Sunday 27 September 2020

PESANAN KEPADA BAKAL DOKTOR


PESANAN UNTUK ANAK-ANAK YANG MEMILIH DOKTOR SEBAGAI KERJAYA MASA DEPAN

Kebelakangan ini terdapat beberapa tulisan bekas doktor pelatih yang secara terbuka menyuarakan ketidakpuasan dan tekanan semasa menjalani latihan siswazah. Tulisan ini ditularkan di dalam media sosial sehingga menjadi berita sensasi. Ramai yang membaca termasuk penuntut2 perubatan, graduan perubatan yang menunggu penempatan dan tidak kurang juga lepasan SPM yang sedang merancang untuk mengambil bidang perubatan. Cerita-cerita ini mungkin menyebabkan mereka risau dan ketakutan. Sebenarnya apa yang ditulis dan ditularkan di dalam media sosial tidak semestinya benar belaka, walaupun penulisnya berjaya menarik perhatian dan menjadi popular. Cerita-cerita ini samalah statusnya dengan testimoni produk kesihatan.

Pesanan saya kepada anak2 lepasan SPM, pelajar perubatan dan bakal doktor pelatih, jangan risau kerana sebenarnya jauh lebih ramai abang dan kakak anda telah melalui proses yang sama tetapi dengan pengalaman yang berbeza. Jikapun ada yang mengalami perkara yang sama, mereka melihatnya daripada perspektif yang berbeza. Lebih ramai yang menjadikan tempoh latihan ini sebagai satu tempoh pembelajaran, meningkatkan kemahiran dan kecintaan terhadap kerjaya yang sangat istimewa ini. Mereka hanya memfokuskan masa depan tanpa menghiraukan susah di sepanjang jalan.

Percayalah bahawa jika kerjaya seorang doktor ini adalah hak anda, lambat laun anda akan sedar betapa istimewanya amanah ini. Peluang anda untuk berbakti kepada masyarakat luas terbentang. Banyak saham dunia dan saham akhirat boleh anda kumpulkan dan anda boleh terus berbakti selagi hayat dikandung badan.

Sebaliknya pula, anda mungkin akan menjadi seperti sebahagian kecil abang dan kakak anda yang mengeluh, menyesal memilih bidang ini, semuanya susah belaka dan asyik menyalahkan orang lain selain daripada diri sendiri. Maka jika anda tergolong di dalam golongan ini, cuba muhasabah diri anda dengan menjawab soalan-soalan berikut:

1. Adakah anda mempunyai minat yang mendalam dan mengetahui tentang kerjaya seorang doktor?

2.Adakah anda memilih bidang kedoktoran kerana desakan ibubapa semata-mata?

3. Adakah anda memilih bidang kedoktoran ini semata2 kerana anda mendapat keputusan yang cemerlang di dalam SPM?

4. Adakah niat utama anda untuk menjadi seorang doktor adalah untuk nama dan gaji semata-mata?

5. Adakah anda dibesarkan dalam keadaan mewah dan tidak pernah merasa susah kerana semuanya disediakan oleh ibubapa anda? Sehingga anda menjadi terlalu bergantung kepada orang lain.

6. Adakah anda mempunyai prasyarat akademik yang mencukupi ataupun anda masuk dengan cara yang tidak betul dan mencuri peluang orang lain yang lebih layak?.

Mungkin ada jawapan kepada soalan-soalan di atas yang akan menyedarkan anda mengapa kehidupan anda jadi begini. Saya khuatir walaupun anda berjaya melepasi halangan dan menjadi seorang doktor, anda tidak mengecapi kebahagiaan dgn kerjaya ini. Tanggungjawab dianggap satu beban yg sgt besar dan anda bekerja dalam terpaksa. Anda menjadi seorang yang susah dan menyusahkan. Persekitaran kerja menjadi "toksik".

Kepada semua anak2 yang layak untuk menjadikan doktor sebagai kerjaya masa depan, dengan memenuhi kriteria-kriteria yang disebutkan di atas, teruskanlah niat anda. Jangan pedulikan cerita-cerita sensasi yang melemahkan semangat. Anda sedang memilih jalan yang betul dan yakinlah dengan niat yang betul, Allah akan melindungi anda di sepanjang jalan.


Dato' Dr.Rushdan Noor

27 hb September 2018

Friday 25 September 2020

CORETAN KISAH COVID-19 DI NEGERI KEDAH


CORETAN KISAH COVID-19 DI NEGERI KEDAH

Sebelum 28hb Julai 2020 tidak ada kluster Covid 19 di negeri Kedah. Kami penduduk Kedah rasa agak selamat dan selesa. Saban hari hanya menyaksikan negeri-negeri lain diserang Covid-19, tidak ada mana-mana kawasan di negeri Kedah yang perlu di "lock down" ketika itu walaupun kes-kes baru memang ada tapi sangat jarang melebihi satu angka. Sehingga 20hb Julai 2020, Kedah adalah negeri yang mempunyai jumlah kes yang paling rendah (tolak Perlis) di Malaysia, jumlah kes keseluruhan di bawah 100.

