti vitamin, mineral, makanan tambahan dan diet2 tertentu dapat memberi kesan ke atas kadar penyakit jantung dan saluran darah (cardiovascular). Ia juga melihat kesan amalan ini terhadap kadar penyakit angin ahmar. Di antara suplemen yang diamalkan adalah antioksidan, beta-karoten, vitamin B kompleks, vitamin B6, vitamin C, vitamin E, vitamin D, kalsium, asid folik, zat besi dan omega 3. Manakala 8 jenis amalan diet telah dianalisa iaitu diet Mediterranean, mengurangkan pengambilan lemak tepu, mengurangkan garam, meningkatkan pengambilan omega 3 dan omega 6 di dalam diet.
Memilih kadar kejadian dan kematian akibat sakit jantung dan angina ahmar sebagai sasaran adalah tepat kerana seseorang yang mengamal suplemen, makanan tambahan ataupun diet tertentu tentu ingin mengurangkan kadar penyakit ini memandangkan inilah punca kematian utama umat manusia. Penganalisis ingin melihat samada dengan amalan suplemen dan makanan tambahan yang tersebut di atas dapat mengurangkan kadar kematian akibat penyakit jantung dan angina ahmar. Berikut adalah keputusan kajian tersebut:

1. RISIKO KEMATIAN AKIBAT SEMUA SEBAB. Semua amalan yang tersebut di atas KECUALI mengurangkan pengambilan garam (oleh individu yang tidak mengalami penyakit darah tinggi) TIDAK mengurangkan risiko kematian akibat daripada semua sebab.

2. RISIKO KEMATIAN AKIBAT PENYAKIT JANTUNG DAN SALURAN DARAH. Semua amalan yang tersebut di atas KECUALI mengurangkan pengambilan garam oleh pesakit darah tinggi TIDAK mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung dan saluran darah (“cardiovascular mortality”).

3. RISIKO “MYOCARDIAL INFARCTION”. Risiko mendapat “Myocardial Infarction” (MI) ataupun kematian otot jantung akibat penyakit jantung koronari sedikit menurun dengan amalan pengambilan Omega 3 (RR, 0.92, CI 0.85-0.99,p=0.03, low certainty). Amalan suplemen lain dan intervensi diet yang lain tidak mempunyai pengaruh ke atas risiko MI.

4. RISIKO ANGIN AHMAR. Terdapat bukti yang lemah bahawa pengambilan Asid Folik mengurangkan risiko angin ahmar (RR, 0.80, CI 0.67-0.96, p=0.02, low certainty). Pengambilan Kalsium dan Vitamin D pula dikaitkan dengan risiko Angin Ahmar yang lebih tinggi (RR, 1.17, CI 1.05-1.30, p=0.01, moderate certainty). Lain-lain suplemen dan intervensi diet tidak mempunyai pengaruh ke atas risiko angin ahmar.

5. RISIKO MENGHIDAP PENYAKIT JANTUNG KORONARI. Pengambilan omega 3 dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit jantung koronari walaupun kaitan yang lemah (RR, 0.93, CI 0.89-0.98,p=0.01). Amalan pengambilan lain-lain suplemen dan diet tidak mempunyai kesan ke atas risiko menghidap penyakit jantung koronari.

KESIMPULAN

Analisis yang besar ini menunjukkan amalan pengambilan suplemen, makanan tambahan dan diet tertentu TIDAK memberi manfaat kepada pengamal daripada segi risiko kematian dan kadar penyakit jantung koronari serta angin ahmar. Hanya dua sahaja amalan yang mempunyai manfaat pada kadar yang lemah-sederhana iaitu pengambilan Omega 3 mengurangkan risiko penyakit myocardial infarction dan juga risiko menghidap penyakit jantung koronari. Satu lagi amalan yang bermanfaat adalah pengurangan pengambilan garam yang dapat menurunkan kadar kematian akibat daripada semua punca dalam kalangan individu yang tidak mengalami tekanan darah tinggi. Pengurangan pengambilan garam juga mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung. Hanya dua jenis suplemen yang didapati mempunyai manfaat pada kadar sederhana dan rendah iaitu pengambilan omega 3 dan asid folik. Pengambilan omega 3 menurunkan risiko “myocardial infarction” dan risiko mengalami penyakit jantung koronari. Pengambilan asid folik pula mengurangkan risiko angin ahmar. Manfaat asid folik ini mungkin disebabkan oleh pengaruh besar kajian di negeri Cina (China Stroke Primary Prevention Trial) yang menunjukkan suplemen asid folik mengurangkan kadar angin ahmar, tetapi ini mungkin boleh dijelaskan oleh hakikat bahawa rakyat Cina mempunyai diet yang kurang asid folik. Jadi keputusan ini mungkin tidak dapat digunakan untuk populasi negara-negara lain. Terdapat bukti pengambilan suplemen kalsium bersama dengan vitamin D meningkatkan risiko angin ahmar. Manakala lain-lain suplemen, vitamin, mineral dan diet tertentu tidak mempunyai kesan ke atas kadar kematian dan risiko penyakit jantung. Metaanalisis ke atas 34 kajian menunjukkan pengurangan garam ( purata  4.4 gram/hari) mengurangkan  tekanan darah sistolik dan diastolic. Ini akan dapat mengurangkan kadar penyakit angin ahmoar dan juga penyakit saluran darah koronari. Manfaat omega 3 tidak ditemui di dalam semua kajian tetapi manfaatnya tidak dapat ditolak terutama mengurangkan kadar penyakit jantung (19%) dengan dos 1 gram omega-3 LC-PUFA sehari.

RUJUKAN

Khan SU, Khan MU, Riaz H, et al. Effects of Nutritional Supplements and Dietary Interventions on Cardiovacsular Outcomes. An Umbrella Review and Evidence Map. Ann Intern Med, 2019;171:190-198. doi:10.7326/M19-0341

SENARAI AGEN PENYEBAB KANSER DI DALAM MONOGRAPH IARC : APA YANG ORANG AWAM PERLU FAHAM


IARC adalah singkatan kepada International Agency Research in Cancer, satu badan di bawah WHO. Salah satu aktiviti mereka adalah mengenalpasti agen2, tabiat2 dan faktor2 yang mempunyai kaitan dengan kanser dan menyenaraikannya di dalam IARC MONOGRAPH. Setakat ini terdapat lebih 1000 bahan ataupun agen yang telah tersenarai samada ada ataupun tidak ada kaitan dengan kanser. Ahli panel yang berkecuali dilantik untuk menilai bukti yang dikemukakan dan kemudian akan menentukan kumpulan agen2 tersebut berdasarkan kekuatan kaitannya dengan kanser. Terdapat 4 kumpulan iaitu 1, 2 (2A,2B) ,3 dan 4. Agen dalam kumpulan 1 dianggap mempunyai kaitan yang paling kuat dengan kanser, manakala kumpulan 4, dipercayai tidak ada kaitan.

