Tuesday, 30 July 2024

BAGAIMANA MENGURANGKAN PENGHIJRAHAN KELUAR PAKAR-PAKAR BIDANG PERUBATAN DARI HOSPITAL KERAJAAN


Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor

PENDAHULUAN

Baru-baru ini YB Menteri Kesihatan telah memberi jawapan secara bertulis kepada soalan seorang Senator di dalam Dewan Negara berkenaan dengan bilangan pakar yang meletakkan jawatan. Menurut beliau, walaupun data pada tahun 2021 tidak diperolehi, bilangan pakar yang meletakkan jawatan dari tahun 2019 hingga 2023 adalah seramai 917 orang (1). Pada tahun 2023 sahaja, seramai 359 pakar meletakkan jawatan. Kadar  penghijrahan pakar ke sektor swasta meningkat 57% di dalam tempoh 5 tahun. Menurut YBMK lagi, purata bilangan pakar yang meletakkan jawatan adalah 199 orang setahun dalam masa 1 dekad terakhir ini. Perbincangan kali ini hanya tertumpu kepada isu penghijrahan pakar, faktor penghijrahan pegawai perubatan telah dibincangkan di dalam tulisan yang terdahulu (rujuk pautan ini).



SASARAN KEPERLUAN PAKAR DI MALAYSIA 2030

Pada tahun 2021, jumlah bilangan pakar yang berkhidmat di sektor awam dan swasta adalah dalam anggaran 13,000 orang, sedangkan sasaran yang ditetapkan oleh KKM pada tahun 2030 adalah seramai 28,000 orang (2). Maka kita kekurangan seramai 15,000 orang pakar. Daripada 13,000 orang pakar itu, lebih kurang 6000 orang adalah pakar yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia, selebihnya (7000 orang) bertugas di sektor swasta (3). Anggaran bilangan pakar baru yang diwartakan setiap tahun adalah dalam lingkungan 600-700 orang, di mana pada tahun 2019 seramai 603 orang pakar diwartakan (4). Jika trend penghasilan pakar ini kekal, seramai 5,400 orang pakar baru akan dihasilkan sehingga tahun 2030. Jadi unjuran jumlah pakar pada tahun 2030 adalah 18,400 orang, ini bermaksud kekurangan sejumlah hampir 10,000 orang pakar pada tahun 2030.

MASALAH KEKURANGAN PAKAR

Melihat kepada angka yang tersebut di atas, negara kita sedang dan akan menghadapi masalah kekurangan pakar. Sektor yang paling terkesan dengan kekurangan pakar ini adalah sektor awam kerana beban kerja yang jauh lebih besar. Saya tidak mempunyai statitistik tepat tentang beban kerja perkhidmatan kesihatan di sektor awam dan swasta, tetapi jika berpandukan kepada beban kerja perkhidmatan O&G negara, 65-70% beban kerja adalah di hospital kerajaan, manakala 30-35% di kendalikan oleh sektor swasta (berdasarkan kepada indikator jumlah kelahiran). Bilangan pakar yang lebih rendah di hospital kerajaan menyebabkan nisbah seorang pakar kepada beban kerja jauh lebih tinggi berbanding dengan pakar di sektor swasta.

Bila menyentuh isu kekurangan pakar yang dihadapi oleh negara kita, sebenarnya ianya lebih merujuk kepada kekurangan pakar di sektor awam ataupun fasiliti2 kesihatan kerajaan kerana di sinilah beban kerja yang jauh lebih besar dengan nisbah pakar kepada beban yang lebih tinggi.

Ada dua perkara penting dalam menangani masalah kekurangan pakar iaitu:

1.  Bagaimana meningkatkan penghasilan Pakar

2. Bagaimana mengurangkan kadar penghijrahan pakar dari sektor awam ke sektor swasta 

Kedua2 isu di atas perlu ditangani serentak untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Tetapi di dalam tulisan ini saya hanya akan menyentuh perkara kedua iaitu kaedah untuk mengurangkan kadar penghijrahan pakar ke sektor swasta agar mereka kekal di hospital ataupun fasiliti kesihatan kerajaan. Isu pertama memerlukan masa yang panjang untuk ditangani, tetapi isu kedua boleh dilakukan dalam masa lebih singkat jika ada kesungguhan dan kemahuan dari pihak atasan. 

CADANGAN MENURUNKAN KADAR PENGHIJRAHAN PAKAR KE SEKTOR SWASTA

Jawapan pendek kepada soalan bagaimana menurunkan kadar penghijrahan pakar adalah dengan meningkatkan kepuasan dan keseronokan mereka bertugas di hospital kerajaan. Untuk jawapan panjang, sila terus membaca.

Cadangan-cadangan ini cuma pendapat peribadi, mungkin ada yang kurang praktikal ataupun agak idealistik. Jadi ianya terbuka kepada kritikan dan perbezaan pandangan.

Cadangan ini bukan juga bertujuan untuk memberi tekanan kepada sektor swasta, sebaliknya memastikan taburan pakar2 di negara kita setara dengan beban tugas dan tanggungjawah.  

Saya tidak mempunyai data2 yang lengkap mengapa berlaku penghijrahan pakar2 ke sektor swasta, tetapi kita boleh membuat andaian bahawa terdapat 2 faktor besar yang mempengaruhi:

1. FAKTOR PENOLAK ("Pushing factors") di perkhidmatan hospital kerajaan

2. FAKTOR PENARIK ("Pulling factors") dari sektor swasta

FAKTOR PENOLAK DAN CADANGAN PENYELESAIAN

Sebenarnya ramai pakar-pakar suka dengan kerjaya mereka dan berniat untuk terus berkhidmat dengan kerajaan tetapi perkara-perkara berikut menyebabkan mereka terpaksa untuk berhijrah ke sektor swasta:

A. PERSEKITARAN KERJA YANG TIDAK HARMONI DAN TOKSIK. Persekitaran kerja yang toksik boleh disebabkan oleh banyak faktor, di antaranya rakan kerja yang mempunyai masalah personaliti ("personality disorder"), budaya buli yang tidak ditangani, hilang semangat bekerja dalam satu pasukan dan kelemahan memimpin di peringkat jabatan ataupun peringkat yang lebih tinggi. Budaya buli tidak terhad kepada satu kategori sahaja, tetapi boleh berlaku walaupun dalam kalangan pakar-pakar. Faktor persekitaran kerja ini saya anggap sangat penting kerana ramai pakar2 yang meletakkan jawatan bukan kerana tidak suka bertugas di hospital kerajaan tetapi akibat tekanan yang mereka hadapi di tempat kerja. Tekanan tempat kerja kadangkala boleh juga berpunca daripada kepimpinan di peringkat atas di mana persekitaran kerja yang toksik di atas merebak ke peringkat bawah. 

Cadangan

Bila menyentuh tentang persekitaran tempat kerja, saya akan kaitkannya terus kepada ketua ataupun pemimpin yang bertanggungjawab mentadbir sesuatu jabatan ataupun organisasi. Tanggungjawab pemimpin (Ketua Jabatan/Pengarah/Ketua Perkhidmatan/Ketua Pengarah dll) adalah sangat besar, punca persekitaran kerja yang toksik perlu dikenalpasti dan diatasi. Jangan ada kompromi kepada kakitangan yang toksik yang menjadi punca ketidakharmonian. Bukan sedikit kakitangan yang di depan ketua sangat baik dan serba boleh, tetapi di belakang,  merekalah punca suasana kerja yang toksik. Ketua-ketua jabatan perlu menyedari keujudan petugas seperti ini dan tidak termakan dengan helah mereka.   Budaya buli perlu dicegah, dikesan awal dan diatasi secepat mungkin. Salah satu kaedah mengesan punca tempat kerja yang toksik dan budaya buli adalah dengan melakukan penilaian 360 darjah (baca tentang kaedah penilaian ini di sini). Persekitaran kerja yang harmoni dan kondusif sepatutnya menjadi salah satu matlamat utama semua yang bergelar ketua ataupun pemimpin. Ramai pakar sanggup kerja keras dan menanggung beban kerja yang tinggi jika persekitaran tempat kerja dipelihara dengan baik.  Tulisan tentang kualiti pemimpin dan bagaimana memilih pemimpin di dalam sesuatu organisasi dan kementerian boleh dibaca di sini. 

B. BEBAN KERJA BUKAN KLINIKAL (pentadbiran dll) yang berlebihan boleh menghadkan penglibatan mereka dengan tugas klinikal yang mereka sukai yang juga merupakan tugas hakiki mereka terhadap pesakit. Tanggungjawab pentadbiran membebankan pakar, mereka perlu menghadiri mesyuarat, melaksanakan pelbagai aktiviti bukan klinikal, terlibat dengan bengkel, program latihan, audit dan lain-lain aktiviti anjuran hospital, JKN dan KKM. Pakar-pakar ini juga terlibat sebagai penyelia dan tenaga pengajar kepada program latihan semua kategori petugas perubatan termasuk juga pelatih2 kepakaran dalam  Program Sarjana dan Parallel Pathway. Lebih2 lagi jika pakar tersebut dilantik menjadi ketua jabatan ataupun ketua perkhidmatan. Mereka ini tidak mampu untuk menanggung beban tugas bukan klinikal yang terlalu besar dan perlu untuk membahagi2kan tugas ini kepada pakar2 di bawah mereka. Secara tidak langsung, bebanan tugas bukan klinikal ini akan juga ditanggung oleh pakar2 lain. 

