Saturday, 19 September 2026

WANG ADALAH RAJA

 


WANG ADALAH RAJA
Dulu, masa mula-mula dengar slogan "Money is King" atau "Wang Adalah Raja", ramai antara kita yang rasa tak selesa. Maklum la, kita selalu diajar tentang prinsip " apa ada pada wang ataupun wang bukan segala2nya".
Tapi kalau tengok realiti politik sekarang, nak tak nak, kita terpaksa telan hakikat yang slogan tu macam dah jadi satu kebenaran pula, walaupun pahit.
Lanskap politik hari ini macam dah terperangkap dalam satu kitaran yang tak habis-habis: politik cari kuasa, kuasa bawa datang wang, dan wang tu pulak digunakan balik untuk dapat pengaruh dan kuasa. Semua parti politk sudah terpalit dengannya, samada kecil ataupun besar.
Bila ingat balik kes-kes skandal kewangan besar, isu institusi tabungan, dan penyelewengan dana yang pernah dan sedang gegarkan negara, semuanya berputar dekat benda yang sama, penyelewengan wang.
Apa yang ironisnya, bila sistem keadilan bertindak, hukumannya pun ada denda wang ringgit. Hukuman penjara datang sekali dengan denda jutaan ringgit.
Malah, bila ada keputusan pengurangan hukuman atau pengampunan bersyarat, syarat utamanya pun tetap kena bayar denda wang dulu.
Tapi bab yang paling plot twist dan buat kita urut dada ialah respon masyarakat kita sendiri. Bila tabung kutipan dana dilancarkan untuk bantu bayar denda tersebut, ramai pulak orang awam yang pakat menderma.
Bukan setakat orang parti, tapi orang biasa dari semua lapisan pun turut serta. Puncanya? Ramai rakyat yang rasa terhutang budi sebab dulu pernah merasa bantuan wang tunai dan seumpamanya. Wang lagi. Ahli2 politik sesama parti tak tahulah apa budi yang terhutang. Hanya mereka saja yang tahu.
Akhirnya, rakyat yang jadi mangsa ketirisan ekonomi dan menanggung kesan skandal kewangan, pulak yang tolong kumpul wang poket sendiri untuk bantu orang yang sabit dengan skandal itu. Teringat saya menonton satu wawancara, bila ditanya seorang wanita, awak tak kisah ke, wang berbillion hilang ? Dia jawab sambil berlinangan air mata "kesian dia, banyak jasanya".
Sedar atau tidak, sistem ni dah berjaya buat minda masyarakat terikat. Bila budi boleh dibeli dengan wang ringgit, kesetiaan boleh ditagih dengan bantuan tunai, dan hukuman mahkamah pun dinilai dengan angka, kita kena akui satu realiti yang menyedihkan: dalam dunia hari ini, wang memang betul-betul sudah ditabalkan menjadi raja.

Dato' Dr.Rushdan Noor

20hb Sep 2026

APABILA SEMUANYA HANYALAH PARTI POLITIK, TIDAK LEBIH DARIPADA ITU

 


Perkembangan politik beberapa tahun kebelakangan ini memberikan satu pengajaran penting kepada kita semua. Politik melayu di negara kita, walaupun berbeza nama, ideologi, dan perlembagaan, sebenarnya memiliki banyak persamaan daripada segi watak dan cara amalannya. 

Ada yang mendakwa berpasak pada agama, manakala ada yang melaungkan isu bangsa. Ada juga yang membawa gagasan reformasi, dan ada yang menawarkan wadah perubahan. 

Namun, segala-galanya berubah apabila mereka berdepan dengan percaturan kuasa, kepentingan pilihan raya, dan pembentukan kerajaan. Pendirian boleh berubah mengikut arah angin.

Mungkin istilah, slogan, dan justifikasinya kelihatan berbeza. Namun, modus operandi politik mereka tetap sama.

Hakikatnya, itu bukanlah sesuatu yang pelik. Mereka ialah parti politik, bukannya agama. 

Politik sememangnya dinamik; kerjasama boleh bertukar, pendirian boleh bergeser, dan strategi sentiasa berubah.Malah ada kalanya, prinsip sanggup diketepikan kerana musuh dan kawan silih berganti.

Perkara yang paling mendukacitakan adalah apabila kepentingan politik dibungkus rapi sebagai tuntutan agama. Kesetiaan kepada parti pula diangkat seolah-olah ia ukuran iman seseorang.