Lebih 100 agen telah diklasifikasikan dalam kumpulan 1 dan hampir 400 agen dalam kumpulan 2. Ada beberapa perkara yang orang ramai perlu tahu tentang IARC Monograph ini:
1. Tidak tersenarai di dalam 1000 lebih agen di dalam monograph ini BUKAN bermaksud bahan tersebut tidak ada kaitan dengan kanser. Ia bermaksud bahan tersebut belum lagi dianalisa oleh IARC. Jika tersenarai pula bukan semestinya seseorang itu akan menghidap kanser apabila terdedah kepadanya, banyak faktor lain yang terlibat . Baca penerangan di bawah.
2. Agen atau bahan2 yang tersenarai di dalam monograph IARC ini BUKANnya mutlak. Kedudukan agen2 ini boleh berubah daripada satu kumpulan kepada kumpulan yang lain, jika ada bukti terbaru. Mungkin kebanyakan kumpulan 1 akan kekal tetapi lain-lain kumpulan boleh turun dan naik. Kedudukan agen2 ini bukan petujuk risiko menghidap kanser sebaliknya hanya menjelaskan tahap bahaya ("hazard") jika memenuhi syarat2 yang tertentu.
3. Setiap agen2 ini dikaitkan dengan kanser tertentu sahaja dan bukan dengan semua jenis kanser. Ada agen yang hanya menyebabkan satu jenis kanser. Kadangkala kanser tersebut sangat jarang berlaku. Jadi seseorang yang terdedah kepada agen kumpulan 1 tidak semestinya mempunyai risiko yang lebih tinggi menghidap kanser kerana ia bergantung kepada apakah agen tersebut, dose pendedahan, jangkamasa pendedahan, jenis kanser dan juga individu yang berkenaan. Ada agen yang hanya melibatkan kanser kaum wanita, ada pula yang melibatkan kaum lelaki.
4. Kebanyakan agen-agen yang tersenarai BUKAN penyebab primer kanser ("primary aetiology") tetapi hanya dikaitkan dengan kanser, kaitannya mungkin lemah dan mungkin kuat. Kaitannya mungkin kebetulan. Meskipun agen itu penyebab primer seperti virus HPV dan kanser serviks, ia masih memerlukan kehadiran faktor lain untuk melengkapkan proses kejadian kanser. Umumnya kumpulan 1 mempunyai kaitan yang kuat dengan kanser, manakala kumpulan 2 pula kaitannya lemah, mungkin ada, mungkin tidak ada.Walaupun pada kategori 1, kanser tidak semestinya berlaku hanya kerana pendedahan faktor tersebut semata2 tetapi perlu ada faktor2 lain yang bekerja sama dikenali sebagai ko-faktor. Proses kejadian kanser sangat kompleks.
5. Kumpulan 2 mempunyai senarai agen paling banyak dan inilah kumpulan yang paling kontroversial kerana kaitannya dengan kanser belum dimuktamatkan kerana tidak cukup bukti tetapi tidak boleh ditolak begitu sahaja.Banyak daripadanya hanya berdasarkan kepada kajian ke atas haiwan. Ada juga yang mempunyai kaitan dengan kanser manusia tetapi masih lemah. Ada juga kemungkinan agen2 ini tidak ada kaitan terus dengan kanser.
6. Monograph IARC ini tidak terlepas daripada kritikan dan kontroversial. Walaupun ianya diangap satu langkah yang baik dan memerlukan usaha yang sangat besar, terdapat kelemahan di dalam kaedah menyenaraikan agen2 ini. Tidak kurang juga kritikan daripada segi wujudnya " conflict of interest" dalam kalangan ahli2 sains yang terlibat, metodologi dan isu ketelusan. Pendek kata ia bukanlah satu dokumen yang sempurna. IARC tidak mencadangkan apa2 peraturan dan undang2 berkenaan dengan senarai agen2 yang telah disenaraikan, ia kekal di bawah tanggungjawab kerajaan masing2.Terdapat badan2 lain selain daripada IARC yang melakukan perkara yang sama dan mempunyai senarai mereka sendiri.
7. Monograph IARC BUKAN untuk tontonan ataupun penilaian orang awam kerana ianya tidak boleh dibaca secara literal. Jika orang awam yang tidak faham tentang kanser melihat senarai agen2 penyebab kanser ini, mereka pasti akan keliru dan panik. Malahan dalam kalangan pengamal perubatan sendiri ada yang keliru. Ia perlu dinilai dari perspektif yang luas dan ini hanya dapat dilakukan oleh pengamal perubatan yang faham tentang kanser. Cuba lihat contoh2 di bawah:
KUMPULAN 1 (contoh)
Pencemaran udara
Habuk Kayu
Sinar UV cahaya matahari
Habuk arang
Daging yang diproses
Ikan masin
Asap eksos diesel
Teliti pula sebahagian daripada contoh kumpulan 2 di bawah
KUMPULAN 2 (2A & 2B)
Daging merah (2A)
Makanan yang panas (lebih dari 65 darjah C) 2A
Bekas bergelas 2A
Asap eksos petrol 2B
Bekerja sebagai pegawai bomba 2B
Bekerja shif malam 2A
Saya sengaja mengambil contoh senarai2 yang agak "pelik" tetapi memang wujud di dalam monograph IARC ini. Jadi bagi orang awam, jika mereka membaca setiap agen2 yang tersenarai di dalam monograph ini (lebih 1000 agen), maka saya boleh katakan mereka akan panik dan merasakan tidak ada tempat yang selamat untuk tinggal di dunia ini. Inilah yang menjadi pertelagahan dalam kalangan orang awam dan juga pengamal2 perubatan yang kurang faham mengenai Monograph IARC ini. Monograph ini juga boleh disalahgunakan oleh golongan tertentu untuk kepentingan peribadi umpamanya di dalam perniagaan untuk menjatuhkan reputasi produk orang lain.
Bayangkan jika IARC menganalisa kesemua sebatian kimia yang ada di dunia (walaupun mustahil) dan semua tabiat2 manusia untuk dikaitkan dengan kanser. Mungkin majoriti umat manusia yang membacanya jadi hilang akal. Maka sebab itu saya ingin tegaskan supaya orang ramai merujuk kepada pakar yang khusus dalam bidang tertentu apabila mencari sesuatu fakta. Jangan mudah berkongsi dakwaan penyebab kanser daripada pihak yang tidak diketahui latarbelakangnya.
Dato'Dr Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Nota tambahan: Kalau nak baca maklumat tambahan boleh juga baca tulisan Dr. Che Puteh Osman mengenai karsinogen dan sebatian kimia.
https://monographs.iarc.fr/agents-classified-by-the-iarc/
https://www.iarc.fr/wp-conte…/uploads/…/07/Monographs-QA.pdf
https://academic.oup.com/carcin/article/36/7/707/1800366
https://en.wikipedia.org/…/International_Agency_for_Research_on_Cancer