Detik hitam bermula apabila seorang pengusaha restoran pulang dari India tidak mematuhi arahan kuarantin 14 hari. Ujian pertama negatif, jadi beliau mengambil keputusan untuk untuk tidak menghabiskan tempuh kuarantin, malangnya ujian Covid kali kedua positif, sedangkan pada ketika itu beliau sudah menyebarkan virus kepada pekerja dan ahli keluarga beliau. Restoran yang menjadi tumpuan ramai orang termasuk tempat persinggahan pemandu lori bertukar menjadi tempat yang paling ideal untuk menyebarkan virus Covid-19, maka bermulalah episod yang mendebarkan. Semasa berlakunya insiden ini, umat Islam sedang membuat persiapan menyambut hari raya Aidiladha yang jatuh pada 31hb Julai 2020. Kluster Covid pertama di negeri Kedah ini dikenali sebagai Kluster PUI Sivagangga, tarikh mula dicatatkan pada 28hb Julai. Bermula dengan Kluster Sivagangga, diikuti pula oleh kluster-kluster berikut:

28 Julai 2020 : Kluster Sivagangga
12 Ogos 2020 : Kluster Muda
12 Ogos 2020 : Kluster Tawar
14 Ogos 2020 : Kluster Sala
25 Ogos : Kluster Telaga
07 Sep 2020 : Kluster Sungai

Selepas dua minggu Kluster Sivagangga, muncul pula kluster Tawar, Kluster Muda dan kemudiannya diikuti oleh Kluster Sala. Mungkin ada dalam kalangan orang ramai yang pulang ke rumah masing-masing selepas hari raya aidiladha menyebarkan virus ini ke tempat mereka. Pada awalnya tidak dapat dikesan hubungan di antara kluster-kluster ini. Akhirnya ujian Virologi ke atas sampel virus dari pesakit-pesakit telah memberi petunjuk bahawa Kluster Sivagangga mempunyai kaitan dengan Kluster Tawar dan lain-lain. Maka bermulalah episod baru kepada penduduk negeri Kedah. Bagi yang bersikap tak kisah, mereka masih tak kisah. Tetapi kepada yang prihatin, perasaan risau dan takut mula menghantui. Kluster Tawar sangat cepat berkembang sehingga kerajaan perlu mengistiharkan perintah kawalan pentadbiran (PKPD) di Amanjaya selama 14 hari. Kes-kes Covid-19 mula merebak ke luar negeri melibatkan Perlis dan Pulau Pinang.

Sedang Kluster Tawar masih aktif, muncul pula kluster Telaga. Kluster Telaga yang bermula pada 25hb Ogos sangat mencabar kerana kali ini serangan Covid-19 mensasarkan pusat rawatan terbesar di Kedah iaitu Hospital Sultanah Bahiyah dengan jumlah kakitangan seramai 4,500 orang. Apabila Covid menyerang hospital maka itu dianggap satu ancaman besar kerana ia seolah-olah serangan ke atas pusat strategi dan stor bekalan senjata di medan perang. Beberapa buah wad terpaksa di lockdown dan berpuluh-puluh kakitangan tidak dapat bertugas kerana terpaksa dikuarantin. Kesemua kakitangan hospital perlu menjalani ujian Covid. Rawatan pesakit bukan Covid terpaksa ditangguhkan dan beban kerja tertumpu kepada pesakit Covid yang memenuhi wad Covid dan ICU. Ada ketikanya 10 katil di ICU diisi oleh pesakit Covid. Pembedahan kecemasan masih boleh dilakukan tetapi perlu berhati2 kerana semasa pembedahan, virus ini mudah merebak terutama kepada petugas dan pesakit lain. Pihak pentadbir hospital bekerja keras untuk merancang strategi menyekat serangan virus terhadap kakitangan dan pesakit di samping perlu memastikan perkhidmatan perubatan untuk kes2 serius dapat diteruskan.
Kluster Telaga yang melibatkan kakitangan hospital dapat dikawal dengan baik disebabkan kecekapan pihak pentadbir dan pasukan penyakit berjangkit serta kepatuhan tinggi semua kakitangan yang bertugas. Langkah mengawal pergerakan yang dilakukan pada peringkat awal terhadap kakitangan yang terlibat dan pengesanan kontak mereka juga sangat membantu. Pengalaman sendiri ini mengesahkan bahawa kepatuhan kepada norma baharu adalah senjata yang sangat berkesan mengekang penularan Covid-19. Kluster telaga hanya melibatkan 16 orang. Pengakhirannya tentu jauh berbeza jika jangkitan virus ini merebak ke dalam komuniti luar seperti yang berlaku dengan Kluster Tawar dan Kluster Sungai. Tambahan pula virus yang sedang kami hadapi ini adalah daripada strain D614G yang didakwa boleh merebak pada kadar yang lebih cepat daripada strain virus terdahulu.

