Monday 17 February 2020

RAWATAN KIROPRAKTIK (CHIROPRACTIC) DARIPADA PERSPEKTIF PERUBATAN MODEN


RAWATAN KIROPRAKTIK (CHIROPRACTIC) DARIPADA PERSPEKTIF PERUBATAN MODEN


Kiropraktik (Chiropractic) adalah salah satu cabang rawatan alternatif yang diasaskan oleh seorang guru (bukan doktor perubatan) dan juga "magnetic healer" bernama Daniel David Palmer yang lahir pada tahun 1845. Beliau juga adalah pengasas pusat latihan "Palmer College of Chiropractic" pada tahun 1897 di Iowa, Amerika Syarikat.

Mengapa pengamal kiropraktik ataupun Kiropraktor suka mengurut, menekan, menarik dan membetulkan tulang serta sendi? Jawapannya adalah kerana mengikut Daniel David Palmer, punca penyakit adalah gangguan ransangan saraf ke atas organ badan kerana ransangan saraf dianggap sistem pertahanan badan semulajadi yang mencegah serangan penyakit. Beliau mengemukakan teori yang dikenali sebagai "Chiropractic vertebral subluxation theory" di mana katanya 95% daripada penyakit yang dihidapi oleh manusia adalah disebabkan oleh himpitan saraf yang keluar pada bahagian tulang belakang. Manakala 5% lagi adalah daripada sendi-sendi lain di seluruh badan. Apabila menekan, mengurut dan membetulkan tulang belakang, kononnya himpitan saraf ini akan dilepaskan dan bekalan saraf kepada organ dapat dipulihkan.

Pengamal perubatan moden menyangkal teori yang dikemukakan oleh D.D Palmer kerana teori ini tidak selari dengan kefahaman tentang anatomi, fisiologi dan kajian penyakit berdasarkan ilmu perubatan moden. Fungsi organ di dalam badan manusia dikawal oleh sistem yang kompleks dan bukan hanya bekalan saraf. Fungsi organ badan dikawal oleh sistem aliran darah, aliran limpa, sistem endokrin dan lain-lain lagi. Hakikatnya apabila seorang mengalami kecederaan leher yang serius sehingga saraf tunjang lehernya rosak dan lumpuh seluruh badan, organ-organ badannya masih berfungsi dengan normal. Fenomena ini adalah salah satu bukti teori D.D Palmer adalah tidak benar.

Apabila prinsip asas rawatan kiropraktik ini tidak benar maka segala amalan yang dilakukan untuk tujuan merawat penyakit juga tentu sekali meragukan. Rawatan kiropraktik mungkin boleh digunakan untuk tujuan mengurangkan kesakitan dan memulihkan pergerakan sendi pada bahagian yang terlibat. Ada di antaranya mungkin menggunakan kesan plasebo. Namun ianya tidak boleh digunakan untuk merawat penyakit yang jauh daripada bahagian tersebut, apatah lagi penyakit2 kronik. Keberkesanan kaedah rawatan kiropraktik ke atas semua jenis penyakit yang didakwa oleh pengamalnya belum dibuktikan oleh kajian saintifik. Tambahan pula terdapat amalannya yang boleh menyebabkan komplikasi terutama apabila manipulasi keterlaluan dilakukan pada bahagian tulang belakang di leher dan jika dilakukan ke atas kanak-kanak. Penyelidik tidak dapat menolak kemungkinan boleh berlakunya komplikasi seperti kecederaan salur darah yg membekal otak ("cervical artery"), darah beku pada ruang selaput saraf tunjang ("subdural haematoma") dan kerosakan saraf tunjang ("myelopathy") jika manipulasi keterlaluan dilakukan ke atas tulang belakang.



Rawatan kiropraktik pada tulang belakang akan memudaratkan jika dilakukan ke atas pesakit "rheumatoid arthritis", penyakit TB tulang belakang, kanser yang merebak ke tulang belakang, pesakit osteoporosis, scoliosis, torticollis dan lain-lain. Malahan ada juga yang berpendapat rawatan ini boleh menyebabkan penyakit "prolapse disc" bertambah serius. Pendek kata sakit belakang boleh disebabkan oleh banyak keadaan yang perlu ditangani dengan kaedah rawatan yang berbeza. Rawatan ini mungkin hanya bermanfaat untuk mengurangkan kesakitan akibat masalah mekanikal pada bahagian sendi, ligamen dan kesakitan otot, tetapi itupun jika dilakukan oleh Kiropraktor yang terlatih. Kekeliruan yang dialami oleh orang ramai ke atas keberkesanan rawatan kiropraktik boleh menyebabkan mereka lambat berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang lebih berkesan.

Kiropraktor yang terlatih perlu menjalani pengajian prasiswazah (3 tahun) dan peringkat siswazah yang memakan masa 4 tahun daripada pusat latihan yang diiktiraf. Rawatan kiropraktik yang terpilih mungkin boleh dipertimbangkan sebagai kaedah komplementari bersama perubatan moden tetapi ianya tidak boleh dijadikan kaedah utama rawatan penyakit. Terdapat segelintir doktor perubatan yang mempelajari bidang kiropraktik. Setakat bukti yang ada pada hari ini, kiropraktik hanya boleh dipertimbangkan untuk tujuan membetulkan postur badan dan mengurangkan kesakitan akibat daripada masalah mekanikal pada bahagian sendi serta otot.

