Thursday, 23 January 2025

APAKAH MAKANAN YANG DIPROSES (PROCESSED FOODS)

 


Perkataan "processed food" ataupun makanan yang diproses seringkali ditemui di dalam tulisan2 yang berkaitan dengan kesihatan dan pemakanan. Makanan yang diproses dikaitkan dengan tabiat makan yang tidak sihat. Berapa ramai orang yang tahu apakah sebenarnya maksud makanan yang diproses dan mengapa ianya seringkali dianggap ancaman kepada kesihatan.

MAKSUD MAKANAN YANG DIPROSES (USDA)

Makanan yang diproses adalah makaman yang sudah melalui perubahan daripada bentuk asal mereka melalui beberapa kaedah pengetinan, pembekuan, pengeringan, menghancurkan, pembungkusan, membakar, memanggang, menambah bahan pengawet, bahan perasa, sterilisasi, fermentasi dan lain2.

Proses2 ini dilakukan untuk pelbagai tujuan seperti memanjangkan hayat (tahan lama), mengubah rasa, mengubah tektur dan juga  memudahkan ianya diambil. Malangnya, ada di antara proses2 ini menyebabkan berlaku perubahan kepada kandungan nutrin di dalamnya. Memproses juga merujuk kepada proses memasukkan vitamin dan mineral di dalam makanan supaya zat2 ini dapat diambil oleh orang yang memakannya. Jadi, memproses makanan ini ada juga manfaatnya.

KATEGORI MAKANAN YANG DIPROSES

Makanan boleh dikategorikan mengikut tahap pemprosesan. Tidak semua makanan yang diproses ini tidak menyihatkan, ianya bergantung kepada tahap pemprosesan dan bahan2 yang ditambah ke dalamnya. Berikut adalah kategori MYP yang dikenali sebagai pengklasan NOVA:

1. MAKANAN YANG TIDAK DIPROSES ATAUPUN MENJALANI PROSES YANG MINIMA

Makanan yang tidak diproses adalah sumber asal makanan tersebut. Contoh paling baik adalah ulaman dan buah2an yang dimakan mentah. Makanan yang menjalani proses yang minima pula melalui proses tanpa menghilangkan kandungan nutrin di dalamnya. Ini termasuk makanan segar yang dibeku, makanan yang dibuang bahagian yang tidak boleh dimakan, makanan segar yang disimpan di dalam peti sejuk, yang dipak dengan vakum dan minuman yang tidak ditambah gula dan pemanis seperti kopi, teh, yogut dan susu. 

2. RAMUAN MASAKAN YANG DIPROSES ("Processed Culinary Ingredients")

Ini adalah ramuan yang dihasilkan daripada makanan dari kategori 1 di atas melalui pemerahan, penapisan dan pengisaran untuk tujuan menyedapkan masakan. Bahan2 ini tidak dimakan sendirian tetapi ditambah ke dalam makanan. Contoh: cuka, minyak daripada bijirin/kacang/tumbuhan dan madu, tanpa tambahan perasa serta perstabil makanan.

3. MAKANAN YANG DIPROSES

Makanan di bawah kategori ini menjalani proses untuk membuat ianya tahan lama, lebih sedap dan tektur yang lebih baik. Makanan di bawah kategori ini mungkin berasal daripada kategori 1 dan 2 tetapi telah ditambah dengan gula, garam dan lemak. Makanan di dalam tin adalah di bawah kategori ini termasuk yang boleh dimakan segera.

4. MAKANAN YANG DIPROSES ULTRA ("ULTRA PROCESSED FOODS" (UPFs) OR "HIGHLY PROCESSED FOOD")

Ini adalah makanan dari kategori 3 di atas yang telah ditambah ke dalamnya selain dari gula, garam dan lemak. Bahan2 lain tersebut termasuk pewarna, pengawet, pemekat, pengumulsi ("emulsifier") dan pemanis tiruan, bertujuan untuk tahan lama, lebih sedap serta tektur yang lebih baik. Contoh: Kentang yang disimpan beku adalah kategori 3, tetapi apabila dijadikam mash potsto ataupun kentang goreng, ia menjadi kategori 4. Makanan ini dihasilkan dalam kuantiti yang banyak dengan modal yang rendah. Contoh2 minuman bergula/bergas, minuman bertenaga, biskut, kentang goreng, kerepek, nuget, mee segera, sereal dan sosaj.

Memang sukar untuk mengelak dari mengambil makanan yang diproses kerana memproses makanan telah dijadikan keperluan di dalam menyediakan banyak jenis makanan untuk menyesuaikannya dengan gaya hidup manusia. Namun kita disyorkan untuk mengenal kategori2 makanan ini agar memilih makanan yang paling kurang diproses. 





MENGAPA MAKANAN YANG DIPROSES DARI KATEGORI 4 (UPFs), TIDAK MENYIHATKAN

Terdapat beberapa sebab mengapa makanan yang diproses terutama dari kategori 3 dan 4 boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan apabila diambil dalam kuantiti yang berlebihan. Malahan kita disarankan untuk mengelak dari mengambil makanan yang diproses secara ultra (kategori 4). Berikut adalah antara sebab mengapa makanan yang diproses tidak menyihatkan jika diambil berlebihan:

1. Mengandungi ramuan yang tidak menyihatkan. Ianya mengandungi tinggi kandungan gula, lemak tepu, lemak trans dan garam. Gula yang berlebihan menyebabkan obesiti, diabetes dan sindrom metabolik. Lemak tepu dan kolesterol jahat dikaitkan dengan penyakit salran darah jantung dan angin ahmar. Manakala sodium atau garam yang tinggi boleh menyebabkan darah tinggi, penyakit buah pinggang dan sakit jantung.

2. Nilai nutrisi yang rendah. Akibat dari proses pengubahsuaian, nutrin seperti vitamin, mineral dan serat akan terhakis. Untuk jangkamasa panjang individu ini akan mengalami gejala kekurangan banyak jenis vitamin dan mineral, sedangkan saiz badannya mungkin besar.

3. Mengandungi bahan pengawet, pewarna, pengimulsi/penstabil dan perasa tiruan yang berisiko kepada kesihatan. Pengawet yang mengandungi nitrate dikaitkan dengan risiko menghidap kanser. Pewarna dan perasa boleh menyebabkan alahan. Pengimulsi dan penstabil boleh menganggu bakteria baik (mikrobiome) dalam usus dan menyebabkan gangguan usus.

4. Mengandungi bahan2 yang boleh meransang keradangan yang kronik jika berlaku pengambilan berlebihan dalam jangkamasa yang panjang. Salah satu bahan yang pro-keradangan adalah asid lemak omega 6. Keradangan adalah salah satu proses yang menjadi punca sakit sendi, saluran darah jantung dan lain2.