Sunday 14 July 2019

KETUHAR GELOMBANG MIKRO TIDAK MENYEBABKAN KANSER KE ATAS MANUSIA

Sebelum ada pihak2 tertentu mendakwa ketuhar gelombang mikro (microwave oven) menyebabkan kanser, saya ingin menafikannya terlebih dahulu.
Ketuhar gelombang mikro (microwave oven) adalah alat pemanas digunakan oleh manusia samada di rumah, restoran, hotel dan lain2 premis. Ia menggunakan gelombang atau radiasi yang dihasilkan melalui interaksi antara tenaga elektrik dan medan magnet ataupun tenaga elektromagnetik. Jadi gelombang yang dihasilkan ini mempunyai julat atau spektrum yang dikenali sebagai spektrum elektromagnetik.
Bila sebut spektrum, maka ia mempunyai tahap tenaga iaitu daripada tenaga rendah hingga tenaga tinggi. Contoh gelombang bertenaga tinggi adalah Gamma ray dan X-Ray. Disebabkan tenaganya tinggi, ia boleh mengeluarkan elektron dari atom dan boleh mengubah ciri2 atom dan molekul termasuk DNA. Pendek kata ia boleh mengionkan atom dan gelombang atau radiasi seumpama ini juga dikenali sebagai "ionizing radiation". Radiasi jenis ini mungkin boleh menyebabkan kelainan sel.
Walau bagaimanapun gelombang yang digunakan di dalam ketugar gelombang mikro adalah dari jenis bertenaga rendah ataupun rendah frekuensi dan tidak menyebabkan berlakunya ionization, maka ianya dianggap "non-ionizing radiation". Gelombang jenis (gelombang mikro dan radio) ini juga dikenali sebagai "RADIOFREQUENCY RADIATION" (frekuensi gelombang di antara 3 kHertz- 300 Gigahertz). Ianya sama seperti gelombang yang digunakan dalam talifon bimbit, wifi,bluetooth,signal tv, radio, "body security scanner" dan sebagainya. Apabila ia tidak menyebabkan ionization, maka ia juga tidak menyebabkan perubahan sel untuk bertukar menjadi sel kanser. Gelombang mikro yang dihasilkan ini hanya berkesan ke atas makanan yang mengandungi air. Molekul air yang terkena gelombang ini akan bergetar dan menghasilkan haba dan kepanasan inilah yang akan memanaskan makanan. Apa2 kesan negatif berlaku hanya akibat dari makanan yang panas ini dan bukan dari gelombang atau radiasi yang digunakan.
Majoriti kajian ke atas haiwan tidak menunjukkan terdapat bukti bahawa pendedahan biasa ke atas gelombang bertenaga rendah atau radiofrequency radiation (RF) ini menyebabkan kanser. Kesan negatif hanya dikesan apabila seluruh tubuh tikus ("whole body exposure") didedahkan kepada RF secara berpanjangan iaitu semenjak di dalam kandungan selama 2 tahun (9 jam sehari). Manakala kajian pemerhatian ke atas manusia mendapati tidak berlaku kadar kanser yang lebih tinggi ke atas pekerja2 yang terdedah kepada RF yang lama seperti pekerja membaiki antena dan juga operator radio.
International Agency for Research In Cancer (IARC) yang merupakan salah satu badan di bawah WHO khusus dalam kajian kanser juga membuat kenyataan bahawa tidak ada bukti kukuh dan meyakinkan bahawa RF menyebabkan kanser, walaupun ia meletakkan RF pada kategori karsinogen 2B (itupun atas kajian ke atas tikus yg dinyatakan di atas). Manakala badan2 lain seperti EPA dan NTP tidak mengklasifikasikan RF sebagai potensi penyebab kanser.
Kesimpulannya penggunaan ketuhar gelombang mikro secara betul sepertimana yang diterangkan dalam manual penggunaan TIDAK MENYEBABKAN KANSER. Kesan pemanasan ke atas makanan juga tidak menyebabkan bahan yang dihasilkan boleh menyebabkan penyakit kanser. Jika ada pihak yang mendakwa ketuhar gelombang mikro menyebabkan kanser maka kita terpaksa kembali ke zaman nenek moyang tanpa apa2 peralatan moden ataupun tinggal di dalam gua. Hatta di dalam gua sekalipun, kita masih tidak selamat dari gas radon yang beradioaktif (boleh menyebabkan kanser paru2) yang boleh didapati di bawah tanah. Nampaknya tidak ada tempat yang bebas dari gelombang dan radiasi di dunia ini.
Dato'Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
15hb Julai 2019