Osteopathy adalah satu lagi cabang rawatan alternatif yang ada persamaan dengan kiropraktik. Pengamal osteropathy dinamakan osteopath ("DO : Doctor or Osteopathic Medicine") dan mereka lebih menumpukan rawatan yang lebih holistik dan "osteopathic manipulative medicine" adalah salah satu komponen di dalamnya. Sukar untuk membezakan di antara kedua-duanya walaupun menggunakan prinsip berbeza, osteopathy mengaitkan penyakit dengan ketidakseimbangan dalam badan (minda, tubuh dan roh) berbanding dengan ransangan saraf di dalam kiropraktik. Kedua-dua bidang ini kadangkala bergandingan untuk merawat pesakit.

Orang ramai dinasihati supaya berhati-hati apabila ditawarkan kaedah rawatan ini kerana sukar untuk mengetahui kelayakan pengamal kiropraktik. Dikhuatiri pengamal tersebut bukan seorang Kiropraktor yang bertauliah. Sila dapatkan pandangan pengamal perubatan moden jika berhajat mendapatkan rawatan kiropraktik. Sakit tulang dan sendi adalah salah satu bidang kepakaran yang dinamakan orthopedik. Jadi pakar orthopedik adalah pakar yang paling layak untuk merawat penyakit sendi dan tulang.

Dato' Dr Rushdan Noor
21 hb Nov 2018


RUJUKAN

https://sciencebasedmedicine.org/inside-chiropractic-yeste…/
1.Kennell KA, Daghfal MM, Patel SG, et al. Cervical artery dissection to chiropractic manipulation: One institutions experience. J Fam Pract, 2017; 66(9):556-562.
2.Smith WS, Johnston SC, Skalabrin EJ, et al. Spinal manipulative therapy is an independent risk factor for vertebral artery dissection. Neurology, 2003;60(9):1424-8
3.Biller J, Sacco RL, Albuquerque FC, et al. Cervical artery dissections and association with cervical manipulative therapy: a statement for healthcare professionals from the American heart association/American stroke association. Stroke, 2014;45(10):3155-74
4.Gross A, Langevin P, Burnie SJ, et al. Cochrane systematic review : Manipulation and mobilization of neck disorders. 23 September 2015
5.Rubinstein SM, Terwee CB, Assendelft WJ, de Boer MR, van Tulder MW. Spinal manipulative therapy for acute low back pain: an update of the Cochrane review. Spine (Phila Pa 1976), 2013;38(3): E158-77. doi: 10.1097/BRS.0b013e31827dd89d
6.O’Neal ML. The pediatric spine: Anatomical and dynamic considerations preceding manipulation. Comprehensive therapy, 2003;29(2-3):124-129
7.Gouveia LO, Castanho P, Ferreira JJ. Safety of chiropractic intervention: a systematic review. Spine (Phila Pa 1976), 2009: 34(11):E405-13.
8.Hincapie CA, Tomlinson GA, Cote P, et al. Chiropractic care and risk for acute lumbar disc herniation : a population-based self-controlled case series study. Eur Spine J, 2018;27(7):1526-1537.
9.Paige NM, Miake-Lye IM, Booth MS et al. Association of Spinal manipulative therapy with clinical benefit and harm for acute low back pain: systematic review and meta-analyses. JAMA, 2017; 317(14):1451-1460

APABILA TERJUMPA DENGAN BERITA TUMBUHAN DAN BUAH BOLEH MERAWAT KANSER, BACA DAHULU RENCANA INI


Kajian untuk menentukan keberkesanan ubat anti-kanser perlu melalui banyak fasa sebelum boleh digunakan ke atas manusia. Berita tentang penemuan ubat anti-kanser sangat digemari oleh orang ramai dan tidak hairanlah mengapa tajuk ini menjadi pilihan media2 untuk disiarkan. Saya akan berkongsi kepada anda pedoman bagaimana menilai status berita-berita tersebut. Sebagai contoh saya akan mengambil berita tentang Buah Bambangan. Rencana ini agak panjang tetapi anda perlu baca sampai habis.

1. Bahan aktif yang mempunyai ciri2 anti-kanser perlu dikenalpasti dan kemudian diektrak (dikeluarkan) dari sumber asal/mentah, dalam kes ini sumber asal adalah biji buah Bambangan (Mangifera panjang).

2. Sebatian kimia aktif yang dipercayai mempunyai ciri2 anti-kanser di dalam buah Bambangan adalah Methyl Gallate. Proses mengeluarkan bahan aktif ini dilakukan melalui tindakbalas kimia di dalam makmal. Dr.Che Puteh lebih arif sebab ini adalah bidang kepakaran beliau.

3. Kemudian Methyl Gallate ini akan diuji ke atas sel2 kanser payudara yang dibiak dalam makmal (inilah yang dinamakan "cancer cell line", kena beli/import dari bank sel kanser luar negara selalunya dari Amerika, setahu saya di Malaysia belum ada bank sel kanser). Setiap "cancer cell line" ini ada nama2nya, contohnya dalam kajian ini, MCF-7. MCF-7 adalah lapisan sel kanser payudara yang disumbang oleh bekas pesakit kanser pada tahun 1970 dan dibiakkan hingga ke hari ini untuk tujuan penyelidikan.
Kalau nak tahu cerita lebih lanjut tentang MCF-7 boleh baca di sini :https://en.m.wikipedia.org/wiki/MCF-7). 

4. Daripada hasil ujian makmal inilah diketahui samada Methyl Gallate ini boleh mematikan sel2 kanser ataupun tidak. Tetapi ingat, ini hanya ujian yang dilakukan ke atas sel2 kanser payudara yang dibiak di luar tubuh badan. Apa yang berlaku di dalam makmal tidak semestinya sama dengan apa yang akan berlaku di dalam tubuh manusia kerana sistem badan manusia jauh lebih kompleks.

