Semasa kemelut politik berlaku di dalam negara kita beberapa tahun ini, apakah pengajaran yang telah kita perolehi setakat ini? Saya boleh kongsikan beberapa pengajaran yang telah dipelajari.
1. Kedudukan dan jawatan tidak kekal, dulu di atas, sekarang di bawah, begitulah sebaliknya. Yang di atas mesti ingat yang kedudukan itu boleh berubah. Yang di bawah pula, muhasabah dan terimalah ketentuan kerana peluang masa hadapan masih ada.
2. Sukarnya untuk membezakan antara maklumat yang benar dan tidak benar. Maklumat yang disangka benar, rupa2nya salah , begitu juga sebaliknya, mungkin kita gagal menapis dan tidak menggunakan cukup masa untuk menyelidik. Terlalu cepat percaya dan prasangka adalah punca utama salah faham. Kita juga terburu2 berkongsi maklumat yang separa masak. Dalam banyak keadaan, berdiam diri adalah sikap yang lebih bijak.
3. Jangan taksub dan menyanjung seseorang atau kumpulan secara keterlaluan. Begitu juga jangan mengeji dan membenci seseorang atau kumpulan keterlaluan. Disebabkan faktor no 2 di atas, kita seringkali lakukan kesilapan di dalam menilai seseorang. Pendirian dan sikap seseorang seringkali tidak mewakili kumpulan atau parti politik mereka.
4. Menyebar berita palsu atau fitnah adalah senjata yang sangat merbahaya dan boleh menjatuhkan reputasi seseorang malahan boleh menjatuhkan sebuah kerajaan. Berita2 palsu juga boleh mengundang ketegangan dan pergaduhan. Pastikan dulu sebarang dakwaan disertakan bukti yg kukuh. Satu tip yang boleh dijadikan amalan adalah menolak semua maklumat yang tidak dicatitkan sumbernya/penciptanya samada screenshot, infografik, keratan video dan tik tok. Anggap semua ini propaganda dan palsu semata2 kecuali apabila telah disahkan benar.
5. Yang ini selalu kita dengar. Di dalam politik, tidak ada rakan dan lawan yang kekal. Sebagai orang awam, cukuplah sekadar menjalankan tanggungjawab kita sebagai pengundi dan tak perlu bersusah payah turut serta dalam pertikaian pengikut2 orang politik sehingga bermusuhan sesama sendiri. Nanti orang politik berdamai, kita terus bermusuh, kita yg stres tak pasal2. Siapa yang untung dan siapa yang rugi?
6. Hujah dan pendirian orang politik boleh berubah2 mengikut masa dan keadaan. Kuasa politik kadangkala hanya boleh diperolehi melalui gabungan beberapa parti politik. Di dalam situasi ini dan di atas alasan no 5 di atas, pemimpin politik terpaksa menukar pendirian mereka. Mungkin mereka menjustifikasikan sikap ini dengan menggunakan alasan untuk mendapatkan manfaat yang lebih besar ataupun memilih mudarat yang lebih kecil. Orang2 agama menggunakan istilah ijtihad di dalam berpolitik. Kita yang tidak arif dalam politik akan seringkali salah sangka. Saya bukan mempertahankan orang politik tetapi cuba untuk berbaik sangka dengan mereka kerana ramai orang politik ini sebenarnya ikhlas dan baik. Lagipun berubah pendirian tanpa mengorbankan prinsip perjuangan bukanlah satu kesalahan yg besar.
7. Memandangkan no 6 di atas berlaku di dalam semua parti politik, maka kita tak perlulah nak menghentam teruk2 parti lain disebabkan mereka berubah pendirian kerana perkara yang sama pernah berlaku di dalam parti yang kita sokong, mungkin pada masa dahulu ataupun masa akan datang. Silap2 parti yang kita sokong itu lebih kerap buat U-turn.
Semoga pengajaran yang diperolehi beberapa tahun ini dapat meningkatkan ilmu orang ramai (termasuk saya) tentang politik dan mematangkan ahli2 politik sendiri. Apa yang lebih penting adalah dengan pengetahuan dan kematangan ini, politik di negara kita akan lebih sihat di masa hadapan.
Kerajaan sudah dibentuk dan menteri2 sudah dilantik maka pakat2 lah move on dan berharap sesuatu yang lebih baik terhasil dari kerajaan yang baru ini. Jika kita berharap sesuatu yang tidak baik kepada yang sedia ada, adakah jaminan sesuatu yang lebih baik akan mengambil aleh? Jadi berdoalah yang baik2.
Saya bukan seorang yang arif tentang politik jadi anggaplah ini hanya coretan peribadi semata2. Mungkin dengan mengambil pendirian seperti di atas, kita dapat kurangkan stres dan mengikis perasaan benci membenci antara satu sama lain. Lagipun hidup ini sangat singkat, suburkan kesefahaman dan kasih sayang.
DDr Rushdan Noor
6hb Feb 2023