Thursday, 26 September 2024

KULTUS ("CULT") UMPAMA PENYAKIT KANSER

 


KULTUS ("CULT") UMPAMA PENYAKIT KANSER YANG MEREBAK Apabila saya membaca tentang kultus, bagaimana ianya bermula dan berkembang, saya dapati terdapat beberapa persamaan dengan penyakit kanser, jika tubuh badan kita ini diandaikan sebuah masyarakat ataupun negara. Kanser bermula dari sel di dalam tubuh pesakit itu sendiri, asalnya normal tetapi kemudian rosak menjadi sel kanser. Sel kanser yang terbentuk tadi akan membiak dan merebak. Kultus berpunca dari seseorang yang asalnya orang biasa tetapi telah rosak pemikirannya, mempunyai cita2 besar dan memanipulasi orang lain untuk mencapai matlamat beliau. Akibat lambat mengesan dan merawat, sel-sel kanser ini akan masuk ke dalam aliran darah dan membiak di lain-lain organ. Kultus juga akan merebak seperti kanser untuk menubuhkan banyak cawangan bagi menjalankan aktiviti mereka. Seperti juga dengan sel2 kanser yang sudah merebak ke tempat lain, di setiap cawangan inilah mereka akan membentuk komuniti mereka dan memberi kesan ke atas masyarakat setempat. Proses perpindahan sel dari satu tempat ke tempat yang lain di dalam badan dikenali sebagai metastasis. Apabila berlaku metastasis, rawatan kanser semakin sukar kerana apa yang kita nampak itu mungkin hanya sebahagian kecil dari mereka. Sel2 kanser sudah bertebaran di pelbagai organ dan tisu badan. Di tempat lain sel kanser akan bersaing dengan sel yang normal untuk zat makanan dan menerima bantuan bekalan darah dari saluran darah baru. Pengikut2 kultus mungkin ada yang sudah menyelinap masuk ke dalam organisasi dan institusi dan tidak mustahil boleh mengambil aleh pentadbiran. Ataupun mereka mempunyai hubungan kerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh membantu kesenambungan gerakan mereka. Salah satu sifat kanser adalah kemampuan mereka untuk menyamar dan tidak dapat dikesan oleh sistem pertahanan badan. Jadi mereka boleh terlepas daripada dikesan dan dihapuskan. Sel2 kanser ini juga boleh menjadi lebih rentan dan tahan lasak terhadap rawatan. Sifat2 ini sama seperti sebuah kultus yang boleh berubah ciri2 luaran mereka dengan tujuan melindungi diri dari dikesan, sedangkan ideologi mereka tetap sama. Pengikut setia kultus juga sangat taksub dan sukar dipulihkan untuk kembali ke pangkal jalan, umpama kita memaksa mereka untuk bertukar agama. Rawatan kanser yang sudah merebak perlu melibatkan kerjasama pelbagai kepakaran dengan menggunakan rawatan yang betul dan sasaran yang tepat. Pakar2 ini perlu memikirkan strategi untuk menghapuskan sel2 kanser sebanyak mungkin, selalunya dengan menggunakan lebih dari satu kaedah rawatan yang berbeza. Pada waktu yang sama menguatkan sel2 yang normal terutamanya sel2 pertahanan badan untuk membantu melawan kanser. Menangani kultus seumpama ini juga memerlukan penglibatan banyak pihak seperti kerajaan, pemimpin politik, pihak berkuasa, Institusi2, jabatan agama, NGO dan juga orang2 awam. Kesedaran dan ilmu adalah sistem pertahanan yang paling penting dimiliki oleh orang awam untuk melawan kultus. Di samping membunuh sel2 kanser, pesakit juga perlu dijauhkan dari punca penyakit kanser, jika tidak, kanser akan berulang. Sama juga dengan kultus, ideologi dan kepercayaan karut itu perlu ditangani dan diharamkan. Mana2 pengikut yang masih boleh dipulihkan perlu menjalani proses pemulihan dan mereka perlu dibawa keluar dari kongkongan kultus itu. Kultus yang sudah berkembang luas mungkin sukar untuk dihapuskan sepenuhnya, tetapi mengecilkan saiz komuniti mereka atau menutup cawangan yang sedia ada serta menghalang dari tertubuhnya cawangan baru mungkin itu saja yang mampu dilakukan. Sebarang bentuk bantuan perlu diputuskan, umpama merencat bekalan darah kepada sel2 kanser. Ketua2 mereka perlu diletakkan di bawah pengawasan rapi, supaya tidak mengumpul semula pengikut. Lama kelamaan, mereka menjadi tidak relevan dan hilang dari pengaruh terhadap masyarakat. Tambahan pula masyarakat sudah mengenali mereka dan tidak menyokong aktiviti mereka. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik dari merawat, begitu jugalah dengan kanser dan kultus. Pemantauan dan usaha2 pencegahan perlu dilakukan dengan meningkatkan kesedaran masyarakat, pihak berkuasa yang proaktif, undang2 yang ketat dan pengesanan kultus di peringkat awal. Pemantauan juga dapat mengesan kanser ataupun kultus yang muncul semula. Amalan gaya hidup sihat dan ujian saringan boleh mencegah kanser. Peranan ibubapa sangat besar di dalam mendidik dan memantau anak2 agar tidak terjerumus ke dalam sebuah kultus. Kesedaran dan kefahaman agama yang betul akan menjadi perisai yang kukuh mencegah kultus. Kultus yang berskala besar jangan dipandang remeh, sama seperti kanser dari jenis yang ganas yang telah merebak dan menguasai seluruh badan. Masyarakat boleh kucar kacir dan menjadi mundur. Pergaduhan dan keganasan boleh tercetus oleh pengikut kultus yang taksub dan terdesak. Seluruh tubuh badan akan menderita akibat kanser yang merebak ke banyak tempat dan kegagalan organ badan, sehinggalah pesakit ini meninggal dunia. Walaupun kultus itu datangnya dari ahli masyarakat kita, bukan bermakna kita boleh menerima mereka ataupun bersangka baik terhadap mereka. Mereka umpama penyakit kanser, jika kita tidak berusaha mematikan sel2 kanser, sel2 kanser ini pula akan mengambil peluang memusnahkan kita. DDr Rushdan Noor 28hb Sep 2024