5. Meransang tabiat terlebih makan ("overeating"). Makanan yang diproses ini dicipta untuk manusia merasa seronok dan sedap dimakan hingga ianya diambil secara berlebihan. Makanan yang diproses mengandungi kurang protein berkualiti, kurang lemak yang baik dan serat yang menyebabkan cepat lapar dan kempunan yang juga menyumbang kepada "overeating".

6. Isu kesihatan jangka panjang. Orang yang mengambil makanan2 yang diproses ini berisiko untuk mengalami penyakit kronik seperti jantung, diabetes, darah tinggi, masalah usus dan kanser.

7. Gangguan hormon boleh berlaku akibat sebatian kimia yang terdapat di dalam makanan yang diproses contohnya BPA (Bisphenol A). Ketidakstabilan hormon boleh  menganggu metabolisma dan kesuburan.

MENGAPA MAKANAN PERLU DIPROSES

Walaupun makanan yang diproses dikaitkan dengan masalah kesihatan, namun ada sebab mengapa manusia memproses makanan. Dengan kata lain, terdapat manfaat dari memproses makanan, antaranya adalah:

1. Menjimatkan masa kerana makanan ini boleh dimakan segera dan tidak memerlukan masa yang panjang untuk disediakan.

2. Memanjangkan hayat makanan supaya dapat disimpan, mengurangkan pembaziran dan bekalan yang sentiasa tersedia.

3. Ada makanan yang diproses untuk menambah vitamin dan mineral, dikenali sebagai fortification contohnya fortifikasi bijirin dengan vitamin B12 dan folate. Kaedah ini merupakan strategi membekalkan vitamin atau mineral kepada sesatu populasi yang kekurangan nutrin ini di dalam makanan mereka di mana bijirin ini adalah makanan ruji mereka.

4. Memperbaiki keselamatan makanan melalui sterilisasi dan pasteurisasi yang membunuh organisma penyebab penyakit.

5. Lebih murah berbanding dengan makanan segar

6. Memproses makanan menyebabkan ianya boleh diperolehi bila2 masa dalam setahun dan tidak bergantung kepada musim.

7. Menambah rasa sedap dan tekstur makanan , jadi menimbulkan keseronokan untuk makan.

8. Diet istimewa dihasilkan melalui pemprosesan contohnya menghasilkan makanan yang kurang garam, kurang gula, lemak dan protein supaya sesuai diambil oleh golongan tertentu.

Nampaknya makanan yang diproses tidak semuanya buruk belaka bergantung kepada sebab ianya diproses. 

BAGAIMANA MENGENAL MAKANAN YANG DIPROSES

1. Teliti ingredien di dalam maklumat pada bungkusan atau botol. Kenal ingredien2 melalui nama kemikal mereka  yang merupakan pewarna, pengawet, perasa, pengimulsi dan lain2. Semak kandungan gula tambahan seperti fruktosa, glukosa, garam (sodium benzoate) dan lemak trans (cth: hydrogenated oil). Kandungan gula, garam (sodium) dan lemak tepu atau trans yang tinggi pada label fakta nutrisi merupakan petunjuk bahawa makanan itu telah diproses.

2. Perhatikan jenis pembungkusan dan pengetinan. Makanan yang tidak diproses dijual dalam bentuk terbuka atau pembungkusan yang minima dan tidak tahan lama jika tidak ada pengawet. 

3. Makanan yang tahan lama walaupun di luar peti sejuk seringkali disebabkan oleh bahan pengawet yang digunakan.

4. Tektur dan rasa. Makanan yang diproses mempunyai tektur bukan semulajadi dan rasa atau bau yang kuat. Contohnya chips dan biskut mempunyai rasa yang terlalu manis atau masin melebihi sifat bahan asasnya yang asal.

Di samping meneliti kandungan ingredien yang tersebut di atas, ambil tahu tentang kuantiti ingredien tersebut supaya dapat memberi panduan kepada kita sebanyak mana yang boleh diambil ataupun perlu dielakkan terus.

KESIMPULAN

Memproses makanan adalah mengubah makanan tersebut dari bentuk asalnya supaya ianya tahan lama, lebih sedap dan lebih mudah dimakan. Terdapat juga proses menambah nutrin ke dalam sumber makanan tertentu. Makanan yang diproses mempunyai 4 kategori berdasarkan sistem pengklasan NOVA. Makanan yang dikategorikan sebagai "ultra processed food" dianggap jenis makanan yang paling tinggi kadar pemprosesan ataupun pengubasuaian. Makanan jenis ini sebaik2nya dielakkan ataupun diambil pada kadar yang sangat minima. Manakala makanan yang tidak diproses ataupun diproses dengan sedikit boleh dijadikan sumber makanan yang seimbang dan tidak salah untuk diamalkan. Makanan yang diproses juga merujuk kepada proses fortifikasi vitamin dan mineral untuk dibekalkan kepada sesuatu populasi. Jadi makanan yang diproses seperti ini mempunyai manfaat menampung kekurangan nutrin yang dialami oleh sesatu kumpulan manusia ataupun pupulasi.

Pengambilan makanan yang diproses secara berlebihan dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti sakit jantung, diabetes, darah tinggi, kanser, masalah usus, sendi dan lain2. Amalan mengambil makanan yang diproses juga menjadi punca kelainan tabiat makan seperti kempunan, cepat lapar dan "overeating". Tambahan pula jika digabungkan dengan gaya hidup tidak sihat seperti kurang aktiviti fizikal, merokok, minum alkohol dan stres. Untuk memelihara kesihatan yang baik melalui pemakanan, kita perlu fokus kepada makanan yang tidak diproses ataupun diproses pada kadar yang minima, digabungkan dengan lain2 gaya hidup sihat.

Dato' Dr.Rushdan Noor

22hb Jan 2025


RUJUKAN

https://www.mayoclinichealthsystem.org/hometown-health/speaking-of-health/processed-foods-what-you-should-know

https://nutritionsource.hsph.harvard.edu/processed-foods/

https://www.webmd.com/diet/ss/slideshow-processed-food

https://www.health.harvard.edu/staying-healthy/the-best-ways-to-identify-processed-foods

https://www.healthline.com/health/food-nutrition/ultra-processed-foods

Monteiro CA. Nutrition and health. The issue is not food, nor nutrients, so much as processing. Public health nutrition. 2009 May;12(5):729-31. 

Monteiro CA, Cannon G, Moubarac JC, Levy RB, Louzada ML, Jaime PC. The UN Decade of Nutrition, the NOVA food classification and the trouble with ultra-processing. Public Health Nutrition. 2018 Jan;21(1):5-17. 


Monteiro CA, Cannon G, Levy RB et al. NOVA. The star shines bright. [Food classification. Public health] World Nutrition January-March 2016, 7, 1-3, 28-38. 