5. Kajian yang dijalankan oleh pensyarah UTHM ini adalah kajian ke atas "cancer cell line" MCF-7 (rujuk abstrak kertas kajian di bawah). Jadi ini adalah kajian awal PRA-KLINIKAL. Kajian ini hanya tertumpu kepada KANSER PAYUDARA. Kajian di dalam makmal di luar tubuh ini juga dinamakan kajian in-vitro. Fasa pra-klinikal mempunyai satu lagi peringkat iaitu kajian in-vivo (dalam tubuh) yang dilakukan ke atas haiwan.

6. Selepas berjaya ujian ke atas "cancer cell line" tadi, bahan aktif tadi perlu pula diuji ke atas haiwan yang bernyawa, selalunya tikus digunakan sebagai mewakili ujian ke atas benda hidup. Penyelidik perlu memohon kebenaran dan grant untuk buat kajian keatas tikus untuk tentukan dos, keberkesanan dan kesan sampingan. Kajian dalam tubuh tikus ini dinamakan kajian in-vivo dan ini masih dianggap kajian pra-klinikal. Tikus boleh diransang untuk menghidap kanser di dalam makmal dan bahan aktif yang diuji tadi akan diberikan kepadanya. Pada peringkat ini dos juga boleh ditentukan. Walaupun lulus kajian ke atas tikus, tindakbalas badan manusia boleh berbeza.

7. Apabila kajian ke atas tikus telah berjaya (selamat dan berkesan) barulah boleh memohon untuk kajian klinikal ke atas manusia yang terdiri dari fasa 1, fasa 2 dan fasa 3. Fasa 4 adalah pemantauan selepas ubat antikanser dipasarkan. Nak masuk ke fasa 1 bukannya mudah, maklumlah nak diuji ke atas manusia. Setiap fasa kajian klinikal ini ada kaedah dan matlamatnya yang tersendiri dan selalunya melibatkan masa yang lebih panjang dan kos yang sangat tinggi. Lagi tinggi fasa, bertambah sukarlah kajian tersebut. Apabila lulus fasa 3, baru boleh mendakwa yang Methyl Gallate ini berkesan merawat kanser payudara dan boleh ganti ubat antikanser standard yang ada pada hari ini. Hanya untuk kanser payudara. Kena ingat, ubat/bahan aktif ini adalah Methyl Gallate yang diekstrak dari biji buah Bambangan, bukan makan buah bambangan atau telan biji Bambangan. Bukan juga dengan memproses sendiri buah Bambangan, buat jus atau keringkan buat serbuk untuk jadikan kapsul atau pil.

8. Kajian pra-klinikal yang dijalankan oleh pensyarah UTHM ini memang boleh dibanggakan. Walau bagaimanapun masih terlalu jauh lagi perjalanan yang perlu dilalui sebelum hasil kajian ini boleh digunakan ke atas manusia. Kajian pra-klinikal adalah peringkat yang paling awal dan paling mudah. Jika kita nak buat analogi, macam mendaki gunung Averest. Kajian pra-klinikal boleh diumpamakan peringkat perancangan untuk menentukan siapakah yang layak untuk mendaki gunung Averest, belum pun lagi memulakan pendakian. Kejayaan fasa 3 kajian klinikal adalah umpama sampai ke kemuncak gunung Averest dan inilah kejayaan sebenar. Umumnya dari 5,000-10,000 bahan2 aktif yang ditemui, 250 sahaja yang berjaya masuk ke fasa 1. Manakala dari 250 yang memulakan fasa 1, hanya satu sahaja (0.4%) berjaya sampai ke fasa 3 ataupun kemuncak gunung Averest.

9. Halangan paling besar untuk meneruskan kajian ke fasa-fasa seterusnya adalah kelulusan, bajet dan kesukaran untuk menjalankan kajian klinikal ke atas manusia. 

10. Kejayaan sesuatu kajian tidak diukur semata2 kepada journal yang menyiarkannya tetapi yang lebih penting adalah kualiti kajian dan fasa berapa kajian itu dilakukan. Kajian yang terbaik adalah apabila hasil kajian tersebut dapat memanfaatkan manusia ("translational research").

11. Mulai sekarang saya harap anda yang membaca tulisan ini sudah boleh menilai status berita yang disiarkan di dalam akhbar dan media2. Jika ada berita ataupun sesiapa yang mendakwa menemui ubat antikanser, tanya mereka di mana kertas kajian dan apakah fasa kajian tersebut. Bila jumpa kertas kajian, tak faham pun tak apa, kalau ada perkataan "extract", "cancer cell line", "animal", "laboratory", "apoptosis induction", maka itulah kajian pra-klinikal. Untuk kajian klinikal fasa 1,2 dan 3, selalunya bilangan fasa akan tertera pada tajuk utama kertas kajian. Anda mahu tahu adakah mereka sudah sampai ke kemuncak gunung Averest atau baru nak buat persiapan di Malaysia untuk ke Kathmandu.

12. Sebenarnya prinsip dan proses yang sama akan dilalui oleh lain-lain jenis ubat seperti ubat darah tinggi, diabetes dan lain2. Kita sudah masuk tahun 2020, mari sama2 kita tingkatkan tahap kesedaran dan keilmuan kita, benarlah kata pujangga bahawa "ilmu itu pelita hidup". Tanpa ilmu, kita seperti orang yang meraba2 dalam kegelapan, mudah tergelincir dan hilang pedoman.

Anda boleh baca tulisan saya yang lalu berkenaan dengan kajian klinikal di pautan bawah.