Wednesday, 25 September 2024

THE MAN WITH 1000 KIDS



KISAH BENAR. Satu dokumentari menarik di Netflik tentang seorang lelaki Belanda yang menderma sperma melalui sindiket kepada ramai pasangan dan klinik kesuburan sehingga melahirkan beratus2 orang anaknya dari ibu2 yang berbeza di beberapa negara. Cerita ini adalah cerita benar dan pemuda tersebut bernama Jonathan Meijer.
Di negara kita, pendermaan sperma dan ovum adalah dilarang, bukan sahaja di atas alasan agama tetapi juga melanggar etika. Garispanduan rawatan kesuburan yang dikeluarkan oleh KKM juga menyatakan bahawa pendermaan benih (sperma dan ovum) dan embrio adalah tidak beretika dan dilarang.



Dokumentari tentang "The Man With 1000 Kids" ini boleh dijadikan pengajaran mengapa pendermaan sperma dan ovum ini boleh membawa implikasi yang besar kepada masyarakat. Walaupun negara mereka membenarkan pendermaan benih lelaki dan wanita dengan syarat2 yang ketat, kejadian seperti di dalam dokumentari ini masih boleh berlaku.

Pasangan yang gagal mendapat anak melalui proses semulajadi ataupun pasangan homoseksual boleh mendapat khidmat penderma sperma melalui atas talian. Walaupun khidmat pendermaan sperma ini dilakukan oleh klinik2 yang diiktiraf, sukar untuk membuat regulasi dan pemantauan terhadap individu2 yang ingin menderma air mani mereka dalam pasaran gelap. Hatta, proses pendermaan secara "sah" sekalipun di klinik boleh terlepas dari pemantauan.

Jonathan Meijer adalah seorang lelaki bujang berusia awal 30an dan juga pempengaruh medsos. Dari saluran youtube beliau, kita dapati beliau rajin mengembara dari satu tempat ke tempat lain. Dalam senyap2, beliau juga mendaftar diri menjadi penderma sperma di klinik2 kesuburan di Belanda. Di klinik2 ini, sperma yang diambil dari air mani akan disimpan melalui proses sejukbeku untuk digunakan ke atas pasangan2 yang memerlukan.