Steele EM, Baraldi LG, da Costa Louzada ML, Moubarac JC, Mozaffarian D, Monteiro CA. Ultra-processed foods and added sugars in the US diet: evidence from a nationally representative cross-sectional study. BMJ open. 2016 Jan 1;6(3):e009892.

Friday, 17 January 2025

ERTI KEBAHAGIAAN SEBENAR


Kebahagiaan adalah satu perkataan yang maknanya sangat subjektif. Setiap orang ada citarasa dan cara tersendiri untuk bahagia. Betul sekali pendapat yang mengatakan bahawa jika neraca bahagia itu diletakkan atas perkara dunia, sifatnya sementara. Banyak mana sekali pun wang dan harta benda tidak akan cukup untuk pertahankan kebahagiaan. 

Ada orang yang meletakkan sasaran tinggi habuan dunia untuk menikmati rasa gembira dan bahagia. Mereka hendak beli kereta mewah dan berumah besar. Mereka ingin mengumpul sebanyak mungkin harta kekayaan untuk dijadikan legasi kepada anak dan keturunan. 

Ada satu lagi golongan yang sasaran mereka biasa2 sahaja, cukuplah sebuah kereta murah dan rumah teres biasa asalkan bebas hutang. Mereka tidak terlalu obses dengan harta dunia. Pendek kata keutamaan hidup mereka itu berbeza.

Nampaknya golongan pertama memerlukan pengorbanan dan kos yang tinggi untuk bahagia. Perlu bekerja lebih keras dan banyak masa perlu dikorbankan, ada kala anak pun tak kenal siapa ibubapa mereka. Sedangkan golongan kedua tidak perlu terlalu tertekan untuk mengejar harta dunia, mereka punya lebih masa lapang untuk keluarga, menjaga hubungan sesama manusia dan Maha Pencipta.

Kalau boleh diukur tahap kebahagiaan kedua2 golongan ini, tentu tidak banyak bezanya. Kerja keras dan harta benda yang banyak tidak menjamin mereka lebih bahagia dan gembira. Semewah mana sekali pun kehidupan, kereta besar dan rumah besar, lama kelamaan ianya jadi biasa sahaja. Tidak sedikit dari mereka yang sepanjang  hidup dihabiskan untuk mencari harta tetapi tidak sempat untuk menikmatinya. Akhirnya penat lelah mereka itu hanya menjadi habuan anak2 dan keturunan. 

Apabila tiba hari tua, golongan yang mewah ini baru sedar bahawa mereka lebih selesa tinggal di rumah kecil dan menginap di tingkat bawah. Keselesaan dan kesedapan bukan lagi bergantung kepada barangan mewah. Rupa2nya kebahagiaan itu terletak kepada ketenangan hati. Selama ini wang dan harta yang banyak itu membuat mereka tidak tenang. Mereka mula rasa cemburu melihat golongan kedua yang tinggal di rumah kecil tepi sungai dipinggiri kebun buah2an, anak2 yang sangat mengambil berat hal ehwal ibubapa dan sangat akrab dengan mereka. Tidak seperti anak2 golongan pertama yang sudah dibiasakan dengan hidup serba mewah dan tidak mahu susah.

Manusia ini memang berbeza2 citarasa dan menentukan sendiri matlamat hidup masing-masing. Yang penting kita menyusun senarai keutamaan pada kedudukan yang betul, sedar kemampuan diri dan mengukur baju di badan sendiri. Bersyukur dengan pencapaian diri sendiri dan tidak membandingkannya dengan orang lain kerana masing2 ada selera dan pilihan tersendiri untuk seronok dan bahagia.  

Wang yang banyak, rumah besar, kereta besar dan harta yang melimpah ruah itu tidak semestinya memberi gembira dan bahagia yang lebih besar. Ia didatangkan dengan tanggungjawab yang lebih besar dan timbangan dosa-pahala yang lebih berat. 

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui” (QS Al-Ankabut, 64)

Dato' Dr.Rushdan Noor

17hb Jan 2025

Monday, 13 January 2025

PERIA KATAK BOLEH MERAWAT DIABETES : FAKTA ATAU AUTA


Buah peria katak ataupun bitter melon ataupun nama saintifiknya Momordica charantia adalah satu lagi buah yang seringkali didakwa boleh merawat penyakit diabetes ataupun kencing manis.

Ahli sains menemui banyak sebatian kimia di dalam peria katak dan 3 jenis kompoun yang dikenalpasti mempunyai kesan seperti insulin adalah charantin, vicine dan polipeptid-p. Sebenarnya banyak lagi kompoun ditemui di dalam peria katak mempunyai kesan mengurangkan gula darah. 

Walaupun peria katak mengandungi kompoun yang boleh menurunkan gula darah, serakat ini peria katak ataupun mana2 ektrak yang terkandung di dalamnya belum tersenarai dalam kalangan ubat merawat diabetes yang diiktiraf dan tidak disyorkan oleh pakar2 perubatan bagi menggantikan ubat diabetes yang sedia ada. 

Berikut adalah beberapa alasan mengapa peria katak belum boleh menandingi ubat2an moden di dalam merawat penyakit diabetes:

1. BUKTI DARI KAJIAN KLINIKAL TERHADAP MANUSIA MASIH LEMAH

Kajian2 yang dilakukan masih rendah kualiti dan bilangan sampel yang kecil. Banyak kajian adalah kajian praklinikal di dalam makmal ke atas haiwan. Jika ada kajian ke atas manusia, bilangan sampelnya kecil dan kualitinya atau metodologinya boleh dipertikaikan. Di samping itu, kajian jangkamasa panjang tidak mencukupi. Jadi setakat ini sukar untuk mengesahkan keberkesanannya ke atas manusia dan juga samada ianya selamat diambil dalam jangkamasa panjang. Sedangkan penyakit diabetes adalah penyakit kronik yang perlu rawatan yang lama. Kajian keselamatan ke atas ibu hamil, anak di dalam kandungan dan anak yang disusukan juga tidak dijalankan.

2. KESAN YANG TIDAK KONSISTEN

Di antara punca mengapa hasil kajian tentang keberkesanan peria katak berbeza2 adalah kerana kuantiti bahan aktif (charantin, vicine dan polipeptid-p) berbeza2. Kuantiti bahan aktif ini boleh berbeza dari satu pokok dengan pokok yang lain. Proses penyediaan (serbuk, pil, jus dan lain2) juga boleh mempengaruhi kandungan bahan aktif tersebut. Kajian2 yang dilakukan pula menggunakan dos dan bentuk yang berbeza2. Tidak hairanlah mengapa hasil kajian juga menunjukkan keputusan yang berbeza, ada kajian yang mendapati tidak ada kesan ke atas  kandungan gula darah dan ada juga yang positif. 

