Wednesday 21 April 2021

ADAKAH PERUBATAN KOMPLIMENTARI DAN ALTERNATIF (PKA/CAM) BOLEH MERAWAT KANSER ?

Saya sudah menulis panjang lebar mengenai apakah kaedah moden (konvensional) untuk merawat penyakit kanser. Tulisan ini adalah di dalam konteks rawatan penyakit kanser walaupun istilah PKA/CAM ini boleh juga digunakan untuk penyakit2 lain. Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh rawatan komplimentari dan alternatif ke atas pesakit kanser. 

Berikut adalah ringkasan mengenai isu ini daripada perspektif perubatan moden.

1.RAWATAN KANSER MODEN (KONVENSIONAL) terdiri daripada pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon, targeted therapy, terapi imun (masih baru) dan gabungan dua ataupun lebih rawatan2 ini. Kaedah rawatan ini bertujuan untuk menyembuhkan ataupun memanjangkan hayat pesakit kanser.

2.RAWATAN KOMPLIMENTARI adalah rawatan sampingan yang bertujuan untuk mengurangkan gejala akibat daripada penyakit ataupun kesan sampingan rawatan kanser moden. Tujuan rawatan komplimentari bukan untuk menyembuhkan kanser tetapi mengurangkan gejala.

3.RAWATAN ALTERNATIF adalah rawatan (selain daripada yang tersenarai di atas(1) yang didakwa boleh menggantikan kaedah rawatan kanser moden. Pendek kata boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit kanser.

4.Di antara kaedah2 rawatan yang tergolong di dalam PKA/CAM adalah vitamin suplemen, terapi diet, yoga, tai chi, akupuntur, rawatan traditional Cina (TCM), herba, bekam, homeopati, Ayurveda, terapi ozon, mengurut dan lain-lain. Kajian di Malaysia menunjukkan 46.5% pesakit kanser payudara mengamalkan PKA/CAM.

5.Pada pandangan pengamal perubatan moden khususnya pakar kanser, setakat ini TIDAK ADA mana2 kaedah rawatan alternatif yang telah terbukti berkesan berdasarkan KAJIAN SAINTIFIK yang dapat menyembuhkan penyakit kanser.

6.Disebabkan tidak mempunyai bukti yang kukuh, pakar kanser hanya membenarkan kaedah rawatan alternatif YANG TERPILIH untuk digunakan ke atas pesakit yang TELAH GAGAL dirawat dengan kaedah rawatan kanser moden.

7.Pengamal perubatan moden percaya terdapat beberapa kaedah rawatan komplementari yang selamat diamalkan dan sesuai digabungkan dengan rawatan moden.

8.Apabila menyebut gabungan ataupun integrasi (“integrated medicine”) di antara rawatan kanser moden dengan rawatan komplimentari, maka ianya bermaksud pesakit akan dirawat dengan kaedah rawatan moden sebagai RAWATAN UTAMA untuk menyembuhkan kanser. Rawatan komplementari pula diintegrasikan untuk tujuan MENGURANGKAN GEJALA kesan sampingan rawatan kanser moden. Rawatan komplimentari juga bertujuan untuk mengurangkan kesan sampingan (fizikal dan psikologikal) akibat penyakit kanser itu sendiri. Rawatan2 complementari ini pula hendaklah sudah disahkan berkesan dan selamat digunakan.