RUJUKAN
https://www.cancer.org/cancer/cancer-causes/radiation-exposure/radiofrequency-radiation.html
Castillo M, Quencer RM. Sublethal exposure to microwave radar. JAMA.1988;259(3):355.
Elder JA, Chou CK. Auditory response to pulsed radiofrequency energy. Bioelectromagnetics. 2003;Suppl 6:S162-73.
Elder JA. Ocular effects of radiofrequency energy.
Bioelectromagnetics. 2003;Suppl 6:S148-61.
Federal Communications Commission. Radio Frequency Safety FAQs. 2012.
Accessed at http://transition.fcc.gov/oet/rfsafety/rf-faqs.html on
October 16, 2015.
Food and Drug Administration. Radiation-Emitting Products and Procedures: Products for Security Screening of People. 2015. Accessed
at www.fda.gov/Radiation-EmittingProducts/RadiationEmittingProductsandProcedures/SecuritySystems/ucm227201.htm
on October 16, 2015.
Food and Drug Administration. Microwave Ovens. 2014. Accessed at
www.fda.gov/Radiation-EmittingProducts/RadiationEmittingProductsandProcedures/HomeBusinessandEntertainment/ucm116385.htm
on October 16, 2015.
International Agency for Research on Cancer. IARC Monographs on the Evaluation of Carcinogenic Risks to Humans. Volume 102, part 2: Non-Ionizing Radiation, Radiofrequency Electromagnetic Fields. 2013. Accessed at http://monographs.iarc.fr/ENG/Monographs/vol102/mono102.pdf on October 15, 2015.
Léonard A, Berteaud AJ, Bruyère A. An evaluation of the mutagenic,
carcinogenic and teratogenic potential of microwaves. Mutat Res. 1983;123:31-46.
National Toxicology Program. Cell Phone Radio Frequency Radiation
Studies. 2018. Accessed at
www.niehs.nih.gov/health/materials/cell_phone_radiofrequency_radiation_studies_508.pdf
on November 2, 2018.
Oktay MF, Dasdag S, Akdere M, et al. Occupational safety: Effects of
workplace radiofrequencies on hearing function. Arch Med Res. 2004;35:517-521.
Petersen RC. Bioeffects of microwaves: A review of current knowledge.J Occup Med. 1983;25:103-110.
World Health Organization. Electromagnetic fields & public health:Microwave ovens. 2005. Accessed at
www.who.int/peh-emf/publications/facts/info_mi

Wednesday 10 July 2019

AZIMAT GELANG MAGNETIK: FAKTA ATAU AUTA

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

APAKAH KESAN PLASEBO

Kesan placebo adalah kesan kelegaan daripada gejala yang dialami oleh seseorang selepas diberikan sesuatu jenis rawatan yang tidak ada kena mengena dengan punca sebenar gejala tersebut. Kelegaan yang dirasai itu hanya sebahagian daraipada gejala yang dialami tetapi bukan kerana penyakit yang menyebabkan gejala itu telah disembuhkan. Sakit yang dialami oleh seseorang memang dipengaruhi oleh otak kerana otaklah yang akan memberi persepsi sakit jadi dengan otak juga persepsi sakit dapat dikurangkan ataupun ditingkatkan. Sebab itulah persepsi sakit seseorang berbeza dengan orang lain walaupun dikenakan punca dan intensiti yang sama. Maka dengan memberi "ubat palsu", seseorang yang yakin dengan ubat itu dapat mengurangkan rasa sakit yang dialaminya hanya melalui mainan otak. Ubat palsu ini dikenali sebagai PLASEBO. Pengamal perubatan moden merawat sakit dengan kaedah menyembuhkan punca sakit, bukan semata2 mengurangkan gejala. Gejala yang dialami oleh seseorang adalah gabungan daripada dua punca iaitu mainan otak dan juga gejala yang disebabkan oleh penyakit. Plasebo hanya mengurangkan gejala yang disebabkan oleh mainan otak. Maka menggunakan kesan plasebo semata-mata untuk merawat pesakit adalah kaedah yang bertentangan dengan prinsip rawatan kerana ia tidak merawat pesakit sepenuhnya. Walau bagaimanapun terdapat pesakit yang TIDAK mengalami apa2 penyakit fizikal tetapi berdepan dengan gejala seperti sakit kepala, sakit badan, sakit sendi dan sebagainya berpunca dariapada masalah psikologi. Keadaan ini dinamakan psikosomatik. Orang yang mengalami masalah psikosomatik boleh memanfaatkan kesan plasebo. Anda boleh menggunakan apa sahaja kaedah rawatan untuk dijadikan sebagai plasebo selagi pesakit merasa yakin dengan kaedah tersebut.

Kesan plasebo ini penting kepada ahli sains di dalam melakukan kajian keberkesanan sesuatu produk ataupun ubat. Sesuatu ubat itu dianggap berkesan jika pengkaji dapat membuktikan bahawa gejala yang dikurangkan itu BUKAN disebabkan oleh kesan plasebo semata2. Jadi pengkaji akan membandingkan dua kumpulan pesakit, satu kumpulan diberikan hanya plasebo dan satu lagi diberikan ubat yang dikaji. Jika di dapati kedua2 kumpulan mengalami pengurangan gejala yang sama, maka sahlah bahawa ubat yang diberikan itu tidak ada bezanya dengan plasebo dan ubat tersebut dianggap tidak berkesan. Kajian seumpama ini dikenali sebagai "randomized placebo controlled trial" yang dianggap kajian yang berkualiti tinggi. Bahan placebo yang sering digunakan adalah ubat ataupun produk yang kelihatan luarnya sama dengan produk atau ubat yang hendak diuji tetapi tidak mengandungi bahan aktif. Contohnya jika ujian dilakukan ke atas ubat pil, maka plasebo adalah juga pil yang kelihatan sama tetapi hanya mengandungi glukosa. Jika ubat yang diuji itu di dalam bentuk cecair maka bahan placebo yang digunakan mungkin air kosong ataupun larutan saline.