Cadangan

Pakar2 yang telah menghabiskan masa bertahun2 belajar dan memperolehi kemahiran di dalam sesuatu bidang klinikal pasti ingin mempraktikkan kemahiran mereka apabila memasuki alam pekerjaan. Di samping sumber pendapatan, inilah kepuasan yang mereka cari sebenarnya. Tanggungjawab bukan klinikal ("non-clinical") terutamanya pentadbiran (admin) bukan sahaja mengganggu tumpuan mereka kepada tugas klinikal, tetapi menambah beban tugas yang sedia ada. Pihak Kementerian perlu meminimakan tanggungjawab bukan klinikal ini dengan menempatkan pegawai2 khas untuk setiap jabatan yang membantu melakukan urusan2 berkaitan dengan pentadbiran. 

C. BEBAN KERJA KLINIKAL YANG BERAT. Ini merujuk kepada beban tugas hakiki seorang pakar yakni bersangkutan dengan rawatan ke atas pesakit. Bilangan pakar yang kurang tetapi beban kerja yang besar menyebabkan tekanan yang tinggi kepada pakar2. Apabila ditambah pula dengan beban kerja bukan klinikal, maka tekanan yang dihadapi akan berganda. Beban kerja yang besar ini juga disebabkan oleh faktor pembahagian tugas yang tidak sekata di antara pakar2. Beban tugas ini perlu dibahagikan sama rata dan tidak memberatkan sesuatu kategori pakar sahaja. Apabila beban kerja ini dibahagikan sama rata ataupun setara dengan pangkat, maka kuranglah rungutan dan ketidakpuasan pihak yang terbeban dengan kerja yang lebih berat tetapi gaji yang lebih kecil. 

Cadangan: 

Terdapat beberapa kategori pakar yang berkhidmat di sesebuah hospital iaitu pakar klinikal, pakar, pakar perunding dan pakar perunding senior/kanan. Pihak kementerian patut membuat kajian dan audit tentang taburan beban tugas klinikal mengikut kategori ini dan memastikan beban kerja ini dikongsikan sama rata ataupun setara dengan pangkat. Apabila berlaku ketidakseimbangan beban kerja, maka pakar2 yang menjadi sasaran kerja yang lebih berat ini akan merasa tertekan dan tidak puas hati. Setiap disiplin perlu menyediakan senarai tugas klinikal pakar-pakar di semua kategori dan bagi memastikan ianya dilaksanakan, pencapaian setiap tugasan ini boleh dijadikan indikator di dalam KPI dan penilaian prestasi mereka. Jika ujud budaya "kerja kurang untuk pakar lebih senior, kerja lebih untuk pakar lebih junior", ini perlu dihentikan. Ketua2 jabatan dan pengarah hospital boleh mewujudkan sistem pemantauan kerja2 yang dilakukan oleh pakar2 dibawah pentadbiran masing2.

Beban kerja yang berat ini boleh juga disebabkan oleh taburan pakar2 yang tidak sekata ("maldistribution") di hospital2 dan fasiliti kesihatan KKM. Ada hospital berpakar yang memiliki bilangan pakar yang agak ramai dan ada juga hospital yang menghadapi kekurangan pakar yang serius. Maka perlu ada mekanisma penempatan pakar berdasarkan beban kerja. Saya percaya, setiap disiplin mempunyai indikator beban kerja masing-masing. Indikator beban kerja ini boleh digunakan untuk menentukan keperluan bilangan pakar di sesebuah hospital berdasarkan kepada nisbah 1 pakar dengan indikator beban kerja tersebut. Apabila taburan pakar ini adil, nisbah pakar kepada beban kerja dapat diselaraskan di semua hospital.

D. IMBUHAN ATAU INSENTIF YANG TIDAK SETIMPAL DENGAN SUMBANGAN. Ini termasuk gaji, elaun on call, kenaikan pangkat dan lain-lain. Jawatan seorang pakar di bawah Kementerian Kesihatan perlu dibezakan dengan petugas2 di kementerian yang lain kerana untuk menjadi seorang pakar bukanlah perkara yang mudah. Sudahlah menjadi seorang doktor itupun sangat sukar, memakan masa yang panjang termasuk perlu menjalani 2 tahun latihan sebagai pegawai perubatan siswazah. Menjadi seorang pakar memerlukan masa belajar sekurang2nya 4 tahun lagi dan beban belajar ditambah pula dengan beban bekerja. Pada masa ini jugalah pelatih2 sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab tambahan di luar tempat kerja. Maka sememangnya pakar2 ini layak untuk mendapat imbuhan setimpal dengan status yang mereka miliki. 

Cadangan

Keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji kakitangan awam perlu melibatkan pakar-pakar. Elaun tugas atas panggilan ("on call") perlu disemak semula dan diberikan pada kadar yang berpatutan, cuti rehat sehari selepas menjalani on call aktif dijadikan salah satu bentuk imbuhan tambahan yang menjadi hak pakar2 yang berkenaan. Mungkin mereka dibenarkan menuntut bayaran gaji harian jika terpaksa bertugas, atas sebab keperluan perkhidmatan. 

Langkah kerajaan memperkenalkan kenaikan pangkat pakar berdasarkan kepada tempoh perkhidmatan ("time-based promotion") sehingga kepada kategori U54 (9 tahun perkhidmatan) adalah sesuatu yang sangat dialu2kan, walaubagaimanapun bagaimanakah pula dengan proses perlaksanaannya ?. Saya mendapat maklumbalas terdapat pakar yang berkhidmat lebih panjang dari yang dijanjikan tetapi masih belum dinaikkan pangkat. Mungkin kerajaan boleh membuat audit dan memastikan perlaksanaannya dilakukan dengan cekap. Lebih menarik, jika syarat tempoh minima perkhidmatan untuk kenaikan pangkat ini dipendekkan lagi, contohnya kepada 5-6 tahun. Ataupun proses kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan ini dilanjutkan ke gred U56.

Proses kenaikan pangkat ini tidak sepatutnya terjejas walaupun ke atas pelatih2 kepakaran yang sedang menjalani latihan kepakaran. Mereka ini bukan sahaja belajar, tetapi juga melaksanakan tugas klinikal sama seperti rakan-rakan yang bukan pelatih. 

Penjawatan untuk gred Jusa yang terhad sememangnya sukar untuk ditangani. Jika tidak dapat menambah bilangan perjawatan yang hakiki, sekurang2nya pihak kementerian menambah bilangan perjawatan kategori KUP (Khas Untuk Penyandang). Saya tidak mahu menulis isu ini dengan panjang kerana peruntukan perjawatan ini agak kompleks melibatkan JPA, Kementerian Kewangan dan Sumber Manusia. Apa2 pun, pemimpin terutama di peringkat atasan boleh memainkan peranan untuk melobi lebih banyak perjawatan diberikan kepada  kementerian mereka.

Memandangkan kenaikan pangkat seringkali menjadi satu isu besar dan peruntukan jawatan pula sangat terhad, maka perlu ada imbuhan lain yang boleh diberikan kepada pakar2 yang sudah lama bertugas , contohnya peruntukan (pembiayaan penuh) menghadiri kursus di dalam dan luar negara, melancung ke luar negara,  kemudahan pendidikan serta biasiswa untuk anak2, cuti sabatikal  sama seperti yang diperolehi oleh pensyarah2 di Universiti dan memperluas serta memperbaiki sistem lokum untuk meningkatkan pendapatan mereka (rujuk perenggan bawah). Apabila pakar2 junior melihat kelebihan2 yang bakal mereka miliki nanti ini, tentu ada kesan ke atas niat mereka untuk berhijrah awal ke sektor swasta.

Kebenaran menjalankan lokum kepada pakar2 perlu diperluaskan serta dimudahkan lagi. Memberi kebenaran pakar2 terpilih untuk mendapat satu hari tidak bekerja setiap minggu untuk tujuan lokum  yang sedang dilaksanakan pada masa ini adalah sangat baik, tetapi mungkin boleh dilanjutkan kepada semua pakar2 yang sudah berdaftar dengan NSR ataupun menurunkan had minima perkhidmatan, contohnya kepada 5 tahun. Keperluan untuk mendapatkan insuran indemnity adalah satu beban yang besar kepada pakar-pakar untuk melakukan lokum. Mungkin perlu ada mekanisma bagaimana premium insuran ini dapat diminimumkan ataupun melaksanakan sistem insuran berkelompok ataupun kerajaan membiayai sebahagian ataupun premium yang terhad kepada cabang disiplin (contohnya ginekologi sahaja, jika tidak ada amalan obstetriks) ataupun ada mekanisma lain yang boleh diusahakan. Ini memandangkan lokum bukan sepenuh masa dan pendapatan daripadanya adalah terhad, pakar2 ini akan menganggap tidak berbaloi kerana terpaksa membayar kos premium insuran yang tinggi. Buat masa ini isu premium insuran indemniti ini adalah salah satu beban yang merencat pakar2 kerajaan untuk menjalankan lokum.