Setiap klinik kesuburan yang menyediakan khidmat pendermaan benih, bank benih dan rawatan kesuburan mempunyai garispanduan dan syarat2 yg ketat di mana seorang penderma hanya boleh menderma dalam had2 yang ditetapkan. Rawatan2 kesuburan pula meliputi IUI , IVSI dan IVF (bayi tabung uji).

Rupa2nya Jonathan bukan saja melanggar syarat bilangan pendermaan di klinik2 kesuburan, secara senyap beliau juga menderma air mani kepada wanita lain. Wanita2 ini akan melakukan sendiri proses permanian di rumah. Apabila wanita tersebut berada pada tempoh kesuburan, Jonathan akan datang ke rumah dan mengeluarkan air mani untuk digunakan oleh wanita2 ini. Wanita2 ini akan memasukkan air mani ke dalam faraj mereka menggunakan syringe. Jonathan juga menyediakan khidmat memasukkan air mani secara semulajadi, dengan perkataan lain, menawarkan khidmat seks kepada wanita2 ini. Setiap pendermaan ini akan dibayar.

Begitu juga di klinik2 di mana perkhidmatan pendermaan sperma ini disediakan, Jonathan akan menjadi seorang penderma yang tetap.

Semasa menerima langanan dari pelanggan, Jonathan akan meyakinkan pasangan tersebut yang beliau hanya hadkan pendermaan ini untuk 3-4 pasangan sahaja.

Akhirnya tembelang Jonathan pecah dan beberapa orang wanita yang mempunyai anak hasil dari pendermaan sperma ini tersedar yang bukan sahaja mereka mempunyai anak dari sperma Jonathan tetapi beratus2 lagi anak yang lahir membawa gene Jonathan. Bukan setakat di negara mereka, rupa2nya Jonathan juga memberi khidmat yang sama di negara2 luar hingga ke Australia dan Amerika Selatan. Maka terbongkarlah sindiket ini dan tersebar luas berita anak2 Jonathan yang dilahirkan di beberapa buah negara, mungkin jumlah keseluruhannya mencapai 1000 orang.



Mangsa2 menubuhkan kumpulan mereka untuk membawa kes Jonathan ke mahkamah. Akhirnya mereka berjaya dan dengan saksi serta pengakuan mangsa2, Jonathan didapati bersalah. Walau bagaimanapun, pada ketika itu tidak ada undang2 menghukum, tambahan pula mangsa2 menerima khidmat dengan sukarela. Masing2 pula dikatakan menerima manfaat dari khidmat Jonathan tersebut. Hakim menjatuhkan hukuman melarang Jonathan dari menderma sperma kepada sesiapa sahaja termasuk ke klinik2 kesuburan dan jika beliau melanggar larangan ini, akan dikenakan denda sebanyak 100,000 pound sterling untuk setiap pendermaan.

Kalau nak tahu lebih mendalam tentang kisah Jonathan dan pengalaman yang dilalui oleh mangsa2 beliau, boleh ikuti dokumentari ini dalam Netflik bertajuk "The Man With 1000 Kids:.
Dato' Dr. Rushdan Noor
26hb Sep 2024

Sunday, 8 September 2024

APAKAH KULTUS ("CULT") DAN ANCAMANNYA KEPADA MASYARAKAT

 


Kultus atau dalam bahasa inggeris "cult" adalah satu organisasi atau kumpulan yang mengikat atau mendominasi ahli2nya melalui manipulasi psikologi dan strategi menindas/menekan ("pressure strategy"). Kultus selalunya diketuai oleh seorang pemimpin yang sangat berkuasa di mana ahli2 di bawahnya akan memberi ketaatan yang mutlak kepadanya. Ahli-ahli di dalam kultus ini pula akan terpisah dari masyarakat luar.

Seorang individu yang menyertai kultus akan menjadi ahli seumur hidup. Pengikut2 akan dikuasai dan di "brainwashed" oleh pemimpinnya sehingga mereka mendewa2kan pemimpin ini dan sangat taksub kepadanya. Maklumat ini selalunya diperolehi dari ahli2 yang berjaya keluar dari kumpulan ini disebabkan mereka sedar ataupun sudah tidak tahan dengan kehidupan di dalam kultus.