9.Kajian terkini telah menunjukkan bahawa apabila masyarakat memilih PKA/CAM sebagai kaedah rawatan utama, maksudnya pesakit pergi mendapatkan rawatan PKA/CAM untuk merawat kanser mereka dan mengenepikan rawatan kanser moden, kadar kematian ataupun kemungkinan pesakit untuk mati akibat kanser adalah lebih tinggi. Hasil kajian ini telah disiarkan di dalam Journal of the NCI keluaran bulan Ogos 2017. Analisis dilakukan ke atas pesakit kanser payudara, kanser prostat, paru-paru dan usus besar. Pesakit2 ini enggan menerima rawatan kanser moden sebaliknya mengamalkan PKA/CAM. Keseluruhannya kadar kematian meningkat sebanyak 2.5 kali ganda (250%) ke atas semua pesakit kanser yang memilih PKA/CAM. Apabila diasingkan jenis2 kanser, kadar kematian meningkat sebanyak 5.68 kali lebih tinggi dalam kalangan pesakit kanser payudara, 2.17 kali kanser paru2 dan 4.57 kali ke atas kanser usus besar. Kajian ini telah mengesahkan kebimbangan pakar kanser mengenai kesan mudarat amalan PKA/CAM untuk tujuan menggantikan rawatan moden sebagai rawatan utama kanser.


CAM : Complementary and Alternative Medicine

TCM : Traditional Chinese Medicine


RUJUKAN


https://academic.oup.com/jnci/article/doi/10.1093/jnci/djx145/4064136/Use-of-Alternative-Medicine-for-Cancer-and-Its

http://journals.plos.org/plosone/article?id=10.1371/journal.pone.0176394

https://sciencebasedmedicine.org/complementary-and-alternative-medicines-and-cancer/

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Tuesday 13 April 2021

MENGAPA PENERIMA VAKSIN MASIH BOLEH DIJANGKITI OLEH COVID-19 DAN KESAN PELTZMAN

Sudah hampir 1 juta rakyat Malaysia rata2 terdiri dari frontliners telah menerima vaksin Covid-19. Di samping aduan-aduan mengenai kesan sampingan kita menjangkakan akan meningkat juga kes-kes di mana penerima vaksin dijangkiti Covid-19 walaupun sudah melengkapkan pengambilannya. 

Terdapat sekurang2nya 5 sebab mengapa seseorang yang sudah menerima vaksin boleh dijangkiti Covid-19 iaitu:

1. Jika keberkesanan vaksin adalah 95%, anda mungkin termasuk di dalam 5% yang masih boleh mendapat jangkitan. 

2. Anda mungkin sudah mendapat jangkitan dan tidak bergejala sebelum vaksin diberikan. Mungkin beban virus pun masih rendah dah jika ujian Covid dilakukan pun boleh dapat keputusan negatif ("false negative").

3. Anda mendapat jangkitan semasa vaksin yang diberikan itu belum berkesan untuk mencegah jangkitan. Umumnya perlindungan maksima hanya mula diperolehi selepas 2 minggu suntikan kedua. Jadi anda masih boleh dijangkiti sebelum vaksin itu berkesan sepenuhnya. 

4. Tidak semua vaksin berkesan untuk semua varian virus Covid-19. Berdoa semoga anda tidak dijangkiti oleh virus Covid-19 dari varian B1.351 (varian Afrika Utara) yang kebal kepada beberapa jenis vaksin.

5. KESAN PELTZMAN

Di dalam posting kali ini, saya ingin berkongsi tentang sebab ke-5 iaitu KESAN PELTZMAN. Saya menggunakan istilah Kesan Peltzman yang merujuk kepada satu teori di mana seseorang akan melakukan perbuatan yang lebih berisiko apabila wujudnya peraturan melindungi mereka daripada risiko tersebut. Istilah ini digunapakai semasa peraturan pemakaian tali pingang keledar mula dikuatkuasakan di mana bilangan kemalangan jalanraya meningkat disebabkan oleh sikap pemandu yang merasa lebih selamat.

Kesan Peltzman ini boleh berlaku ke atas penerima vaksin termasuk frontliners. Apabila mereka sudah menerima vaksin, mereka merasa lebih selamat dan mula melonggarkan amalan pencegahan yang lain. Mereka mula melakukan aktiviti berisiko serta tidak memakai topeng muka dengan betul dan penjarakkan yang mencukupi. Walaupun mereka mungkin mengalami gelaja ringan namun mereka boleh menjangkiti orang lain.