Perkhidmatan FPP ("Full Paying Patients Services") sudah lama diperkenalkan di hospital kerajaan tetapi hanya beberapa hospital sahaja yang mendapat kelulusan dan melaksanakan perkhidmatan ini. Di dalam perkhidmatan ini, pakar2 boleh memberi perkhidmatan kepakaran kepada pesakit2 secara peribadi ("personal patient") dan dibayar pada kadar yang yang lebih tinggi seperti di hospital swasta. Pesakit juga mendapat peluang dirawat oleh pakar sebagaimana rawatan pakar di hospital swasta. Penambahbaikan dan memperluaskan perkhidmatan ini ke hospital-hospital lain pasti memberi impak yang bermakna kepada pakar2. Jika FPP ini tidak dapat dikembangkan kepada semua hospital2 berpakar, sekurang2nya ujudkan perkhidmatan ini di hospital tertiari atau pun hospital utama di setiap negeri. Kemudian perkhidmatan ini dibuka bukan sahaja kepada pakar2 dari hospital berkenaan, tetapi juga dari hospital kerajaan yang lain.

Elaun-elaun tambahan untuk pakar yang bertugas di pendalaman perlu diperluaskan. Bayaran insentif pendalaman yang diberikan kepada pakar2 yang bertugas di Sabah dan Sarawak, perlu dipanjangkan kepada pakar2 yang bertugas di pendalaman di Semenanjung Malaysia. Ataupun memperkenalkan elaun khas lain untuk pakar2 yang berkhidmat di pendalaman contohnya seperti elaun khas mengikut lokasi dan tahap kesusahan (EKMLTK) dan elaun balik kampung (EBK) yang diberikan kepada petugas2 kesihatan di lokasi2 tertentu di Malaysia.

Ramai pakar2 mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan kerana kecewa menunggu terlalu lama untuk kenaikan pangkat dan kurangnya insentif2 lain yang dapat menghargai sumbangan mereka. Pengumuman kerajaan untuk memansuhkan skim berpencen akan mengurangkan satu lagi kelebihan berkhidmat dengan kerajaan. Dengan adanya insentif tambahan seperti yang dinyatakan di atas, saya percaya mereka akan lebih berminat untuk kekal di dalam perkhidmatan kerajaan.

E. FAKTOR PERIBADI DAN KELUARGA

Pakar2 yang berkeluarga tidak mahu dipindahkan ke hospital yang jauh dari pasangan ataupun melibatkan pertukaran sekolah anak2 yang sudah stabil di sesuatu tempat. Pakar2 ini sanggup meletakkan jawatan dan bertugas di hospital swasta berdekatan walaupun mungkin tawaran pendapatan tidak begitu tinggi. Isu ini memang menjadi masalah kepada pihak KKM untuk melakukan penempatan kerana ujud pertembungan antara kepentingan keluarga pakar dengan kepentingan perkhidmatan. Saya ingin mencadangkan agar pihak KKM tidak terlalu rigid di dalam menghadapi pakar2 ini dan cuba sedaya upaya untuk memudahkan mereka, kerana jika mereka ditukarkan juga secara paksa, akan berlaku kerugian yang lebih besar di pihak KKM. Pihak KKM cuba berbincang dan mencari jalan tengah di mana kedua2 pihak mendapat manfaat, contohnya penempatan ke hospital yang lebih dekat dengan kediaman mereka ataupun lain2 pertimbangan. Memang terdapat pakar yang meletakkan jawatan apabila tidak ada tolak ansur dari pihak KKM. Walaupun ada peraturan yang perlu dipatuhi semasa pertukaran contohnya kekosongan penjawatan, perkara ini boleh diselesaikan jika ada kesungguhan pihak pentadbir dan kepimpinan KKM untuk membantu. 

FAKTOR PENARIK ("PULLING FACTORS") SEKTOR SWASTA DAN CADANGAN PENYELESAIAN

Umumnya, gaji ataupun pendapatan yang diperolehi daripada hospital swasta oleh pakar-pakar memanglah lumayan jika dibandingkan bekerja dengan kerajaan. Tempoh masa  bekerja untuk mendapatkan pendapatan yang setara dengan pakar di hospital kerajaan adalah jauh lebih pendek. Mereka boleh mencapai tahap kebebasan kewangan ("financial freedom") dalam masa yang jauh lebih singkat. Tidak seperti dahulu, pada hari ini beban kerja dan kehidupan di hospital swasta juga lebih selesa kerana sudah ada ramai pakar di dalam sesatu bidang, maka mereka boleh membuat penggiliran tugas dalam panggilan. Pendek kata, memiliki kelebihan "work-life balance" itu nampaknya sudah beraleh kepada pakar di sektor swasta.  

Untuk jangkamasa panjang, jurang perbezaan akan menjadi semakin kecil dengan sendirinya apabila berlaku lambakan pakar2 di hospital swasta, di samping persaingan yang lebih sengit. Tetapi tempoh masa untuk mencapai keadaan ini mungkin masih jauh lagi, apatah lagi jika negara kita semakin maju, ekonomi semakin pulih, penggunaan insuran kesihatan semakin meluas dan semakin ramai pesakit yang mampu untuk mendapatkan perkhidmatan pakar di hospital swasta.

Pihak kerajaan tidak mungkin akan mampu untuk membayar gaji sebanyak hospital swasta. Apa yang boleh dilakukan adalah dengan melaksanakan cadangan-cadangan yang dinyatakan di atas agar jurang perbezaan tersebut dapat dikecilkan, mungkin tidak dengan imbuhan kewangan, tetapi juga ada keseimbangan kerja dan rumahtangga ("work-life balance") dan kelebihan lain. Apabila pakar-pakar ini menikmati banyak kelebihan bekerja di sektor awam, maka kadar penghijrahan pun akan menurun.

Satu lagi kaedah bagaimana mengurangkan tarikan dari sektor swasta, adalah melalui kaedah mengikat pakar2 ini dengan syarat ataupun peraturan yang lebih ketat agar mereka tidak meletakkan jawatan sewenang2nya. Ini adalah sesuatu yang munasabah, memandangkan kos yang sangat tinggi perlu dikeluarkan oleh kerajaan untuk menghasilkan seorang pakar dan kerugian yang ditanggung akibat  tindakan meletakkan jawatan lebih awal. Kerajaan kita baru sahaja menaikkan jumlah denda dalam bentuk bayaran balik wang ke atas lulusan kepakaran dan subkepakaran. Walaupun sepatutnya perkara ini sudah dilaksanakan lama dahulu. Untuk ijazah kepakaran, bayaran balik yang dikenakan adalah RM350,000, manakala untuk latihan subkepakaran adalah RM600,000. Pada masa lalu, bayaran balik ini sangat minima dan pakar2 dan subspecialist yang melanggar syarat minimum perkhidmatan boleh membayarnya mungkin dengan gaji sebulan dua di sektor swasta. Dengan peningkatan jumlah bayaran balik ini, tentu akan mempunyai kesan kepada pakar2 yang berniat untuk melanggar perjanjian perkhidmatan. Meletakkan syarat tempoh perkhidmatan ini juga dapat memastikan pakar2 ini sudah cukup matang dan berkemahiran apabila berhijrah ke sektor swasta.

Bagi meluaskan perlaksanaan syarat minimum perkhidmatan ini, KKM sudah mula melaksanakan syarat wajib bagi semua penuntut kepakaran meliputi parallel pathway untuk mengambil hadiah latihan persekutuan (HLP) ataupun biasiswa. Saya setuju agar ini diperluaskan untuk semua program latihan parallel pathway.

Di dalam melaksanakan peraturan ini, kerajaan perlu memastikan yang ianya tidak terlalu ketat sehingga merencat keinginan pegawai2 perubatan untuk melanjutkan pelajaran. Saya percaya, peraturan ketat ini tidak akan menjadi penghalang jika mereka dijanjikan dengan kelebihan2 besar bertugas di hospital kerajaan, tanpa menafikan keingingan mereka untuk berhijrah ke sektor swasta apabila tiba masanya nanti.

KUANTITI DAN KUALITI PAKAR

Saya telah menulis tentang isu kuantiti pakar yang dihadapi oleh negara kita. Satu lagi aspek yang sama penting adalah kualiti pakar2. Saya telah mencadangkan beberapa langkah yang dapat mengurangkan kadar penghijrahan pakar ke sektor swasta, tetapi ini bukan bermakna yang fokus kita hanya pada kuantiti sahaja. Tidak ada maknanya mempunyai jumlah pakar yang ramai tetapi khidmat mereka tidak dapat dimaksimakan dan kualiti perkhidmatan tidak ditingkatkan.

Di dalam memberikan kelebihan dan imbuhan kepada pakar2 ini, kerajaan dan kementerian patut juga menumpukan perhatian meningkatkan mutu pakar2 yang dihasilkan. Proses pemilihan pemimpin2 (Ketua Jabatan/Pengarah/ Ketua Perkhidmatan /Ketua Pengarah/dll) dari semua kategori perlu dimantapkan lagi (sila baca di sini), proses pemantauan pakar2 dan pembahagian tugas klinikal hendaklah dilaksanakan dengan berkesan agar rakyat benar2 menerima perkhidmatan pakar yang berkualiti tinggi. Pendek kata, imbuhan yang lebih tinggi diterima oleh pakar2 ini hendaklah dikembalikan dalam bentuk perkhidmatan yang lebih berkualiti dan berkesan. Kepuasan pakar2 hendaklah juga diterjemahkan kepada kepuasan pesakit.