Kesan plasebo ini digunakan oleh ramai pengamal perubatan alternatif seperti bomoh, tukang urut,“Healer” dan lain-lain. Malahan terdapat kaedah rawatan alternatif yang terkenal pada hari ini pun telah disahkan hanya menggunakan kesan plasebo untuk merawat pesakit. Melalui kesan placebo ini seseorang yang mengalami sakit boleh dikurangkan gejala sakitnya dengan apa sahaja cara dengan syarat pesakit yakin cara tersebut dapat memberi kesan. Hatta jika yakin dengan air kosong dan pil glukos sekalipun akan dapat mengurangkan sakit melalui kesan plasebo. Pendek kata plasebo adalah “ubat tipu” yang dapat memberi kesan mengurangkan gejala walaupun ianya tidak ada kaitan dengan penyakit yang hendak ditangani. Jadi placebo tidak merawat punca penyakit tetapi hanya mengurangkan gejala melalui kesan psikologi. Walaupun pesakit merasa lega semasa mengambil placebo, kelegaan itu hanya persepsi semata-mata dan apabila ahli sains mengukur keadaan penyakit, mereka dapati penyakit masih kekal sama. Kadangkala kesan plasebo boleh juga dialami oleh pesakit hanya melalui kaedah komunikasi yang baik daripada perawat. Ini lah sebabnya mengapa seseorang pesakit merasa serasi dengan seorang perawat tetapi tidak dengan yang lain sedangkan ubat yang diberikan oleh mereka adalah sama. Apa yang menarik adalah seseorang yang mengambil plasebo juga boleh mengalami kesan negatif seperti juga kesan sampingan ubat seperti loya, cirit dan sembelit. Kesan sampingan plasebo ini juga dinamakan kesan NOCEBO.

AMALAN MEMAKAI GELANG MAGNETIK

Terdapat terlalu banyak amalan masyarakat kita yang dilakukan untuk tujuan memulihkan kesihatan. Banyak amalan-amalan ini tidak diketahui asal usulnya dan tidak kurang yang dibawa turun menurun daripada nenek moyang. Terdapat juga amalan yang diperkenalkan oleh pengamal perubatan alternatif. Pada satu ketika dahulu terdapat ramai ahli masyarakat, lelaki dan wanita yang mengamalkan pemakaian gelang tangan yang diperbuat daripada logam. Gelang ini juga menjadi produk yang hangat di pasaran sehingga ada yang menjualnya melalui kaedah pemasaran pelbagai peringkat (MLM). Gelang ini didakwa telah menjalani ionisasi dan mampu memberi manfaat kepada pemakainya melalui pengstabilan aliran tenaga elektromagnetik. Salah satu jenis gelang ini dinamakan gelang Q-Ray. Ia dikatakan telah dicipta oleh Manuel L Polo, seorang pengamal chiropractic dalam tahun 1973. Perniagaan gelang ini menjadi tular dengan kewujudan kemudahan laman web semenjak tahun 1997-98. Kepercayaan kesan gelang kepada pemakainya ini bukanlah berdasarkan kepada ilmu sains moden sebaliknya adalah kepercayaan pengamal rawatan alternative yang kebanyakan mereka tidak mempunyai latar belakang sains moden. Pencipta gelang ini percaya bahawa di dalam badan kita terdapat keseimbangan di antara ion positive dan negative. Badan menjadi sakit jika berlaku ketidakseimbangan kedua-dua caj ini. Terdapat juga gelombang biomagnetik alfa dan beta yang mengalir di dalam badan melalui pusat-pusat badan utama dan jika gelombang ini dipisahkan, akan berlaku perubahan aliran gelombang di mana ada  tempat-tempat tertentu gelombang ini akan terhenti. Gangguan aliran gelombang biomagnetik dan ketidakseimbangan ion negative dan positif inilah yang menyebabkan penyakit. Untuk menyeimbangkan kembali ion ini, arus elektrik yang berlebihan perlu dikeluarkan dan di sinilah letaknya fungsi gelang yang kononnya pada hujung bulat gelang itu adalah kawasan yang mempunyai rintangan rendah. Hujung bulat ini akan menjadi tempat mengeluarkan caj positif yang berlebihan. Kelebihan ion positif dikaitkan dengan tahap nutrisi yang rendah, pernafasan yang tidak stabil dan kehidupan yang tidak aktif. Manakala kekurangan ion negative pula dikaitkan dengan gejala kerisauan, stress, takut, benci dan keletihan. Ada juga pengeluar gelang magnetik yang mendakwa bahawa aliran magnet yang dihasilkan oleh gelang ini dapat memisahkan kelompok sel-sel darah merah dan menyebabkan sel-sel dapat mengambil lebih oksigen dan mengeluarkan lebih tenaga. Bertahun-tahun gelang ini dikatakan mampu untuk mengembalikan kesihatan, mengurangkan sakit akibat kanser, memperbaiki pergerakan otot, memperbaiki kemampuan bersukan, menyimpan tenaga dan lain-lain. Banyak lagi dakwaan manfaat yang dibawa oleh pemakaian gelang ini. 

Pada pandangan sains moden, konsep tenaga elektromagnetik dan ion-ion bercaj yang dinyatakan di atas adalah palsu dan tidak menepati fisiologi badan yang sebenar. Tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa penyakit disebabkan oleh ketidakseimbangan caj positif dan negatif. Sains moden tidak dapat menerangkan secara objektif bagaimana boleh adanya kaitan antara ketidakseimbangan caj ini dengan kejadian penyakit. Malahan dakwaan yang mengatakan gelang besi itu bercaj pun disanggah oleh ahli sains kerana objek yang pejal seperti gelang tersebut sebenarnya tidak boleh diionkan (ionized). Ujian mikroskopik elektron yang dijalankan dimakmal juga mengesahkan bahawa ianya tidak bercaj.

Golongan yang mempercayai gelang Q ray ini seringkali menggunakan testimony dan ujian kekuatan jari yang dinamakan Omura test ataupun O-Ring test. Di dalam ujian ini, individu yang diuji akan menjalani ujian kekuatan sebelum dan selepas memakai gelang. Kekuatan itu diuji dengan rakan lain cuba memisahkan jari telunjuk dan ibu jari yang ditemukan bersama. Walaupun kadangkala ujian ini didapati berjaya tetapi dari sudut pengetahuan ilmu psikologi, fenomena ini dapat diterangkan  melalui mekanisma yang dinamakan “suggestion”. Apa yang berlaku adalah disebabkan oleh kekuatan yang sengaja diubahsuai samada daripada rakan yang menguji ataupun individu yang memakai gelang, sehingga mereka yang melakukan ujian Omura ini dapat bekerjasama hingga berjaya meyakinkan pemerhati.

