Kelahiran lotus atau "lotus birth" merujuk kepada amalan tidak memotong tali pusat selepas kelahiran bayi, sebaliknya membiarkan tali pusat dan uri (plasenta) kekal melekat pada bayi sehingga tali pusat tersebut kering dan tanggal secara semula jadi, biasanya dalam tempoh 3 hingga 10 hari.
Amalan ini berasal daripada kepercayaan spiritual dan holistik, dan dikatakan bertujuan untuk membenarkan “transisi lembut” bagi bayi baru lahir serta membolehkan pertukaran tenaga atau zat dari plasenta ke bayi selepas lahir. Asal usul amalan ini dipercayai hasil dari pemerhatian seorang wanita pengamal yoga bernama Clair Lotus pada awal tahun 1970an. Beliau melihat monyet chimpanzee membiarkan uri melekat pada bayi selepas dilahirkan.
Hakikatnya, kajian menunjukkan 3-5 minit selepas uri dikeluarkan dari rahim, denyutan salur darah dalam tali pusat akan berhenti dan tidak ada lagi pemindahan darah berlaku kepada bayi. Selepas pada itu, tali pusat dan uri sudah tidak berfungsi dan bermula proses pereputan. Sebab itu di dalam amalan perubatan moden, "delayed cord clamping" hanya disyorkan selama tidak lebih dari 3 minit sahaja. Selepas itu, tali pusat dan uri sudah tidak ada fungsi kepada bayi lagi. Melengahkan "cord clamping" lebih lama dari itu tidak membawa apa2 manfaat, sebaliknya boleh memudaratkan seperti yang akan diterangkan di bawah.
RISIKO DAN KEMUDARATAN KELAHIRAN LOTUS
Kajian klinikal dan garis panduan perubatan moden tidak menyokong amalan ini, malah menunjukkan beberapa risiko terhadap kesihatan bayi. Jika difikirkan secara lojik pun kita boleh memahami mengapa membiarkan uri dan tali pusat bersama bayi itu boleh memudaratkan. Apabila uri sudah lekang dan keluar dari rahim ini, ia sudah tidak ada fungsi kepada bayi tersebut, uri ini akan melalui proses pereputan seperti bangkai. Uri mendapat bekalan darah dari ibu dan apabila keluar, bekalan darah sudah terputus dan uri akan melalui proses pereputan.
1. KOMPLIKASI KELAHIRAN LOTUS
Uri selepas lahir adalah tisu mati dan tiada bekalan darah. Ia sangat mudah menjadi medium pembiakan bakteria dan jangkitan boleh sampai kepada bayi.
Berikut adalah komplikasi ke atas bayi akibat dari amalan kelahiran lotus yang dilapurkan dan disiarkan dalam jurnal2:
a. Jangkitan darah yang serius ke atas bayi ("severe neonatal sepsis") (1)
b. Hutchon DJ (2014) melaporkan bahawa lotus birth boleh menyebabkan jangkitan kuman melalui plasenta yang reput, termasuk bakteria seperti E. coli, Staphylococcus dan Clostridium spp (2)
c. Kes radang hati neonatal ("idiopathic neonatal hepatitis") dilapurkan oleh Tricarico A et al (3)
d. Radang selaput jantung ataupun endocarditis (4)
e. Kekurangan darah (anaemia") dan asidosis ("darah berasid"). Manfaat melambatkan "cord clamping" hanya ditemui jika ianya dilakukan tidak lebih dari 3 minit selepas dilahirkan. Dalam keadaan tertentu, jika "cord clamping" ini dilengah2kan lebih lama dan uri diletakkan di kedudukan lebih rendah dari bayi, darah bayi boleh mengalir keluar ke arah uri dan bayi kehilangan darah merah (anaemia). Kes ini dilapurkan oleh Svedenkrans J et al. (5)
f. Kematian bayi akibat sepsis dari amalan kelahiran lotus telah diputuskan oleh mahkamah di Viktoria, Australia pada tahun 2020 (6)
g. Mengendalikan bayi dengan keadaan tali pusat dan uri masih melekat pada bayi akan menyukarkan banyak pihak. Kecederaan bayi boleh berlaku jika dengan tidak sengaja tali pusat tertarik kuat dan tercabut dari pusat bayi dikenali sebagai "cord avulsion".