B. Kajian klinikal macam mendaki gunung Averest: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10210180142887880&id=1468333443

Dato' Dr Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
17hb Feb 2020







Sunday 16 February 2020

KANSER RAHIM SEMAKIN MENINGKAT DI MALAYSIA



Hari ini saya bertemu dengan 3 orang pesakit yang baru disahkan mengidap kanser rahim dan menunggu untuk menjalani rawatan. Saya kongsi ciri2 umum 3 orang pesakit berkenaan: 

1. Obesiti, Darah tinggi dan mengalami angin ahmar menyebabkan lumpuh sebelah badan (tidak boleh berjalan dan bertutur).

2. Obesiti, Diabetes, Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS), tidak mempunyai anak akibat PCOS.

3. Obesiti, Darah tinggi dan Diabetes menyebabkan kegagalan buah pinggang (komplikasi diabetes). Sedang menerima rawatan dialisis.

Kalau kita rujuk trend kadar dan bilangan kanser rahim di negara kita berdasarkan kepada lapuran statistik kanser terbaru NCR 2012-2016 berbanding dengan NCR 2007-2011, kadar dan jumlah bilangan kanser rahim telah meningkat. Insiden kanser rahim meningkat dari 3.8 kepada 4.6 per 100,000 populasi dan jumlah bilangan kanser rahim yang dilapurkan juga meningkat dari 2,181 kepada 2,898 orang. 

Obesiti, Diabetes (kencing manis) dan Darah Tinggi adalah 3 faktor yang meningkatkan risiko menghidap kanser rahim. Jika tabiat makan dan gayahidup masyarakat kita tidak berubah, kadar dan bilangan kanser rahim akan terus meningkat. Penyakit2 kronik ini juga menjadi punca kegagalan buah pinggang, sakit jantung dan serangan angin ahmar. Apabila mereka mendapat komplikasi2 ini, maka kesan sampingan rawatan kanser mereka juga tinggi dan peluang untuk sembuh juga terjejas. 

Di negara kita hanya 46% sahaja pesakit kanser rahim yang dikesan awal pada peringkat 1 dan ini akan menyebabkan kadar hidup dan kadar sembuh menurun keseluruhannya kerana ramai yang dikesan lewat. Sedangkan kanser rahim adalah di antara kanser yang mudah dikesan pada peringkat awal. Ia bertitik tolak dari sikap kita. Di negara maju, 80% pesakit kanser rahim dikesan pada peringkat 1 dan inilah salah satu sebab mengapa kadar kejayaan rawatan kanser di negara mereka lebih tinggi.

Kanser rahim dianggap kanser "orang kaya" kerana berkait rapat dengan kemewahan makanan dan gayahidup yang sedentari. Tetapi malangnya di negara kita obesiti dan penyakit tiga serangkai menyerang semua golongan termasuk yang tidak kaya.Tabiat makan dan gayahidup kita seperti orang kaya. Apabila sakit, kita bukan sahaja sengsara akibat penyakit tetapi juga tertekan dengan masalah kewangan. Beringatlah semua sementara masih muda dan sihat.


DDr Rushdan Noor
11hb Feb 2020

JANGAN BIARKAN MASYARAKAT DIPENGARUHI OLEH PENDOKONG MITOS PERUBATAN DAN PSEUDOSAINS


Umumnya bahan makanan dalam bentuk asal tidak boleh dijadikan ubat untuk merawat penyakit. Dalam makanan ini terdapat terlalu banyak sebatian kimia yang ada kesan positif, kesan negatif dan neutral. Perlu diekstrak sebatian kimia yang ada kesan positif dan ditentukan dos terlebih dahulu sebelum boleh dibuat ubat. Kemudian perlu ditentukan pula keselamatan, kaedah pemberian dan keberkesanan ke atas manusia. Kalau dalam bentuk mentah, mungkin kena ambil berkilo2 satu hari dan itupun belum tentu berkesan jika ubat itu lebih sesuai diberi dalam bentuk suntikan. Kalau fikir lojik pun dah boleh terima pendapat ini tapi kami doktor perubatan mengunakan alasan tidak ada bukti kajian klinikal. 

Mereka bagi alasan kalau tak ada bukti kajian klinikal tidak semestinya tidak berkesan. Tak akan semua mahukan bukti kajian klinikal, kata mereka. Kami jawab, jadi apakah pula bukti yang awak guna untuk mendakwa yang ianya berkesan? Testimoni? Depa kata? Kot-kot? Rasa-rasanya? Kajian ke atas tikus ? Pengalaman orang tua2? Kemudian mereka berkata, yang menyembuhkan itu Tuhan bukan manusia, mula berhujah dengan agama. Jawab kami, betul, yang menyembuhkan itu Tuhan tetapi mestilah dengan ikhtiar yang betul. Contohnya kalau nak tebang pokok balak kena pakai gergaji atau kapak baru pokok boleh tumbang, kalau guna gigi sampai bila pun Tuhan tak izinkan sebab ikhtiar tu tak betul, kecualilah mukjizat. Bukankah Nabi pun bersabda maksudnya "Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah", hadith sahih Riwayat Muslim.

Kami membenteras mitos kerana maklumat yang salah akan mengelirukan orang ramai. Walaupun ada amalan yang tidak merbahaya, kepercayaan itu boleh menyebabkan pesakit berpindah dari rawatan doktor yg sudah terbukti berkesan kepada kaedah lain yang tidak berkesan atau kurang berkesan. Mudaratnya akan kembali kepada pesakit dan mitos ini akan tersebar di dalam masyarakat. Macam merebaknya coronavirus. Masyarakat juga menjadi taksub terhadap satu2 bahan makanan dan tertekan dengan ancaman2 palsu tentang makanan yang lain. Sedangkan satu2 nutrient dan manfaat boleh diperolehi daripada banyak jenis sumber makanan dan kita sepatutnya bebas memilihnya mengikut selera dan keperluan. Takut nanti ada yang makan bawang putih mentah dan kunyit setiap hari.