KAJIAN SAINTIFIK MENGENAI KEBERKESANAN GELANG MAGNETIK

Kajian saintifik telah dijalankan ke atas gelang magnetik dan diterbitkan di dalam Jurnal Mayo Clinic Proceeding. Kajian ini adalah kajian “Randomized, double-blind, placebo-controlled trial” yang dijalankan oleh Bratton RL dan rakan-rakan, di mana matlamat kajian ini dijalankan adalah untuk menguji samada gelang yang didakwa bercaj ini boleh merawat sakit otot dan sendi. Di dalam kajian ini seramai 305 orang memakai gelang berion, manakala 305 orang lagi memakai gelang placebo selama 4 minggu. Individu di dalam kedua-dua kumpulan ini tidak mengetahui samada mereka memakai gelang bercaj ataupun gelang placebo. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa  terdapat pengurangan dari segi gejala sakit yang dialami oleh kedua-dua kumpulan. Tidak ada perbezaan yang bermakna daripada segi pengurangan sakit di antara kumpulan yang memakai gelang bercaj dan gelang placebo. Jadi ini menunjukkan bahawa sebenarnya gelang bercaj ataupun gelang magnetik (termasuk Q-ray) ini memberi kesan positif hanya melalui kesan placebo dan bukan disebabkan oleh apa yang didakwa oleh penciptanya (1). Keputusan yang sama juga telah diperolehi oleh kajian yang dijalankan oleh Richmond SJ dan rakan-rakan. Mereka menggunakan beberapa jenis gelang di antaranya gelang magnetic dan gelang tembaga yang dipakai selama 16 minggu dan pemakai bertukar gelang (Crossover trial) selepas beberapa lama dan mereka sendiri tidak tahu apakah jenisnya. Kajian ini adalah untuk melihat kesan pemakaian gelang ini ke atas sakit radang sendi (osteoarthritis). Hasil kajian ini menunjukkan bahawa pemakaian gelang-gelang ini tidak mengurangkan kesakitan, tidak melonggarkan sendi yang keras dan tidak ada manfaat ke atas fungsi fizikal sendi yang terlibat. Pengkaji membuat kesimpulan bahawa pemakaian gelang-gelang ini jikapun berkesan adalah disebabkan oleh kesan placebo. (2)

Syarikat yang mengeluarkan gelang ini telah disaman beberapa kali oleh beberapa badan yang melindungi pengguna di Amerika pada tahun 2000-2004 dan dikehendaki membayar sejumlah wang tertentu kepada pihak  yang menyaman sebagai ganti rugi kerana membuat dakwaan palsu mengenai kemujaraban gelang ini untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Di samping dakwaan palsu, pihak mahkamah juga menganggap ianya satu penipuan dari sudut perniagaan di mana harga sebiji gelang magnetik tersebut terlalu mahal (ada yang dijual dengan harga $200 USD sebiji) sedangkan ianya hanyalah placebo.

FATWA HUKUM MEMAKAI GELANG BESI MAGNETIK BAGI LELAKI UNTUK TUJUAN KESIHATAN

Fatwa di atas telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang semasa persidangan untuk mengeluarkan fatwa ini, mereka telah menjemput pakar perubatan untuk memberi pendapat. Menurut pakar perubatan yang dijemput, beliau menjelaskan bahawa daripada sudut kesihatan tidak ada bukti bahawa gelang magnetik memberi kesan positif kepada kesihatan manusia. Apa yang ada hanyalah testimoni iaitu pengakuan perseorangan tentang kesannya dan ianya tidak diterima sebagai bukti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana mempunyai unsur plasebo. Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga tidak membuat kenyataan mengenai keberkesanan menggunakan gelang ini walaupun ianya selamat diamalkan. Majlis fatwa membuat rumusan bahawa bagi lelaki yang memakai gelang sebagai perhiasan diri menurut hukum syara’ adalah haram berdasarkan hadith daripada Ibnu Abbas r.s katanya : Rasullullah saw melaknat lelaki yang meniru-niru gaya perempuan, dan perempuan yang meniru-niru gaya lelaki. Pemakaian gelang magnetik ini hukumnya harus hanya jika terbukti berkesan melalui kajian saintifik sains perubatan. Sekiranya pemakaian gelang magnetik tidak memberi faedah daripada segi kesihatan, maka perlu ditinggalkan. Keputusan akhir daripada Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan ini adalah HARAM bagi lelaki memakai gelang magnetik kerana pemakaian gelang tersebut lebih kepada menyerupai wanita di samping tidak ada bukti saintifik yang ianya berkesan. Amalan ini adalah satu kaedah yang boleh merosakkan orang Islam (3).

Terdapat juga perbezaan pendapat dalam kalangan agamawan tentang pemakaian gelang tangan oleh kaum lelaki tetapi lebih kepada bersifat pendapat peribadi. Saya hanya menemui fatwa oleh Majlis Fatwa Agama Islam Negeri Sembilan. Jika pembaca ada menemui fatwa daripada lain-lain institusi Islam yang berwibawa, boleh berkongsi. Secara peribadi, saya berpendapat jika ada keraguan tentang hukum disebabkan oleh pendapat agamawan yang berbeza, adalah lebih baik kita menghindarinya kerana daripada segi saintifik juga, gelang magnetik ini hanyalah membawa kesan plasebo.

KESIMPULAN

Penjelasan mengenai bagaimana system badan berfungsi yang digunakan oleh pencipta gelang Q-Ray ataupun gelang-gelang magnetik yang lain  tidak menepati ilmu sains perubatan moden. Begitu jugalah penerangan mengenai bagaimana gelang ini dapat menyembuhkan penyakit, menyimpang daripada ilmu sains perubatan moden. Pemakaian gelang samada gelang magnetic ataupun gelang-gelang lain tidak mempunyai kaitan dengan pengubatan penyakit ataupun memulihkan kesihatan fizikal ke atas manusia. Ini adalah hasil daripada kajian saintifik yang dilakukan ke atas penggunaan gelang ini di mana  didapati kesan pengurangan sakit yang dibawa oleh pemakaian gelang ini adalah kesan placebo iaitu kesan palsu. Dari sudut hukum agama Islam pula, disebabkan tidak ada bukti bahawa gelang magnetik ini boleh mengubati penyakit melalui kajian sainfitik oleh pakar-pakar, maka mengikut majlis fatwa kerajaan Negeri Sembilan, hukum memakai gelang ini adalah haram.