Ketika kluster telaga agak reda, meletus pula Kluster Sungai dan kali ini melibatkan sebuah hospital Swasta dan kluster ini sangat cepat merebak mungkin disebabkan ianya sudah tersebar ke dalam masyarakat sekeliling sebelum langkah awal mengawal jangkitan dapat dilakukan dengan berkesan. Memandangkan kakitangan hospital swasta mempunyai hubungan dengan lain-lain hospital maka virus ini menular ke hospital lain termasuk hospital Sultanah Bahiyah dan hospital swasta yang lain. Perkhidmatan hospital2 swasta ini terjejas untuk beberapa hari sehingga beberapa perkhidmatan terpaksa dihentikan. Seperti yang saya sebutkan tadi, penularan dalam hospital dapat dikekang dengan berkesan kerana kawasan yang kecil dan pematuhan kakitangan yang tinggi kepada SOP. Tetapi malangnya, virus sudah tersebar ke komuniti sekitar termasuk penduduk sekitar, ibubapa dan murid2 sekolah. Akibatnya kluster sungai tersebar dengan cepat dan bilangan kes meningkat dengan mendadak.

Kluster Sungai yang cepat menular ini menyebabkan perintah kawalan pergerakan pentadbiran (PKPD) terpaksa dilaksanakan di daerah yang terlibat iaitu Kota Setar yang mengandungi 28 mukim. Kali ini daerah yang terlibat adalah lebih luas dan padat dengan jumlah penduduk melebihi 300 ribu orang. Bilangan pesakit Covid yang dimasukkan ke hospital meningkat sehingga lebih satu ratus orang dan katil2 ICU dipenuhi oleh mereka. Frontliners giat melakukan pengesanan kontak dan ujian saringan ke atas lebih 50 ribu orang penduduk, manakala petugas2 perubatan di Hosp Sultanah Bahiyah pula bertungkus lumus merawat pesakit Covid. PKPD di daerah Kota Setar yang berjalan selama 14 hari berakhir pada pukul 12 tengah malam 25hb Sep 2020.

Ramai yang kehidupannya terjejas, samada orang awam, pekerja, majikan dan tidak ketinggalan pesakit2 yang memerlukan rawatan kerana tidak dapat pergi ke pusat rawatan yang terlibat. Dalam masa 2 bulan sahaja semenjak kemunculan Kluster Sivagangga, lebih 200 orang pesakit Covid telah dirawat dan 3 kematian. Kajian virologi ke atas sampel2 pesakit dari kluster2 yang tersebut di atas hampir mengesahkan bahawa terdapat persamaan jenis virus yang berasal dari kluster Sivagangga iaitu dari jenis D614G. Kedah yang pada peringkat awalnya menyumbang bilangan kes yang rendah tiba-tiba menjadi salah sebuah negeri yang memberi impak besar kepada statistik kes Covid-19 di Malaysia.

Begitulah cerita kami di negeri Kedah setakat ini yang sangat banyak memberi pengajaran tentang betapa pentingnya mematuhi SOP dan arahan kuarantin. Begitu besar sekali kesan mudarat yang dibawa oleh sikap sambil lewa dan tidak kisah seseorang terhadap kehidupan orang lain. Sekarang kami sedar bahawa tindakan sengaja melanggar SOP dan perintah kuarantin tidak dapat ditebus hanya dengan kompoun wang ringgit ataupun penjara semata2. Kami juga sedar betapa pentingnya mengamalkan normal baharu dan membetulkan sikap orang ramai untuk memutuskan jaringan penularan penyakit Covid-19 lebih2 lagi apabila wujud kluster baru. Kami juga belajar bahawa jika langkah penguatkuasaan kawalan pergerakan dapat dilakukan awal terhadap kluster yang baru pasti akan memberi manfaat yang besar di dalam mengawal penularan Covid-19. Kedah sudah tidak seperti dahulu lagi dan masa depan masih tidak menentu. Kisah ini pastinya akan terpahat lama di dalam ingatan kami untuk dikongsikan pada masa hadapan. Pada tarikh coretan ini ditulis, kes2 baru masih wujud dan tidak pasti bilakah ianya akan berakhir. Walau bagaimana pun kami tidak putus semangat, perjuangan pasti akan diteruskan hingga menang. Marilah sama-sama kita mematuhi SOP, arahan kuarantin, memakai topeng muka, amalkan penjarakkan, basuh tangan dan elakkan tempat sesak. Manakala individu yang bergejala tolong dapatkan pemeriksaan segera kerana jika anda dijangkiti, beban virus ("viral load") anda pasti tinggi dan boleh menjangkiti orang lain dengan mudah. Kita jaga kita, kita akan menang. Semoga Allah melindungi kita semua dan semoga coretan ini menjadi tauladan kepada semua rakyat Malaysia.