3. TIDAKBALAS YANG TIDAK BOLEH DIJANGKAKAN ('UNPREDICTABLE RESPONSE"

Dos ataupun kuantiti produk kesihatan ini tidak mempunyai piawaian seperti mana  ubat2an moden. Ini menyebabkan kesan produk ini tidak dapat dijangkakan kerana dos yang berbeza2. Selain dari 3 kompoun yang dinyatakan, terdapat banyak lagi kompoun yang mempunyai kesan ke atas gula darah. Kita tidak tahu apakah dos berkesan yang minima dan apakah dos maksima yang boleh diambil dengan selamat. Orang ramai boleh terambil dos yang terlalu rendah ataupun terlalu tinggi hingga memudaratkan. Ubat2an suplemen dan tradisional ini pula tidak mempunyai sistem pemantauan yang ketat terhadap seperti ubat2an moden, jadi kesan sampingan boleh terlepas dari dikesan.

4. MEKANISMA PENGURANGAN GULA DARAH YANG TIDAK DIFAHAMI SEPENUHNYA

Walaupun terdapat kajian yang menunjukkan kesan pengurangan gula darah oleh peria katak tetapi mekanisma bagaimana ianya bertindak belum dapat difahami sepenuhnya. Apabila mekanisma ini tidak difahami sepenuhnya, maka sukar untuk mengkaji farmakokinetik bahan aktif tersebut dan ini menyukarkan ahli sains untuk memformulasi ubat dari peria katak. Ini berbeza dengan ubat2an moden untuk merawat diabetes seperti Metformin (mengurangkan penghasilan gula oleh hati) dan insulin (insulin bergabung dengan reseptor di dinding sel dan kemudian seperti kunci membuka pintu, glukos di dalam darah masuk ke dalam sel). Ubat2an moden ini dihasilkan dari satu jenis bahan aktif sedangkan di dalam peria katak terdapat terlalu banyak sebatian kimia yang bercampur aduk.

5. RISIKO DAN KESAN SAMPINGAN PERIA KATAK

Peria katak boleh menyebabkan penurunan gula darah yang mencapai tahap terlalu rendah, lebih2 lagi jika diambil bersama dengan ubat diabetes. Peria katak boleh menyebabkan kesan sampingan terhadap usus seperti cirit, loya dan sakit perut. Ini mungkin dikaitkan dengan kandungan quinine, glycoside dan momordica di dalamnya. Pengambilan yang berlebihan boleh merosakkan hati. Molekul visine di dalamnya dikatakan boleh merosakkan sel darah merah dan menyebabkan anemia, ke atas individu yang mengalami kekurangan enzim G6PD. Pendarahan faraj dan pengecutan rahim juga dilaporkan berlaku dan ini berpotensi memudaratkan wanita hamil. Kemungkinan dicampur palsu dengan ubat2an lain di dalam.produk peria katak boleh berlaku.

6. RAWATAN DIABETES ADALAH KOMPLEKS

Penyakit kronik seperti diabetes adalah penyakit yang boleh menyebabkan kerosakan banyak organ badan seperti saraf, mata, buah pinggang, jantung dan lain2.. Ini menyebabkan penyakit ini perlu ditangani oleh banyak disiplin. Merawat diabetes bukan sekadar mengawal gula darah dan HbA1c tetapi juga memantau dan merawat organ2 yang berpotensi rosak akibat penyakit ini. Merawat sendiri ataupun oleh pengamal perubatan alternatif boleh menyebabkan penyakit ini tidak ditangani sepenuhnya dan kesan penyakit ke atas organ2 badan akan terlepas dari dikesan awal.

7. STATUS PRODUK DAN PERATURAN

Peria katak ataupun ekstrak yang diambil daripadanya dianggap produk suplemen yang bukan bertujuan untuk merawat penyakit. Kajian yang dijalankan ke atas peria katak dan ektraknya belum mampu untuk menjadikannya pilihan kepada ubat diabetes yang sedia ada. Jadi ia akan kekal di bawah kategori produk suplemen ataupun makanan. Keberkesanan dan keselamatan jangkapanjang peria katak belum dapat disahkan. Peraturan pengiklanan ubat juga melarang mengiklankan 20 jenis penyakit termasuk diabetes.  

KESIMPULAN

Peria katak mempunyai kompoun2 yang dapat menurunkan gula darah. Setakat ini banyak kajian  telah dilakukan tetapi belum cukup untuk menjadikannya pilihan yang sama ataupun lebih baik daripada ubat2an moden untuk merawat diabetes. Banyak sebab mengapa ianya tidak boleh menggantikan ubat diabetes yang sedia ada termasuk kajian manusia yang belum mencukupi, tindakbalas yang tidak konsisten, tidak ada piawai rujukan dos, kesan jangka panjang ke atas kawalan diabetes yang tidak pasti, kesan sampingan yang boleh berlaku dan juga peraturan pihak berkuasa ubatan. Peria katak lebih sesuai diambil dalam bentuk mentah dalam kuantiti yang sederhana sebagai ulam ataupun masakan sayur kerana ia membekalkan serat, nutrin dan mineral yang agak tinggi. Tidak ada jaminan keselamatan jika ianya diambil di dalam bentuk suplemen, lebih-lebih lagi jika diambil dalam jangka masa yang panjang dan digabungkan dengan ubat diabetes. Sila dapatkan rawatan dan nasihat  dari doktor untuk penyakit diabetes anda.

Dato' Dr.Rushdan Noor

14hb Jan 2024


RUJUKAN

Peng Ooi C , Yassin Z, Hamid TA. Momordica charantia for type 2 diabetes mellitus. Cochrane Database Syst Rev. 2012 Aug 15:(8):CD007845. doi: 10.1002/14651858.CD007845.pub3.