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Medical Mythbusters Malaysia

RUJUKAN

1.   Bratton RL, Montero DP, Adams KS, et al. Effects of “ionized” wrist bracelets on musculoskeletal pain : a randomized , double-blind, placebo-controlled trial. Mayo Clin Proc, 2002;77(11):1164-8)
2.   Richmond SJ, Brown SR, Campion PD, et al. Therapeutic effects of magnetic and copper bracelets in osteoarthritis: a randomized placebo-controlled crossover trial. Complement Ther Med, 2009 17(5-6):249-56. doi: 10.1016/j.ctim.2009.07.002. Epub 2009 Aug 28
4.   About Q-Ray/Bio-Ray. QT, Inc, Web site, archived Dec 22, 1997. 
5.   About Q-Ray. QT, Inc, Web site, archived Dec 8, 2000. 
6.   Yamamoto S. The formation and basis of the bi-digital O-Ring test. Feb 26, 2002.
7.   Consumer Justice Center v Q.T., Inc., Andrew Park, Jung Joo Park, Que Te Park, Lizz Ciprian, and Does 1-100. 
8.   Superior Court of the State of California for the County of Orange, Central Justice Center, Case No. 00CC14710, Filed Dec 7, 2000.
9.   John Gardner v QT Inc. and Does 1-50. Superior Court of the State of California, County of San Diego, North County Branch. Case No. GIN026037. Amended complaint filed Jan 13, 2003.
11.                http://www.quackwatch.org/01QuackeryRelatedTopics/PhonyAds/qray.html
RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PERTUBUHAN ATAUPUN INSTITUSI. TIDAK DIBENARKAN MANA-MANA PIHAK UNTUK MENGAMBIL BAHAN DI DALAM RENCANA INI DAN DIGUNAKAN UNTUK APA-APA TUJUAN MELAINKAN TERLEBIH DAHULU MENDAPAT KEBENARAN PENULIS.

SAHABAT DUNIA AKHIRAT

Hari ini terjumpa gambar2 lama, terkenang saya kepada beberapa orang sahabat2 lama ketika di Universiti dahulu. Sahabat2 yg banyak memandu saya di dalam mengharungi jalan kehidupan, menghulur tangan apabila terjatuh dan menegur saya apabila tergelincir.
Saya terbaca terjemahan tulisan seorang ulamak bernama Syekh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin yang membahagikan 3 jenis sahabat:
1. SAHABAT MANFAAT : Yaitu orang yang bersahabat untuk mendapatkan manfaat berupa harta, kedudukan, atau lainnya. Jika tidak ada manfaat yang boleh diperolehi, darimu jadilah ia musuhmu, dia tidak mengenalmu dan kamu tidak mengenalnya.
2. SAHABAT NIKMAT : Bersahabat hanya untuk bersenang-senang dengan berkumpul dan berniaga, tetapi dia tidak memberi manfaat, hanya membuang masa. Berhati2 dengan jenis sahabat seperti ini kerana dia akan mensia-siakan waktumu.
3. SAHABAT TERPILIH/UTAMA: Sahabat yang membawa pada kebaikan dan melarang keburukan, membuka pintu-pintu kebaikan. Jika kamu tergelincir dia akan melarangmu dengan cara yang berhikmah, ini baru sahabat yang terpilih.
Bukan tujuan menghina pekerjaan tukang besi, tetapi inilah andaian betapa pentingnya memilih sahabat yang dinyatakan di dalam Hadith riwayat al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari bermaksud: "“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti berkawan dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”
Ramai lagi sahabat2 TERPILIH yg tidak ada di dalam gambar. Mungkin inilah yang dinamakan sahabat dunia akhirat. Terima kasih kepada semua dan semuga kita dapat bertemu di satu hari nanti. Sama2lah kita mengingatkan diri sendiri dan anak2 tentang pentingnya memilih sahabat.
Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Monday 8 July 2019

CERITA DI KEDAI GUNTING RAMBUT


Dua hari lepas saya pergi gunting rambut di sebuah kedai seorang pemuda Cina bernama JK. Semasa menggunting rambut, JK menceritakan perihal ibunya yang diserang angin ahmar (stroke) 3 minggu lepas dan menjalani rawatan pembedahan membuka sebahagian daripada tempurung kepalanya akibat pendarahan otak. Sambil bercerita, JK sempat memberi petua kepada saya mengenai apa yang perlu dilakukan dahulu apabila diserang angin ahmar, walaupun JK tahu saya seorang doktor. "You ambil jarum dan cucuk pada jari, cucuk satu kali saja, jangan banyak2, bagi darah keluar satu titik cukup, bersungguh2 JK untuk meyakinkan saya. Lepas cucuk, you bawa cepat2 ke hospital". Saya tidak mahu menegur salah faham JK tentang cucuk jarum itu kerana tidak mahu wujudkan ketegangan, lagipun JK sedang memegang gunting. Tapi saya jelaskan bahawa memang bagus bawa ibunya cepat2 ke hospital.

Saya tanya JK, bagaimana keadaan ibunya. Katanya selepas rawatan pembedahan di hospital, dia dirawat beberapa hari di ICU dan kemudian di wad biasa. Sekarang sudah balik ke rumah dan kena ulangalik ke hospital menjalani rawatan fisioterapi. Dia akan bawa ibunya ke hospital mengikut jadual. Tapi di samping itu, secara senyap2 dia juga pergi dapatkan rawatan akupuntur di sebuah premis atas nasihat seorang kawan, untuk memulihkan angin ahmar katanya. JK bersetuju membawa ibunya untuk 15 sesi akupunktur dan setiap sesi dikenakan caj RM100, jadi 15 sesi RM1,500. Kata JK, selepas beberapa sesi fisioterapi di hospital dan akupuntur, ibunya menunjukkan perubahan yang positif.

