Friday 22 September 2023

TUDUHAN LIWAT DARI KACA MATA ISLAM


Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Prof Madya Dr.Ruzman Md Noor

PENDAHULUAN

Politik Malaysia sedang dicemari oleh kaedah berkempen yang tidak sihat di mana serangan peribadi dijadikan senjata untuk menjatuhkan reputasi lawan. Kecaman, sindiran, makian dan tuduhan melulu seolah-olah menjadi mainan mulut dalam kalangan ahli politik dan juga pengikut masing-masing. Perkembangan ini sangat membimbangkan kerana dikhuatiri akan berpanjangan dan menjadi contoh yang tidak baik kepada generasi muda. Menuduh lawan politik melakukan hubungan di luar tabii dan juga mengaitkan seseorang dengan fahaman songsang adalah senjata yang digunakan bagi mengujudkan persepsi negatif kepada orang ramai agar menolak individu ataupun parti politik lawan. 

Di antara ahli politik yang menjadi sasaran paling banyak serangan peribadi seumpama ini adalah Perdana Menteri kita, Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Serangan peribadi yang dikenakan ke atas beliau bukan baru tetapi sudah berlanjutan semenjak bertahun-tahun yang lalu. Pelbagai tuduhan dilemparkan ke atas beliau dan salah satunya adalah sebagai seorang Peliwat. Kemuncak kepada serangan peribadi ini adalah ketika DSAI membuat pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke 12 di Parlimen pada 19hb September 2023.

Semasa DSAI membuat pembentangan di parlimen pada 19hb September 2023, berlaku kekalutan apabila salah seorang pemimpin pembangkang (PP , bukan nama sebenar) marah. Beliau marah kerana menuduh DSAI membuat kenyataan yang berniat tidak baik.Speaker dewan rakyat pada ketika itu telah memohon penjelasan dari DSAI dan kemudiannya berpuashati. Namun PP berterusan mendesak DSAI menarik balik perkataannya. Keadaan terus tegang dan dewan menjadi hiruk pikuk dan ketika itu terdengar PP menyebut "saya yakin Tambun (merujuk kepada DSAI) Peliwat". Tuduhan ini dilakukan berkali-kali. 

Disebabkan PP gagal mematuhi arahan speaker, beliau diarahkan untuk keluar dewan. Sebagai tanda solidariti terhadap PP, pembangkang2 yang lain termasuk wakil dari parti PAS keluar dewan. 

Tuduhan secara terbuka yang dilakukan oleh PP terhadap DSAI itu telah menjadi tajuk perbincangan yang hebat di media sosial. Ramai yang meluahkan rasa marah dan terkilan dengan sikap PP  kerana menuduh DSAI sebagai peliwat secara terbuka yang turut disaksikan oleh berjuta orang penonton. Malahan terdapat pertubuhan bukan kerajaan yang mencadangkan agar PP diambil tindakan. Tidak kurang yang menuduh PP melakukan dosa Qazaf terhadap DSAI. Di samping itu bagi pihak pembangkang pula, tidak kurang juga yang mempertahankan tindakan pemimpin mereka.

Tulisan ini adalah reaksi dan pandangan peribadi saya tentang tuduhan liwat yang dilakukan ke atas DSAI sekian lama (dan juga kepada individu2 yang lain) dan kemuncaknya adalah pada sesi pembentangan parlimen pada 19hb September 2023. Ini bertujuan agar masyarakat kita memahami tentang beratnya perbuatan menuduh seseorang melakukan zina dan liwat tanpa bukti. Dengan harapan semoga kefahaman ini akan menjadi benteng kepada umat Islam dari terjerumus di dalam melakukan satu dosa besar yang sebelum ini tidak diketahui oleh ramai orang.