Sedangkan, sesebuah parti tidak menjadi lebih suci, lebih bermoral, atau lebih dekat dengan kebenaran hanya disebabkan nama, slogan, mahupun teks perlembagaannya.

Begitu juga parti yang diharapkan menjaga kebajikan anak bangsa, tetapi mengambil kesempatan sehingga sejumlah dana yang begitu besar boleh diseleweng atau dihilangkan tanpa rasa bersalah.

Apabila kita menyedari bahawa parti-parti politik ini berkongsi sifat yang sama, maka kualiti sebenar seseorang politikus tidak lagi terletak pada label partinya.

Kita tidak lagi memerlukan mereka yang sekadar mahir menunggang naratif agama dan bangsa. Kita mendambakan sosok yang berakhlak, berintegriti, mampu mentadbir dengan cekap, serta berupaya menyatukan rakyat.

Inilah kriteria utama yang seharusnya kita pertimbangkan dalam memilih kepimpinan masa hadapan. 

Meminjam kalam pujangga Hamka, “bukan pada megahnya panji yang kita pandang, tetapi pada suci dan benarnya sekeping hati yang memegang amanah.”

Kesedaran ini menuntut kita melihat jauh melampaui sekadar warna parti. Kerana pada akhirnya, sebuah negara tidak akan pernah terbina di atas hamparan slogan, melainkan di atas bahu individu yang jiwanya sarat dengan akhlak dan integriti.


Dato' Dr.Rushdan Noor

20 Sep 2026




ARTIFICIAL INTELLIGENCE DAN PENGGUNAAN AIR SERTA KESAN PEMANASAN GLOBAL

 


Pusat data (data centre) yang menjalankan model AI seperti ChatGPT menggunakan air dan menghasilkan haba.

Bagaimana ia berlaku?

1. AI menggunakan elektrik 

Komputer berkuasa tinggi di Pusat Data, khususnya GPU, menjalankan pengiraan AI. Penggunaan elektrik ini menghasilkan haba, sama seperti komputer biasa tetapi pada skala yang jauh lebih besar. IEA menyatakan pusat data memerlukan sejumlah besar elektrik, dan permintaan ini meningkat dengan perkembangan AI. 

2. Haba perlu dibuang

Jika haba tidak disejukkan, cip boleh menjadi terlalu panas dan rosak. Oleh itu pusat data mempunyai sistem penyejukan.

3. Sesetengah sistem penyejukan memang menggunakan air.

Dalam sistem penyejukan jenis evaporatif, air digunakan dan sebahagiannya diuapkan untuk membawa haba keluar. Jadi, memang ada pusat data yang menggunakan air untuk penyejukan. 

Microsoft sendiri menerangkan bahawa air digunakan terutamanya untuk penyejukan dan humidifikasi. 

Tetapi tidak semua pusat data menggunakan air bersih dalam jumlah yang sama. Ada yang menggunakan udara, air kitar semula, air hujan atau sistem gelung tertutup. Teknologi baharu pula boleh menggunakan direct-to-chip liquid cooling dalam sistem tertutup, yang tidak memerlukan air baharu secara berterusan.

Tetapi jangan kita melihat satu sisi sahaja.

AI juga boleh digunakan untuk menjimatkan tenaga, mengurangkan pembaziran air dan bahan, mengoptimumkan pertanian, melancarkan pengangkutan, meningkatkan kecekapan industri serta membantu pembangunan tenaga bersih.

Malah, AI boleh membantu kita mengurangkan penggunaan sumber dalam pelbagai sektor.

Jadi, persoalannya bukan “AI baik atau buruk untuk alam sekitar?”

Persoalannya ialah:

“Bagaimana kita menggunakan AI dengan lebih cekap supaya manfaatnya lebih besar, sementara kesan negatifnya diminimumkan?”

Gunakan model yang lebih cekap, kurangkan pembaziran pengkomputeran, gunakan tenaga rendah karbon dan teknologi penyejukan yang menjimatkan air.

AI tidak semestinya menjadi beban kepada alam sekitar. Jika digunakan dengan bijak, AI boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian.

Dato' Dr.Rushdan Noor

19hb Sep 2026



Friday, 18 September 2026

KAJIAN TERBARU DI KOREA MENGESAHKAN FAKTOR UTAMA PENINGKATAN AUTISMA ADALAH PENGESANAN YANG LEBIH BAIK

 




Peningkatan diagnosis Autism Spectrum Disorder (ASD) sejak beberapa dekad lalu sering dianggap sebagai petunjuk bahawa semakin ramai kanak-kanak mengalami autisme. Keadaan ini turut mencetuskan pelbagai spekulasi tentang puncanya.