Kajian terperinci tentang kultus adalah sukar kerana beberapa sebab. Hampir mustahil untuk mendapatkan maklumat dari ahli yang masih aktif kerana mereka tidak akan membenarkan orang luar untuk masuk ke dalam komuniti mereka yang tertutup. Seringkali mereka sangat waspada dan prasangka terhadap orang luar.

Maklumat tentang kultus ini diperolehi dari bekas2 ahli, itu pun mungkin maklumat yang tidak lengkap. Maklumat dari seorang dua bekas ahli mungkin hanya gambaran kecil dari realiti sebenar yang lebih besar.

MENGAPA SESEORANG MENJADI KETUA ATAU PEMIMPIN KULTUS

Terdapat pelbagai asas kepada keujudan sesuatu Kultus, di antaranya adalah kepercayaan karut, ajaran sesat, kultus agama, kultus politik, teori konspirasi dan lain-lain. Tujuan sebenar mengapa seseorang boleh menjadi ketua sebuah kultus tidak dapat dipastikan dengan tepat. Tujuannya berbeza mengikut jenis kumpulan dan ideologi yang dibawa oleh kultus tersebut. Individu yang menjadi ketua kultus ini mungkin juga mempunyai matlamat untuk memiliki kuasa, harta dan populariti. Pakar berpendapat kebanyakan ketua kumpulan kultus ini mempunyai personaliti Psikopath. Mereka selalunya karismatik dan pandai menggunakan taktik psikologi untuk memperolehi kuasa dan pengaruh ke atas pengikut.

BAGAIMANA MENGENAL SEBUAH KULTUS

Kultus yang bersaiz kecil mungkin sukar untuk dikesan. Hatta, kultus yang besar pun kadangkala tidak dapat dikesan awal kerana liciknya mereka berselindung di sebalik sifat luaran yang berbagai2, kelihatan sama seperti ahli masyarakat yang lain. Terdapat juga perbezaan pendapat tentang kriteria2 yang menentukan sesuatu organisasi atau kumpulan itu kultus ataupun tidak. Mungkin tahap atau spektrum kultus ini juga berbeza dari yang ringan, sederhana ataupun sebuah kultus yang sangat ektrem.

Kebanyakan orang bersetuju bahawa sebuah kultus mempunyai ketua atau pemimpin tertingginya. Pemimpin ini bertanggungjawab menentukan undang2 atau peraturan2 yang wajib dipatuhi oleh ahli2nya.

Berdasarkan kepada Institut Pendidikan Kultus ("Cult Education Cult"), terdapat beberapa petanda amaran yang boleh diperhatikan untuk mengesan sesebuah kultus. Umumnya, kultus mempunyai sebahagian ataupun semua ciri-ciri berikut:

1. Pemimpin atau ketua mempunyai kuasa mutlak dan tidak ada pertanggungjawaban ("accountability").

2. Tidak bertolak ansur ("zero tolerance") terhadap kritikan dan persoalan.

3. Satu kepercayaan bahawa ketua atau pemimpin adalah sentiasa benar sepanjang masa dan dalam semua keadaan.

4. Kepercayaan bahawa ketua atau pemimpin adalah sumber rujukan kepada kebenaran dan untuk menyelesaikan masalah

5. Pengikut-pengikut sebuah kultus menolak semua naratif, bukti, hujah, alasan dan dalil selain daripada yang dibawa oleh pemimpin yang didewakan oleh mereka.

6. Ketakutan yang tidak munasabah terhadap dunia luar yang dianggap satu konspirasi jahat.

7. Satu kepercayaan yang ditanamkan ke atas ahli2 di mana bekas2 ahli sentiasa bersalah kerana meninggalkan kultus dan tidak ada alasan yang boleh diterima untuk keluar dari kultus tersebut. Jadi sesiapa yang keluar dari kultus itu dianggap melakukan kesalahan yang besar.

8. Berlaku penderaan terhadap ahli. Ada keadaan di mana anak2 dan ibubapa diabaikan.

9. Ahli2nya mempunyai perasaan tidak akan mampu untuk menjadi sebaik yang diharapkan.

10. Kultus adalah merbahaya kerana mereka menggunakan tipudaya ke atas ahli dan amalan diktator menyebabkan ahli dipaksa patuh serta bergantung kepadanya.
11. Kultus memutuskan lain2 sokongan psikologi dan kewangan ahli2nya dan mengenakan ancaman fizikal dan psikologi terhadap mereka.