RINGKASAN PERBICARAAN KES LIWAT DSAI

Kedua-dua pertuduhan liwat ke atas DSAI adalah bertitik tolak daripada pengakuan oleh "mangsa". Kedua-dua "mangsa" dikenali oleh DSAI.  Tidak ada seorang pun saksi adil yang sukarela menjadi saksi kejadian liwat tersebut. Jadi perbicaraan yang dilakukan adalah tertumpu kepada kedua-dua "mangsa" di bawah seksyen 377C (liwat secara paksa).  Walaupun kedua-dua "mangsa" mengaku diliwat secara paksa, mereka masih terus berkomunikasi  dan berinteraksi dengan tertuduh selepas tarikh kejadian. Hukuman penjara bagi tuduhan liwat pertama juga telah diketepikan oleh Hakim mahkamah persekutuan pada tahun 2004. Saya tidak ingin untuk menulis dengan lebih terperinci episod-episod perbicaraan kes liwat DSAI ini kerana daripada maklumat yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa DSAI dibicarakan oleh mahkamah sivil dan tidak dihukum mengikut hukum hudud. Malahan, apabila meneliti proses perbicaraan kedua-dua kes tersebut, terdapat banyak tanda tanya dan persoalan yang tidak terjawab. Tidak hairanlah mengapa ramai yang ragu-ragu dengan proses keadilan yang dilalui oleh DSAI.

HUKUM HUDUD

Mengikut hukum hudud, seseorang itu hanya boleh disabitkan kesalahan melakukan zina dan liwat jika di dalam mahkamah, dapat dikemukakan 4 orang saksi lelaki yang adil yang menyaksikan perbuatan tersebut ataupun jika tertuduh mengaku dengan sukarela. Maka jelas menunjukkan di dalam Islam, tuduhan zina dan liwat bukan satu perkara yang mudah. Inilah tingginya keadilan yang dibawa oleh Islam kerana Islam berpegang kepada prinsip "lebih baik membebaskan seseorang yang bersalah daripada menghukum seseorang yang tidak bersalah". (1)