Namun, satu kajian besar dari Korea Selatan yang diterbitkan dalam JAMA Pediatrics, terbitan 2026 memberikan gambaran yang berbeza.

Penyelidik menilai 62,081 kanak-kanak daripada 12 kohort kelahiran berturut-turut. Mereka menggunakan saringan populasi dan penilaian diagnostik untuk menganggarkan kejadian ASD sehingga umur tujuh tahun.

Hasil kajian mendapati kadar ASD tidak menunjukkan trend peningkatan yang signifikan sepanjang tempoh yang dikaji. Kejadian kumulatif berada antara 1.9% hingga 3.2%, manakala prevalens pada umur tujuh tahun sekitar 2.0% hingga 3.4%.

Dapatan ini menunjukkan bahawa peningkatan angka diagnosis boleh banyak dipengaruhi oleh kesedaran yang semakin meningkat, saringan yang lebih meluas, kriteria diagnosis yang lebih baik dan kemampuan sistem kesihatan mengenal pasti kanak-kanak yang sebelum ini tidak dikesan.

Malah, sebahagian kanak-kanak yang dikenal pasti melalui saringan populasi tidak pernah menerima diagnosis atau intervensi ASD sebelum itu. Ini menunjukkan bahawa sebahagian daripada mereka mungkin telah mempunyai ASD untuk sekian lama tetapi tidak dikenal pasti.

Namun, kajian ini tidak bermaksud bahawa semua peningkatan autisme di seluruh dunia boleh dijelaskan oleh pengesanan yang lebih baik. Kajian ini dilakukan dalam populasi Korea Selatan dan mempunyai batasan tertentu.

Pengajaran yang lebih penting ialah peningkatan diagnosis tidak boleh secara automatik dianggap sebagai peningkatan sebenar kejadian penyakit.

Dalam bidang perubatan, apabila kemampuan kita untuk mengesan sesuatu keadaan semakin baik, jumlah kes yang dikenal pasti juga boleh meningkat walaupun kejadian sebenar tidak berubah.

Oleh itu, sebelum mencari “punca wabak autisme”, kita perlu terlebih dahulu memastikan bahawa peningkatan yang kita lihat benar-benar merupakan peningkatan kejadian dan bukan sebahagiannya kerana kita semakin baik mengenal pasti mereka yang sebelum ini terlepas daripada diagnosis/pengesanan.

Dato' Dr.Rushdan Noor

19hb Sep 2026

RUJUKAN:

Kim YS, Liu X, Chang J, et al. Cumulative Incidence and Prevalence of Autism Spectrum Disorder. JAMA Pediatrics. 2026. doi:10.1001/jamapediatrics.2026.4066.



Thursday, 10 September 2026

JANGAN BIARKAN NARATIF NEGATIF MENENGGELAMKAN KKM



Saya tidak menafikan bahawa warga KKM berdepan dengan pelbagai cabaran. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan suara petugas yang tidak berpuas hati memang wajar didengar.

Tetapi kita juga perlu sedar bahawa media sosial bukan cermin sempurna yang menggambarkan keseluruhan KKM. Yang buruk lebih mudah viral, manakala perkara yang baik biasanya tidak menjadi berita ataupun tenggelam begitu saja.

Malah, sebahagian suara yang lantang mengkritik KKM datang daripada mereka yang sudah meninggalkan sistem. Pandangan mereka tetap penting, tetapi jangan kita anggap suara tersebut mewakili semua warga KKM. Mungkin jauh lebih ramai yang masih berada dalam sistem, bekerja seperti biasa dan melihat banyak perkara positif, cuma mereka tidak bersuara.

Kita juga perlu adil dalam menilai masalah KKM. BANYAK MASALAH HARI INI MERUPAKAN MASALAH LAMA YANG TERKUMPUL AKIBAT POLISI, PERANCANGAN DAN KEPUTUSAN TERDAHULU. Ada yang boleh diselesaikan dengan cepat, tetapi ada yang memerlukan masa dan perubahan struktur yang memakan masa. 

Pada masa yang sama, KKM hari ini bukan duduk diam. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk memperbaiki kebajikan dan kerjaya petugas, termasuk peningkatan imbuhan, contohnya elaun tugas atas panggilan. Elaun tugas atas panggilan telah dinaikkan sekitar 40% berkuat kuasa 1 Oktober 2025, selepas kadar tersebut tidak disemak sejak 2011. 