Fuangchan A, Sonthisombat P, Seubnukarn T, et al. Hypoglycaemic effect of bitter melon compared with metformin in newly diagnosed type 2 diabetes patients. Ethnopharmacol. 2011 Mar 24;134(2):422-8. doi: 10.1016/j.jep.2010.12.045. Epub 2011 Jan 4

Joseph B, Jini D. Antidiabetic effects of Momordica charantia (bitter melon) and its meidinal potency. Asian Pac J Trop Dis, 2013;3(2):93-102

Richter E, Geetha T, Burnett D, et al. The effects of Momordica charantia on Type 2 Diabetes mellitus and Alzheimer’s Disease. Int J Mol Sci, 2023, Feb 28; 24(5):4643

Laczko Zold E, Csupor-Loffler B, Kolcsar EB, et al. The metabolic effects of Momordica charantia cannot be determined based on the available clinical evidence: a systematic review and meta-analysis of randomized clinical trials. Front Nutr. 2024, Jan 11:101200801.

 doi: 10.3389/fnut.2023.1200801. eCollection 202

Fuangchan A, Sonthisombat P, Seubnukam T, et al. Hypoglyciaemia effect of bitter melon compared with metformin in newly diagnosed type 2 diabetes patients. J Ethnopharmacol, 2012, Mar 24;134(2):422-8

Asyley Dahlquist, Dana Jandali, Mirielle C, Nauman, Jeremy J Johnson. Clinical application of Momordica charantia (bitter melon) for reducing blood sugar in type 2 diabetes mellitus. International Journal of Nutrition, 2023 ;7(4):8-26

https://www.healthline.com/health/diabetes/bitter-melon-and-diabetes#takeaway

Thursday, 9 January 2025

BAIK DAN BURUK MAKAN PARU-PARU HAIWAN


BAIK DAN BURUK MAKAN PARU-PARU HAIWAN

Paru-paru adalah termasuk di dalam kategori organ dalam dan masakan paru-paru menjadi kegemaran ramai orang. Umumnya kita disyorkan untuk mengambil organ badan pada kadar yang minima disebabkan oleh kandungan nutrin di dalamnya. Paru-paru di dalam bahasa utara juga dikenali sebagai kelempong. Saya telah menulis tentang baik buruk memakan organ dalam di pautan bawah:


https://www.minda2tinta.com/2024/11/baik-buruk-makan-organ-dalam.html


Di dalam tulisan ini kita ingin melihat  dalam kalangan organ dalam, apakah baik dan buruknya memakan paru-paru haiwan. Berikut adalah baik dan buruk memakan paru-paru haiwan:

KEBAIKAN MAKAN PARU-PARU

1. Sumber nutrien. Paru-paru merupakan sumber yang baik untuk protein, zat besi dan beberapa lagi mikronutrien seperti vitamin A, vitamin B (terutama B12), phosphorus, kalsium dan zink.

2. Kandungan lemak dan kalori di dalam paru-paru lebih rendah berbanding dengan daging/otot haiwan. Jadi ia boleh dijadikan gantian daging untuk sumber protein jika bimbang mengambil lemak yang tinggi.

3. Paru-paru mempunyai tinggi tisu penyambung termasuk kolagen.

4. Memakan paru-paru bermaksud memaksimakan pengambilan sumber makanan dan ini mengurangkan pembaziran. 

KEBURUKAN MAKAN PARU-PARU

1. Risiko pencemaran. Paru-paru bertindak menapis udara dan boleh mengumpul bahan2 pencemar seperti habuk, bahan pencemaran dan zarah2 yang merbahaya. Racun2 yang digunakan di dalam ladang ternak boleh terperangkap di dalam paru-paru mereka.

2. Jangkitan organisma. Paru-paru haiwan tersebut mungkin sudah dijangkiti oleh organisma seperti bakteria, virus dan parasit. Paru-paru mungkin telah membawa parasit seperti Echinococcus (cacing pita) yang boleh menjangkiti manusia apabila paru-paru tidak dimasak dengan sempurna ataupun dimakan mentah. Penyakit zoonosis juga boleh disebarkan dari haiwan kepada manusia seperti Tibi.

3. Walaupun paru-paru mempunyai kandungan lemak dan kolesterol yang lebih rendah dari organ dalam yang lain, namun secara relatifnya masih tinggi berbanding dengan sumber protein bukan haiwan.

4. Terdapat orang yang mengalami masalah perut disebabkan oleh paru2 lebih sukar untuk dihadamkan.

PERBANDINGAN KANDUNGAN NUTRIEN ANTARA PARU-PARU DAN DAGING/OTOT

Dengan membandingkan kandungan nutrin dalam paru2 dan dibandingkan dengan daging/otot, kita dapat membezakan kedua2nya dan boleh memilih pilihan yang lebih baik untuk sumber makronutrin dan mikronutrin. Berikut adalah perbandingan, untuk ringkasan, rujuk jadual yang dikepilkan: 

OTOT/DAGING HAIWAN

Kandungan Nutrin untuk setiap 100 gram

Kalori: 250-300 kcal (varies by animal)

Protein: 20-30g

Lemak: 10-20g (bergantung kepada bahagian yang dipotong)

Zat besi: 2-3 mg 

Vitamin B12: 2-3 mcg

Vitamin A: minimal

Zink: 4-6 mg

Sodium: Berbeza2 mengikut penyediaan 

Protein dari bahagian otot lebih berkualiti

PARU-PARU HAIWAN

Kandungan Nutrin untuk setiap 100 gram paru-paru

Kalori: 120-140 kcal (berbeza2 mengikut haiwan)

Protein: 15-20g

Lemak: 4-6 gram 

Zat besi: 2-3 mg (lebih tinggi dari otot/daging) 

Vitamin B12: 12-15 mcg (lebih tinggi dari otot/daging)

Vitamin A: 400-600 IU

Zink: 2-3 mg

Sodium: 50-80 mg 

Kedua2nya ada kekurangan dan kelebihan. Kualiti akhir sebelum masuk ke dalam perut bergantung kepada proses penyediaan, kuantiti, kekerapan makan dan ramuan2 lain yang dimasukkan ke dalam masakan. 



PANDUAN MENGURANGKAN RISIKO MAKAN PARU-PARU

1. Dapatkan dari sumber paru2 dari pembekal atau penjual yang mengutamakan kebersihan

2. Memasak sepenuhnya. Kepanasan bahagian dalam pada suhu sekurang2nya 74 darjah selsius mampu membunuh hampir kesemua patogen

3. Steam atau merebus untuk dibuat sup dan ditambah sayuran dengan sedikit garam. Kaedah ini dapat mengekalkan kandungan nutrin tanpa tambahan lemak dari minyak. Boleh gril atau stew dengan tambahan minyak yang sihat seperti minyak zaitun. Goreng dalam minyak yang banyak ("deep frying") tidak digalakkan. Kurangkan garam dan gula tetapi campurkan sayuran dalam masakan.

4. Elak makan yang separuh masak ataupun mentah.

5. Mengurangkan ramuan2 yg tidak menyihatkan seperti gula dan garam yang berlebihan. Gunakan minyak yang menyihatkan jika menggoreng ataupun beraleh kepada air fryer.

6. Mengambil dalam kuantiti yang sederhana



KESIMPULAN

Paru-paru termasuk dalam kategori organ dalam yang perlu dihadkan pengambilannya. Berbanding dengan bahagian otot atau daging, kandungan kalori,  lemak dan kolesterol lebih rendah di dalam paru2. Kandungan vitamin A dan B12 juga lebih tinggi di dalam paru2. Namun bahagian otot menyediakan sumber protein yang lebih berkualiti dan kandungan zink yang lebih tinggi. Seperti juga dengan organ2 dalam yang lain, memakan paru2 boleh menyebabkan kesan negatif terhadap kesihatan jika tidak diperolehi dari sumber yang bersih, tidak dimasak dengan sempurna, dijadikan masakan yang tidak sihat dan diambil dalam kuantiti yang banyak.