Saya percaya, jika pihak kerajaan dapat meningkatkan kepuasan pakar2 yang berkhidmat di hospital kerajaan seperti yang dicadangkan, kadar penghijrahan pakar2 ke sektor swasta akan dapat diperlahankan. Tentu lebih ramai pegawai2 perubatan akan berminat untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang kepakaran. Bilangan pakar yang bertambah ramai juga akan meningkatkan kemampuan kementerian untuk menyediakan latihan kepakaran kepada lebih ramai pelatih. Faktor2 ini akan membantu  usaha kerajaan dalam meningkatkan kadar penghasilan pakar-pakar di negara kita. 

Semoga tulisan ini sampai kepada mana2 kepimpinan KKM agar mendapat pertimbangan. Katakan tidak boleh dilaksanakan semua, tolong tangani isu persekitaran tempat kerja, elaun on call, taburan/penempatan pakar2, beban tugas bukan klinikal dan pembahagian beban kerjaJIKA TIDAK MAMPU MELAKUKAN SEMUA, JANGAN TINGGALKAN SEMUA. 


Baca juga tulisan saya bertajuk PENTINGNYA MEMILIH PEMIMPIN DALAM ORGANISASI/KEMENTERIAN (KLIK DI SINI)


Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor

Mantan Ketua Perkhidmatan O&G KKM

31hb Julai 2024  

TULISAN INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI DAN TIDAK MEWAKILI MANA2 INSTITUSI ATAUPUN ORGANISASI. JIKA ADA PEMBETULAN ATAUPUN CADANGAN TAMBAHAN, SILA KONGSIKAN DI RUANGAN KOMEN.                                        

1.https://codeblue.galencentre.org/2024/07/30/specialist-doctor-resignations-from-moh-rose-57-in-five-years/

2. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/28000-doktor-pakar-diperlukan-menjelang-2030-khairy-319864

3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/894395/kkm-ada-6066-pakar-perubatan#google_vignette

4.https://www2.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Penerbitan%20Utama/ANNUAL%20REPORT/LAPORAN%20TAHUNAN%20KKM%202019/files/basic-html/page141.html

5.https://ppukmdotorg.wordpress.com/2010/07/23/automatic-promotion-to-du54-the-saga-continues/#:~:text=Those%20without%20specialist%20qualification%20can,only%209%20years%20in%20service.&text=3%20years%20at%20Grade%2044,as%20a%20specialist%2C%20whichever%20earlier.&text=to%20MOH%20Expert%20Review%20Panel%20recommendations.

6. https://www.minda2tinta.com/2024/07/pentingnya-proses-pemilihan-dan.html

Sumber: Laporan Tahunan KKM 2019



Wednesday, 24 July 2024

ANCAMAN BOMOH SCAMMER KEPADA MASYARAKAT



Masyarakat kita masih kuat kepercayaan mereka kepada golongan yang menggelarkan diri sebagai bomoh atau dukun, walaupun ramai yang sudah terpedaya. 

Bomoh pada hari ini sudah canggih, ada yang pandai menggunakan media sosial dan bermain tik tok. Mereka juga boleh memberi khidmat jarak jauh secara atas talian.Masyarakat berjaya dikelirukan dengan imej islamik mereka, berjubah, berserban dan bertasbih, di samping fasih pula membaca ayat2 suci. Ada juga bomoh yang pandai bermain silap mata (tapi pengikut mereka sangka kuasa luar biasa), satu daya tarikan untuk yakinkan pelanggan mereka. Kemahiran video editting tidak disia2kan dan sedikit masa lagi mungkin teknologi AI akan menyusul.

Masyarakat mempercayai bomoh kebanyakannya melalui berita mulut ke mulut ataupun pengalaman orang lain ataupun berita2 viral. Umumnya, masyarakat sukar untuk mengetahui latar belakang dan kredibiliti bomoh2 ini. Lebih2 lagi melibatkan bomoh2byang sudah ramai pengikut dan pentaksub. Mereka ikut dan percaya sahaja kerana terdesak. Sebab itu mereka seringkali terjerut oleh scammer.

Di sepanjang kerjaya sebagai seorang doktor, memang banyak kali berdepan dengan masalah yang ditimbulkan oleh bomoh2 ini. Di antaranya pesakit yang pergi mendapatkan rawatan ke bomoh terlebih dahulu. Ada yang enggan dirawat di hospital kerana tarikan bomoh yang lebih kuat. Ada juga rawatan bomoh yang menambah kesakitan dan mudarat kepada penyakit. Kalau penyakit kanser, ada bomoh yang mendakwa boleh memindahkan kanser dari badan ke batang pokok. Ada yang ulang alik berjumpa bomoh sehingga kanser sampai ke peringkat akhir dan menderita di rumah. Seperti juga doktor, bomoh pun ada bomoh tulang, bomoh kanser dan lain2. Belum lagi cerita tentang kos rawatan.

Bomoh2 ini pula kononnya pandai meramal dan menelek, samada mencari barang hilang, gejala fizikal ataupun masalah mental dan mereka juga dijadikan tempat menyelesaikan masalah rumahtangga ataupun lambat jodoh. Walaupun kaedah rawatan bomoh2 ini mungkin berbeza, jawapan kepada pertanyaan pelanggan mereka hampir semuanya sama. "Buatan orang", "disantau" dan "gangguan makhluk halus" adalah jawapan yang sinonim dengan bomoh, boleh jadi itu sahajalah yang mereka tahu ataupun itulah yang mahu didengar oleh pelanggan mereka. 

Apabila puncanya adalah "buatan orang" atau "disantau", maka berlakulah syak wasangka dan tuduh menuduh hingga berlaku ketegangan serta pergaduhan. Hubungan antara manusia menjadi renggang dan bermusuhan antara satu sama lain. Seorang pakar psikologi dan kauselor menulis di dalam statusnya tentang pengalaman bertemu dengan kes masalah rumah tangga yang berakhir dengan penceraian akibat terpengaruh dengan dakwaan bomoh seperti itu. Cerita2 tentang kesan negatif yang diakibatkan oleh khidmat bomoh scam ini jauh lebih banyak dan kebanyakannya tidak disiarkan ataupun disapu di bawah karpet. 

Kes kematian trajis arwah Zulfarhan yang sedang hangat dibincangkan hari ini juga dikatakan ada kaitan dengan bomoh. Jika itu benar2 berlaku, maka sangat menyedihkan, memandangkan skala kemudaratan yang begitu besar akibat daripadanya. Baca kronologi kes arwah Zulfarhan di sini

Apakah pula perbezaan antara bomoh dengan pengamal perubatan Islam. Nampaknya gelaran pengamal perubatan Islam seringkali disalahgunakan. Ramai bomoh yang mengaku pengamal perubatan Islam sedangkan hakikatnya, amalan yang mereka lakukan bertentangan dengan ajaran Islam. Seorang penerima Ijazah Perubatan Islam daripada Persatuan Kebajikan Perubatan Islam Malaysia ada menulis tentang ciri-ciri bomoh yang berbeza dengan Pengamal Perubatan Islam. Mengikut beliau, di antara ciri-ciri seorang bomoh (bukan pengamal perubatan Islam) adalah:

1. Dia mendakwa tahu siapa yang hantar sihir

2. Dia tahu barang yang hilang letak  di mana

3. Boleh tafsir mimpi

4. Boleh merawat secara jauh

5. Boleh membedah batin

6. Boleh berhubung dengan alam ghaib

7. Merawat dengan asap dan bahan bakar

8. Membaca ayat Al-Quran secara terbalik atau mentera yang tidak tahu bahasa apa yang digunakan.

9. Benci kepada perubatan moden

Tambahan beliau lagi, Perawat Perubatan Islam tidak ada ciri2 di atas, malahan sesiapa sahaja yang beragama Islam mampu menjadi perawat untuk diri sendiri kerana Ruqyah yang Nabi SAW ajarkan adalah untuk semua umatnya dan bukan spesifik untuk manusia tertentu. (Rujukan). Anda boleh juga membaca tentang etika Pengamal Perubatan Islam yang dikeluarkan oleh Portal Majlis Agama Islam Selangor di sini.

Maksud perubatan Islam pun terdapat perbezaan pendapat para ulamak. Ada yang beranggapan bahawa perubatan Islam merangkumi perubatan moden yang halal dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Boleh baca kenyataan Mufti Negeri Perlis di sini.

Masyarakat perlu berhati2 dengan golongan yang bergelar bomoh ataupun mendakwa boleh berinteraksi dengan makhluk halus ataupun mempunyai kuasa luar biasa, kerana mereka ini berkemungkinan besar seorang scammer. Imej luaran yang islamik itu bukan kayu ukur kepada kebenaran dan ada juga yang berselindung di sebalik gelaran pengamal perubatan Islam atau ustaz. Lebih-lebih lagi pada masa ini di mana banyaknya berlaku scam yang melibatkan golongan yang berimejkan agama sehingga wujud perkataan "JENAYAH KUPIAH PUTIH".   