Frontliners termasuk doktor2 yang merawat pesakit Covid-19 juga tidak terlepas dari Kesan Peltzman ini. Tidak hairanlah mengapa berlaku kejadian doktor2 (luar negara) yang mendakwa dijangkiti oleh Covid-19 walaupun sudah menerima vaksin. Ada di antara mereka ini mengadu bahawa sebelum menerima vaksin mereka sudah merawat beratus2 pesakit Covid-19 tetapi tidak dijangkiti. Sebaliknya selepas diberikan vaksin, mereka dijangkiti. Di samping sebab2 yang dinyatakan di atas, fenomena ini boleh juga diterangkan dengan Kesan Peltzman. Semasa merawat pesakit Covid-19, mereka terselamat dari dijangkiti kerana mengamalkan langkah pencegahan yang ketat. Tetapi sesudah menerima vaksin, amalan pencegahan mereka menjadi semakin longgar kerana menyangka yang mereka lebih selamat.

Sebagai penerima vaksin, kita perlu meneruskan amalan pencegahan yang lain memandangkan pandemik Covid-19 ini masih berlaku dan jangkitan sudah merebak masuk ke dalam masyarakat kita. Sesiapa sahaja di sekitar kita mungkin pembawa virus. Selagi Pandemik Covid-19 ini wujud, maka selagi itulah kita perlu berwaspada walaupun sudah menerima vaksin. Kita hanya dapat kembali kepada kehidupan asal apabila kita sudah mencapai Imuniti Berkelompok (Herd Immunity).

Berita baik untuk penerima vaksin adalah walaupun mendapat jangkitan Covid-19, gejala yang akan dialami adalah ringan kerana vaksin membantu menekan serangan virus. Anda mungkin tidak perlu dimasukkan ke wad, tidak memerlukan bantuan pernafasan dan tidak mati akibat Covid-19.




Dato' Dr.Rushdan Noor

14 hb April 2021

Monday 12 April 2021

PESAKIT KANSER DAN BERPUASA

 


Amalan berpuasa di bulan Ramadan adalah salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh penganut agama Islam. Walau bagaimanapun terdapat keadaan tertentu dimana umat Islam diberikan keringanan dan dibenarkan berbuka jika berpuasa memudaratkan mereka.

Berpuasa memang mempunyai kebaikan kepada seseorang seperti meransang badan untuk melancarkan tindakbalas melawan stres di peringkat sel ("cellular stress") sehingga badan menjadi lebih tahan lasak apabila stres yang lebih besar menyerang sel-sel. Berpuasa juga mengurangkan insulin, IGF-1 dan kandungan gula darah dan meningkatkan kemampuan badan mematikan sel-sel yang tidak normal. 

Walau bagaimanapun manfaat yang diberikan oleh amalan berpuasa ini lebih kepada individu yang normal dan tidak mengalami penyakit yang serius. Ianya lebih kepada mencegah penyakit dan bukan mengubati penyakit. Pertimbangan manfaat:mudarat perlu dilakukan ke atas seseorang yang mengalami penyakit, lebih-lebih lagi penyakit serius seperti kanser.

Terlalu banyak mitos yang mengaitkan berpuasa ataupun mengurangkan pengambilan kalori ("calorie restriction") dengan rawatan kanser. Walaupun ada kajian yang dilakukan namun kajian tersebut adalah kajian praklinikal dan belum disahkan ke atas manusia. Di samping itu terlalu ramai peniaga yang mengambil kesempatan di atas mitos-mitos ini dengan memperkenalkan perkhidmatan dan produk2 yang kononnya dapat merawat kanser melalui kawalan makanan dan suplemen. Akibatnya ramai pesakit yang keliru dan terpedaya. Setakat ini belum ada mana-mana dakwaan mereka ini yang telah disahkan oleh pakar kanser. Malahan ada di antaranya yang boleh memudaratkan pesakit kanser.