Nota tambahan: Di Amerika, penjualan paru2 haiwan untuk dimakan adalah diharamkan semenjak tahun 1971 oleh pihak USDA. Mereka berpendapat paru2 tidak sihat untuk dimakan. Walau bagaimana pun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli sains dan pakar pemakanan.


Dato' Dr.Rushdan Noor

10hb Jan 2025


RUJUKAN:

USDA Food Database (FoodData Central):

Website: https://fdc.nal.usda.gov/

NutritionData (Self.com)

Website: https://nutritiondata.self.com/

Saturday, 4 January 2025

GLUTEN : FAKTA DAN AUTA


Di dalam media sosial dan tik tok selalu benar kita dihidangkan dengan maklumat tentang mudarat makanan yang mengandungi gluten. Jarang orang memperkatakan tentang manfaat gluten. Untuk mengenali apakah gluten, saya membuat pencarian maklumat tentangnya dan adakah benar gluten ini tidak baik untuk kesihatan.

APAKAH GLUTEN

Gluten adalah sekumpulan protein yang ditemui di dalam bijirin tertentu seperti gandum, barli dan rai. Perkataan gluten diambil daripada bahasa Latin bermaksud gam ("glue"). Dengan sifat seperti gam inilah ianya bertanggungjawab mengikat makanan ini sehingga ianya bergumpal, mempunyai bentuk dan anjal (elastik). Ektrak gluten boleh dikeluarkan dan dipekatkan untuk dimasukkan ke dalam masakan.

Gluten boleh juga diekstrak keluar dan ditambah ke dalam makanan yang diproses untuk memperbaiki textur dan meningkat keupayaannya untuk menyimpan air. 

MAKANAN YANG MENGANDUNGI GLUTEN

Sumber asas gluten adalah gandum, barli dan rai. Maka, makanan2 yang dihasilkan daripada sumber ketiga2 bijirin ini akan mengandungi gluten. Contoh2 makanan tersebut adalah seperti di bawah:

Gandum : Roti dari tepung gandum, pasta, cereal, kek/mufin/donut/kuih/pastri

Barli : minuman malt, bir

Rai (sekoi) : Roti dari tepung rai, makanan yang dibuat dari tepung rai, bir

Jadi agak banyak makanan yang mengandungi gluten, ada yang dibuat daripada tepung bijirin yang mengandungi gluten dan ada yang dimasukkan gluten yang telah diekstrak. Jadi apabila membeli, perhatikan maklumat pada label samada makanan tersebut mengandungi gluten ataupun bebas-gluten ataupun bijirin2 yang tersebut. Kadangkala memang sukar untuk memilih makanan yang benar2 bebas daripada gluten. 

MAKANAN TANPA GLUTEN ("GLUTEN FREE FOODS")

Senarai2 makanan tanpa gluten juga panjang seperti sayuran, buah2an, daging, telur, beras, kacang, minyak kelapa, minyak zaitun, susu, yogut, jagung, ubi kentang, keju, kopi, cuka, dan lain-lain.

Sebarang makanan atau kuih yang diperbuat daripada selain dari gandum, barli dan rai tidak mengandungi gluten. Contohnya makanan yang dibuat daripada tepung beras, tepung jagung, tepung pulut dan tepung ubi tidak mengandungi gluten. Makanan kegemaran orang melayu seperti roti canai, capati dan kuih muih tidak mengandungi gluten jika tidak menggunakan tepung gandum.

Seperti juga makanan yang mengandungi gluten, mengenalpasti makanan yang benar2 100% bebas dari gluten juga kadangkala sukar kerana orang boleh memasukkan gluten yang diekstrak dari sumber asalnya.  Hanya makanan yang benar2 segar seperti sayuran, buah2an, ikan dan daging yang diperolehi dari ladang dapat meyakinkan kita bahawa ianya bebas dari gluten.  

Terdapat ujian makmal untuk mengesan kehadiran gluten di dalam makanan (kaedah terbaik adalah melalui ELISA). Makanan yang melalui ujian ini dan lulus (gluten < 20 ppm) akan diberikan sijil bebas gluten. Tentu terdapat kelemahan ujian ini dan juga isu tentang ketulinan sijil. Terdapat syarikat2 swasta yang menawarkan khidmat persijilan bebas gluten.

MANFAAT GLUTEN DALAM MAKANAN

Walaupun gluten seringkali dikaitkan dengan masalah kesihatan, tetapi mungkin ramai yang tidak tahu bahawa gluten mempunyai manfaat. Ini disebabkan makanan yang mengandungi gluten, juga kaya dengan serat, vitamin dan mineral. Di antara manfaat makanan bergluten adalah seperti berikut:

1. Kebanyakan bijirin yang mengandungi gluten ini juga tinggi kandungan serat. Mereka juga mengandungi vitamin B, zat besi, magnesium dan lain-lain nutrin. Makanan yang bergluten ini ada yang mempunyai indek glisemik yang rendah terutama yang tinggi kandungan seratnya.

2. Makanan yang mengandungi gluten ini juga boleh menjadi sumber tenaga

3. Kandungan serat dan probiotik di dalam makanan ini boleh menyumbang kepada kesihatan usus.

4. Manfaat dalam masakan. Gluten bertanggungjawab menjadikan kuih muih dan roti mempunyai textur dan sifat2 anjal yang nampak sedap serta memudahkan kita makan. 

Terdapat banyak kajian tentang manfaat mengambil makanan yang mengandingi gluten. Kajian dilakukan pada tahun 2017 melibatkan 100,000 peserta yang tidak mengalami penyakit celiac mendapati tidak ada kaitan antara pengambilan makanan bergluten ("whole grain") dengan penyakit jantung. Malahan mereka2 yang menghadkan pengambilan "whole grain" mungkin berisiko yang lebih tinggi menghidap penyakit jantung. Banyak kajian mendapati diet yang tinggi dengan "whole grain" dikaitkan dengan risiko yang lebih rendah menghidap penyakit jantung, diabetes dan angin ahmar.  