Dato' Dr Rushdan Noor 

25hb Julai 2024


Nota tambahan: Perkataan bomoh di dalam tulisan ini lebih banyak merujuk kepada golongan scammer yang mendakwa mereka boleh menelek, meramal, merawat penyakit atau berinteraksi dengan makhluk halus atau jin, sedangkan hakikatnya mereka tidak adapun kemampuan tersebut. Adapun bomoh yang menggunakan khidmat syaitan dan iblis pula tergolong dalam kalangan umat yang dilaknat oleh Allah swt. Majoriti bomoh yang ada pada hari ini adalah golongan yang pertama. Kedua2 bentuk bomoh ini adalah ancaman kepada masyarakat.


https://mais.gov.my/artikel-dakwah/etika-perbomohan-pengamal-perubatan-islam/

https://muftiperlis.gov.my/index.php/minda-mufti/281-perubatan-islam-istilah-yang-disalahgunakan









Friday, 19 July 2024

PENTINGNYA MEMILIH PEMIMPIN DALAM SESUATU ORGANISASI/KEMENTERIAN


 

Saya telah berkhidmat selama 35 tahun sebagai kakitangan kerajaan di bawah KKM. Jawatan terakhir saya adalah Ketua Perkhidmatan O&G KKM. Sekarang sudah bersara dan telah lama menyimpan rasa untuk menulis tentang tajuk di atas, berdasarkan kepada pengalaman dan pemerhatian.

Salah satu pengajaran penting yang diperolehi adalah betapa pentingnya kedudukan seorang pemimpin di dalam organisasi atau kementerian, samada sebagai Ketua Unit, Ketua Jabatan, Ketua Perkhidmatan, Pengarah, Ketua Pengarah dan seterusnya. Kesemua pemimpin2 ini akan menentukan halatuju dan kejayaan sesuatu organisasi, bermula dari pemimpin teratas, hingga ke peringkat bawah. Walaupun persekitaran dan kualiti kerja umumnya bergantung kepada semangat kerja dalam pasukan, namun ketua ataupun pemimpin teratas akan memainkan peranan paling penting.

Perlantikan seorang pemimpin perlu dilakukan berhati2 dan sepatutnya melalui proses tapisan yang teliti dan sistematik, tidak dilakukan semberono ataupun tangkap muat. Perlantikan hendaklah diputuskan oleh jawatankuasa yang berkelayakan, berintegriti dan telus.

Pemimpin yang cemerlang mempunyai pekej yang lengkap. Senioriti, pangkat, pencapaian akademik dan sumbangan peribadi adalah di antara kriteria yang seringkali dijadikan syarat perlantikan, tetapi yang lebih penting dari itu adalah personaliti dan kemahiran memimpin. Ada individu yang pencapaian akademik dan sumbangannya hebat tapi menjadi punca persekitaran kerja yang toksik kerana masalah komunikasi dan personaliti. Jika mereka ini dilantik, maka begitulah nanti suasana kerja di Jabatan atau Kementerian mereka.

Keupayaan memimpin adalah satu kemahiran lain yang tidak dimiliki oleh semua orang. Tanpa kemahiran memimpin, ciri2 lain seorang pemimpin seperti yang dinyatakan di atas akan menjadi kurang bermakna. Mungkin satu hari nanti, memiliki diploma/ijazah di dalam kursus kepimpinan contohnya akan dijadikan keperluan asas untuk dilantik menjadi pemimpin besar sesebuah organisasi atau kementerian.

Tempoh lantikan seorang pemimpin di dalam Kementerian dan Jabatan perlu dihadkan dan tidak boleh terlalu panjang di atas sebab2 yang semua orang tahu. Had atau tempoh maksima memegang jawatan perlu ditetapkan contohnya selama 6 tahun. Bagi organisasi kecil seperti unit atau jabatan, penggiliran ketua unit dan jabatan boleh juga dilakukan secara tetap, setiap 2-4 tahun. Angka2 ini hanyalah cadangan.

Mekanisma memantau pemimpin2 yang telah dilantik perlu diujudkan dan penilaian ke atas pencapaian mereka dijalankan secara tetap. Mereka perlu menyediakan laporan pencapaian ("report card" dan KPI) dan pihak jawatankuasa perlu menetapkan KPI khusus untuk jawatan mereka. KPI sahaja tidak mencukupi, maklumbalas tentang personaliti dan kemahiran memimpin perlu dinilai melalui penilaian 360 darjah. Jika tidak mencapai sasaran, jawatan perlu dilepaskan dan mereka digantikan dengan pemimpin baru. Lagi tinggi kedudukan pemimpin tersebut, lagi ketat dan tinggi penanda aras yang akan ditetapkan.

Bakat2 baru boleh dicungkil dari setiap negeri dengan adanya mekanisma mengenalpasti potensi2 pemimpin masa depan. Program persediaan pelapis untuk mengambil aleh jawatan perlu dimulakan awal dan potensi2 besar disenarai pendek. Proses lantikan akan menjadi lebih baik jika tidak ada pengaruh politik dan kronisma. Kadangkala faktor keserasian bekerja dengan pihak atasan dan favouritisma (pilih kasih) dijadikan sebab mengapa pemimpin dilantik ataupun disambung tempoh lantikan, sedangkan mereka tidak cekap.

Pemimpin yang bakal melepaskan jawatan tidak diberikan kuasa yang terlalu besar untuk melantik timbalan atau penggantinya. Faktor usia timbalan atau bakal pengganti juga perlu diambil kira, sebaik2nya bukan dalam kalangan mereka yang akan bersara dalam masa terdekat. Usia yang lebih muda akan memberi mereka masa yang mencukupi apabila mengambil aleh jawatan dan pada waktu yang sama dapat mengelak dari melanjutkan tempoh jawatan pemimpin yang sepatutnya sudah berhenti.

Dipilih menjadi pemimpin boleh dianggap satu amanah dan tanggungjawab yang besar. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Maka, bagi meningkatkan semangat dan motivasi, pemimpin2 yang dilantik ini perlu diberikan satu bentuk insentif ataupun imbuhan. Pihak Kementerian boleh memikirkan apakah bentuk imbuhan tersebut, samada dalam bentuk hadiah, kenaikan pangkat ataupun elaun tambahan.

Pemimpin2 yang hebat adalah seseorang yang berjaya membawa organisasi ataupun kementeriannya ke tahap yang lebih tinggi dan manfaatnya sampai kepada kakitangan serta golongan sasaran, bukan untuk mempopularkan diri sendiri. Mereka berjaya mengujudkan persekitaran kerja yang harmoni, produktif dan setiap ahli di dalamnya merasa dihargai serta mengamalkan budaya kerja berpasukan yang mantap. Kerja2 baik yang ditinggalkan terus bercambah dan memanfaatkan orang ramai walaupun mereka sudah tidak ada. Mereka juga menghasilkan pelapis2 hebat yang bakal mengambil aleh jawatan dan meneruskan kerja baik dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Pencapaian sesuatu organisasi atau kementerian adalah refleksi dari kualiti kepimpinannya. Jika kaedah perlantikan pemimpin ini dapat dilakukan dengan betul, pemimpin yang terpilih itu memiliki ciri2 yang tersebut di atas dan mematuhi had tempoh jawatan mereka (sedar bila sepatutnya mereka berundur), maka kita akan dapat melihat percambahan idea2 baru yang segar, inovatif dan progresif. Jika tidak, kita akan kekal pada takok yang sama ataupun merangkak ke hadapan, sedangkan negara2 jiran kita sudah jauh meninggalkan kita di hadapan.

DDr Rushdan Noor
21hb Julai 2024






Monday, 15 July 2024

KAITAN ANTARA KOLESTEROL & LEMAK DALAM MAKANAN DAN DARAH DENGAN RISIKO PENYAKIT JANTUNG


PENDAHULUAN

Kolesterol diperlukan oleh badan untuk membuat vitamin dan hormon. Kolesterol diperolehi daripada 2 sumber iaitu dari dalam tubuh badan kita yang dihasilkan oleh hati (80%) dan kolesterol yang diambil daripada makanan (20%). Sumber kolesterol yang utama adalah yang dihasilkan oleh badan. Manakala sumber kolesterol dari diet datangnya dari makanan yang bersumberkan haiwan seperti daging, hati, minyak dan produk tenusu.

Rencana ini membincangkan tentang apakah kaitan antara pengambilan makanan berkolesterol dan tahap kolesterol darah dengan risiko mendapat penyakit saluran darah (sakit jantung dan angin ahmar (stroke).

KOLESTEROL DALAM DARAH

Ada dua jenis kolesterol yang utama di dalam badan iaitu LDL (kolesterol jahat) dan HDL (kolesterol baik). Ringkasnya LDL membawa kolesterol masuk ke dalam saluran darah, manakala HDL membawa kolesterol ke hati untuk dikeluarkan dari darah. Jadi LDL dan HDL bertindak secara bertentangan, satu meningkatkan kolesterol dan satu lagi mengurangkan kolesterol dalam saluran darah. Sebab itu mereka dikenali sebagai kolesterol baik dan kolesterol jahat. 

