PENDAHULUAN
Mikroorganisma ini terdiri dari bakteria, kulat, yis, virus dan archaea) yang menghuni usus, kulit dan rongga badan (mulut,hidung,faraj, pundi kencing). Keseluruhan microorganisma yang menghuni tubuh kita ini dikenali sebagai Microbiom.
Organisma2 ini pula ada yang baik (normal flora) dan ada yang berpotensi menyebabkan penyakit (patogen).
Di antara organisma baik dalam tubuh manusia adalah Laktobacillus sp, Bifidobacterium sp, strain bukan patogen E.coli, Faecalibacterium prausnitzii, Saccharomyces boulardii dan lain2.
Manakala mikroorganisma yang boleh menyebabkan penyakit (patogen) adalah Clostridium difficile, Salmonella sp, Helicobacter pylori, Candida albican, Staphylococcus aureus dan E.coli strain patogen (contoh EHEC). Walaupun dianggap mikroorganisma jahat atau patogen, ada juga manfaatnya iaitu berperanan melatih sistem imun kita. Walau bagaimanapun, bilangannya perlu dikawal kerana jika terlalu banyak, ia menyebabkan penyakit.
Mikroorganisma yang baik dan jahat ini keseluruhannya akan membentuk mikrobiom. Mikrobiom merujuk kepada keseluruhan komuniti mikroorganisma (termasuk bakteria, virus, kulat, dan protozoa) bersama bahan genetik mereka, yang hidup di dalam tubuh manusia
FUNGSI MIKROBIOM
Mikrobiom bukanlah segala2nya untuk kesihatan. Ia hanya salah satu dari banyak lagi faktor2 penting yang menyumbang kepada kesihatan badan. Jadi kesihatan memerlukan gabungan dan interaksi beberapa faktor atau parameter. Mikrobiom pula akan hanya bermanfaat apabila ianya seimbang. Keseimbangan mikrobiom bermaksud:
1. Mikroorganisma baik (flora normal) lebih dominan
2. Mikroorganisma patogen berada dalam jumlah terkawal
3. Kepelbagaian mikrobiota adalah tinggi (diversiti)
4. Fungsi normal (penghadaman, imun, metabolisme) tidak terganggu
Jadi fungsi microbiom yang seimbang ini adalah:
1. Menghalang pertumbuhan bakteria berbahaya
Flora baik "menjaga kawasan", tidak beri ruang kepada patogen membiak. Contoh: Lactobacillus mencegah jangkitan yis (Candida) dalam faraj
2. Menyokong sistem imun
Mikrobiom latih sistem imun untuk kenal pasti “musuh sebenar”. Mungkin imun yang seimbang akan kurang risiko alahan & autoimun.
3. Membantu penghadaman dan serapan nutrien
Bakteria usus memfermentasi serat untuk hasilkan asid lemak (SCFA) yang baik untuk usus dan otak. Membantu serapan zat seperti kalsium, magnesium, vitamin K dan B12.
4. Menghasilkan vitamin penting
Sesetengah mikrobiota menghasilkan vitamin K, vitamin B (B1, B2, B12).
5. Mempengaruhi kesihatan mental (gut-brain axis)
Ada yang berpendapat mikrobiom usus berhubung dengan otak melalui saraf vagus dan bahan kimia (neurotransmitter seperti serotonin). Jadi keseimbangan mikrobiom mungkin boleh membantu kawal stres, kemurungan dan keresahan. Maklumat ini diperolehi daripada kajian terhadap haiwan, manakala kajian ke atas manusia masih terhad.
6. Membantu kawal berat badan & metabolisma
Mikrobiom seimbang boleh bantu kawal penghasilan insulin dan selera makan. Ketidakseimbangan boleh meningkatkan risiko obesiti, diabetes dan hati berlemak
Memang tidak dapat dinafikan peranan mikrobiom seperti yang tertera di atas, tetapi ada di antaranya bukan berasaskan kepada bukti kajian yang kukuh. Selain daripada yang tersebut di atas, banyak pihak sengaja membesar2kan peranan mikrobiom secara berlebihan seperti boleh merawat berbagai jenis penyakit, manakala kaitannya dengan fungsi otak masih dalam kajian. Dengan kaedah ini, mereka membesarkan skop penggunaan produk probiotik untuk tujuan melariskan jualan.
APAKAH PROBIOTIK, PREBIOTIK DAN SINBIOTIK
PROBIOTIK adalah mikroorganisma hidup (biasanya bakteria atau yis) yang diambil dari sumber luar samada dari makanan ataupun suplemen. Mikroorganisma ini juga jenis yang sama dengan yang ujud semulajadi dalam badan. Probiotik boleh memberi manfaat kesihatan kepada golongan tertentu, terutamanya sistem pencernaan, apabila diambil dalam jumlah mencukupi. Contoh: Lactobacillus, Bifidobacterium, Saccharomyces boulardii.