MUDARAT GLUTEN DALAM MAKANAN : GOLONGAN YANG TIDAK BOLEH MENGAMBIL GLUTEN

Memang terdapat individu yang tidak boleh mengambil gluten. Kesan mudarat pengambilan gluten TIDAK berlaku kepada semua orang. Berikut adalah senarai individu2 yang tidak boleh mengambil gluten: 

1. Pesakit yang mengalami Penyakit Celiac: Ini adalah penyakit autoimun di mana sistem imun semulajadi menyerang badan sendiri menyebabkan kerosakan kepada usus kecil dan menjejaskan penyerapan nutrin. Di antara gejala penyakit ini adalah cirit , kelesuan, sakit sendi, ruam dan kekurangan darah. Sistem imun akan menyerang gluten kerana menyangka ianya mengancam tubuh badan, akibatnya berlakulah tindakbalas imun dan keradangan kepada selaput usus kecil. Pesakit celiac perlu menjauhi makanan yang mengandungi gluten. Kesan jangka panjang penyakit ini adalah kekurangan zat makanan, kerapuhan tulang dan risiko menghidap beberapa jenis kanser.

2. Sensitiviti kepada Gluten (ataupun "Gluten Intolerence") oleh individu yang tidak menghidap penyakit Celiac (Non Celiac Gluten Sensitivity). Terdapat individu yang tidak mengalami penyakit Celiac tetapi sensitif ke atas gluten. Tindakbalas badannya sama dan beliau mengalami gejala kembung perut, sakit perut, cirit, sakit sendi, ruam dan hilang kemampuan untuk fokus. Berbeza dengan pesakit Celiac, individu ini tidak mengalami kerosakan usus kecil dan mereka hanya perlu mengelak dari mengambil makanan yang mengandungi gluten.

3. Alahan kepada gandum ("wheat allergy"). Individu ini mengalami gatal badan, ruam pada kulit dan bengkak apabila mengambil makanan yang mengandungi gandum. Alahan yang dialami tidak semestinya akibat gluten di dalam gandum, tetapi mungkin juga protein2 yang lain. Di dalam keadaan serius mereka boleh mengalami sesak nafas dan anafilaksis. Mereka tidak mengalami gejala usus seperti keadaaan no 1 dan 2 di atas.

4. Pesakit "Irritable Bowel Syndrome (IBS)": Setengah individu yang mengalami IBS boleh mengalami gejala yang lebih berat apabila mengambil gluten. Tidak semua penghidap IBS mengalami masalah mengambil gluten, dipercayai hanya yang mengalami penyakit lain yang bertindih dengan IBS sahaja akan terkesan. Tidak ada kaitan terus antara gluten dengan penyakit IBS.

5. Penyakit autoimun lain. Terdapat juga pesakit autoimun yang lain selain daripada penyakit Celiac yang mengalami gejala yang sama apabila mengambil gluten, contohnya penyakit Hsahimoto's thyroiditis, gluten ataxia dan lain2. Keadaan ini sangat jarang berlaku.

BERAPA PERATUS POPULASI YANG TIDAK BOLEH MENGAMBIL GLUTEN

Daripada penerangan di atas, hanya orang-orang tertentu sahaja yang akan mengalami masalah kesihatan apabila mengambil gluten. Peratusan mereka adalah seperti berikut:

Penyakit Celiac : 1% daripada jumlah populasi

Non-Celiac Gluten Sensitivity: 5-10%

Alahan kepada gandum : 0.1-0.3 %

Penyakit IBS : <1%

Kesimpulannya hanya 7-11% sahaja daripada jumlah populasi akan mengalami gejala dan masalah kesihatan apabila mengambil gluten. Dengan kata lain, 89-93% orang ramai tidak ada masalah untuk mengambil Gluten. Jauh lebih ramai yang boleh ambil daripada yang tidak boleh ambil gluten.

GLUTEN DAN GERD ("Gastroesophageal Reflux Disease")

Pakar perubatan percaya bahawa tidak ada kaitan terus antara gluten dengan GERD. Gejala2 yang dialami oleh seorang penghidap GERD kadangkala sama seperti penyakit celiac dan "non-celiac gluten sensitivity". Orang yang disangkakan menghidap GERD sebenarnya mengalami salah satu dari penyakit tersebut. Ada juga yang berpendapat bahawa gejala GERD berlaku sebagai salah satu kesan samping penyakit Celiac. Apabila mengambil makanan bebas gluten, gejala mereka berkurang, bukan sebab GERD mereka sudah sembuh, sebaliknya gejala2 berkaitan dengan sensitiviti terhadap gluten telah berkurangan.

GLUTEN DAN "LEAKY GUT SYNDROME"

"Leaky Gut Syndrome" adalah nama yang diberikan oleh tokoh perubatan alternatif. Walaupun pakar perubatan moden setuju bahawa dinding usus boleh mengalami kebocoran tetapi mereka tidak bersetuju dengan keseluruhan konsep "Leaky Gut Syndrome" yang diutarakan kerana banyak dakwaan sampingan tidak berasas. Jadi bagi pengamal perubatan moden tajuk "Leaky Gut Syndrome" ini adalah kontroversial. Dalam konteks kaitan gluten dengan "Leaky Gut Syndrome", ahli sains moden lebih cenderung berpendapat bahawa kebocoran usus ("increase intestinal permiability") yang berlaku itu lebih kompleks dan banyak punca2 lain yang menyebabkannya. Pesakit yang mengalami penyakit Celiac boleh mengalami kebocoran usus tetapi kaitan antara gluten dengan kebocoran usus itu mempunyai perbezaan pendapat. Ada yang percaya bahawa kesan gluten ke atas kebocoran usus itu hanya berlaku ke atas pesakit celiac. Gluten tidak menyebabkan kebocoran usus ke atas individu yang normal. Untuk membaca tentang "Leaky Gut Syndrome" ini dari perspektif perubatan moden, boleh pergi ke link di bawah: 

https://www.minda2tinta.com/search?q=leaky+gut+syndrome&m=1

KESIMPULAN 

Jika anda mengalami gejala2 yang mungkin termasuk dalam senarai penyakit2 yang sensitif kepada gluten, bertemu dengan doktor dan jalani pemeriksaan. Terdapat ujian2 yang boleh mengesan penyakit-penyakit ini dan apabila disahkan barulah anda boleh memantau makanan yang anda ambil agar ianya tidak mengandungi gluten. 

Majoriti orang ramai tidak perlu untuk mengambil makanan bebas gluten kerana mereka tidak tergolong dalam kategori yang tersebut di atas. Umumnya makanan yang mengandungi gluten tanpa diproses adalah berkhasiat dan menjadi salah satu komponen makanan seimbang. Makanan ini mengandungi serat, vitamin dan mineral yang tinggi. Walau bagaimanapun kesihatan bergantung juga kepada kaedah memasak, samada ianya diproses dan ramuan2 lain yang digunakan untuk membuat makanan. 