Apabila seseorang itu tidak dapat dibuktikan melakukan liwat dengan berpandukan kepada ajaran Islam yakni melalui perbicaraan di mahkamah Syariah, maka seseorang itu dianggap tidak bersalah dan dibebaskan. Walaupun seseorang itu didapati bersalah oleh mahkamah sivil dan menjalani hukuman, dari perspektif agama Islam, beliau dianggap tidak bersalah jika proses pengadilan itu tidak menepati kehendak syariat. Apabila beliau dianggap tidak bersalah dari perspektif Islam, maka menuduh beliau melakukan perbuatan liwat itu boleh dianggap satu bentuk fitnah dan di dalam hukum hudud, ianya terjatuh di dalam apa yang dikenali sebagai QAZAF. Qazaf adalah kesalahan serius di dalam Islam dan membawa implikasi yang sangat besar.
QAZAF
Maklumat tentang Qazaf ini boleh diperolehi dari banyak sumber dan di antaranya adalah kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan di dalam Bayan Linnas Siri ke 183 (1, Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang (2dan tulisan oleh Prof Dr. Zulkifli Hasan, Dekan Fakulti Syariah dan Undang2, USM (3). Terdapat juga buku-buku tentang Qazaf di antaranya tulisan Tan Sri Hadi Awang (Qazaf Mangsa Fitnah) dan Qazaf Menjawab Fitnah, himpunan makalah Sheikh Dr. Yusuf Al-qardawi, Dr.Taha Jabir Al Awani, Dr.Wahbah Zuhayli dan lain-lain. 
Qazaf merujuk kepada kes yang melibatkan tuduhan ke atas seseorang melakukan perbuatan zina tanpa membawa bukti yang mencukupi dari segi hukum syarak. Majoriti Fuqaha termasuk Mazhab Shafie berpandangan bahawa tuduhan liwat juga meliputi kesalahan Qazaf. Qazaf juga dikenakan ke atas seseorang yang menafikan keturunannya yang sah.
IMPLIKASI KESALAHAN QAZAF
Qazaf bertujuan untuk melindungi maruah dan kehormatan seseorang yang menjadi salah satu aspek utama yang perlu dipelihara dalam prinsip maqasid Syariah. Kesalahan Qazaf ini dianggap bukan sahaja  satu dosa besar malahan memberikan impak yang begitu besar kepada individu dan masyarakat. Seseorang yang sabit kesalahan Qazaf dianggap fasik dan tidak boleh menjadi saksi. 
Allah swt berfirman bermaksud:
"Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) 80 kali sebatan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik (Surah Al-Nur 24:4-5). 
Dalam surah yang sama Al-Nur, 24:23, Allah berfirman bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik lagi beriman (dengan tuduhan berzina), mereka dilaknat di dunia dan di akhirat , dan bagi mereka azab yang besar"
Merujuk kepada kesalahan Qazaf dalam pertuduhan liwat, majoriti Fuqaha dari ke-empat-empat mazhab berpendapat bahawa LIWAT adalah sama sahaja dengan ZINA
ORANG YANG SUDAH DISABITKAN KESALAHAN LIWAT OLEH MAHKAMAH SIVIL
Bolehkah seseorang menuduh perbuatan liwat ke atas seseorang yang sudah didapati bersalah oleh mahkamah Sivil ? Mengikut Prof Dr. Zulkifli Hasan, sabitan kesalahan melakukan seks luar tabii  di bawah Kanun Kesiksaan Mahkamah Sivil TIDAK membolehkan seseorang terlepas daripada kesalahan Qazaf apabila menuduh seseorang yang telah disabitkan kesalahan tersebut dengan tuduhan liwat. Ini bersandarkan kepada pembuktian yang tidak menepati hukum syarak dan sabitan juga berlaku tidak berasaskan kepada samaada iqrar tertuduh ataupun 4 orang saksi lelaki yang adil. Tuduhan liwat ke atas seseorang tidak boleh sama sekali dilakukan semberono di khalayak ramai ataupun di mana-mana media. Ianya hanya boleh dibuat di hadapan hakim di Mahkamah Syariah mengikut prosedur dan prinsip undang-undang keterangan Islam.  
DAKWAAN QAZAF
Seperti juga menuduh orang lain melakukan liwat dan zina, tuduhan Qazaf juga perlu mengikut prosedur, tidak boleh dilakukan semberono. Dakwaan Qazaf ini boleh dilakukan oleh yang dituduh ataupun oleh orang awam ataupun pihak ketiga ataupun initiatif hakim sendiri. Sekiranya pihak yang membuat aduan Qazaf tidak berpuashati dengan tindakan pihak berkuasa agama, beliau boleh membuat aduan terus kepada Hakim. Seksyen 72 memberi kuasa kepada hakim untuk mendengar aduan terus daripada pihak yang membuat aduan dan sekiranya mempunyai asas yang kukuh boleh mengeluarkan saman bagi kehadiran tertuduh. Untuk membawa kes Qazaf ke mahkamah, memerlukan 2 orang saksi yang cukup syarat dan bukti (3).  
HUKUMAN KE ATAS KESALAHAN QAZAF 