Dato' Dr. Rushdan Noor
26hb Sep 2020
















BUKU-BUKU TULISAN DR. RUSHDAN NOOR

SEBAHAGIAN KOLEKSI BUKU TULISAN 

DATO'  DR. RUSHDAN NOOR




























BENARKAH PRODUK SUSU BERKESAN MENCEGAH DAN MERAWAT PENYAKIT

 



Susu khususnya yang diperolehi pada peringkat awal penghasilannya ataupun kolostrum mempunyai banyak khasiat khususnya kepada anak yang baru dilahirkan. Sebenarnya terdapat banyak bahan-bahan berkhasiat yang wujud di dalam susu supaya ianya menjadi sumber nutrient yang sempurna kepada manusia terutama untuk tujuan tumbesaran dan perlindungan daripada penyakit. Salah satu bahan yang didakwa terkandung di dalam susu dan kolustrum adalah Transfer Faktor (TF). Dengan bermodalkan nama TF inilah penjual produk susu akan mendakwa susu dan produk-produk yang dikaitkan dengannya dapat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Persoalannya benarkah TF wujud di dalam produk susu/kolostrum dan jika benar adakah ianya berkesan mencegah dan merawat penyakit seperti yang didakwa? Rencana ini akan menjawab persoalan ini.

Sejarah transfer factor (TF) bermula pada tahun 1949 apabila Dr. H Sherwood Lawrence, seorang pakar imunologi di University of New York, menemui molekul protein bersaiz kecil yang dapat meregulasi sistem imun di dalam badan manusia. TF yang ditemui oleh beliau bukan daripada susu tetapi dihasilkan oleh sel darah putih yang bernama limfosit (sel T dari darah ataupun limpa). Sel ini penting di dalam sistem pertahanan badan.  Ia boleh diekstrak dari sel darah putih manusia (dikenali sebagai TF-H) dan haiwan (TH-C jika dihasilkan dari lembu, boleh juga diperolehi dari haiwan lain) ataupun dari sel-sel limfosit yang diklon di luar badan. Perkataan TF digunakan kerana ahli sains mendapati kekebalan seseorang terhadap serangan benda asing (termasuk organisma penyebab penyakit) dapat dipindahkan kepada orang lain melalui molekul ini tanpa orang tersebut terdedah kepada benda asing tersebut.


Peranan transfer faktor di dalam sistem pertahanan (imun) badan. Perhatikan transfer faktor dihasilkan oleh sel limfosit 
yang dinamakan sel T

TF didapati berfungsi sebagai molekul yang penting di dalam mengawal dan memodulasikan sistem imun badan. TF membuatkan sistem imun berfungsi pada kadar yang optima, tidak  terlalu melampau dan tidak terlalu lemah, sesuai dengan ransangan yang diterima oleh badan, di samping ianya juga memberi signal tentang kewujudan unsur luar yang hendak menyerang badan. Jadi sumber TF asal yang ditemui oleh Dr.Sherwood adalah dari darah dan kaedah pemberiannya adalah melalui suntikan samada suntikan bawah kulit ataupun suntikan ke dalam otot. Hasil dari penemuan TF ini, banyak kajian2 berkaitan dengan TF menggunakan sumber dari darah. Disebabkan TF mengawal sistem pertahanan maka ahli sains meramalkan mungkin banyak potensi manfaat yang boleh diperolehi daripadanya kerana banyak jenis penyakit dikaitkan dengan masalah sistem pertahanan termasuk penyakit alahan seperti asma, penyakit autoimun, penyakit kanser, diabetes, darah tinggi, jantung, psoriasis, multiple sclerosis, Acne vulgaris, ketuat, Chronic fatique syndrome, Alzeimers, AIDs dan lain-lain. Maka banyak kajian-kajian dilakukan terhadap TF. Kajian-kajian yang dilakukan ke atas penyakit-penyakit ini walau bagaimanapun kebanyakannya kajian praklinikal. Kajian ke atas manusia pula adalah melibatkan saiz sampel yang kecil dan hampir keseluruhannya memberi keputusan yang tidak meyakinkan. Pendek kata kajian lanjut yang lebih besar perlu dijalankan untuk mengesan keberkesanan TF di dalam merawat penyakit-penyakit yang dihidapi oleh manusia. 