Apakah masalahnya dengan mendakwa makanan itu dan ini boleh cegah dan rawat penyakit? Makanan bukan racun, makan sahajalah, kata mereka lagi. Masalahnya begini, di samping kekeliruan yang saya sebutkan di atas, kepercayaan terhadap mitos ini juga membuka peluang kepada golongan yang mengambil kesempatan menghasilkan produk kesihatan. Ramuan boleh dicampur-adukkan mengikut kemahuan kemudian boleh buat "overclaim" berkesan merawat berbagai jenis penyakit. Semuanya boleh diproses sendiri. Modalnya sedikit, untungnya besar tapi autanya pun besar. Kemudian siapa pula yang akan jadi pelanggan produk2 ini ? Tentulah pengikut2 di dalam media sosial termasuk pesakit2 dan pengunjung2 setia. Tarikan tentu lebih kuat jika yang mempromosikan itu ada gelaran dan pengaruh. Kesudahannya, duit dibazirkan untuk sesuatu yang tidak diperlukan. Bukan sahaja boleh kehilangan duit, tetapi penyakit tidak sembuh dan lebih malang lagi dapat pula kesan sampingan.

Tajuk makanan, buah2an dan sayuran boleh merawat penyakit memang sangat disukai oleh orang ramai kerana ini adalah benda2 yang mereka hadap setiap hari. Tajuk2 ini menarik ramai peminat dan memberi keterujaan yang tinggi. Wow, tak sangka makan kunyit boleh merawat kanser. Minum air kelapa serta makan kangkung boleh mencegah jangkitan virus, limau nipis boleh rawat darah tinggi dan minum teh boleh rawat diabetes. Tajuk yang santai dan mudah dihadam ini sangat digemari oleh masyarakat kita dan tidak hairanlah tajuk2 ini juga menjadi pilihan utama akhbar, station radio dan TV. Mitos2 ini juga paling banyak dikongsikan di dalam media sosial sehingga sukar untuk ditepis. Masyarakat tidak sedar yang mereka dihidangkan dengan sains perubatan caca-merba, fakta dan auta bercampur aduk.

Beginilah modus operandi tersebarnya mitos perubatan dan pseudosains yang berlaku di dalam masyarakat kita. Kebenaran bukan lagi keutamaan jika ia akan menjejaskan pengaruh dan pendapatan. Fenomena ini sedikit sebanyak mengecewakan kami yang berusaha untuk menyanggah mitos perubatan dan pseudosains. Hanya semangat dan kemahuan untuk mendidik masyarakat sahaja yang membuat kami terus berjuang, mengharapkan ada kesan positif yang boleh ditinggalkan dan saham akhirat yang boleh di bawa ke sana nanti. Berdoalah semoga masyarakat kita tidak akan dikuasai oleh Dr.Quack, pengamal2 pseudosains dan pendokong2 mitos perubatan.

Dato'Dr Rushdan Noor
Medical Mythbusters Malaysia
14hb Feb 2020

Thursday 13 February 2020

BENARKAH ADA SUPLEMEN DAN KAEDAH YANG BERKESAN SEBAGAI "IMMUNE BOOSTER"



DDR Rushdan Noor

PENDAHULUAN

Sistem pertahanan badan ataupun sistem imun wujud di dalam badan manusia untuk tujuan melawan kemasukan organisma asing yang menjadi punca penyakit. Sistem imun juga berperanan memusnahkan sel-sel yang tidak normal wujud di dalam badan termasuk sel-sel kanser. Di dalam proses alahan terhadap benda-asing/alergen, sistem imun juga berperanan bertindakbalas ke atas bahan asing ini sehingga kadangkala boleh menimbulkan gejala dan tindakbalas badan yang keterlaluan. Pendek kata, sistem imun  memang besar peranannya ke atas manusia. Untuk rencana kali ini, saya hanya akan menumpukan tulisan ini kepada menjawab persoalan adakah terdapat kaedah ataupun amalan yang dapat meningkatkan keupayaan sistem imun (“immune booster”) sehingga boleh melawan jangkitan penyakit dengan berkesan.

Amalan mengambil suplemen samada di dalam bentuk vitamin, mineral ataupun herba sangat meluas diamalkan oleh masyarakat dunia. Produk2 suplemen ini berjaya dipasarkan dengan jualan berbilion ringgit dan ramai yang mengambil peluang untuk menjadi pengedar dan penjual. Salah satu dakwaan yang terkenal tentang amalan ini adalah ianya dapat meningkatkan kekuatan sistem imun manusia (“immune boosters”). Kajian ke atas 185 laman web yang mempromosikan kaedah meningkatkan kekuatan sistem imun telah dilakukan untuk mengkaji apakah kaedah-kaedah tersebut. Pengkaji telah mendapati terdapat 37 kaedah yang diwar-warkan dapat menjadi "immune booster" dan di antara yang paling kerap adalah diet (77%), buah-buahan (67%), antioksidan (52%), probiotik (51%), mineral (50%), dan vitamin C(49%). Berikut adalah beberapa fakta yang perlu difahami oleh orang ramai tentang dakwaan2 ini.