Apakah hukuman ke atas kesalahan Qazaf. Mengikut hukum hudud (hukuman Had), seseorang yang melakukan kesalahan Qazaf dihukum dengan hukuman 80 kali sebatan jika pesalah seorang yang merdeka dan 40 kali sebatan jika ia seorang hamba mengikut pendapat kebanyakan ulamak (3). Hukuman kedua adalah tidak diterima kesaksiannya dan dianggap sebagai seorang yang fasik selagi tidak bertaubat. Selepas bertaubat tertuduh boleh menjadi saksi kecuali pendapat Mazhab Hanafi, Al-Awzai dan Al-Thauri yang mengambil pendirian tidak menerima penyaksian walaupun sudah bertaubat (3). 
Di dalam konteks negara Malaysia, terdapat peruntukan undang2 syariah di bawah seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan seksyen 41 Akta 559 kesalahan jenayah syariah (wilayah-wilayah persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa "Kecuali dalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan hukum syara', empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgi atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali". Perkataan liwat tidak dimasukkan tetapi ianya terpulang kepada pentafsiran Mahkamah Syariah yang menjalankan perbicaraan. Terdapat Ketua Pendakwa Syarie yang hanya mengambil zina di dalam peruntukan undang-undang ini. Prof Dr. Zulkifli berpendapat bahawa undang-undang ini terpakai juga dengan kes liwat berdasarkan kepada pendapat jumhur ulamak. Ramai cendikiawan yang mencadangkan agar peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan ini dikaji semula dan dikemaskinikan.
KES LIWAT DSAI
Kembali kepada kes DSAI, jelas bahawa kesemua tuduhan liwat ke atas beliau tidak dibicarakan di mahkamah Syariah. Malahan tidak ada seorang pun saksi lelaki adil yang di bawa ke mahkamah sebagai saksi yang melihat sendiri perlakuan liwat tersebut. Beliau sendiri telah menafikan tuduhan. Jadi sebagai seorang Islam, yang percaya bahawa hukum Islam adalah yang terbaik, kita perlu menganggap bahawa tidak ada cukup bukti yang meyakinkan bahawa beliau melakukannya. Maka adalah lebih selamat untuk menganggap beliau tidak bersalah. Menuduh seseorang sebagai peliwat secara terbuka adalah jelas perbuatan yang tidak berakhlak dan jika dibawa ke mahkamah syariah, boleh didakwa di atas kesalahan Qazaf. Apatah lagi tuduhan ke atas seorang pemimpin tertinggi negara kita. Tambahan pula, DSAI telah menerima keampunan sepenuhnya oleh YDPA yang membebaskan beliau daripada semua tuduhan liwat (rujuk video-video di bawah). Sebagai seorang Islam yang patuh kepada hukum Islam, sepatutnya kita menyambut baik keputusan YDPA ini kerana inilah sebenarnya keputusan yang akan diberikan ke atas beliau jika dibicarakan oleh Mahkamah Syariah. Mempertikaikan keputusan pengampunan ini adalah seolah-olah bertegas menuduh beliau melakukan kesalahan tersebut sedangkan pada hakikatnya beliau tidak bersalah (dari kacamata Islam). 
KESIMPULAN
Mengikut hukum Islam, tertuduh yang melakukan zina dan liwat hendaklah dibicarakan mengikut undang-undang Islam. Mengikut undang-undang Islam, untuk mensabitkan kesalahan zina dan liwat, pihak pendakwa hendaklah mempunyai 4 orang saksi lelaki yang adil yang menyaksikan perbuatan itu dilakukan. Tuduhan melakukan zina dan liwat tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana jika tuduhan itu tidak benar ataupun tertuduh tidak dibicarakan mengikut ajaran Islam, orang yang menuduh itu telah dianggap melakukan kesalahan Qazaf. Walaupun seseorang itu telah didapati bersalah di mahkamah sivil, kesalahan Qazaf masih terpakai ke atas orang yang menuduh.  Qazaf adalah dosa besar dan dilaknat oleh Allah. Seseorang yang didapati bersalah melakukan Qazaf sepatutnya dihukum 80 kali sebatan mengikut hukum hudud dan beliau dianggap seorang yang fasiq. Seorang yang fasik ini tidak boleh dijadikan saksi selagi tidak bertaubat. Jauhkan diri dari terjebak dengan kesalahan Qazaf dengan berhati-hati apabila menulis dan berkata-kata.Jangan kerana kepentingan politik, kita hanya menghukum atau menegur pihak lawan yang melakukan dosa tetapi menutup sebelah mata apabila rakan-rakan kita melakukan perkara yang sama.  Saya menyeru kepada semua pihak agar berpolitik dengan kaedah yang tidak melanggar hukum syarak, profesional dan matang.
RUJUKAN
1. https://muftiwp.gov.my/ms/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/3484-bayan-linnas-siri-ke-183-isu-qazaf-adakah-termasuk-tuduhan-liwat 
2. https://jksnpp.penang.gov.my/index.php/18-penerbitan-mahkamah/79-memahami-konsep-qazaf
4. https://www.zulkiflihasan.com/2019/06/13/tuduhan-liwat-dan-qazaf-menurut-perspektif-undang-undang/