Peluang pelantikan ke jawatan tetap lebih baik dan waktu menunggu lebih singkat.Pada tahun 2025 sahaja, 4,518 pegawai perubatan kontrak ditawarkan pelantikan tetap, manakala 3,254 jururawat turut dilantik secara tetap. Ini menjadikan keseluruhan 7,772 pegawai perubatan dan jururawat. Begitu juga penambahbaikan sistem penempatan, perpindahan dan pengurusan tenaga kerja.

Transformasi jangkapanjang seperti pelaksanaan Electronic Medical Record (EMR) pula merupakan satu lagi langkah besar ke arah transformasi sistem kesihatan, memudahkan komunikasi, mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan. 

Ada banyak lagi perancangan yang dirangka seperti projek Rakan KKM, transformasi digital, HIE, data dan analitik kesihatan, khidmat digital kepada rakyat dan promosi kesihatan yang lebih bersepadu.

Tidak bermakna semua masalah sudah selesai. Jauh sekali. Tetapi kita perlu bezakan antara “masih banyak yang perlu diperbaiki” dengan “tiada apa-apa yang sedang diperbaiki.”

Kritik yang membina penting. Tetapi jika setiap kelemahan KKM dipolitikkan dan keseluruhan sistem digambarkan seolah-olah gagal, seolah2 tidak ada yang baik, kita bukan sahaja mencemarkan imej KKM, malah mungkin mematahkan minat generasi muda untuk menyertai perkhidmatan kesihatan awam.

Kepada generasi muda, jangan buat keputusan tentang kerjaya hanya berdasarkan apa yang paling banyak muncul di media sosial. Lihat dan nilai gambaran yang lebih menyeluruh. 

KKM memang mempunyai banyak cabaran, kekangan, tetapi KKM mempunyai masa depan yang cerah. KKM sedang mendengar rungutan dan terbukti tidak duduk diam, sedang melakukan penambahbaikan.

Saya pernah melalui 35 tahun di dalamnya dan masih berkomunikasi dengan rakan2 yang masih bertugas serta mempunyai anak2 menantu yang menjadi kakitangan KKM. Saya tahu pahit manisnya. Dan jika diberi peluang mengulangi perjalanan itu, saya tetap akan memilih untuk berkhidmat dengan KKM.

Kita boleh mengkritik KKM. Kita boleh menuntut perubahan. Namun, dalam menilai kekurangan, jangan kita lupa menghargai ribuan warga KKM yang setiap hari terus menjalankan amanah, merawat pesakit dan menyelamatkan nyawa. Banyak jasa mereka dilakukan  tanpa publisiti, tanpa pujian dan tanpa sempat diceritakan di media sosial. Kritiklah apa yang perlu diperbaiki, tetapi hargailah apa yang telah dilakukan dengan ikhlas.

DDr Rushdan Noor

Pesara KKM

11hb Sep 2026

Friday, 4 September 2026

LDL-C MASIH PENTING: BUKTI GENETIK TERKINI MENOLAK MITOS “LDL BUKAN PENYEBAB ATEROSKLEROSIS”

 



Di media sosial, kita semakin kerap mendengar dakwaan bahawa LDL-C sebenarnya tidak berbahaya, malah ada yang mengatakan LDL-C bukan penyebab aterosklerosis. Ada pula yang menggunakan analogi bahawa LDL adalah seperti “ahli bomba” yang datang ke kawasan salur darah yang sedang mengalami keradangan untuk “memadamkan api”. Oleh itu, menurut mereka, LDL yang tinggi tidak perlu dirisaukan. Tetapi apabila kita melihat bukti sains secara keseluruhan, termasuk satu kajian genetik yang baru diterbitkan dalam Nature Cardiovascular Research, gambaran yang muncul adalah sangat berbeza.

Kajian oleh Wang dan rakan-rakan ini melibatkan 408,039 orang daripada UK Biobank, dengan pengesahan penemuan dalam 65,171 orang daripada Mass General Brigham Biobank. Para penyelidik menggunakan variasi genetik tertentu sebagai “proxy” kepada tahap Lp(a) dan LDL-C yang lebih rendah. Mereka mendapati bahawa individu yang secara genetik mempunyai LDL-C lebih rendah mempunyai risiko coronary artery disease (CAD) yang lebih rendah. Begitu juga dengan Lp(a). Yang paling menarik, apabila kedua-dua LDL-C dan Lp(a) diturunkan secara genetik, pengurangan risiko adalah lebih besar. Dalam analisis genetic score, pengurangan LDL-C dikaitkan dengan OR 0.81, pengurangan Lp(a) dengan OR 0.85, manakala pengurangan kedua-duanya memberikan OR 0.70 berbanding kumpulan rujukan. 