PREBIOTIK adalah makanan untuk probiotik. Prebiotik ialah jenis serat atau karbohidrat tidak tercerna (seperti inulin, FOS, GOS, pektin, beta-glukan)) yang menjadi makanan kepada bakteria baik (probiotik) dalam usus besar. (FOS :fruktooligosakarida, GOS: galaktooligosakarida)
Komponen probiotik dan prebiotik memang sudah ada dalam tubuh badan kita, cuma samada ianya cukup atau kurang.
SINBIOTIK ('SYNBIOTIC') pula adalah gabungan probiotik dan prebiotik di dalam satu produk ataupun makanan.
APAKAH SUMBER PROBIOTIK DAN PREBIOTIK SEMULAJADI
Prebiotik dan probiotik boleh diperolehi dari makanan harian kita.
Sumber probiotik dari makanan:
1. Yogult
2. Tempeh
3. Kimchi
4. Cuka apel
5. Susu/keju mentah
6. Jeruk sayur
8. Jeruk timun
9. Tapai
10. Sauerkraut (Kubis jeruk Jerman)
Sumber prebiotik dari makanan:
1. Bawang Putih
2. Bawang Besar
3. Daun bawang
4. Pisang yang tidak terlalu masak
5. Asparagus
6. Epal dengan kulit
7. Kacang kuda
8. Kacang merah
9. Kubis
10. Oat
SIAPAKAH YANG DISYORKAN AMBIL SUPLEMEN PREBIOTIK DAN PROBIOTIK
Tidak semua orang perlu mengambil suplemen pre dan probiotik kerana sebab-sebab yang akan diterangkan nanti. Sebelum mengambil probiotik, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Berikut adalah individu2 yang mungkin disyorkan mengambil prebiotik dan probiotik oleh doktor dan pakar perubatan.
1. Mengalami ciri-birit akibat antibiotik. Antibiotik boleh membunuh bakteria baik dalam usus. Probiotik (seperti Lactobacillus dan Saccharomyces boulardii) membantu mengurangkan risiko cirit-birit.
2. Sembelit yang disebabkan oleh fungsi usus. Pesakit sudah menjalani pemeriksaan dan ujian mencari punca sembelit tetapi tidak ditemui. Setengah probiotik meransang pergerakan usus (Lactocillus casei) dan melembutkan najis (Bifidobacterium lactis sp).
3. Bayi yang mengalami kembung perut (infant colic), perlu nasihat pakar kanak2
4. Irritable bowel syndrome dengan nasihat doktor. Sesetengah probiotik (seperti Bifidobacterium infantis) boleh membantu mengurangkan simptom seperti kembung, sembelit atau cirit-birit.
5. Penyakit radang usus ("Inflammatory bowel disease") dengan nasihat pakar gastro.
6. Jangkitan kulat (candida) yang berulang2 pada faraj dan pundi kencing.Probiotik tertentu (Lactobacillus rhamnosus, L. reuteri) boleh membantu mengekalkan keseimbangan flora faraj
7. Selepas jangkitan usus ("gastroenteritis") dengan nasihat doktor. Probiotik boleh mempercepatkan pemulihan flora usus.
Terdapat banyak jenis suplemen prebiotik dan probiotik di dalam pasaran dan tidak semuanya sama dari segi kandungan, jenis mikroorganisma, dos dan kualiti. Jadi perlu nasihat doktor untuk jenis yang sesuai untuk tujuan dan individu tertentu.
MENGAPA SUPLEMEN PREBIOTIK DAN PROBIOTIK TIDAK DISYORKAN KEPADA SEMUA ORANG
Berikut adalah beberapa sebab suplemen prebiotik dan probiotik tidak diperlukan oleh semua orang.
1. Tiada keperluan jika sihat
Jika seseorang mempunyai sistem penghadaman dan diet yang baik, flora usus biasanya seimbang secara semulajadi tanpa perlu suplemen.
2. Kesan berbeza antara individu
Setiap individu mempunyai microbiom yang profil bakterianya berbeza. Respon terhadap suplemen sangat bergantung kepada jenis mikrobiom asal seseorang. Tidak semua orang mendapat manfaat yang sama. Satu jenis suplemen tidak semestinya sesuai untuk semua orang. Apa yang berkesan untuk seseorang mungkin tidak memberi kesan, malah boleh memudaratkan orang lain. Ujian mikrobiom pula masih kontroversi dan tidak ada garispanduan yang seragam.
3. Tidak semua produk berkesan
Banyak suplemen di pasaran tidak mengandungi jumlah bakteria hidup yang mencukupi, atau bakteria yang sesuai untuk memberi manfaat.
4. Risiko kepada golongan tertentu
Individu yang mengalami kelemahan sistem imun (pesakit kanser, HIV, selepas pemindahan organ) boleh mengalami jangkitan serius akibat probiotik (jarang, tetapi dilaporkan). Jangkitan ini dikenali sebagai jangkitan oportunistik.
5. Kesan sampingan ringan
Sesetengah pengguna mengalami gas, kembung, atau perubahan najis pada awal pengambilan. Jadi mereka tidak sesuai mengambilnya kerana gejala perut dan usus yang bertambah.