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor  
Penyemak: Prof Madya Dr. Ruzman bin Md Noor, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.                                                    
23hb September 2023                                                                   
RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI ATAUPUN ORGANISASI.
Video-video Pembebasan DSAI










Wednesday 13 September 2023

TELUR REBUS VS TELUR GORENG


TELUR REBUS VS TELUR GORENG

Umumnya telur yang direbus lebih baik dari telur goreng. Samada merebus separa masak (soft boiled) ataupun sepenuh masak (hard boiled), tidak banyak perbezaan dari segi kandungan nutrient. Tetapi telur yang direbus sepenuhnya itu mungkin bermanfaat dari segi kurang risiko kontaminasi bakteria berbanding dengan telur mentah dan suku masak.

Telur yang dimasak juga memudahkan penyerapan protein (91% penyerapan protein) dan sumber biotin yang lebih tinggi.Tetapi memasak yang keterlaluan boleh mengurangkan kandungan antioksidant dan vitamins, walaupun kandungan nutrient ini masih tinggi. Jadi jangan memasak pada suhu yg terlalu tinggi dan jangkamasa yang panjang. Suhu yang tinggi ini juga boleh mengoksidasikan kolesterol menjadi kompoun yang lebih tidak sihat untuk jantung. Jadi secara peribadi, saya lebih cenderung untuk mengambil telur direbus dengan sederhana (medium-hard bolied) dan bukan terlalu masak (> 15 minit perebusan (overcooked) ataupun yang suku masak.

Apa yang lebih penting adalah apakah ramuan2 yang dicampurkan semasa penyediaan telur. Contohnya 1 biji telur yang direbus mengandungi lebih kurang 78 kalori, 6.3 g protein dan 5.3 g lemak. Tetapi jika telur ini digoreng dengan 1 sudu besar mentega, anda telah menambah 100 kalori dan 11.5 g lemak. Satu hirisan keju pula mengandungi 570 kalori, 16.7 g protein dan 44 g lemak. Itu belum lagi termasuk tambahan kicap/garam atau sos.

Perbandingan kandungan nutrient di dalam telur rebus dan telur goreng (goreng biasa tanpa tambahan mentega atau keju) ditunjukkan dalam jadual di bawah. Jumlah lemak dan lemak tepu di dalam telur goreng lebih tinggi.

Salah satu nutrient yang ada dalam telur kuning adalah kolesterol. Pada masa dahulu, pakar pemakanan menghadkan pengambilan kolesterol dalam makanan tetapi kini pakar jantung mendapati kandungan kolesterol di dalam makanan tidak mempengaruhi kandungan lemak jahat (LDL) di dalam darah. Kebanyakan kolesterol (80%) dalam darah datangnya dari hati dan sudah cukup untuk tubuh anda. Mengenai had pengambilan kolesterol melalui diet, garispanduan terkini tidak menetapkan had tertentu jika anda tidak mengalami masalah kolesterol yang tinggi dan sakit jantung. Kandungan lemak di dalam telur pula adalah sederhana dan majoriti adalah lemak tidak tepu. Lemak dan kolesterol hanya terdapat di dalam telur kuning (yolk).

Satu kajian yang disiarkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition mendapati mengambil sebanyak 12 biji telur dalam masa seminggu selama 3 bulan tidak meningkatkan risiko penyakit jantung ke atas pesakit diabetes jenis 2. Umumnya, mengambil 1-2 biji telur sehari yang disediakan dengan betul dan digabungkan dengan sayur/salad adalah baik untuk kesihatan.

Dato' Dr Rushdan Noor 
14hb Sep 2023