Thursday 26 September 2024

KULTUS ("CULT") UMPAMA PENYAKIT KANSER

 


KULTUS ("CULT") UMPAMA PENYAKIT KANSER YANG MEREBAK Apabila saya membaca tentang kultus, bagaimana ianya bermula dan berkembang, saya dapati terdapat beberapa persamaan dengan penyakit kanser, jika tubuh badan kita ini diandaikan sebuah masyarakat ataupun negara. Kanser bermula dari sel di dalam tubuh pesakit itu sendiri, asalnya normal tetapi kemudian rosak menjadi sel kanser. Sel kanser yang terbentuk tadi akan membiak dan merebak. Kultus berpunca dari seseorang yang asalnya orang biasa tetapi telah rosak pemikirannya, mempunyai cita2 besar dan memanipulasi orang lain untuk mencapai matlamat beliau. Akibat lambat mengesan dan merawat, sel-sel kanser ini akan masuk ke dalam aliran darah dan membiak di lain-lain organ. Kultus juga akan merebak seperti kanser untuk menubuhkan banyak cawangan bagi menjalankan aktiviti mereka. Seperti juga dengan sel2 kanser yang sudah merebak ke tempat lain, di setiap cawangan inilah mereka akan membentuk komuniti mereka dan memberi kesan ke atas masyarakat setempat. Proses perpindahan sel dari satu tempat ke tempat yang lain di dalam badan dikenali sebagai metastasis. Apabila berlaku metastasis, rawatan kanser semakin sukar kerana apa yang kita nampak itu mungkin hanya sebahagian kecil dari mereka. Sel2 kanser sudah bertebaran di pelbagai organ dan tisu badan. Di tempat lain sel kanser akan bersaing dengan sel yang normal untuk zat makanan dan menerima bantuan bekalan darah dari saluran darah baru. Pengikut2 kultus mungkin ada yang sudah menyelinap masuk ke dalam organisasi dan institusi dan tidak mustahil boleh mengambil aleh pentadbiran. Ataupun mereka mempunyai hubungan kerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh membantu kesenambungan gerakan mereka. Salah satu sifat kanser adalah kemampuan mereka untuk menyamar dan tidak dapat dikesan oleh sistem pertahanan badan. Jadi mereka boleh terlepas daripada dikesan dan dihapuskan. Sel2 kanser ini juga boleh menjadi lebih rentan dan tahan lasak terhadap rawatan. Sifat2 ini sama seperti sebuah kultus yang boleh berubah ciri2 luaran mereka dengan tujuan melindungi diri dari dikesan, sedangkan ideologi mereka tetap sama. Pengikut setia kultus juga sangat taksub dan sukar dipulihkan untuk kembali ke pangkal jalan, umpama kita memaksa mereka untuk bertukar agama. Rawatan kanser yang sudah merebak perlu melibatkan kerjasama pelbagai kepakaran dengan menggunakan rawatan yang betul dan sasaran yang tepat. Pakar2 ini perlu memikirkan strategi untuk menghapuskan sel2 kanser sebanyak mungkin, selalunya dengan menggunakan lebih dari satu kaedah rawatan yang berbeza. Pada waktu yang sama menguatkan sel2 yang normal terutamanya sel2 pertahanan badan untuk membantu melawan kanser. Menangani kultus seumpama ini juga memerlukan penglibatan banyak pihak seperti kerajaan, pemimpin politik, pihak berkuasa, Institusi2, jabatan agama, NGO dan juga orang2 awam. Kesedaran dan ilmu adalah sistem pertahanan yang paling penting dimiliki oleh orang awam untuk melawan kultus. Di samping membunuh sel2 kanser, pesakit juga perlu dijauhkan dari punca penyakit kanser, jika tidak, kanser akan berulang. Sama juga dengan kultus, ideologi dan kepercayaan karut itu perlu ditangani dan diharamkan. Mana2 pengikut yang masih boleh dipulihkan perlu menjalani proses pemulihan dan mereka perlu dibawa keluar dari kongkongan kultus itu. Kultus yang sudah berkembang luas mungkin sukar untuk dihapuskan sepenuhnya, tetapi mengecilkan saiz komuniti mereka atau menutup cawangan yang sedia ada serta menghalang dari tertubuhnya cawangan baru mungkin itu saja yang mampu dilakukan. Sebarang bentuk bantuan perlu diputuskan, umpama merencat bekalan darah kepada sel2 kanser. Ketua2 mereka perlu diletakkan di bawah pengawasan rapi, supaya tidak mengumpul semula pengikut. Lama kelamaan, mereka menjadi tidak relevan dan hilang dari pengaruh terhadap masyarakat. Tambahan pula masyarakat sudah mengenali mereka dan tidak menyokong aktiviti mereka. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik dari merawat, begitu jugalah dengan kanser dan kultus. Pemantauan dan usaha2 pencegahan perlu dilakukan dengan meningkatkan kesedaran masyarakat, pihak berkuasa yang proaktif, undang2 yang ketat dan pengesanan kultus di peringkat awal. Pemantauan juga dapat mengesan kanser ataupun kultus yang muncul semula. Amalan gaya hidup sihat dan ujian saringan boleh mencegah kanser. Peranan ibubapa sangat besar di dalam mendidik dan memantau anak2 agar tidak terjerumus ke dalam sebuah kultus. Kesedaran dan kefahaman agama yang betul akan menjadi perisai yang kukuh mencegah kultus. Kultus yang berskala besar jangan dipandang remeh, sama seperti kanser dari jenis yang ganas yang telah merebak dan menguasai seluruh badan. Masyarakat boleh kucar kacir dan menjadi mundur. Pergaduhan dan keganasan boleh tercetus oleh pengikut kultus yang taksub dan terdesak. Seluruh tubuh badan akan menderita akibat kanser yang merebak ke banyak tempat dan kegagalan organ badan, sehinggalah pesakit ini meninggal dunia. Walaupun kultus itu datangnya dari ahli masyarakat kita, bukan bermakna kita boleh menerima mereka ataupun bersangka baik terhadap mereka. Mereka umpama penyakit kanser, jika kita tidak berusaha mematikan sel2 kanser, sel2 kanser ini pula akan mengambil peluang memusnahkan kita. DDr Rushdan Noor 28hb Sep 2024

No comments:

Post a Comment