MENGAPA ORANG TERLIBAT DENGAN KULTUS

Kepada masyarakat luar, sukar untuk faham mengapa ada orang yang terjebak dengan kultus. Penyelidik mendapati ada beberapa alasan mengapa sesrorang boleh terlibat dengan kultus.

1. Mereka tidak tahu atau tidak sedar yang mereka sudah menjadi ahli sebuah kultus. Mereka hanya mengikut sesuatu kumpulan dan terlibat denhan aktiviti2 kumpulan tersebut secara kebetulan. Individu yang mempunyai masalah keresahan ("anxiety") dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah didapati lebih mudah terjebak dengan kultus.

2. Individu yang mempunyai perasaan tidak selamat ("insecurity") yang tidak mampu dipulihkan. Mereka mencari2 individu atau kumpulan yang boleh dijadikan tempat bergantung dan berharap boleh menyelesaikan masalah berkait dengan perasaan tidak selamat itu. Sehingga berjumpa dengan kumpulan kultus yang berjanji untuk membantu mereka.

3. Apabila mereka menjadi ahli sebuah kultus, selalunya mereka akan menjauhkan diri dari pengaruh luar. Apabila sudah terpisah dari dunia luar, maka sangat sukar untuk keluar. Mereka akan mendapat keyakinan diri apabila berada di dalam kumpulan itu. Sebaliknya pula akan ujud prasangka ke atas orang lain yang berada di luar. Ada juga yang terpaksa kekal dalam sesebuah kultus, walaupun bukan dengan kerelaan mereka.

4. Ada juga pendapat yang mengatakan ahli2 sebuah kultus telah di"brainwashed" dengan sesuatu kepercayaan atau ideologi yang didoktrinasikan dalam minda mereka. Individu2 yang mudah percaya, golongan remaja dan tidak memiliki asas pendidikan dalam sesuatu bidang merupakan golongan yang lebih cenderung untuk terpengaruh dengan kultus.

5. Terdapat individu yang ditipu ("discam") untuk menyertai kultus melalui kaedah licik mencari ahli. Mereka ini juga dijanjikan ganjaran oleh pemimpin sesebuah kultus termasuk peluang untuk naik pangkat atau ranking yang lebih tinggi. Ketua ini juga menjanjikan sesuatu imbuhan ataupun keistimewaan yang sangat besar bakal diperolehi oleh kumpulan kultus ini.

6. Kumpulan kultus yang besar dan sudah lama ujud boleh menjadikan anak-anak ahli mereka sebagai bakal ahli baru di dalam kultus tersebut. Anak-anak ini akan dibesarkan di dalam persekitaran kultus tersebut dan didoktrinisasikan dari kecil. Salah satu kaedah untuk meramaikan ahli dengan cara ini adalah melalui perkahwinan sesama ahli dan juga amalan poligami.

Tidak hairanlah mengapa dalam kumpulan2 kultus tertentu, ahli2 mereka sebenarnya adalah mangsa dan bukan ahli dalam erti kata yang sebenar. Mereka adalah mangsa manipulasi psikologi dan dipergunakan untuk kepentingan individu ataupun kumpulan yang ingin menyebarkan sesuatu fahaman ataupun ideologi.

CONTOH-CONTOH KUMPULAN KULTUS YANG TERKENAL
Terdapat banyak kumpulan kultus yang telah ujud dan mendapat liputan luas. Di antaranya adalah seperti di bawah:

KULTUS CHARLES MANSON
Pada tahum 1960an. Charles Manson menggumpulkan orang2 muda yang dianggap sebagai keluarga beliau. Manson meyakinkan ahlinya tentang ancaman peperangan etnik yang akan berlaku bila2 masa. Dia mengarahkan pengikutnya untuk keluar melakukan pembunuhan. Pada satu malam dalam tahun 1969, beberapa pengikutnya telah membunuh 5 orang termasuk seorang pelakun bernama Sharon Tate yang ketika itu sedang hamil. Manson kemudiannya ditangkap, didakwa melakulan pembunuhan dan dihukum penjara seimur hidup.