2. RISIKO PENANGGUHAN RAWATAN NEONATAL KRITIKAL
Bayi dengan lotus birth sering tidak dapat dimasukkan ke dalam inkubator atau dimanipulasi dengan mudah untuk pemeriksaan atau resusitasi, kerana uri masih terlekat. Ini boleh menyukarkan intervensi perubatan segera bagi bayi yang lemah atau memerlukan rawatan rapi neonatal (NICU).
American College of Nurse-Midwives (ACNM) tidak menyokong kelahiran lotus kerana kekangan dalam pengurusan klinikal bayi baru lahir serta risiko jangkitan yang meningkat.
3. TIADA BUKTI SAINTIFIK KELEBIHAN DARI SUDUT FISIOLOGI
Beberapa penyokong lotus birth mendakwa bahawa uri masih memberi nutrien selepas lahir. Namun, secara fisiologi, aliran darah uri berhenti dalam masa 5 hingga 15 minit selepas kelahiran. Denyutan salur darah uri hanya ujud tidak lebih dari 5 minit selepas uri keluar dari rahim dan darah dari uri tidak lagi boleh mengalir kepada bayi. Oleh itu, tiada manfaat dari segi pemindahan zat atau oksigen selepas tempoh itu.(7)
World Health Organization (WHO) menyokong delayed cord clamping (tangguh potong tali pusat selama 1–3 minit selepas lahir), tetapi tidak menyokong kelahiran lotus.
American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) menyatakan bahawa lotus birth membawa risiko jangkitan serius dan tidak mempunyai faedah yang terbukti secara saintifik.
NASIHAT UNTUK ORANG RAMAI
Kelahiran adalah proses yang sangat penting, ia juga melibatkan risiko kesihatan yang perlu ditangani dengan betul berdasarkan perubatan berasaskan bukti. Kelahiran lotus bukan sahaja tidak terbukti memberi manfaat, malah boleh memudaratkan bayi, terutama dari sudut risiko jangkitan, radang hati, radang jantung, kekurangan darah merah dan risiko kelewatan rawatan. Kelahiran cara ini boleh dianggap kaedah yang ekstrem dan meniru cara kelahiran haiwan di dalam hutan. Pilihan terbaik yang disokong kajian adalah "delayed cord clamping" tidak lebih dari 3 minit, bukannya mengekalkan tali pusat dan uri berhari-hari.
Merujuk kepada pengalaman peribadi orang lain bukanlah bukti kaedah itu selamat.Jangan sebab orang lain buat berjaya, anda pun boleh lakukan. Jika betul ingin meniru cara chimpanzee mengendalikan kelahiran, mereka bukan setakat membiarkan tali pusat terkeluar sendiri, tetapi si ibu melahirkan anak di atas pokok dan memakan uri itu mentah2. Apa yang dilakukan oleh haiwan adalah hasil dari kemampuan akal mereka. Amalan manusia yang berakal hendaklah berdasarkan kepada ilmu dan sumber rujukan yang betul.
Dato' Dr.Rushdan Noor
4hb Ogos 2025
RUJUKAN
1. Kasai M, Yajima M, Kumon K. Sepsis in a neonate with lotus birth: a case report. J Obstet Gynaecol Res. 2007;33(3):402-403. doi:10.1111/j.1447-0756.2007.00536.x
2. Hutchon DJ. Lotus birth and the role of the placenta in neonatal infection. BMJ. 2014;348:g306. doi:10.1136/bmj.g306
3. Tricarico, Antonella et al. Lotus Birth Associated With Idiopathic Neonatal Hepatitis. Pediatrics & Neonatology, 2017, Volume 58, Issue 3, 281 - 282
4. Ittleman BR, Szabo JS. Staphylococcus lugdunensis sepsis and endocarditis in a newborn following lotus birth. Cardiol Young. 2018;28:1367–69
5. Svedenkrans J, et al. A Case of Severe Infant-to-Placenta Hemorrhage in Association with Prolonged Delayed Cord Clamping. Am J Case Rep. 2020 Nov 1;21:e925116. doi: 10.12659/AJCR
6. JAMIESON, AUDREY. "CORONER". Coroners Court Victoria. Coroners Court Victoria.
7. Mercer JS, Erickson-Owens DA. Delayed cord clamping does not require lotus birth. MCN Am J Matern Child Nurs. 2012;37(6):360. doi:10.1097/NMC.0b013e31827165c2
8. Yao AC & Lind J. Effect of gravity on placental transfusion. Lancet. 1969.
No comments:
Post a Comment