Nampaknya mitos mengenai cucuk jarum pada jari untuk merawat angin ahmar bukan sahaja wujud dalam kalangan orang melayu tetapi juga kaum lain. Mungkin tidak tepat jika saya hanya menggunakan JK untuk mewakili kaum Cina tetapi pendekatan yang diambil oleh JK dalam menangani masalah kesihatan ibunya menarik perhatian saya. Walaupun JK percaya kepada mitos, namun beliau memberi keutamaan kepada kaedah rawatan moden dengan mengambil pendirian bahawa ibunya patut dibawa ke hospital secepat mungkin dan mematuhi arahan doktor untuk menjalani pembedahan. Beliau juga patuh arahan doktor untuk membawa ibunya mendapatkan rawatan susulan dan fisioterapi. Walaupun secara senyap JK mendapatkan rawatan akupuntur, saya beranggapan bahawa peranan akupuntur yang digunakan oleh JK adalah pendekatan rawatan komplementari dan bukan alternatif. Apa yang lebih baik dilakukan oleh JK adalah mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu dan memastikan pengamal akupuntur tersebut adalah seorang yang bertauliah.

Pendekatan yang diambil oleh JK berkemungkinan besar tidak akan memudaratkan ibunya, walaupun beliau terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih besar. Apa yang memudaratkan pesakit adalah mengamalkan kaedah rawatan alternatif sehingga pesakit lewat dibawa ke hospital ataupun pesakit tidak dirawat sepenuhnya oleh pihak doktor. Lebih2 lagi jika ada pengamal perubatan alternatif yang mensyaratkan pesakit mereka supaya tidak mendapatkan rawatan hospital jika ingin menerima khidmat mereka (kononnya ubat tak boleh bercampur). Pesakit yang diserang angin ahmar perlu dibawa ke hospital dengan segera. Apabila telah selesai rawatan oleh pihak hospital dan pesakit dibenarkan pulang, maka kaedah rawatan komplementari boleh diamalkan jika ianya diiktiraf oleh pihak hospital dan KKM. Kebetulan akupuntur adalah salah satu kaedah rawatan komplementari yang diterima oleh KKM di dalam konsep perubatan integratif. Perkhidmatan ini disediakan oleh unit TCM di beberapa buah hospital kerajaan, dilakukan oleh pengamal yang bertauliah.

Dato' Dr Rushdan Noor
8hb Julai 2019


http://www.myhealth.gov.my/en/acupuncture-treatment-post-stroke-patients/

SOS DAN MAYONIS DI DALAM BURGER/OBLONG

Burger adalah makanan segera yang sangat digemari oleh masyarakat kita terutama anak2 muda. Kalau dilihat pada ingredien yang digunakan untuk membuat burger, tentu ianya nampak seperti sejenis makanan yang agak seimbang kerana mengandungi semua komponen makronutrient termasuk sayur, timun dan tomato. Tetapi ada komponen burger yang perlu diberi tumpuan kerana ianya tidak menyihatkan. Antara komponen yang tidak menyihatkan adalah daging yang diproses (patty) dan topping yang dgunakan. Saya tak mahu menulis tentang daging tetapi nak fokus hanya kepada topping yang sering digunakan untuk menyedapkan rasa iaitu SOS dan MAYONIS. Ada juga yang menambah THOUSAND ISLAND sehingga melimpah.

GULA TAMBAHAN DALAM SOS CILI

Berapa banyak gula tambahan dalam sos cili jenama Life yang selalu dimakan dengan ayam KFC. Perhatikan fakta nutrisi, bagi setiap 100 gm sos mengandungi 41 gm gula, maksudnya 41% daripada sos ini adalah gula. Satu sudu teh sos mempunyai berat 6 gm, jadi kandungan gulanya adalah 41/100 X 6 gm = 2.5 gm. Mungkin satu ketul ayam KFC tak cukup dengan satu sudu teh sos. Andainya satu ketul ayam dimakan dengan 2 sudu teh sos, maka 3 ketul ayam akan menggunakan 6 sudu teh sos ataupun 15 gram gula. Had pengambilan gula tambahan sehari adalah 25 gm. Ini sudah 60% daripada had pengambilan gula sehari. Kita belum lagi mengira gula dalam segelas pepsi yang selalu diberikan bersama satu set dinner plate KFC. Belum lagi mengira kuantiti garam dan lemak. Ini baru satu sarapan.


FAKTA NUTRISI MAYONIS
 
Sekarang cuba kita analisa pula tentang Mayonis. Perhatikan fakta nutrisi Mayonis jenama terkenal di bawah. Cuba kita fokus kepada kandungan gula dan lemak.
Satu hidangan Mayonis (14 gm) mengandungi:
Gula 0.7 gm
Jumlah Lemak 9.7 gm

Jelas menunjukkan walaupun mengandungi sedikit gula tetapi Mayonis mengandungi tinggi kandungan lemak iaitu sebanyak 9.7/14 X 100 = 69% daripada kandungannya. Dalam setiap hidangan seberat 14gm mengandungi 9.7gm lemak dan ini mewakili 15% daripada keperluan harian seseorang.

Jadi kombinasi Sos cili dan Mayonis di dalam sebiji burger adalah ramuan yang "unggul" untuk penyakit diabetes dan kardiovaskular kerana Sos mengandungi tinggi gula (41%) dan Mayonis pula mengandungi tinggi lemak (69%).Belum lagi mengambil kira kandungan gula, lemak, kolesterol dan sodium (garam) di dalam minuman, thousand island, mentega, daging burger (patty) dan telur goreng (dalam burger special). Sila rujuk fakta nutrisi sebiji daging burger (patty, lemak 10.5gm)) dan sebiji telur goreng (lemak 6.8gm) yang tertera di dalam imej di bawah.




Burger dan oblong dijual di mana2 termasuk restoran makanan segera dan pasar2 malam. Jika di restoran makanan segera, ia di datangkan dengan set termasuk air bergas dan kentang goreng. Kedai2 burger di tepi jalan pula dibuka waktu petang dengan tidak putus pelanggan hingga ditutup tengah malam.Tidak hairanlah mengapa makanan segera dan tabiat makan seumpama ini telah menyumbang kepada peningkatan kadar obesiti dan penyakit kronik rakyat Malaysia. Sakit jantung dan angin ahmar merupakan punca kematian paling utama rakyat Malaysia. Set burger dan oblong menyediakan ramuan "lengkap" untuk penyakit diabetes, jantung/saluran darah dan darah tinggi. Semakin banyak berita2 kematian mengejut berlaku pada usia yang lebih muda. Kita boleh melakukan perubahan jika ada kemahuan.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor 

TIDAK DIBENARKAN SESIAPA MENGAMBIL RENCANA INI TANPA KEBENARAN PENULIS.