KULTUS JIM JONES
Jim Jones mengasaskan kultus "The People’s Temple" di Indianapolis pada tahun 1955. Beliau dapat mengumpulkan beratus2 pengikut yang taksub. Beliau dan pengikutnya berpindah di beberapa tempat kononnya diancam oleh serangan bom nuklear. Seorang pegawai penyiasat dihantar untuk menyiasat kumpulan ini tetapi dibunuh. Di Jonestown, Guyana, Jones kemudian mengarahkan pengikutnya untuk minum racun cyanide beramai2. Lebih 900 orang pengikutnya mati membunuh diri dan Jones sendiri mati dengan kesan tembakan di kepala.

KULTUS HEAVEN'S GATE
Heaven's Gate adalah satu kumpulan kultus yang mula ujud pada tahunn1970an. Ia dikenali sebagai sebuah kultus Agama UFO (" UFO Religious"). Ahli2nya dikehendaki meninggalkan hampir semua kepunyaan mereka. Pada bulan March 1997, 39 orang ahlinya memakai baju gelap dan meminum barbiturat serta kepala mereka dimasukkan ke dalam plastik beg untuk membunuh diri.

KULTUS DAVID KORESH
David Koresh mendakwa sebagai nabi terakhir dan boleh berbual dengan Tuhan. Koresh meyakinkan pengikut2nya bahawa dunia sudah sampai masa untuk kiamat. Beliau dan pengikutnya seramai lebih 100 orang keluar ke satu lapangan di Waco, Texas. Koresh juga didapati mengamalkan poligami dan terlibat dengan penderaan seks ke atas kanak2. Pasukan dari FBI telah cuba menangkap beliau dan membuat operasi di Waco di mana pengikut2nya juga ada di situ. Berlaku tindakbalas dari pihak Koresh dan operasi ini berlanjutan lebih 50 hari. Berlaku kebakaran dan kemudian pihak berkuasa menemui 75 mayat termasuk Koresh. Di antara yang terkorban adalah kanak2. Kematian berpunca dari kebakaran dan juga kesan tembakan dipercayai dilakukan oleh ahli2 dalam kumpulan tersebut.

Jika fahaman atau ideologi yang dibawa oleh sesebuah kultus itu sesat ataupun melampau, maka kesesatan ini akan berkembang di dalam masyarakat dan akan menjadi satu ancaman serius apabila ianya tersebar luas. Seperti yang kita lihat dari contoh-contoh kultus di atas, pengikut-pengikut kultus juga sanggup melakukan keganasan dan mencetuskan huru hara dan ketidaktenteraman. Pengikut-pengikut yang taksub bukan sahaja sanggup bertindak ganas tetapi membunuh diri mereka sendiri sebagai kepatuhan kepada pemimpin mereka. Setiap ahli masyarakat mesti mengenali ciri-ciri sebuah kultus dan memastikan diri mereka ataupun anak-anak mereka tidak terjebak ke dalam kultus, kerana apabila terjebak, sukar untuk kembali ke pangkal jalan.

TERJEMAHAN DAN ADAPTASI OLEH:
Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
8hb September 2024
Rencana asal
What Is Cult ? 10 Warning Signs.
How to know when you or a loved one may be in a cult
Amy Morin, LCSW
Rujukan tambahan:

Sunday, 1 September 2024

SELEBRITI DAN PENTAKSUB


PENDAHULUAN

Perkataan selebriti mengikut Kamus Dewan adalah orang yang terkenal dan menjadi tumpuan ramai, terutamanya dalam bidang hiburan seperti bintang filem, pelakon dan penyanyi. Dalam konteks masakini, dengan kemajuan media massa dan medsos, gelaran selebriti boleh juga diberikan kepada lain-lain kerjaya seperti tukang masak/chef, pendakwah, doktor, pakar ekonomi, pakar motivasi, guru, pempengaruh medsos dan lain2.

Taksub atau fanatik pula bermaksud sikap yang melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian. Lawan kepada perkataan taksub adalah toleransi. Toleransi atau tasamuh bermaksud kelapangan dada dan  keluasan fikiran. Sikap taksub adalah sikap tertutup terhadap pandangan lain yang berbeza. Sikap taksub boleh berlaku ke atas manusia ataupun objek. Pentaksub dalam konteks rencana ini adalah  individu yang memiliki sifat taksub mendewa2kan selebriti.