SISTEM IMUN YANG SANGAT KOMPLEK

Sistem imun manusia adalah sangat kompleks terdiri daripada 2 jenis utama iaitu imuniti spesifik dan imuniti tidak spesifik (ataupun innate immunity). Setiap jenis imuniti ini mempunyai komponen dan mempunyai peranan berbeza. Apabila disebut perkataan sistem, maka ianya merujuk satu proses yang sangat kompleks melibatkan banyak organ dan faktor2 seperti faktor genetic, faktor fizikal, sel-sel darah putih, sistem limpa, timus, sistem aliran darah, protein komplemen, sum-sum tulang dan lain-lain lagi. Setiap mikroorganisma dan benda-asing yang cuba masuk ke dalam tubuh manusia berbeza daripada segi struktur antigennya dan akan melalui tindakbalas imun yang berbeza. Apabila sistem ini terlalu kompleks, maka bagaimana mungkin boleh ada satu kaedah yang berupaya untuk mengubah perjalanan sistem ini dengan berkesan. Apakah kayu ukur untuk digunakan sebagai petunjuk kepada kekuatan sistem imun? Tidak hairanlah mengapa kajian mengenai kekuatan sistem imun ini sangat sukar dijalankan dan seringkali pengkaji menggunakan andaian ataupun petunjuk yang bersifat tidak langsung. Di samping itu, komponen mana pula di dalam sistem imun ini yang hendak diperkuatkan? Sistem imun bukan seperti otot, roket dan belon yang boleh dibesarkan, dikuatkan, dikembangkan dan dilancarkan ke udara dengan hanya menggunakan tenaga.

FAKTOR NUTRIENT DAN USIA KE ATAS KEKUATAN SISTEM IMUN

Bukti-bukti tidak langsung ada mengaitkan antara tahap nutrisi dengan ketahanan badan melawan penyakit di mana masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat termasuk mengambil makanan yang seimbang, cukup dengan kandungan makronutrien (karbohidrat,lemak,protein) dan mikronutrient (mineral, vitamin) dapat hidup lebih lama dan kurang dijangkiti penyakit. Tetapi bagaimana gaya hidup sihat ini dapat mengurangkan kadar jangkitan penyakit tidak dapat dipastikan. Usia juga mempunyai kaitan dengan keupayaan sistem imun, orang yang lebih tua lebih mudah dijangkiti penyakit. Ahli sains berpendapat ini mungkin disebabkan oleh keupayaan sel2 T yang semakin lemah, pengeluaran sel-sel stem dari sum-sum tulang yang semakin berkurangan dan juga kekurangan nutrient tertentu di dalam badan mereka kerana apabila usia semakin tua, kadar pengambilan makanan juga menurun.

ADAKAH PENGAMBILAN SUPLEMEN VITAMIN DAN MINERAL BOLEH BERTINDAK SEBAGAI “IMMUNE BOOSTER”

Di samping makronutrient terutamanya protein penting untuk pertahanan badan, vitamin dan mineral juga ada peranannya. Terdapat bukti kajian ke atas haiwan tentang kaitan di antara kekurangan beberapa jenis vitamin dan mineral dengan kelemahan sistem imun badan (“micronutrient deficiencies”). Di antara vitamin dan mineral yang tersebut adalah zink, selenium, besi, asid folik, kuprum, vitamin A, B6, C dan E. Walau bagaimanapun kajian ini adalah ke atas haiwan dan ahli sains tidak dapat mengesahkan hubungannya dengan sistem imun serta adakah kesan yang sama akan dialami oleh manusia. Disebabkan kompleksnya sistem imun dan juga kesukaran untuk mencari kayu ukur kepada kekuatan sistem imun, kajian tentang aspek ini sangat sukar dilakukan. Jadi setakat ini, tidak ada bukti saintifik yang mengesahkan bahawa pengambilan mikronutrient (mineral dan vitamin) ini di dalam bentuk suplemen dapat meningkatkan kekuatan sistem imun. Begitu jugalah dengan pengambilan suplemen2 yang lain, probiotik dan herba2 yang dipasarkan serta seribu satu kaedah2 lain yang didakwa boleh menjadi “immune booster”. Dakwaan-dakwaan yang dilakukan hanyalah berdasarkan kepada andaian semata-mata ataupun kaitan tidak langsung dan tidak disokong oleh kajian klinikal yang berwibawa.

SUPLEMEN VITAMIN C DAN PENCEGAHAN JANGKITAN

Suplemen Vitamin C adalah vitamin yang paling kerap didakwa boleh mencegah jangkitan, malahan ada yang mendakwa boleh merawat jangkitan penyakit. Ramai pula yang percaya vitamin C dapat mencegah dan merawat jangkitan virus selesema. Dakwaan ini bertitik tolak daripada testimoni seorang pakar kimia Amerika bernama Linus Pauling pada tahun 1960 an yang mengambil vitamin C dalam dos yang tinggi. Memandangkan ianya mendapat liputan ramai dan menjadi popular, ahli2 sains telah mengambil initiatif melakukan banyak kajian klinikal untuk menentukan kesahihan dakwaan, malangnya hasil kajian yang diperolehi tidak meyakinkan malahan banyak yang menunjukkan tidak ada kesan positif pengambilan vitamin C (dos tinggi) di dalam mencegah jangkitan virus. Walaupun terdapat kajian yang menunjukkan vitamin C boleh mengurangkan gejala dan tempoh kembali bekerja dari jangkitan virus tetapi kajian ini agak terpencil. Jika adapun kajian yang menunjukkan kesan positif pengambilan suplemen vitamin C di dalam mencegah jangkitan virus selesema, ianya hanya ke atas askar, atlit profesional dan individu yang melakukan senaman berat, kesan yang sama tidak berlaku keatas orang awam yang lain. Setakat ini tidak ada bukti kajian klinikal yang mengesahkan pengambilan suplemen vitamin C dapat mencegah jangkitan virus selesema dengan berkesan. Kenyataan ini juga disokong oleh Cochrane Database Systematic Review. Tidak hairanlah mengapa tidak ada mana2 buku garispanduan rawatan di dunia yang memasukkan pengambilan suplemen vitamin C sebagai kaedah berkesan mencegah penyakit berjangkit ataupun di masukkan ke dalam senarai langkah2 pencegahan semasa berlakunya wabak penyakit. Pengambilan vitamin C berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti loya, cirit, batu karang dan meningkatkan pengumpulan zat besi oleh individu tertentu sehingga boleh merosakkan jantung dan hati. Tidak dapat dinafikan bahawa vitamin C memang sangat penting untuk kesihatan badan tetapi sumber yang terbaik adalah daripada makanan terutama buah2an dan sayuran. Di antara makanan yang tinggi sumber vitamin C adalah limau, betik, tomato, brakoli,jambu batu, kiwi dan lain-lain lagi.