Kolesterol yang diambil dari luar akan masuk ke dalam badan dan menjadi kolesterol jahat (LDL) dan Kolesterol baik (HDL). Peningkatan kolesterol jahat (LDL) dalam darah boleh juga disebabkan oleh pengambilan lemak tepu yang tinggi. Manakala pengambilan lemak trans juga boleh menurunkan kandungan kolesterol baik ataupun HDL di dalam darah. Peningkatan LDL dan penurunan HDL darah adalah faktor risiko mendapat penyakit saluran darah.

LEMAK DAN TRIGLISERIDA

Lemak adalah salah satu makronutrin seperti protein dan karbohidrat. Lemak bukan kolesterol tetapi kedua2nya ada kaitan. Banyak kegunaan lemak dan tidak akan dibincangkan di sini. Seperti juga kolesterol, lemak juga ada yang baik (monounsaturated fat dan polyunsaturated fat) dan ada yang tidak baik (saturated fat dan trans fat). Lemak yang baik dan tidak baik merujuk kepada lemak di dalam makanan, sedangkan kolesterol jahat (LDL) dan kolesterol baik (HDL) pula merujuk kepada kolesterol yang ada di dalam darah. Boleh cari sendiri maklumat tentang sumber lemak di dalam internet. 

Makanan berlemak yang diambil akan dipecahkan dan masuk ke dalam darah terutamanya dalam bentuk trigliserida ("triglyceride"). Trigliserida juga boleh dihasilkan oleh hati daripada karbohidrat apabila berlebihan. Trigliserida di bawa dalam darah oleh satu lipoprotein dikenali sebagai VLDL.

KAITAN ANTARA LEMAK DAN KOLESTEROL

Kebanyakan makanan yang mengandungi tinggi kolesterol juga mengandungi lemak tepu kecuali telor dan  haiwan laut bercengkerang (udang, ketam, lobster, kerang dll). Telor walaupun tinggi kolesterol tetapi kandungan lemak tepunya rendah.

Kajian mendapati pengambilan lemak tepu dan lemak trans boleh meningkatkan kandungan kolesterol dalam darah. Ceritanya begini. Kolesterol dibawa masuk ke dalam sel hati melalui reseptor yang ada pada dinding selnya. Ahli Sains percaya lemak tepu yang tinggi akan mengganggu fungsi reseptor ini dan merencat kemasukan kolesterol ke dalam sel. Akibat daripada ini, kolesterol di dalam darah akan naik.

Semasa melakukan ujian darah, makmal boleh mengukur kandungan kolesterol yakni jumlah keseluruhan kolesterol, LDL dan HDL. Manakala ukuran untuk lemak pula adalah Trigliserida.

KAITAN ANTARA KOLESTEROL DALAM MAKANAN DAN KOLESTEROL DALAM DARAH

Hampir konsisten, kajian2 mendapati bahawa pengambilan kolesterol melalui makanan mempunyai pengaruh yang kecil ke atas tahap kolesterol darah. Walau bagaimanapun terdapat segolongan manusia yang bertindakbalas secara berbeza, di mana pengambilan makanan berkolesterol menyebabkan kandungan kolesterol darah meningkat, golongan ini dikenali sebagai "hyper responder". Tidak diketahui berapa peratus populasi yang mempunyai ciri2 hyper responder, ada yang berpendapat sehingga 25%. Jadi kita tidak tahu samada termasuk di dalam golongan ini atau tidak.

Walaupun kajian mendapati pengambilan kolesterol dalam makanan kurang mempengaruhi kolesterol dalam darah, banyak juga kajian yang mendapati golongan yang mengambil diet tinggi kolesterol mempunyai risiko penyakit saluran darah. Jadi mungkin ada mekanisma lain yang menyebabkan keadaan ini ataupun pengaruh daripada golongan hyper responder serta lain2 faktor risiko. Salah satu kajian besar yang mendapati wujudnya kaitan antara pengambilan diet berkolesterol yang tinggi dengan penyakit saluran darah adalah kajian systemic review dan meta-analisis yang dikemaskinikan, disiarkan di dalam jurnal Circulation tahun 2022. Saiz sampel kajian ini sangat besar dan tempoh pemantauannya yang lama iaitu selama 31 tahun (1).

Terdapat beberapa kajian yang menafikan hubungan ini dan salah satu daripadanya adalah kajian PURE  (Prospective Urban Rural Epidemiology Study) yang disiarkan pada tahun 2017 dalam jurnal The Lancet. Kajian PURE ini dilakukan di 18 buah negara dunia ketiga termasuk India, China dan lain2. Salah satu dapatan dari kajian ini adalah pengambilan lemah yang tinggi tidak meningkatkan risiko kematian (2). Walau bagaimanapun kajian ini mendapat kritikan hebat disebabkan oleh banyak kelemahan (3,4). 

KANDUNGAN KOLESTEROL DARAH DENGAN RISIKO PENYAKIT SALURAN DARAH

Banyak kajian dilakukan untuk melihat kaitan antara kolesterol darah dengan risiko mendapat penyakit saluran darah. Walaupun keputusan hasil kajian2 tersebut berbeza2 namun banyak kajian mendapati bahawa kandungan LDL darah dan Trigliserida yang tinggi meningkatkan risiko menghidap penyakit saluran darah. Penyakit saluran darah jantung menyebabkan sakit jantung koronari, manakala jika melibatkan saluran darah otak menyebabkan angin ahmar (stroke). Tambahan pula kajian terhadap pesakit yang mengambil ubat statin untuk menurunkan kandungan kolesterol dan trigliserida telah menunjukkan keputusan yang sama. 

Satu systematic review mengumpulkan kajian2 prospektif yang mengkaji peranan kolesterol dan trigliserida dalam darah telah disiarkan di dalam Jurnal Current Cardiology Review tahun 2021. Hasil analisa kertas-kertas kajian tersebut mendapati memang terdapat hubungan antara jumlah kolesterol darah, LDL-C dan Trigliserida dengan peningkatan risiko mendapat penyakit jantung dan angin ahmar (5). 

BAGAIMANA KOLESTEROL DARAH MENYUMBANG KEPADA PENYAKIT SALURAN DARAH

Kandungan kolesterol LDL (LDL-C) darah yang tinggi boleh menyumbang kepada penyakit saluran darah (penyumbatan) seperti sakit jantung dan angin ahmar. Proses penyumbatan ini berlaku akibat dari gabungan banyak faktor termasuk keradangan, kerosakan sel dinding saluran darah, pemendapan kolesterol, kesan radikal bebas, sel2 pembekuan darah dan  lain2 hingga membentuk plug di dinding saluran darah yang dinamakan atherosklerosis. Tahap trigliserida yang tinggi juga boleh menyumbang kepada pembentukan atherosklerosis melalui kesan keradangan pada dinding saluran darah. Proses kejadian atherosklerosis ini sangat kompleks dan tidak hanya bergantung kepada kolesterol.  Atherosklerosis ini akan menyempitkan saluran darah dan menjejas bekalan darah. Jika ianya melibatkan saluran darah jantung, pesakit akan mengalami serangan jantung dan jika berlaku di otak, mengalami penyakit angin ahmar (stroke).

GARISPANDUAN PENGAMBILAN KOLESTEROL DAN LEMAK DARI MAKANAN

Berdasarkan kepada garispanduan diet yang sihat dikeluarkan oleh banyak badan2 antarabangsa termasuk Pertubuhan Jantung Amerika (AHA), NICE (UK) dan KKM sendiri, kita masih berpegang kepada pendapat bahawa pengambilan diet yang tinggi kolesterol, lemak tepu dan lemak trans meningkatkan risiko penyakit saluran darah, walaupun hasil kajian berbeza-beza. Tambahan pula makanan yang tinggi kolesterol juga mempunyai kandungan lemak tepu yang tinggi, maka menghadkan pengambilan kolesterol dalam diet akan membantu menurunkan pengambilan lemak tepu dan lemak trans. 

Pada masa lalu, diet berkolesterol diberikan tumpuan yang spesifik (had pengambilan 200-300 mg/sehari) tetapi pada hari ini cadangan diet sihat bersifat lebih umum. Had pengambilan kolesterol sehari tidak lagi ditetapkan tetapi masih mengesyorkan supaya mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi kolesterol dan lemak tepu. Lebih2 lagi jika seseorang itu mempunyai risiko menghidap sakit jantung seperti kandungan LDL darah yang tinggi, kegemukan, merokok, diabetes, darah tinggi, sakit jantung dan juga seseorang yang menyerap kolesterol ("hyper responder") yang cepat disebabkan oleh faktor genetik (7). NICE (UK) juga mempunyai pendirian yang sama (8,9). 

KKM, AHA dan NICE sekata di dalam isu cadangan diet sihat untuk jantung iaitu mengurangkan pengambilan makanan2 yang mengandungi lemak tepu, lemak trans dan menggantikannya dengan  lemak baik (lemak tidak tepu). Di samping mengurangkan pengambilan gula ringkas dan garam.