GELARAN SELEBRITI

Seseorang yang dianggap selebriti akan menerima gelaran di mana perkataan selebriti itu diletakkan di belakang nama kerjaya mereka contohnya chef selebriti, doktor selebriti, cikgu selebriti, pendakwah selebriti atau ustaz selebriti dan lain2.

Untuk menjadi seorang selebriti memanglah susah kerana bukan senang untuk menarik perhatian orang sehingga menjadi popular dan mengumpul ramai pengikut ataupun penyokong. Pengikut2 yang telah lama mengikuti selebriti ini akan mengkagumi mereka sehingga ada yang sampai kepada tahap taksub. Pengikut yang taksub inilah aset paling bernilai kepada seorang selebriti. 

Sebelum seseorang menjadi selebriti, tentu ada cita2 ataupun sesuatu yang ingin diperolehi apabila bergelar selebriti. Dengan kata lain, mereka mempunyai produk yang akan ditawarkan kepada orang ramai di mana melalui produk itu, cita2 mereka tercapai. Pengikut yang taksub akan mengikuti selebriti ini di mana saja dan tidak melepaskan peluang untuk mencari produk yang ditawarkan. Produk2 tersebut mungkin dalam bentuk lagu, lakunan, ilmu, produk makanan, pakaian, produk kecantikan, produk kesihatan dan lain2 mengikut kerjaya selebriti tersebut. Salah satu lagi produk yang mungkin tak terfikir oleh pembaca adalah ideologi dan fahaman politik


PENTAKSUB ADALAH ASET SELEBRITI 

Semakin ramai pengikut yang taksub, semakin beruntunglah selebriti tersebut. Jika mereka menawarkan produk yang baik, maka baiklah juga kesannya. Di sebaliknya pula, jika produk itu membawa kemudaratan, maka mudaratlah yang akan ditanggung oleh pengikut mereka. Kemudaratan tersebut mungkin boleh merebak kepada masyarakat dan memberi kesan yang besar. 

Pengikut yang biasa masih boleh membuat pertimbangan baik buruk, jadi jika mereka sedar yang produk itu tidak baik ataupun diri mereka cuba dipergunakan, mereka akan berhenti menjadi pengikut. Pendek kata, mereka ini masih waras dan belum mencapai tahap taksub. 

Pengikut yang sudah sampai ke tahap taksub sukar untuk membuat pertimbangan yang rasional, pada mereka apa sahaja yang datang dari selebriti tersebut, semuanya baik dan benar belaka. Pentaksub2 ini juga akan mempertahankan selebriti mereka dari sebarang tuduhan dan kecaman. Hatta, jika idola mereka didapati bersalah oleh mahkamah sekalipun , mereka akan bersangka baik dan mempertahankannya. Pendek kata ketaksuban telah menutup kewarasan berfikir.

Selebriti yang bertanggungjawab akan memastikan produk yang mereka tawarkan adalah berkualiti dan memberi manfaat kepada orang ramai. Mereka tidak mengambil kesempatan ke atas pengikut mereka. Mereka bekerja dengan ikhlas dan tidak mengharapkan balasan. Di sebaliknya pula, bukan selidikit selebriti yang mengambil kesempatan dari pengikut mereka. Keuntungan tersebut mungkin dalam bentuk wang ringgit, hartakuasa ataupun mengembangkan ideologi tertentu

Jika produk selebriti itu adalah ideologi atau ilmu yang sesat, maka mereka dapat mengujudkan satu gerakan atau kumpulan yang membawa ajaran sesat. Sebenarnya, inilah modus operandi pemimpin2 ajaran sesat dan kultus. Terdapat juga individu yang menjadi terkenal sehingga ke tahap selebriti dengan menyebarkan ilmu yang terpesong di dalam sesatu bidang sehingga mengelirukan masyarakat. Ilmu2 ini mungkin di dalam bidang sains, perubatan, sejarah, agama dan lain-lain. 