Pesakit kanser menghadapi dua cabaran besar iaitu kesan penyakit kanser ke atas badan mereka dan kesan sampingan akibat rawatan yang diberikan. Salah satu masalah besar yang dihadapi oleh pesakit kanser adalah kekurangan zat makanan. Kajian yang dilakukan menunjukkan majoriti pesakit kanser mengalami masalah nutrisi, di mana kadar malnutrisi dalam kalangan mereka boleh mencapai sehingga 75% (1). Tahap nutrisi mempunyai kaitan yang rapat dengan keupayaan badan untuk melawan kanser dan juga untuk menjalani rawatan kanser. Maka, daripada fakta ini jelaslah bahawa berpuasa dalam kalangan pesakit kanser yang sudah mengalami masalah nutrisi ataupun berisiko mengalami masalah nutrisi akan memudaratkan tubuh badan mereka dan boleh menjejaskan peluang mereka untuk sembuh (2,3).

Di samping masalah nutrisi, pesakit kanser juga berisiko mengalami masalah kehilangan otot ataupun Sarcopenia akibat daripada penyakit, kurang bergerak dan juga kesan kekurangan pengambilan makanan. Sarcopenia menyebabkan mereka lemah, sukar bergerak dan menurunkan kualiti hidup mereka. Malnutrisi dan sarcopenia adalah dua keadaan yang patut dielakkan oleh pesakit kanser.

Berdasarkan kepada fakta di atas, saya boleh simpulkan bahawa pada pandangan pakar kanser, pesakit kanser yang mengalami masalah nutrisi tidak disyorkan untuk berpuasa. Ini merangkumi sebahagian besar pesakit kanser yang penyakit mereka masih aktif, semua pesakit yang sedang menerima rawatan dan yang sedang mendapat rawatan paliatif. Pesakit kanser yang dibenarkan untuk berpuasa adalah pesakit kanser yang telah disahkan sembuh ataupun bebas dari kanser, tidak mengalami gejala muntah/cirit birit dan mempunyai tahap nutrisi yang baik. 

Pesakit-pesakit kanser yang lain perlu mendapatkan nasihat Pakar Kanser samada mereka boleh ataupun tidak berpuasa. Pakar kanser akan melihat keseluruhan aspek kanser, "performance status" dan tahap nutrisi mereka sebelum memberi keputusan. Keupayaan seseorang pesakit kanser berbeza dengan pesakit yang lain. 

Daripada perspektif agama Islam, saya merujuk kepada firman Allah Taala:

.. فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ..

" .. Barangsiapa di antara kamu yang sakit atau dalam keadaan musafir,  (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain .." (ayat 184, surah Al Baqarah)


Menurut huraian ulama', rahimahullah: Bahawa orang sakit yang ada harapan untuk sembuh, dibolehkan meninggalkan puasa semasa ia sakit dan diwajibkan ia mengqadha puasanya itu sesudah ia sembuh kelak.Sebaliknya orang yang sakit berat dan tidak ada harapan untuk sembuh dan orang tua yang tidak larat berpuasa, dibolehkan mereka meninggalkan puasa di sebabkan uzurnya itu dan diwajibkan membayar "fidyah" iaitu memberi makan orang miskin,  satu cupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya (4). 


Dato' Dr Rushdan Noor 

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

6 hb Mei 2019


RUJUKAN


1. Ryan AM, Power DG, Daly L, Cushen SJ, Ni Bhuachalla E, Prado CM. Cancer-associated malnutrition, cachexia and sarcopenia: the skeleton in the hospital closet 40 years later. Proc Nutr Soc. 2016;75:1–13


2. Maasberg S, Knappe-Drzikova B, Vonderbeck D, Jann H, Weylandt KH, Grieser C, Pascher A, Schefold JC, Pavel M, Wiedenmann B, Sturm A, Pape UF. Malnutrition predicts clinical outcome in patients with neuroendocrine neoplasias. Neuroendocrinology. 2017;104:11–25