6. Tindakbalas alahan ataupun hipersensitiviti.
Sebahagian suplemen probiotik dihasilkan dari sumber tenusu atau yis dan boleh menyebabkan alahan kepada mereka yang sensitif.
7. Kos jangka panjang
Pengambilan suplemen secara berterusan mungkin mahal, tanpa manfaat tambahan jika tiada indikasi klinikal.
8. Seperti mana suplemen yang lain, keraguan tentang kualiti, kandungan prebiotik, probiotik dan juga kebimbangan tentang isu kebersihan serta keselamatan tetap ujud.
Mengambil prebiotik dan probiotik tanpa menjaga diet, tanpa pengendalian stres yang baik, tidur yang mencukupi dan mengambil makanan yang diproses akan mengurangkan keberkesanan probiotik. Mikrobiom memerlukan gabungan diet dan gaya hidup sihat untuk berkesan, ia hanya salah satu dari komponen di dalam pakej kesihatan yang lebih besar.
Elakkan memgambil probiotik semasa rawatan antibiotik, sebaliknya jika diperlukan, ianya lebih berkesan selepas selesai rawatan antibiotik.
Pengambilan prebiotik dan probiotik perlu mendapatkan nasihat profesional kesihatan. Adalah lebih baik mengambil prebiotik dan probiotik ini dari sumber makanan semulajadi dan mengamalkan gaya hidup sihat.
ADAKAH PERLU MENJALANI UJIAN MIKCROBIOM
Terdapat ujian menggunakan sampel tinja untuk menganalisa komposisi mikrobiom seseorang. Melalui analisa ini makmal dapat mengenalpasti komposisi mikrobiom, jenis mikrob yang dominan, kepelbagaian dan cadangan ujian lanjut untuk mengesan hasil metabolik mikrobiom.
Walaupun ujian ini nampak seperti berguna tetapi tidak sesuai dilakukan oleh semua orang kerana beberapa sebab, antaranya:
1. Ujian mikrobiom tidak disokong oleh bukti kajian yang kukuh. Tidak ada persetujuan universal terhadap apakah yang dimaksudkan dengan mikrobiom yang normal. Banyak ujian-ujian ini tidak diiktiraf oleh FDA.
2. Ianya bukan ujian pengesahan ataupun diagnostik. Ia hanya memberi maklumat tambahan yang tidak semua orang perlukan.
3. Ada kelemahan dari segi ketepatan ujian kerana mikrobiom seseorang boleh berubah-ubah. Jadi hasil ujian ini mungkin tidak membantu proses rawatan yang diberikan. Komposisi mikrobiom boleh berubah mengikut masa dan keadaan. Satu bacaan bukan petunjuk gambaran mikrobiom yang sebenar.
4. Interpretasi hasil ujian ini perlu berhati2 dan dilakukan oleh profesional yang terlatih. Di dalam banyak keadaan, tidak ada aplikasi klinikal yang dapat disyorkan dari keputusan ujian.
5. Kos yang mahal. Ujian asas mungkin menelan belanja beratus ringgit dan jika ujian lanjutan dilakukan boleh mencapai ribuan ringgit.
6. Boleh disalahgunakan oleh golongan tertentu yang ingin mengaut keuntungan.
Ujian mikrobiom perlu mendapat nasihat daripada pakar yang merawat. Ia mungkin disyorkan ke atas individu yang mengalami masalah kesihatan serius yang mewajarkan mereka mengambil prebiotik dan probiotik. Kebanyakan individu yang perlu mengambil prebiotik dan probiotik tidak perlu menjalani ujian mikrobiom. Ujian ini juga boleh digunakan di dalam konteks penyelidikan. Pendek kata ujian mikrobiom tidak boleh dilakukan semberono.
KESIMPULAN
Mikrobiom adalah keseluruhan mikroorganisma yang ujud di dalam tubuh seseorang. Ia terdiri dari mikroorganisma yang baik dan yang tidak baik untuk kesihatan. Ketidakseimbangan mikrobiom boleh menyumbang kepada beberapa masalah kesihatan. Probiotik adalah mikroorganisma yang sama tetapi diambil dari luar samada dalam bentuk makanan ataupun suplemen. Prebiotik pula adalah makanan kepada probiotik. Apabila prebiotik dan probiotik disatukan dalam satu produk, ianya dikenali sebagai sinbiotik. Memandangkan probiotik dan prebiotik boleh diperolehi dari makanan, tidak semua orang perlu mengambil suplemen probiotik. Hanya golongan tertentu sahaja yang disyorkan mengambil probiotik, itupun perlu nasihat profesional. Ujian mikrobiom adalah kontroversial dan tidak boleh dilakukan sewenang2nya. Amalan mengambil probiotik dan prebiotik menjadi tidak bermakna, jika tidak digabungkan dengan diet, senaman, tidur yang cukup, pengendalian stres dan lain-lain gaya hidup sihat.
No comments:
Post a Comment