Pakar daripada Pertubuhan Jantung Amerika mengesyorkan supaya daripada memikirkan kolesterol di dalam diet secara terpisah, lebih baik setiap individu menumpukan perhatian meningkatkan pengambilan makanan yang menyihatkan seperti buah2an, sayuran, bijirin, karbohidrat kompleks, whole grain, sumber protin yang sihat (berasaskan tumbuhan dan ikan) dan produk tenusu yang rendah lemak (7). 

Garispanduan amalan klinikal KKM 2023 mencadangkan had pengambilan lemak tepu kepada 10% (AHA, 5-6%)  daripada jumlah kalori sehari, lemak trans kurang dari 1% dari jumlah kalori,  manakala untuk keseluruhan jenis lemak, 20% daripada jumlah kalori (6). Had pengambilan kolesterol tidak dinyatakan. Cadangan lain adalah mengurangkan garam, gula ringkas, jauhi daging yang diproses, memasak dengan minyak tumbuhan (minyak zaiton, canola, sunflower dll) dan kurangkan minyak tumbuhan tropika seperti sawit dan kelapa.  Faktor gayahidup yang lain juga perlu dititikberatkan seperti senaman yang tetap, tidur yang cukup, kurangkan stres, tidak merokok dan minum alkohol.



SASARAN TAHAP KANDUNGAN KOLESTEROL DAN TRIGLISERIDA DI DALAM DARAH

Mengikut garispanduan amalan klinikal KKM tahun 2023, berikut adalah tahap kolesterol dan trigliserida darah yang disasarkan (6):

1. Jumlah kolesterol: kurang daripada 5.2 mmol/L, 

2. HDL : >1 mmol/L untuk lelaki dan > 1.2 mmol/L untuk wanita

3. LDL-C bergantung kepada faktor risiko di mana individu yang berisiko rendah menghidap penyakit saluran darah, sasarannya adalah kurang dari 3 mmol/L, yang berisiko tinggi kurang dari 2.6 mmol/L dan sangat berisiko tinggi kurang dari 1.4 mmol/L ataupun lebih dari 50% pengurangan daripada nilai asas. Manakala tahap 

4. Trigliserida: kurang dari 1.7 mmol/L. (6)

KESIMPULAN

Risiko untuk mendapat penyakit saluran darah seperti penyakit jantung dan angin ahmar melibatkan banyak faktor bukan setakat kandungan kolesterol dan trigliserida di dalam darah. Walaupun hubungan antara pengambilan kolesterol dari makanan kurang mempengaruhi kolesterol darah, namun banyak kajian mendapati ianya ada kaitan dengan risiko mendapat penyakit saluran darah. Kandungan kolesterol dalam darah boleh meningkat akibat pengambilan lemak tepu yang tinggi kerana ia boleh mengganggu kemasukan kolesterol ke dalam hati. Lemak trans juga boleh menurunkan kandungan kolesterol baik ataupun HDL. Peningkatan LDL-C & trigliserida serta penurunan HDL dalam darah boleh meningkatkan risiko penyakit saluran darah.

Tidak dapat dinafikan bahawa memang ada kajian yang menunjukkan hasil yang berbeza tetapi ianya tidak cukup kuat untuk mengubah cadangan diet sihat yang sedia ada. Tidak hairanlah mengapa institusi2 kesihatan seperti Pertubuhan Jantung Amerika, NICE (UK), KKM dan lain2 masih mengekalkan cadangan diet sihat (sayuran, buah2an, whole grain, bijirin, protein sihat, karbohidrat kompleks, menukar jenis lemak kepada lemak tidak tepu dan lain2) dan mengurangkan pengambilan gula ringkas serta garam. Di samping itu institusi2 ini juga menetapkan had kandungan kolesterol dan trigliserida di dalam darah yang perlu disasarkan. Walau bagaimana pun, had pengambilan kolesterol di dalam diet tidak dinyatakan seperti dahulu. 

Langkah-langkah mengurangkan risiko sakit jantung, angin ahmar dan lain-lain penyakit kronik memerlukan perubahan gayahidup yang menyeluruh daripada jenis makanan, minuman, kebersihan, aktiviti fizikal, mencegah obesiti, mengurangkan stres, tidur yang mencukupi dan menghindari tabiat2 buruk seperti merokok dan meminum alkohol.


Dato' Dr Rushdan Noor 

15hb Julai 2024

RUJUKAN

1. Zhao B, Gan L, Graubard BI, et al.Associations of Dietary Cholesterol, Serum

Cholesterol, and Egg Consumption With Overall

and Cause-Specific Mortality: Systematic Review

and Updated Meta-Analysis

Circulation. 2022;145:1506–1520. DOI: 10.1161/CIRCULATIONAHA.121.057642

2. Dehghan M, Mente A, Zhang X, et al. Associations of fats and carbohydrate intake with cardiovascular disease and mortality in 18 countries from five continents (PURE): a prospective cohort study. Lancet. 2017;pii: S0140-6736(17)32252-3

3. https://nutritionsource.hsph.harvard.edu/2017/09/08/pure-study-makes-headlines-but-the-conclusions-are-misleading/

4. https://www.amjmed.com/article/S0002-9343(17)31216-0/pdf

5. Alloubani A, Nimer R , Samara R. Relationship between Hyperlipaedemia, Cardiovascular Disease and Stroke : A systematic review. Curr Cardiol Rev, 2021 Dec 28;17(6): e051121189015

6. 6th edition. Clinical Practise Guidelines. Management of Dyslipidaemia. 2023 (https://www.malaysianheart.org/publication/clinical-practice-guidelines/p/clinical-practice-guidelines-management-of-dyslipidaemia-2023-6th-ed)

https://www.malaysianheart.org/management.file/doc/202312237439134019.pdf

7. https://www.heart.org/en/news/2023/08/25/heres-the-latest-on-dietary-cholesterol-and-how-it-fits-in-with-a-healthy-diet

8. https://www.nice.org.uk/guidance/ng238/chapter/Recommendations#identifying-and-assessing-cardiovascular-disease-risk-for-people-without-established-cardiovascular

9. https://www.nhs.uk/live-well/eat-well/food-types/different-fats-nutrition/

https://www.healthline.com/health/high-cholesterol/rda

https://www.ahajournals.org/doi/10.1161/CIR.0000000000001031

https://www.ahajournals.org/doi/full/10.1161/CIR.0000000000000743

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3234107/

RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI DAN TIDAK MEWAKILI MANA2 PERTUBUHAN DAN INSTITUSI.









Wednesday, 10 July 2024

ADAKAH PROGRAM DAN UCAPAN MOTIVASI BERKESAN ?

 

"Pakar motivasi" boleh jadi kerjaya yang lumayan dan golongan ini menjadi tumpuan sekolah2 dan institusi2 untuk memberi semangat kepada pelajar dan pekerja yang kononnya boleh memperbaiki pencapaian masing2. Persoalannya adakah program2 seumpama ini benar2 bermanfaat ataupun hanya membazirkan wang ? Jika bermanfaat, adakah data2 atau kajian2 yang menyokongnya?  Pakar motivasi dan program yang macam mana yang baik dijalankan, takut tersalah pilih pakar motivator atau terjemput seorang scammer.


Seorang Pakar Psikologi perniagaan, sukan dan keibubapaan yang juga Pensyarah di University of San Francisco, Dr.Jim Taylor berpendapat bahawa ucapan, tulisan dan program motivasi ataupun inspirasional hanya memberi kesan jangka pendek. 


Ucapan dan program2 motivasi ini memang mengujakan semasa ianya dijalankan tetapi selepas peserta pulang, keadaan kembali seperti sediakala. Pada pendapat beliau di antara puncanya adalah motivasi itu adalah dicipta dari luar oleh orang lain, sedangkan apa yang diperlukan adalah kekuatan dan perubahan diri setiap orang. Program inspirasi ataupun motivasi sememangnya dicipta untuk memaksimakan keterujaan peserta ketika itu (inilah produk pakar motivasi), tetapi kajian menunjukkan bahawa ia tidak mampu untuk melakukan perubahan jangka panjang ke atas majoriti peserta. Selepas peserta pulang, selepas sehari apabila bangun dari tidur, mereka adalah orang yang sama. 


Program motivasi ini dianggap hanya seperti jam loceng pengejut tidur dan apabila kita bangun, apa yang akan dilakukan seterusnya adalah datangnya daripada kehendak dan kesungguhan dalam diri masing2. Kita perlu mempunyai perancangan dan arah tuju yang betul. Untuk berubah, kita memerlukan kekuatan dalaman dan keinginan yang kuat.


Beliau setuju bahawa program motivasi mungkin ada manfaat tetapi bukan untuk kesan jangka panjang. Program ataupun ucapan motivasi hanya berkesan jika ianya dilakukan ke atas orang2 yang sedang membuat persediaan melakukan kerja berkumpulan yang besar contohnya sekumpulan pemain bola sepak yang bersedia untuk turun ke padang, atlit yang sedang bersedia untuk bertanding, askar yang bersedia untuk berperang dan lain2. Persediaan diri dan kekuatan diri sudah ada, hanya perlu lonjakan terakhir. Program motivasi bukan untuk individu yang tidak ada persediaan dan tidak ada arah tuju di dalam hidupnya.


Dr. Jim Taylor berkata "if you want real inspiration, the kind that will consume every pore of your body, sustain itself not only through the next morning, but many mornings to come, and drives you to achieve your goals, look deep inside and see if you can find it in you".