Apakah maksudnya? Lp(a) penting, tetapi kepentingan Lp(a) tidak menjadikan LDL-C tidak penting. Sebaliknya, kajian ini menyokong idea bahawa kedua-duanya merupakan lipoprotein aterogenik yang menyumbang kepada risiko penyakit arteri koronari melalui mekanisme yang berbeza tetapi boleh menambahkan risiko antara satu sama lain. Malah, kajian ini mendapati hubungan antara Lp(a) yang lebih rendah secara genetik dengan risiko CAD masih kelihatan dalam kalangan pengguna statin. Jadi, mengatakan “Lp(a) ialah masalah sebenar, bukan LDL” adalah kesimpulan yang tidak selari dengan hasil kajian ini. 

Begitu juga dengan analogi “LDL ialah ahli bomba”. Analogi itu mungkin kedengaran menarik, tetapi analogi bukan bukti biologi. Dalam konteks aterosklerosis, persoalan penting bukanlah sama ada LDL mempunyai fungsi fisiologi yang normal—memang LDL mempunyai fungsi membawa kolesterol—tetapi apa yang berlaku apabila partikel lipoprotein aterogenik memasuki dan tertahan dalam dinding arteri dalam jumlah dan tempoh yang tinggi. Kajian ini menambah bukti bahawa pengurangan LDL-C secara genetik dikaitkan dengan pengurangan risiko CAD. Oleh itu, menggunakan analogi “ahli bomba” untuk membuat kesimpulan bahawa LDL-C tinggi adalah selamat merupakan satu lompatan logik yang tidak disokong oleh kajian tersebut. 

Namun begitu, kita juga perlu memahami batasan kajian ini. Ini bukan kajian clinical trial yang memberikan ubat kepada pesakit dan kemudian mengira berapa banyak serangan jantung dapat dicegah. Ia ialah kajian genetik menggunakan loss-of-function variants, genetic scores dan Mendelian randomization. Oleh itu, kita tidak boleh mengambil OR 0.70 dan mengatakan bahawa memberikan ubat untuk menurunkan LDL-C dan Lp(a) kepada seseorang akan mengurangkan risiko serangan jantungnya tepat 30%. Kesan genetik berlaku sepanjang hayat, sedangkan rawatan ubat biasanya dimulakan pada usia tertentu. 

Tetapi batasan tersebut tidak mengubah mesej utama kajian. Kajian ini bukan bukti bahawa LDL-C tidak penting; sebaliknya, ia memberikan sokongan tambahan bahawa menurunkan LDL-C mempunyai hubungan dengan risiko CAD yang lebih rendah, dan pengurangan Lp(a) mungkin memberikan manfaat tambahan. Nature Cardiovascular Research sendiri merumuskan kajian ini sebagai bukti bahawa kehilangan fungsi gen LPA dan PCSK9 menghasilkan pengurangan risiko kardiovaskular yang additive, sekali gus menyokong pendekatan yang menyasarkan kedua-dua Lp(a) dan LDL-C. 

KESIMPULAN

Kita tidak perlu memilih antara “LDL penting” atau “Lp(a) penting”. Kedua-duanya boleh penting. Menemui satu lagi faktor risiko aterogenik tidak membatalkan faktor risiko yang telah diketahui sebelumnya. Jadi, apabila seseorang berkata “LDL bukan penyebab aterosklerosis, LDL cuma ahli bomba dan LDL tinggi tidak perlu dirisaukan”, soalan yang wajar ditanya ialah: Di manakah bukti kukuh yang menyokong dakwaan tersebut? Kajian genetik terbaru ini tidak memberikannya. Sebaliknya, kajian ini mengukuhkan mesej yang lebih munasabah: jangan abaikan LDL-C, dan jangan abaikan Lp(a). 

Dato' Dr.Rushdan Noor

5hb Sep 2026

RUJUKAN

Wang S, Tang Y, Sui Y, et al. Genetic evidence supports the combined targeting of lipoprotein(a) and LDL cholesterol to reduce coronary artery disease risk. Nature Cardiovascular Research. Published 3 September 2026. doi: 10.1038/s44161-026-00865-9.