3.Prado CM, Cushen SJ, Orsso CE, Ryan AM. Sarcopenia and cachexia in the era of obesity: clinical and nutritional impact. Proc Nutr Soc. 2016;75:1–11


4. (http://ii.islam.gov.my/hadith/detailed.php?id=7&j=3 )


5. Caccialanza et al.To fast, or not to fast before chemotherapy,that is the question.BMC Cancer (2018) 18:337

https://doi.org/10.1186/s12885-018-4245-5

Tuesday 6 April 2021

BUKTI VAKSIN BUKAN PENYEBAB AUTISMA



Jika ada mana2 pihak termasuk golongan antivaksin mendakwa vaksin punca penyakit autisma, anda boleh copy & paste bukti2 kajian di bawah untuk menyangkal atau menjawab tuduhan mereka.Semuanya kajian ke atas manusia dan bukan kajian makmal ke atas tikus. 

Berikut adalah 9 dari banyak lagi kajian2 yang besar membuktikan TIDAK ada kaitan antara vaksin dan penyakit autisma:

1. Autism adalah masalah ketidakupayaan neurodevelopmental yang mempunyai kaitan yang kuat dengan komponen genetik. Pakar sudah mengesahkan bahawa autism bermula sejak di dalam kandungan lagi dan gejala sudah dapat dikesan sebelum usia satu 1 tahun di mana anak2 ini belum lagi terdedah kepada vaksin. (1)

2.  Penyelidik menjalankan kajian melihat kaitan antara suntikan vaksin MMR dan autisma melibatkan 650,000 kanak2 yang lahir dari tahun 1999 hingga 2010. Sejumlah 6,500 kanak2 dikesan mengalami autisma. Dalam kalangan kanak2 ini, ada yang ambil vaksin dan ada yang tidak ambil vaksin. Hasil kajian ini menunjukkan risiko mengalami autisma tidak ada bezanya samada mengambil vaksin ataupun tidak. Jadi penyelidik membuat kesimpulan TIDAK ada kaitan antara vaksin dan autisma (2)

3. Penyelidik mengkaji 100,000 kanak2 yang mempunyai abang atau kakak mengidap autisma. Jadi semua kanak2 yg dikaji ini mempunyai risiko menghidap autisma kerana saudara tua mereka menghidap autisma. Ada di antara mereka mengambil vaksin dan ada yang tidak mengambil vaksin. Keputusan kajian ini mendapati tidak ada peningkatan risiko autisma dalam kalangan kanak2 yang mengambil vaksin walaupun mereka tergolong dalam golongan berisiko. Dengan perkataan lain, vaksin tidak meningkatkan risiko autisma walaupun ke atas kanak2 yang mempunyai ahli keluarga autisma. (3)

4. Satu kajian meta-analisis melibatkan lebih 1.2 juta kanak2 mendapati risiko autisma ke atas kanak2 yang menerima vaksin serta komponen2 vaksin termasuk thimerosal sama sahaja dengan kanak2 yang tidak nenerima vaksin. Sekali lagi penyelidik mendapati TIDAK ada kaitan antara vaksin dan autisma.(4)

5. Kajian ke atas kanak2 Jepun di antara tahun 1989 hingga 1993 mendapati risiko autisma ke atas kanak2 yang mengambil vaksin sama sahaja dengan kanak2 yang tidak mengambil vaksin MMR. TIDAK ada kaitan antara vaksin dan autisma. (5)

6. Jepun memberi vaksin MMR kepads kanak2 mereka sekitar tahin 1989 hingga 1993. Selepas tahun 1993, meteka berhenti untuk beberapa tahun disrbabkan oleh berita palsu tentang vaksin dan autisma. Berlaku penurunan mendadak pengambilan vaksin MMR dari tahun 1989 hingga 1993 di mana pada tahun 1992 hanya 10% yang mengambil vaksin. Penyelidik melihat trend kadar penyakit autisma susulan dari penurunan kadar vaksinasi. Sepatutnya jika vaksin punca autisma, dengan pengurangan vaksinasi tentu bilangan kes autisma menurun. Sebaliknya penyelidik mendapati kadar penyakit autisma meningkat walaupun kadar vaksinasi menurun. Ini menguatkan bukti bahawa autisma tidak ada kena mengena dengan vaksin (6)