Dato' Dr Rushdan Noor

11hb Julai 2024

Tuesday, 9 July 2024

PERLUKAH ORANG SIHAT AMBIL MULTIVITAMIN ?

 


Satu kajian besar yang melibatkan hampir 400,000 peserta (dari 3 kajian cohort) yang terdiri dari orang dewasa sihat sekurang2nya berusia 20 tahun telah dijalankan untuk mengkaji kesan amalan mengambil multivitamin (1). Kajian ini diketuai oleh penyelidik2 dari National Institutes of Health, National Cancer Institute, USA dan disiarkan di jurnal JAMA, pada 26hb Jun, 2024.

Peserta kajian ini dipantau sehingga 20 tahun dan mereka adalah dalam kalangan yang mengamalkan multivitamin setiap hari. Kumpulan ini dibandingkan dengan individu yang tidak mengamalkan multivitamin. 

Hasil kajian ini mendapati, peserta2 yang mengamalkan multivitamin mempunyai risiko kematian akibat penyakit kronik yang sama dengan individu yg tidak mengamalkan multivitamin. Keputusan dari kajian ini telah diselaraskankan dengan faktors ethnik, tahap pendidikan dan juga kualiti diet. Dengan kata lain, amalan mengambil multivitamin oleh orang2 yang sihat (tidak ada penyakit jantung, kanser dan lain2) TIDAK ada manfaat dalam mengurangkan risiko kematian akibat penyakit jantung, angin ahmar dan  kanser.

Boleh baca dengan lebih lanjut tentang kajian ini di pautan bawah:

https://jamanetwork.com/journals/jamanetworkopen/fullarticle/2820369


Dato' Dr Rushdan Noor

10hb Julai 2024


Rujukan: 

1. Loftfield E, O’Connell CP, Abnet CC, et al. Multivitamin Use and Mortality Risk in 3 Prospective US Cohorts. JAMA Network Open. June 26, 2024. DOI: 10.1001/jamanetworkopen.2024.18729






Friday, 5 July 2024

BENARKAH POKOK MORINGA BOLEH MERAWAT PELBAGAI JENIS PENYAKIT?



Musim produk minyak mungkin dah mula melepasi kemuncak dan sedang menurun, diganti pula dengan musim pokok Moringa. Seperti biasa, bermacam2 cerita keajaiban Moringa menjadi buah mulut penjual produk. Kebetulan di belakang rumah saya di kampung, ada sepohon pokok Moringa yang agak besar. Maka saya membuat sedikit pencarian maklumat tentang pokok ini dan bertemu dengan beberapa rencana mengenainya.

KHASIAT MORINGA

Tidak dapat dinafikan memang ahli sains bertemu dengan pelbagai sebatian kimia dari pokok Moringa yang didapati mengandungi fitokimia, sumber nutrien, antioksidan, antibakteria, antifungus(kulat), anti-keradangan dan juga boleh membunuh sel ("cytotoxic"). Ekstrak Moringa juga boleh menurunkan gula darah dan tekanan darah. Daripada ciri2 yang disenaraikan di atas, maka berkembangnya dakwaan tentang seribu satu khasiat Moringa, hingga dianggap sejenis pokok yang ajaib ("miracle tree"). Tetapi semua ini bukanlah pelik, kerana tumbuh2an ciptaan Tuhan memang kaya dengan khasiat, tidak hairanlah mengapa banyak ubat2an moden juga dihasilkan atau diekstrak dari tumbuhan.

Persoalannya, adakah penemuan ciri2 yang tersebut di atas boleh diterjemahkan kepada kemampuan mencegah dan merawat penyakit apabila diambil dalam bentuk serbuk, kapsul, teh, air rebusan atau jus oleh manusia? Ini yang menjadi minat utama saya untuk menyiasat. Untuk mencari jawapan kepada persoalan ini, kita kena cari kajian2 klinikal yang telah dijalankan.

KAJIAN KLINIKAL KE ATAS MORINGA

Boleh dikatakan hampir kesemua ciri2 yang dikaitkan dengan Moringa di atas, adalah hasil kajian kecil ke atas tikus (samada tikus biasa ataupun tikus belanda ("guinea pig"). Manakala kajian untuk kesan mematikan sel ataupun merosakkan DNA (mutagenecity, sitotoksik) dilakukan ke atas lapisan sel kanser ("cancer cell lines") di dalam makmal. Hanya ada beberapa kajian kecil ke atas manusia untuk melihat kesan menurunkan gula darah dan tekanan darah, tetapi sampelnya kecil dan bukan kajian RCT. 

Pendek kata, semua kajian2 ini adalah kajian peringkat pra-klinikal dan dalam setiap kertas kajian yang disiarkan, penyelidik menyenaraikan kelemahan kajian tersebut seperti sampel yang kecil, isu dengan metodologi, formulasi yang berbeza, bahagian2 pokok yang berbeza (daun, akar, kulit dan biji) dan dos yang berbeza. 

Di akhir setiap kajian itu, penyelidik berpendapat bahawa penemuan2 ke atas haiwan ini perlu disahkan melalui kajian ke atas manusia, justeru terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan yang muktamat. Penyelidik mencadangkan agar kajian yang lebih besar dan berkualiti perlu dijalankan untuk membuktikan keberkesanan dan keselamatan Moringa. Tidak hairanlah mengapa ianya belum digunakan oleh doktor2 di hospital, malahan tidak termasuk dalam senarai pilihan alternatif dalam garispanduan amalan klinikal.

KESAN SAMPINGAN MORINGA

Umumnya mengambil daun Moringa dalam kuantiti yang sedikit adalah selamat. Kesan antioksidan lebih tinggi dari daun berbanding dengan bahagian lain pokok Moringa. Manakala bagi bahagian akar, biji dan kulit pokok pula, penyelidik menyarankan agar lebih berhati2. Disebabkan kajian ke atas manusia sangat terhad, maka tidak ada jaminan keselamatan. Beberapa kesan2 sampingan yang tersenarai adalah penemuan semasa kajian ke atas haiwan di dalam makmal, selebihnya adalah dari rekod laporan pengguna. Kesan jangka panjang dan kesan ke atas anak di dalam kandungan pula, belum dapat dipastikan.

Di bawah ini adalah senarai kesan sampingan yang dilaporkan boleh berlaku apabila mengambil produk berasaskan pokok Moringa:

1. Alahan ataupun reaksi allergik termasuk kejutan anafilaksis
2. Masalah perut dan usus seperti loya, muntah, cirit-birit dan kembung perut
3. Ruam dan kegatalan kulit
4. Peningkatan enzim hati yang memungkinkan kerosakan hati jika diambil dalam kuantiti yang banyak untuk jangka masa panjang.
5. Gangguan fungsi buah pinggang dikesan terutama dari pengambilan bahagian akar dan kulit Moringa.
6. Kajian makmal ke atas sel bakteria mendapati ekstrak dari biji Moringa boleh merosakkan DNA ("genotoxic").
7. Ekstrak dari akar Moringa juga mengandungi "alkaloid spirochin" yang boleh merosakkan saraf dikenali sebagai "neuro-paralytic toxin".
8. Rhabdomyolysis adalah keadaan di mana otot2 dipecahkan pada kadar yang cepat dan pesakit mengalami sakit otot, lemah badan dan muntah.
9. Interaksi dengan ubat2 seperti ubat diabetes (sitaglipin), ubat darah tinggi dan ubat penyakit tiroid. Moringa juga mempunyai kesan melambatkan pembekuan darah dan boleh berinteraksi dengan ubat pencair darah seperti warfarin.
10. Keselamatan produk Moringa ke atas ibu hamil dan yang menyusukan anak belum dapat disahkan, jadi elok dielakkan.

KESIMPULAN

Penemuan unsur2 pengubatan dari pokok Moringa adalah hasil kajian ke atas haiwan di dalam makmal. Belum ada kajian klinikal ke atas manusia yang meyakinkan. Rata2 penyelidik menyarankan agar kajian lanjut dilakukan ke atas manusia untuk menentukan keberkesanan pokok Moringa di dalam mencegah dan merawat penyakit. Di samping ketidakpastian tentang aspek keberkesanan, potensi kesan samping jangka pendek dan jangka panjang tidak boleh diabaikan. Jika orang ramai masih ingin mencuba, disarankan mengambil bahagian daun yang mengandungi kurang bahan2 toksik berbanding dengan bahagian2 lain. Sila dapatkan nasihat doktor sebelum anda mengamalkannya.

Saya syorkan anda membaca tulisan saya tentang ancaman produk kesihatan overclaim di pautan bawah:

Dato' Dr Rushdan Noor
6hb Julai 2024

Rujukan:
 
https://www.webmd.com/vitamins-and-supplements/ss/slideshow-truth-moringa

https://www.google.com/amp/s/www.asbestos.com/blog/2019/11/26/moringa-tree-cancer-research/amp/

https://www.medicalnewstoday.com/articles/319916

https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/21535795/

https://www.google.com/amp/s/www.medindia.net/amp/patients/lifestyleandwellness/side-effects-of-moringa.htm

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK501899/

https://www.zenprinciple.com/blogs/news/side-effects-of-moringa

https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/30668387/