Umumnya, kesederhanaan adalah pendekatan yang paling tepat dalam pelbagai aspek kehidupan termasuklah dalam soal pemakanan. Apa-apa yang berlebihan, walau dalam bentuk makanan yang “sihat”, tetap boleh membawa kemudaratan.
Kebelakangan ini, muncul naratif ekstrem yang menolak prinsip kesederhanaan. Diet tinggi protein, ketogenik, atau “zero-carb” diangkat seolah-olah satu-satunya jalan keluar untuk semua masalah kesihatan moden. Walaupun ada kebenaran dalam kebimbangan terhadap kerintangan insulin dan pengambilan makronutrien tertentu, pendekatan yang sempit seperti "semua salah kecuali cara aku" bukan sahaja tidak praktikal, malah boleh membahayakan kesihatan jika disalah erti atau diikuti tanpa pemantauan profesional.
Fungsi tubuh manusia adalah kompleks, melibatkan sistem hormon, enzim, mikrobiom usus, serta pelbagai faktor genetik dan persekitaran. Menyalahkan konsep "kesederhanaan" sebagai punca masalah kesihatan moden adalah satu bentuk pemikiran yang simplistik dan tidak berasaskan pada ilmu sebenar.
1. INSULIN BUKAN MUSUH
Insulin adalah hormon penting. Ia mengawal gula darah, membantu penyimpanan tenaga, menyokong pertumbuhan otot dan fungsi otak. Masalah kesihatan tidak berlaku kerana nasi segenggam atau roti sekeping atau gula se-camca, tetapi berpunca daripada kelebihan kalori kronik, gaya hidup sedentari, dan pengambilan makanan ultra-proses secara berlebihan. Kalori bukan saja disumbang oleh karbohidrat dan gula tetapi juga protein serta lemak.
2. DIET EKSTREM BUKAN JAWAPAN UNTUK SEMUA
Diet seperti ketogenik, “carnivore”, atau “protein-only” mungkin berguna dalam kes tertentu seperti obesiti morbid atau sindrom metabolik, tetapi ia bukan penyelesaian jangka panjang yang universal. Itupun bukan boleh diamalkan semberono, tetapi perlu penyeliaan petugas profesional yang terlatih. Kajian menunjukkan bahawa diet ekstrem ini sukar untuk diamalkan dalam jangkamasa panjang, risiko kekurangan nutrient, gangguan hormon, masalah buah pinggang, batu karang, sembelit, kurang gula darah dan keletihan.
3. PENDEKATAN “MAKAN BILA LAPAR SAHAJA” BUKAN UNTUK SEMUA ORANG
Konsep “intermittent fasting” atau makan hanya bila lapar tidak sesuai untuk semua khususnya ibu mengandung, kanak-kanak, warga emas, pesakit kronik atau individu yang sangat aktif. Mereka memerlukan nutrien secara berkala untuk menyokong keperluan fisiologi masing-masing.
4. KONSEP KESEDERHANAAN BUKAN ‘MAKAN APA SAHAJA’
Kesederhanaan bukan lesen untuk makan makanan tidak sihat sesuka hati. Ia bermaksud keseimbangan makronutrien, pengawalan saiz hidangan, dan pemilihan makanan sebenar ("real food") secara bijak. Ini bukan "broscience" atau "pseudosains", ia adalah prinsip asas yang diterima dalam semua garis panduan pemakanan antarabangsa yang digariskan oleh WHO, KKM dan lain2 pertubuhan kesihatan serta nutrisi antarabangsa.
5. HANYA PENGAMAL KLINIKAL YANG MELIHAT AKIBAT DIET EKSTREM SECARA LANGSUNG
Ramai yang hanya pandai menulis dalam medsos atau bercakap dalam tiktok atau youtube, selesai tugas mereka, mereka baring di katil dan tidur. Besok mereka sambung semula tugas "menggoreng" tanpa ada tanggungjawab dan pengalaman merawat pesakit.
Menulis dan bercakap di media sosial itu memang mudah. Tetapi melihat dan merawat pesakit yang datang dengan komplikasi akibat diet ekstrem adalah realiti sebenar yang hanya diketahui oleh doktor dan pakar pemakanan. Mereka inilah yang melihat dan merawat kesan sampingan diet ekstrem seperti ketoacidosis bukan-diabetes, batu karang, kerosakan buah pinggang, hati, kekurangan nutrient, kehilangan jisim otot, masalah hormon, keguguran rambut, keletihan melampau dan lain2 yang dinyatakan di atas (mengikut jenis diet ekstrem yang diamalkan).
Kesemuanya berpunca daripada amalan diet yang tidak seimbang atau ekstrem tanpa indikasi yang betul dan bimbingan profesional. Ironinya, salah satu punca keadaan ini adalah kekeliruan yang disampaikan oleh pempengaruh atau pakar2 segera medsos (yang kerjanya menulis dan bercakap, kemudian syok sendiri).
KESIMPULAN
Mengurangkan gula tambahan dan karbohidrat ringkas memang penting, tetapi jangan sampai fobia makan buah atau nasi setengah senduk, roti sekeping atau sesudu kecil gula.
Tubuh manusia memerlukan keseimbangan karbohidrat kompleks, protein berkualiti, lemak sihat, serat dan air yang mencukupi serta aktiviti fizikal yang konsisten. Di samping itu menjauhkan diri dari rokok, vape dan alkohol. Jangan lupa, kurangkan stres.
Kesederhanaan ialah prinsip yang fleksibel, lestari, menyeronokkan dan paling berjaya dalam jangka panjang untuk kesihatan fizikal, mental dan sosial. Ia terbukti berkesan dalam pelbagai kajian populasi di negara-negara dengan kadar kesihatan terbaik dan jangka hayat yang panjang.
Dato' Dr. Rushdan Noor
3hb Ogos 2025
RUJUKAN:
1. WHO Healthy Diet Factsheet
2. Harvard T.H. Chan School of Public Health – Healthy Eating Plate
3. Long-Term Effects of Ketogenic Diets: A Systematic Review. Frontiers in Nutrition, 2021
4. Academy of Nutrition and Dietetics: Position of the Academy on Macronutrient Distribution
5.Paoli, A. et al. (2013). Beyond weight loss: a review of the therapeutic uses of very-low-carbohydrate (ketogenic) diets. Eur J Clin Nutr.
6. O'Hearn, S. (2020). Clinical and subjective effects of a zero-carb diet.
7. Barqawi, H. et al. (2023). The Carnivore Diet: Review and Nutritional Evaluation. Current Nutrition Reports
No comments:
Post a Comment