Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa ada orang mengunyah dan menghisap kiub ais sebagai satu bentuk ketagihan. Keadaan ini dinamakan Pagophagia, ia dianggap salah satu obsesi.Pago adalah daripada perkataan Greek bermaksud sejukbeku, phagia pula bermaksud makan. Ketagihan ais ini dilakukan samada dengan mengunyah dan menghisap ais ataupun meminum air ais.
Orang yang ketagihan ais mungkin pada asalnya mempunyai alasan tertentu untuk mengunyah dan menghisap kiub ais (ice cube), di antaranya adalah:
1.Individu yang mengalami kekurangan zat besi. Beberapa kajian menunjukkan bahawa individu yang mengambil cukup zat besi (8-18 mg zat besi sehari) jarang mengalami pagophagia. Orang yang kekurangan zat besi di dapati mengalami keradangan lidah dan ais dapat mengurangkan keradangan ini. Kajian juga menunjukkan bahawa apabila kekurangan zat besi dirawat, katagihan ais juga akan pulih.
2.Ada orang yang berusaha mengurangkan berat badan dengan cara mengunyah dan menghisap ais kerana dengan melakukan perkara ini, mereka kurang mengambil lain-lain makanan.
3.Mengunyah dan menghisap ais boleh mengurangkan gejala loya melalui kesan kesejukan manakala menghidap kiub ais mungkin boleh mengurangkan gejala muntah dan kembong perut. Ini dapat dimanfaat kan oleh pesakit kanser yang mengalami loya dan muntah akibat ubat kemoterapi. Menghisap kiub ais juga boleh membekalkan air ke dalam badan secara perlahan.
4.Mengunyah dan menghisap ais juga boleh membantu mengurangkan gejala loya dan muntah yang dialami oleh wanita yang hamil. Ada juga wanita hamil yang ketagih ais semasa hamil iaitu salah satu tabiat mengidam benda2 yang pelik ataupun pica.
5.Seseorang yang bosan dan tertekan mungkin memilih untuk mengunyah ais sebagai kaedah mengurangkan masalah psikologi tersebut. Lama kelamaan mereka akan ketagih ais ataupun mengalami pagophagia.
KESAN SAMPINGAN PAGOPHAGIA
Mengunyah dan menghisap ais tidak mempunyai apa-apa kesan negatif ke atas organ-organ badan ataupun menyebabkan apa-apa jenis penyakit serius. Walau bagaimanapun apabila ianya menjadi tabiat dan obsesi, tentu ada masalah sampingan yang boleh dialami. Terdapat sekurang-kurangnya 4 kesan sampingan akibat ketagihan ais ini:
1.Mengunyah dan menghisap ais secara berpanjangan boleh memberi tekanan kepada gigi dan gusi anda. Ia boleh menipiskan lapisan enamel dan juga menyebabkan gigi berlubang dan pecah. Anda boleh mengalami kerosakan gigi. Apabila anda melakukan rawatan gigi seperti “fillings” dan “crowns”, ais yang anda kunyah boleh menjejaskan rawatan ini. Bahagian kiub ais yang tajam juga boleh mencederakan mulut, gusi dan lidah.
2.Anda berisiko tersedak kiub ais masuk ke dalam paru-paru (choking)
3.Seperti yang dinyatakan di atas, salah satu sebab seseorang itu ketagih kiub ais adalah supaya ia dapat mengurangkan pengambilan makanan. Ini jika berlaku dalam masa yang panjang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan ataupun malnutrisi.
4.Tabiat mengunyah dan menghisap ais yang kerap dan dilakukan di tempat2 awam ini dianggap sebagai tabiat buruk. Mengunyah ais akan mengeluarkan bunyi yang mengganggu orang sekeliling dan orang lain akan menganggap ianya satu tabiat yang pelik.
Mengambil air ais dalam kuantiti yang sederhana tidak memudaratkan badan. Kepercayaan bahawa meminum air ais menyebabkan pelbagai penyakit lelaki dan wanita adalah tidak benar sama sekali. Malahan ais boleh digunakan untuk mengurangkan banyak gejala-gejala seperti bengkak, kesakitan, keradangan, sakit mulut, loya dan muntah.
RUJUKAN
1. Mack, S., “What are the Benefits of Chewing Ice Cubes?” Livestrong, October 3, 2017;
2. “Is It Bad for You to Eat Ice?” Healthline;
3. K.,N., “Does Eating Ice Help You Lose Weight?” Livestrong, October 3, 2017;
4. “Foods That Fight Nausea,” The Science of Eating;
5. Simpson, E., et al., “Pica during pregnancy in low-income women born in Mexico,” Western Journal of Medicine, July 2000, 173(1); February 28, 2018.
6. Feiereisen, S., “9 Reasons You Need To Stop Chewing Ice ASAP,” Reader’s Digest; February 28, 2018.
7. Lerner, E., “Penn research chips away at icy medical mystery”, Penn Current;
9. “Why is chewing ice bad for your teeth?” DentalPlans.com, June 23, 2014;
DDr Rushdan Noor
8 hb Jun 2018