VAKSIN : KAEDAH PALING BERKESAN MENCEGAH JANGKITAN PENYAKIT

Satu-satunya kaedah yang terbukti berkesan yang difahami sepenuhnya untuk meningkatkan sistem imun adalah vaksin. Kajian ke atas keberkesanan vaksin telah dilakukan semenjak berpuluh2 tahun yang lalu dan inilah kaedah yang disokong oleh bukti kajian klinikal yang kukuh. Walau bagaimanapun satu jenis vaksin tidak boleh mencegah semua jenis jangkitan kerana sifat antigen dalam setiap organisma asing yang menyerang manusia berbeza-beza.  Ini juga berkait dengan hakikat betapa kompleksnya sistem imun sehingga hanya kajian2 yang spesifik kepada sesuatu jenis organisma sahaja dapat dilakukan. Walaupun vaksin dianggap kaedah yang paling berkesan meningkatkan kekuatan sistem imun, hanya 12% sahaja laman2 web yang dikaji menyenaraikan vaksin sebagai kaedah yang dapat meningkatkan sistem imun (“immune booster”). Mungkin ini berkait rapat dengan betapa besarnya industri perniagaan suplemen yang menjadi lubuk emas kepada ramai peniaga, pengendali laman web dan media sosial. Produk2 suplemen tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dihasilkan dan mudah untuk mendapat kelulusan untuk dipasarkan berbanding dengan vaksin yang perlu melalui kajian praklinikal dan klinikal. Penghasilan vaksin memerlukan masa yang panjang dan kos yang terlalu tinggi.

KAEDAH-KAEDAH LAIN YANG BOLEH MENINGKATKAN KEMAMPUAN SISTEM IMUN

Adakah cara lain untuk meningkatkan sistem pertahanan badan manusia selain daripada vaksin. Pakar2 perubatan percaya bahawa melalui kajian pemerhatian yang menunjukkan kecederungan seseorang untuk dijangkiti penyakit jika kekurangan nutrient, maka boleh diandaikan bahawa amalan mengambil makanan seimbang, kurang pengambilan lemak, garam dan perbanyakkan pengambilan buah2an dan sayuran akan membekalkan makronutrient dan mikronutrient semulajadi yang lebih baik. Amalan ini bukan sahaja dapat mengurangkan masalah obesiti, risiko penyakit kronik tetapi juga dapat meningkatkan ketahanan badan daripada serangan penyakit berjangkit. Di samping itu senaman yang sederhana, tidak merokok, mengurangkan pendedahan kepada pencemaran dan tidak meminum alkohol dapat memberi perlindungan tambahan kepada tubuh badan. Pengambilan nutrient di dalam bentuk yang asal sudah diyakini jauh lebih baik daripada mengambilnya di dalam bentuk extraks seperti suplemen pil vitamin, mineral ataupun herba kerana mengekalkan variasi nutrient serta serat di dalamnya. Amalan gaya hidup sihat ini dapat meningkatkan mutu kesihatan keseluruhannya. Pengambilan suplemen yang khusus hanya disyorkan jika seseorang disahkan mengalami kekurangan nutrient2 tertentu akibat malnutrisi, kesukaran untuk makan, menghadapi masalah penyerapan zat2 makanan dan budaya makan sesetengah kelompok yang hanya mengambil sayuran sahaja (vegetarian). Mengaitkan sesuatu jenis bahan makanan dengan pencegahan jangkitan penyakit bukan sahaja mengelirukan tetapi akan membuat orang ramai hanya menumpukan perhatian kepada satu2 sumber makanan sedangkan khasiat yang sama boleh diperolehi daripada banyak lagi sumber makanan. Anda juga tidak tertekan di dalam memilih makanan dan dapat menikmati varieti makanan dan masakan. Tujuan golongan tertentu mengaitkan sesuatu jenis bahan makanan dengan pencegahan dan rawatan penyakit adalah agar ianya dapat diproses dan dijadikan produk kesihatan untuk mengaut keuntungan. Ada juga yang menggunakan pendekatan ini untuk menarik keterujaan orang ramai membaca dan mendengar pendapat mereka untuk tujuan menaikkan ranking pengunjung laman web, media sosial ataupun youtube mereka. Apabila pengikut bertambah ramai, inilah peluang untuk mempromosi produk mereka sendiri.

KESIMPULAN

Kesimpulannya perkataan “immune booster” seringkali disalahgunakan untuk tujuan perniagaan mempromosi banyak jenis produk termasuk suplemen vitamin, mineral dan juga herba. Tidak ada kaedah “immune booster” yang versatile boleh mencegah semua jenis jangkitan kerana sistem imun yang sangat kompleks dan sifat-sifat mikroorganisma serta benda asing yang berbeza-beza. Hanya vaksin sahaja satu-satunya kaedah mencegah jangkitan dan “immune booster” yang terbukti berkesan setakat ini berdasarkan kepada kajian klinikal yang berkualiti tinggi, itupun satu jenis vaksin hanya mencegah satu jenis jangkitan. Makronutrient dan mikronutrient juga penting untuk kesihatan dan kekuatan badan melawan penyakit termasuk penyakit berjangkit walaupun mekanisma terperinci bagaimana ianya dilakukan belum dapat dipastikan oleh ahli2 sains. Kaedah yang paling logikal untuk mendapat kesihatan optima adalah dengan mengambil makanan seimbang dan banyakkan buah2an dan sayuran yang membekalkan makronutrient dan mikronutrient dalam bentuk asal. Di samping itu lakukan senaman yang sederhana secara tetap, jauhi rokok, jauhi alkohol, tidur yang cukup dan kurangkan stres akan menjadi ikhtiar tambahan melindungi tubuh badan daripada serangan penyakit. Kaedah2 pencegahan jangkitan seperti yang disyorkan oleh WHO, CDC dan KKM seperti menjaga kebersihan, etika batuk, memakai mask, membasuh tangan, amalan seks yang selamat dan lain-lain juga dapat diamalkan dan tidak melibatkan kos. Amalan mengambil suplemen vitamin, mineral, probiotik, bawang putih, kunyit, kangkung, air kelapa, herba, minyak kelapa, air limau, akupuntur, chiropraktik, homeopathi dan lain-lain oleh individu yang sihat tidak pernah dibuktikan bermanfaat sebagai “immune booster” bagi mencegah dan melawan jangkitan penyakit. 