Menghadkan pengambilan gluten tanpa sebab boleh memudaratkan kesihatan, lebih2 lagi jika ianya diganti dengan makanan bebas gluten yang tinggi kandungan gula dan diproses. Makanan bebas gluten juga lebih mahal tetapi tidak semestinya lebih baik. Kenyataan bahawa gluten itu mudarat kepada semua dan makanan bebas gluten adalah terbaik untuk semua adalah satu mitos.

Dato' Dr.Rushdan Noor

5hb Jan 2025


https://www.hopkinsmedicine.org/health/wellness-and-prevention/what-is-gluten-and-what-does-it-do  


https://www.healthline.com/nutrition/what-is-gluten#bottom-line


https://nutritionsource.hsph.harvard.edu/gluten/


https://www.thelancet.com/journals/eclinm/article/PIIS2589-5370(24)00156-1/fulltext




Thursday, 2 January 2025

SAYUR DAN BUAH BOLEH MERAWAT PENYAKIT KRONIK ?



Salah satu salah faham atau mitos yang sering kelihatan dikongsikan di dalam medsos adalah kenyataan seperti berikut:

"MENGAMBIL SAYUR A DAN MAKAN BUAH B BOLEH MENGECUTKAN KANSER C "

Ramai pengguna medsos sangat teruja dengan posting2 pendek seperti di atas yang dikaitkan pula dengan rawatan kanser ataupun penyakit2 kronik yang lain. Maka ramailah yang "like" dan "share". Ramailah yang akan sebarkan berita kononnya sayur kobis dan brakoli boleh merawat penyakit kanser.

Terdapat beberapa fakta yang tidak tepat di dalam posting seumpama itu dan boleh menimbulkan salah faham orang ramai. Saya senaraikan beberapa salah-faham tersebut di bawah:

1. Tidak ada kajian ke atas manusia atau pesakit yang menggunakan sayur ataupun buah di dalam bentuk asal untuk menilai keberkesananya merawat kanser. 

2. Memang terdapat bahan aktif di dalam sayur dan buah2an tertentu yang mempunyai ciri2 anti-kanser tetapi bahan2 aktif itu perlu diekstrak keluar menggunakan teknologi makmal terlebih dahulu, dipekatkan dan ditentukan dosnya.

3. Bahan aktif ini akan di uji dalam makmal terlebih dahulu. Ianya akan dimasukkan ke dalam bekas yang mengandungi "cancer cell lines" yakni lapisan sel2 kanser yang dibiakkan di dalam makmal. Sel2 ini diperolehi daripada kanser yang dihidapi oleh pesakit , sel2 ini akan dibiakkan menggunakan peransang dan disimpan untuk pelbagai kegunaan. Jika kanser yang hendak diuji adalah kanser payudara, maka "cancer cell lines" tersebut adalah hasil pembiakan sel2 kanser dari pesakit kanser payudara. Pesakit ini seolah2 seperti penderma sel kanser. Dari situlah ahli sains akan dapat mengesan tindakbalas bahan aktif tadi terhadap "cancer cell lines" tersebut. Jika lulus kajian peringkat lapisan sel ("in-vitro") ini barulah akan diuji ke atas haiwan ("in-vivo"). Haiwan yang diuji ini akan diransang untuk mendapat penyakit kanser yang dikaji dan bahan aktif tadi akan diberikan kepada mereka. Ini baru peringkat kajian pra-klinikal ataupun kajian makmal. Belum lagi masuk kajian ke atas manusia. Terlalu jauh lagi perjalanan untuk mengesahkan keberkesanan.

4. Bahan2 aktif yang dikenalpasti itu perlu dimodifikasikan agar ianya boleh kekal lama di dalam darah ataupun boleh bertahan dari dirosakkan oleh asid perut dan sampai ke tempat kanser yang hendak dirawat. Kebanyakan bahan2 aktif yang mempunyai ciri2 anti-kanser ini perlu diambil melalui suntikan, bukan dimakan.

5. Sebenarnya bahan2 aktif itu hanya berkesan ke atas lapisan sel ataupun tikus di dalam makmal, belum pun lagi diuji ke atas pesakit. Tentulah ia tidak mengecutkan saiz kanser manusia jika kajian belum lagi sampai kepada fasa klinikal. Kajian fasa klinikal ini pula bukan mudah, dari fasa 1, 2 dan 3, melibatkan beratus ataupun lebih bilangan peserta yang memakan masa bertahun2. 

Selalunya kertas2 hasil penyelidikan dalam makmal (kajian pra-klinikal) ini akan diterbitkan di dalam jurnal2. Rujukan dari kertas2 kajian inilah yang akan digunakan oleh penulis2 blog, laman portal dan juga pempengaruh media sosial untuk berkongsi maklumat tetapi disalah-tafsirkan hingga menjadi seperti di atas. Selalunya tajuk kertas kajian ini akan meletakkan nama bahan aktif ataupun istilah ekstrak bukan nama sayur ataupun buah (Contoh : Anti-cancer properties of sulforaphane). Lebih mendukacitakan lagi jika ada pula pihak yang menggunakan hasil kajian makmal ini untuk menghasilkan produk (serbuk atau air rebusan) dari sayur A ataupun buah B, kemudian mereka mendakwa boleh merawat penyakit kanser C. 

Kesimpulannya, posting yang berbentuk seperti di atas sebenarnya tidak membawa apa2 makna dan boleh mengelirukan. Lazimnya mengambil sayuran dan buah2an di samping lain2 gaya hidup sihat mempunyai manfaat di dalam membantu mencegah penyakit kanser dan bukan merawat. 

Bila terjumpa kenyataan seperti ini, cuba bertanya adakah ianya hasil kajian makmal ke atas sel kanser atau tikus ataupun kajian yang dilakukan ke atas manusia. Jika ada kajian, adakah ianya menggunakan bahan mentah yang asal ataupun bahan aktif yang ditulinkan. Jika bahan aktif, fasa klinikal ke berapakah kajian tersebut. Adakah kajian tersebut sudah mengesahkan bahawa bahan aktif itu berkesan merawat kanser yang dihidapi oleh manusia? Mohon kepada orang yang mendakwa itu kongsikan pautan ataupun kertas kajian yang telah disiarkan.

Merawat penyakit kanser ini adalah satu proses yang sangat kompleks menggunakan pelbagai kaedah salah satu atau gabungan rawatan pembedahan, kemoterapi, radioterapi dan lain2. Kaedah2 ini telah dibuktikan berkesan melalui kajian klinikal ke atas manusia. Saya telah menulis tajuk ini panjang lebar di dalam posting saya yang terdahulu. 

Keadaan ini bukan saja terpakai kepada penyakit kanser tetapi juga penyakit2 kronik yang lain. Semoga tahun 2025 ini masyarakat kita lebih celek ilmu dan teliti di dalam menilai sebarang maklumat mengenai kesihatan.


Dato' Dr.Rushdan Noor

3hb Disember 2024