Susu awal lembu (kolostrum)

BENARKAH TERDAPAT TRANSFER FAKTOR DI DALAM SUSU AWAL LEMBU ATAU KOLUSTRUM 

Pengetahuan mengenai khasiat susu ibu terutamanya kolustrum ataupun susu awal yang dihasilkan ini telah bertambah. Ahli sains mendapati terdapat banyak khasiat di dalam kolustrum yang boleh memberi perlindungan dan nutrisi kepada bayi yang baru lahir. Salah satu bahan yang ditemui di dalam kolustrum adalah sejenis protin bermolekul kecil yang dinamakan Proline-rich polypeptide (PRP) ataupun Colostrin yang mempunyai ciri-ciri hampir sama dengan TF. Walaupun ciri-cirinya hampir sama, PRP bukanlah molekul yang sama dengan TF sepertimana yang ditemui oleh Dr.Sherwood. PRP ini juga boleh ditemui di dalam telur ayam. 

Kajian-kajian yang menunjukkan keistimewaan TF bukanlah daripada sumber susu ataupun telur sebaliknya yang diekstrak keluar daripada sel darah putih manusia ataupun haiwan dan diberikan dalam bentuk suntikan. Malangnya, dengan menggunakan hasil kajian di atas, pengeluar produk susu mendakwa susu mereka memberi kesan manfaat yang sama sedangkan banyak perbezaan di antara kedua-duanya. Perbezaan2 tersebut adalah seperti berikut:

1.  Colostrin di dalam susu/kolustrum tidak sama dengan TF di dalam sel darah putih, 

2. Meminum susu tidak sama dengan mengambil ekstrak yang mengandungi TF dan

3.TF yang asal kebanyakannya diberikan di dalam bentuk suntikan, manakala susu diminum. Apabila diminum, tidak ada jaminan Colostrin yang terdapat di dalam susu dapat masuk ke dalam darah dan memberi kesan yang sama, ia mungkin akan dimusnahkan oleh jus perut.

Manfaat sebenar Colostrin yang ada di dalam susu dan kolustrum tidak pernah dibuktikan melalui kajian besar yang meyakinkan untuk merawat penyakit-penyakit yang tersebut di atas. Tambahan pula kajian-kajian yang dijalankan bukan menggunakan susu ataupun kolustrum sebaliknya ektrak Colostrin yang dikeluarkan daripada sumber tersebut.

Terdapat juga pengeluar produk susu ini mencampur-adukkan susu ataupun kolustrum dengan pelbagai bahan-bahan sampingan lain seperti herba, mineral, vitamin, suplemen dan lain-lain untuk tujuan mempengaruhi pengguna. Ia juga dipasarkan di dalam bentuk-bentuk lain seperti kapsul, pil, krim dan sebagainya. Produk yang mengandungi Colostrin dan TF dikategorikan sebagai makanan tambahan dan bukan dalam kategori ubat, jadi tidak sepatutnya wujud dakwaan yang ia boleh mencegah ataupun merawat penyakit.

Ahli sains masih lagi menjalankan penyelidikan berkenaan dengan ektrak TF dan Colostrin. Sehingga saat ini bahan-bahan ini masih lagi dianggap berada di dalam fasa kajian dan belum boleh digunakan untuk merawat penyakit di luar skop penyelidikan.