Dato’ Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Medical Mythbusters Malaysia


RUJUKAN

Macedo AC, Vilela de Faria AO, Ghezzi P. Boosting the immune system, from science to myth: Analysis the Infosphere with google. Front Med, 2019; 6: 165. doi: https://dx.doi.org/10.3389%2Ffmed.2019.00165

Mark Crislip. Boost Your Immune System ? Sciece-Based Medicine, September 25,2009 (https://sciencebasedmedicine.org/boost-your-immune-system/)

Mark Crislip. More Boosting the immune system. Can you boost your immune system? Science-Based Medicine, Oct 19, 2012.


Hemila H, Chalker E. Vitamin C for preventing and treating the common cold. Cochrane Database Systematic Review, 31 January 2013

https://www.health.harvard.edu/cold-and-flu/can-vitamin-c-prevent-a-cold

https://www.health.harvard.edu/staying-healthy/can-supplements-help-boost-your-immune-system

https://www.health.harvard.edu/staying-healthy/how-to-boost-your-immune-system

https://www.healthline.com/nutrition/side-effects-of-too-much-vitamin-c#vitamin-c

https://www.healthline.com/nutrition/does-vitamin-c-help-with-colds#section2





Sunday 2 February 2020

APABILA KESESATAN DIANGGAP KEBENARAN

Semalam saya mengikuti ceramah seorang Ustaz yang berbicara tentang salah satu bentuk fitnah besar kepada umat Islam iaitu golongan yang meyakini mereka membawa kebenaran sedangkan hakikatnya mereka adalah sesat. Maka disebarkan ilmu yang sesat itu kepada orang lain dan orang lain pula meyakini ilmu yang sesat itu sebagai satu kebenaran. Salah satu puncanya adalah menggunakan pengalaman dan tafsiran diri sendiri untuk mendalami ilmu agama tanpa diikat dengan kefahaman yang mendalam tentang al-quran dan sunnah. Ilmu yang sesat ini kemudian akan diterima oleh pengikut2 mereka yang kebetulan tidak mempunyai asas agama yang kukuh. Dengan kuasa teknologi maklumat tanpa had, lama-kelamaan kumpulan ini akan berkembang sehingga tersebar luaslah kesesatan itu. 

Ceramah oleh ustaz tersebut bertepatan dengan apa yang berlaku di dalam dunia perubatan pada hari ini. Wujudnya golongan yang sesat ataupun terpesong di dalam ilmu perubatan ini sebenarnya bertitik tolak dari punca yang sama. Mereka tidak mempunyai asas ilmu perubatan dan mencari ilmu melalui kaedah yang salah. Mereka menggunakan pengalaman dan kefahaman sendiri untuk menafsir bagaimana tubuh badan berfungsi dan bagaimana penyakit boleh berlaku. Mereka meyakini bahawa mereka dipihak yang benar sedangkan hakikatnya mereka adalah golongan yang sesat. Sebahagian dari mereka kemudiannya menjadi guru2 yang dijadikan rujukan oleh pengikut2.

Pengikut yang tidak mempunyai asas ilmu perubatan yang kukuh pasti akan terpengaruh. Ideologi yang sudah tertanam kukuh di dalam diri mereka ini memang sangat sukar untuk diperbetulkan kerana bagi mereka itulah kebenaran. Golongan antivaksin, anti-perubatan moden dan kepercayaan bumi leper adalah sebahagian kecil dari banyak lagi ideologi2 sesat yang dikumpulkan dibawah bumbung pseudosains dan pseudoperubatan. 

Akibat dari kefahaman yang terpesong di dalam bidang sains inilah munculnya idea2 serta kaedah2 rawatan yang tidak betul sama seperti wujudnya kefahaman serta ritual2 rekaan yang bertentangan dengan hukum hasil dari kepercayaan agama yang sesat. Untuk mengelak dari terjerumus di dalam ideologi yang sesat ini, semua ahli masyarakat perlu sentiasa berwaspada dengan tidak mudah termasuk ke dalam kumpulan2 ini. Jika anda sudah terperangkap dan menjadi pengikut mereka, memang sukar untuk keluar dari pengaruh mereka dan satu hari nanti anda pula akan menjadi guru dan penyebar ilmu2 sesat yang sama. Kesesatan ini bukan sahaja memudaratkan diri sendiri tetapi kepada keluarga dan juga masyarakat keseluruhannya.

Anda boleh baca tulisan2 saya tentang bagaimana mengenal guru2 dan pengamal pseudosains di dalam pautan di bawah:

https://ddrrushdan.blogspot.com/2019/12/perbezaan-sains-dan-pseudosains.html
 
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10214984134944679&id=1468333443

Dato' Dr Rushdan Noor
2hb Feb 2020