7. Pengkaji melakukan analisa ke atas database terbesar UK yang mengumpulkan kes2 autisma selama 28 tahun untuk melihat samada terdapat kaitan dengan vaksin. Mereka membandingkan risiko autisma dengan kumpulan individu yang mempunyai usia yang sama tetapi tidak menerima vaksin. Hasil analisis ini menunjukkan tidak ada kaitan antara vaksin dan autisma. (7)

8. Penyelidik mengkaji lebih dari 500,000 kanak2 yang lahir di Denmark pada tahun 1991 hingga 1998 untuk melihat kaitan antara vaksin dan autisma. Hasil kajian ini menunjukkan TIDAK ada kaitan antara vaksin dan autisma (8)

9. Penyelidik mengkaji kadar penyakit autisma selepas vaksin MMR diperkenalkan pada tahun 1988 dengan sebelum 1988. Mereka dapati kadar penyakit autisma tidak meningkat selepas vaksin MMR mula diberikan pada tahun 1988 hingga 1998 berbanding dengan tahun2 sebelumnya. Ini menguatkan bukti bahawa tidak ada kaitan antara vaksin MMR dengan autisma (9)

Kajian2 di atas jelas menunjukkan tidak ada kaitan antara vaksin dan autisma. Maksudnya golongan2 yang tidak mengambil vaksin pun mempunyai kadar penyakit autisma yang sama dengan yang mengambil vaksin. Tidak ada kaitan langsung dengan profesion ibu bapa samada doktor, guru, kerani, askar, peniaga  atau apa sahaja kerjaya. Jika ada antivaksin yang menghina kerjaya2 tertentu dengan membuat andaian anak2 mereka lebih ramai yang mengalami autisma, ingatlah anda juga mempunyai anak cucu, Allah boleh saja memberi pengajaran kepada anda di dunia ini lagi.


Dato' Dr.Rushdan Noor

7hb April 2021.


RUJUKAN


1. DeStefano, R., T.T. Shimabukuro, The MMR vaccine and autism, Ann Rev Virol (2019) 6: 1.1-1.16.

2. Hviid A, Hansen JV, Frisch M, Melbye M. Measles, mumps, rubella vaccination and autism. Ann Int Med 2019; epub ahead of print.

3. Jain A, Marshall J, Buikema A, et al. Autism occurrence by MMR vaccine status among US children with older siblings with and without autism. JAMA 2015;313(15):1534-1540.

4. Taylor LE, Swerdfeger AL, Eslick GD. Vaccines are not associated with autism: an evidence-based meta-analysis of case-control and cohort studies. Vaccine 2014;32:3623-3629.

5.Uchiyama T, Kurosawa M, Inaba Y. MMR-vaccine and regression in autism spectrum disorders: negative results presented from Japan. J Autism Dev Disord 2007;37:210-217.

6. Honda H, Shimizu Y, Rutter M. No effect of MMR withdrawal on the incidence of autism: a total population study. J Child Psychol Psychiatry 2005;46(6):572-579.

7. Smeeth L, Cook C, Fombonne E, et al. MMR vaccination and pervasive developmental disorders: a case-control study. Lancet 2004;364:963-969.

8. Madsen KM, Hviid A, Vestergaard M, et al. A population-based study of measles, mumps, and rubella vaccination and autism. N Engl J Med 2002;347(19):1477-1482.

9. Taylor B, Miller E, Farrington CP, et al. Autism and measles, mumps, and rubella vaccine: no epidemiological evidence for a causal association. Lancet 1999;353:2026-2029.