KESIMPULAN

Transfer faktor adalah sejenis protein yang memainkan peranan di dalam sistem pertahanan badan manusia tetapi ia hanya bermanfaat jika dihasilkan di dalam badan dan bukan diambil daripada luar. Berlaku kekeliruan yang serius tentang TF yang ditemui di dalam sel darah putih dengan PRP ataupun Colostrin yang ditemui di dalam susu, kolustrum dan telur ayam. Pengeluar produk susu dan kolustrum mendakwa susu dan kolustrum keluaran mereka memberi manfaat yang sama dengan TF yang diektrak keluar daripada sel darah putih. Hakikatnya susu mengandungi Colostrin dan bukan TF yang sebenar, susu diminum dan bukan disuntik seperti mana kajian yang dijalankan menggunakan ekstrak TF yang ditemui di dalam sel darah putih.  TF yang digunakan dalam kebanyakan kajian diperolehi daripada sel darah putih manusia dan bukan daripada susu ataupun telur. Walaupun terdapat kajian menggunakan Colostrin, hasil kajian tersebut tidak menunjukkan kesan yang sama seperti yang didakwa, tambahan pula kajian itu menggunakan Colostrin yang diektrak daripada sumber asal dan bukan di dalam bentuk susu ataupun produk suplemen. Akibat daripada kekeliruan dan salah faham yang serius ini pengeluar produk susu dan kolustrum mendakwa produk mereka bermujarab untuk mencegah ataupun mengubati berbagai jenis penyakit sedangkan ianya tidak pernah dibuktikan benar. Kesimpulannya, mengatakan produk susu dan kolustrum boleh mencegah dan merawat penyakit adalah satu dakwaan palsu ataupun "overclaim". Menjual produk ini dengan harga yang mahal adalah satu bentuk penipuan dan sikap tidak bertanggungjawab yang akan merugikan pengguna. Dapatkan nasihat doktor sebelum anda terpedaya dengan produk-produk susu sebegini lebih-lebih lagi jika anda adalah pengidap penyakit-penyakit kronik seperti diabetes, sakit jantung, kanser dan lain-lain. Meminum susu adalah amalan yang baik  sebagai sumber nutrient (makronutrient dan mikronutrient) tetapi bukan untuk tujuan merawat penyakit.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi


Isi kandungan rencana ini adalah pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili mana-mana pertubuhan dan institusi. Ianya adalah hanya untuk bacaan orang awam.

Rujukan

https://www.youtube.com/watch?v=qq5X3s4Zwso
https://www.mskcc.org/cancer-care/integrative-medicine/herbs/transfer-factor

Senarai contoh kajian-kajian berkenaan TF yang disiarkan di journal-journal:
http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/304143 (biochemical study, head and neck cancer)

Tuesday 22 September 2020

JANGKITAN BERSAMA COVID-19 DAN INFLUENZA (COVID-19 AND INFLUENZA CO-INFECTION)



Covid-19 dan Influenza adalah penyakit yang disebabkan oleh virus yang berbeza tetapi kaedah penyebaran dan gejala penyakit hampir sama. Kedua2nya menyerang sistem pernafasan. Wabak influenza sudah lama menyerang dunia dan ia terus berlaku secara bermusim (musim sejuk) di negara temperate, manakala di negara tropika, ianya boleh berlaku sepanjang masa. Di negara tropika termasuk Malaysia, mungkin lebih kerap ditemui ketika musim tengkujuh walaupun corak jangkitannya sukar untuk diramal. 

Penyakit influenza boleh dicegah dengan berkesan melalui suntikan vaksin influenza yang perlu diambil setiap tahun kerana virus ini bermutasi setiap tahun. Kaedah pencegahan yang lain sama seperti Covid-19 seperti memakai mask, penjarakkan dan mencuci tangan. Kadar kematian penyakit influenza (0.1%) lebih rendah dari Covid-19 tetapi jangan dipandang ringan kerana virus yang sama mengorbankan sekitar 50 juta orang manusia semasa Pandemik Influenza tahun 1918 yang juga dikenali sebagai "Spanish Flu". Kumpulan berisiko tinggi adalah kanak2, wanita hamil dan golongan warga emas. Pada hari ini WHO menganggarkan jumlah kematian akibat influenza adalah di dalam lingkungan 290 ribu hingga 650 ribu orang setiap tahun di seluruh dunia.




Kajian di beberapa hospital Lembah Klang pada tahun 2018 menunjukkan 14% daripada pesakit berusia lebih 18 tahun yang dimasukkan ke dalam wad akibat gejala pernafasan (pneumonia, asma, COPD, ILI) dijangkiti oleh virus influenza. Hampir 90% dari mereka dijangkiti oleh virus influenza jenis A (H1N1), manakala 10% dijangkiti oleh virus jenis B. Jadi beban jangkitan influenza memang tidak boleh diabaikan. Influenza boleh menyebabkan komplikasi paru-paru, radang otot termasuk otot jantung, radang otak, kegagalan buah pinggang, jangkitan sekunder bakteria dan lain2.

Jangkitan Covid-19 dan Influeza boleh berlaku serentak ke atas pesakit yang sama. Kes-kes jangkitan bersama ini telah dikesan di dalam beberapa kajian dan pengkaji mendapati pesakit yang dijangkiti oleh kedua2 virus ini serentak mempunyai kadar komplikasi dan kematian yang lebih tinggi sehingga 6 kali ganda.