Status selebriti juga boleh digunakan sebagai batu loncatan untuk mendapatkan keuntungan atas angin, contohnya melalui kutipan derma. Pihak pemungut derma memggunakan mereka untuk menjadi umpan mengutip derma dan wang kutipan tersebut boleh  disalahgunakan. Selebriti ini akan diberikan komisyen di atas sumbangan mereka mengumpan penderma. Pendek kata selebriti boleh terjebak di dalam scam. 

Status selebriti juga digunakan untuk menarik sokongan parti politik. Dengan pengikut dan pentaksub yang ramai, selebriti ini digunakan semasa berkempen pilihanraya ataupun dipilih menjadi calun pilihanraya. Walaupun selebriti ini popular di dalam bidang lain, pengikut terutama pentaksub sanggup mengundi mereka. Kemampuan mereka untuk menjadi pemimpin dan wakil rakyat sudah tidak penting lagi.

TAKSUB ATAU FANATIK DALAM AGAMA

Menjadi pentaksub bukan sahaja perlu dihindari dalam apa2 urusan dunia, ianya juga sifat yang tercela dalam amalan agama.

Taksub yang dikutuk ini adalah sikap orang-orang yang cuba mengikat pihak lain kepada dirinya dan menafikan peranan orang lain. Mereka seolah-olah berkata: "Adalah hak aku untuk berkata dan kewajipanmu untuk mendengar. Hak aku untuk memimpin dan kewajipan kamu untuk mengikut. Pendapatku benar belaka dan tidak mungkin salah, pendapatmu salah dan tidak mungkin benar".

Allah berfirman maksudnya "Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka tersesat (jauh) dari jalan yang benar".Maksud Surah Al-Maidah (5):77)  

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik:".Maksud Surah Al-Nahl (16):125

Mendakwa diri sebagai seorang yang istimewa seperti keturunan Nabi adalah salah satu lagi kaedah untuk menjadi selebriti. Ramai individu yang mengaku mempunyai darah keturunan nabi hanya untuk menjadi popular dan mengumpul pengikut. Kejadian seorang pemuda dari Maghribi yang mengaku sebagai keturunan Nabi sehingga disanjung dan dipuja oleh ramai umat Islam. Sedangkan pihak berkuasa maghribi sendiri telah memberi kenyataan mengesahkan bahawa beliau berasal dari Algeria dan tidak ada kaitan dengan Sharif Idrisi di Maghribi atau mana-mana jalur keturunan Nabi Muhammad SAW yang lain, sebaliknya hanya mengeksploitasi nasab suci Nabi Muhammad SAW untuk menarik perhatian pengikut. Disebabkan oleh taksub, ramai pengikut beliau yang masih mempertahankan dan terus mengidolakan beliau.

Sikap taasub terhadap individu ini akan membuka ruang kesesatan dan penyelewengan daripada jalan yang benar kerana mengikuti seseorang itu secara buta dan akhirnya menyebabkan kerosakan kepada agama dan umat. Sabda Nabi SAW, bermaksud:

"Dan janganlah kamu berlebih-lebihan dalam agama, maka sesungguhnya yang telah membinasakan umat sebelum kamu itu sikap berlebih lebihan dalam agama" (Riwayat an-Nasa'ie). 

Banyak lagi contoh amalan2 agama yang sesat akibat sifat taksub atau fanatik yang dimiliki oleh umat Islam.

KESIMPULAN

Memiliki gelaran selebriti boleh menjadi seperti serampang dua mata. Jika gelaran itu digunakan untuk kebaikan, maka banyaklah pahala yang akan dikumpulkan. Sebaliknya jika gelaran itu disalahgunakan, maka rosaklah masyarakat. Jauhi sikap taksub kepada manusia kerana seorang yang taksub akan mempunyai minda tegar yang tidak berupaya membuat pertimbangan yang rasional mengenai idola mereka sehingga segala apa yang dilakukan oleh idola mereka ini dianggap benar belaka. Pengikut yang taksub mudah dipergunakan dan boleh menjadi mangsa dalam pelbagai bentuk penipuan oleh selebriti yang tidak bertanggung jawab. Sikap taksub juga dilarang oleh agama. Jadilah manusia yang tidak mudah mempercayai, berfikiran terbuka, berilmu dan teliti di dalam menilai kesahihan sesuatu maklumat.

Dato' Dr Rushdan Noor 

1hb September 2024