Amalan norma baharu yang diwar-warkan oleh KKM bukan sahaja dapat melindungi kita dari Covid-19 tetapi juga penyakit Influenza lebih-lebih lagi di musim tengkujuh yang bakal kita hadapi. Di samping itu, bagi sesiapa yang mampu,  pengambilan vaksin influenza akan memberi perlindungan yang lebih berkesan serta menghilangkan kebimbangan untuk dijangkiti oleh virus ini. Apabila kita mencegah jangkitan influenza, kita juga mencegah jangkitan bersama dengan Covid-19. Pencegahan yang berkesan dengan vaksin influenza juga akan dapat mengurangkan beban penyakit ini kepada hospital, lebih2 lagi ketika pandemik Covid-19 masih aktif. Petugas2 kesihatan boleh memberi perhatian lebih kepada Covid-19 yang setakat ini belum lagi ada vaksin yang berkesan untuk mencegahnya.


Dato' Dr Rushdan Noor

23hb Sep 2020


https://www.thelancet.com/journals/lancet/article/PIIS0140-6736(20)31052-7/fulltext

https://www.google.com/amp/s/amp.theguardian.com/world/2020/sep/22/flu-and-covid-19-at-same-time-significantly-increases-risk-of-death

https://www.google.com/amp/s/www.theweek.co.uk/108152/flu-and-coronavirus-six-times-risk-of-dying%3famp

https://www.thestar.com.my/lifestyle/health/2020/01/21/how-seriously-does-influenza-affect-malaysia

https://www.infosihat.gov.my/index.php/influenza

https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/nejmp058281


Video tentang jangkitan Influenza





Saturday 19 September 2020

BENARKAH ADA PRODUK YANG BOLEH MENGURANGKAN BERAT BADAN ?

 


Obesiti adalah masalah yang serius dialami oleh masyarakat kita pada hari ini. Umumnya masalah obesiti ini perlu ditangani dengan kaedah mengawal pengambilan makanan dan melakukan senaman yang tetap. Kata kunci kepada kejayaan program mengawal berat badan adakah kaedah yang betul, selamat dan konsisten. Malangnya kebanyakan daripada kita gagal sebab tidak konsisten dan cepat berputus asa. Tidak kurang juga yang mahu hasil yang cepat dengan mengambil suplemen dan ubat untuk menurunkan berat badan.  Kalau boleh mereka mahu berat badan turun dengan cepat tanpa mengawal makanan dan melakukan senaman.

Orang ramai mencari jalan pintas dan tidak kisah untuk membelanjakan wang yang banyak. Kesempatan ini diambil oleh  peniaga-peniaga  dengan mencipta produk menguruskan badan melalui percampuran pelbagai bahan yang kononnya boleh memecahkan lemak dan menurunkan selera makan. Produk-produk yang kononnya "pemecah lemak" ini dikeluarkan di dalam pelbagai bentuk seperti pil, kapsul, kopi, teh, susu, jus dan lain-lain lagi.

Sebenarnya tidak ada suplemen ataupun ubat-ubat herba yang boleh memecahkan lemak serta mengurangkan selera makan. Ini termasuklah herba-herba yang sering digunakan seperti ekstrak Hoodia, Garcenia Cambodia dan lain-lain. Tidak ada kajian kukuh yang membuktikan keberkesanan Hoodia, Garcenia Cambodia dan lain-lain herba dapat menurunkan berat badan.

Kebanyakan produk-produk menguruskan badan yang dijual akan mensyaratkan pengguna menggabungkan program kawalan diet dan senaman. Mereka akan menulis bahawa tanpa program tersebut, produk ini kurang berkesan. Sebenarnya kawalan diet dan senaman itulah yang memberi sumbangan terbesar untuk mengurangkan berat badan, sedangkan produk yang mereka jual itu hanya untuk tujuan mengaut keuntungan.

Jika produk-produk tersebut berkesan mengurangkan selera makan dan menurunkan berat badan, dikhuatiri terdapat ubat-ubat terkawal atau racun berjadual yang dimasukkan ke dalamnya secara diam-diam. Lebih-lebih lagi jika diwar-warkan produk ini berkesan tanpa perlu mengawal makan dan melakukan senaman.  Sedangkan ubat-ubat ini hanya boleh dipreskripsi oleh doktor. Ubat-ubat ini dinamakan ubat perencat nafsu makan ("APETTITE SUPPRESSOR").

Ubat perencat nafsu makan boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan berdasarkan kepada mekanisma tindakbalas iaitu :

1.CATECHOLAMINE PATHWAYS (cth: amphetamine, penmetrazine,  amfepramone,phentermine, phenylpropanolamine dll)

2. SEROTONIN PATHWAYS (cth: fluoxetine)

3. LIPASE INHIBITORS (cth: orlistat)

Ubat daripada kategori cotecholamin pathway iaitu amphetamine dan penmetrazine sudah tidak diluluskan untuk kegunaan menurunkan berat badan kerana kesan ransangan ("stimulant") dan juga ketagihan. Ada beberapa ubat daripada kategori ini yang diluluskan oleh FDA seperti amfepramone, phentermine, mazindol dan phenylpropanolamine (PPA). Meskipun begitu kajian yang dilakukan mendapati ubat ini tidak begitu berkesan mengurangkan berat badan dan jika diambil berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan denyut jantung yang tidak stabil. Ianya juga boleh menyebabkan mengantuk, kering mulut, cirit dan muntah.

Begitu juga ubat daripada kategori kedua ("serotonin pathways") yang walaupun kadangkala berkesan merencat selera makan, ubat ini perlu diambil bersama dengan program senaman dan diet yang komprehensif. Ubat ini juga tidak boleh diambil melebihi 16 minggu. Di antara ubat di dalam kategori "serotonin pathways" adalah fluoxetine dan sibutramine. Ubat-ubatan ini bertindak di bahagian otak dan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti jantung berdebar, gangguan tidur, pening, sakit kepala dan lain-lain.

Lipase inhibitor pula adalah kumpulan ubat yang merencat enzim lipase. Enzim lipase berfungsi untuk menghadamkan lemak di dalam usus (supaya mudah diserap), apabila ianya direncat, kadar pemecahan dan penyerapan lemak berkurangan sehingga 30%.Salah satu ubat dalam kategori Lipase Inhibitors ini adalah Orlistat. Seperti juga ubatan lain, ubat ini boleh menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan fungsi usus, sakit perut, alahan dan lain-lain lagi.

Di samping ubat-ubat yang dinyatakan di atas, ada juga yang memasukkan ubat pelawas ataupun laksatif untuk menurunkan berat badan dengan cepat. Pengambilan pelawas menyebabkan seseorang itu mengalami kehilangan air dan mineral. Berat badan mereka turun bukan disebabkan oleh kandungan lemak yang berkurangan tetapi akibat dehidrasi ataupun kekurangan air. Pengambilan pelawas dalam jangkamasa panjang boleh menyebabkan banyak masalah kesihatan termasuk keadaan usus yang dikenali sebagai melanosis coli. Untuk meyakinkan pengguna supaya membeli, perkataan Detok seringkali digunakan bersama semasa mempromosi produk ini.  Jadi pengguna akan teruja kerana dapat mengurangkan berat badan dan detok tubuh badan sekali gus. Walhal, semuanya hanya strategi pemasaran. Baca di sini tentang kesan ubat pelawas dan penyalahgunaan perkataan detok.

Pengambilan ubat-ubatan yang dinyatakan di atas tanpa nasihat dan pengawasan doktor boleh memudaratkan badan. Memasukkan ubatan ini ke dalam produk menurunkan berat badan akan menjadikan produk ini di bawah kategori ubat terkawal yang sememangnya sukar untuk mendapat kelulusan daripada KKM. Sebab itu pihak KKM seringkali terjumpa ubat-ubat terkawal ini di dalam produk menurunkan berat badan yang dimasukkan secara senyap. Tentu lebih mudah untuk mendapat kelulusan KKM jika pihak pengeluar tidak mengisytiharkan kehadiran ubat terlarang kerana produk mengurangkan berat badan hanya dikategorikan sebagai suplemen ataupun makanan jika ianya dihasilkan dalam bentuk minuman samada teh, kopi dan sebagainya.

Berhati-hati apabila anda disyorkan untuk mengambil produk-produk pelansing yang dijual di kedai-kedai ataupun diedarkan melalui jualan langsung. Jangan mudah percaya dengan testimoni. Ingat, produk pelansing yang menjanjikan hasil yang cepat ini samalah seperti scam skim cepat kaya yang seringkali memangsakan orang ramai. Tidak ada jalan pintas untuk menangani masalah obesiti dan kaedah yang paling selamat adalah melalui kawalan makanan (diet) dan senaman yang tetap. Sila dapatkan khidmat nasihat daripada pakar pemakanan atau doktor supaya program diet dan senaman yang anda amalkan adalah selamat.


Dato' Dr Rushdan Noor

5hb Jan 2019


Contoh produk yang berasaskan teh pelansing yang dikesan mengandungi sibutramine


Tuesday 15 September 2020

MENGAPA MANUSIA TIDAK AKAN MENDARAT DI PLANET VENUS (ZUHRAH)



Pada 14hb september 2020, ahli sains diketuai oleh Profesor Astronomy, Prof Jane Greave telah mengumumkan penemuan lapisan gas phosphine di atmosfera planet Zuhrah. Penemuan ini dianggap besar kerana gas phosphine ini dikatakan petunjuk (biomarker) kepada kemungkinan wujudnya hidupan kerana gas ini dihasilkan oleh bakteria anaerobik. Pendek kata, bila ada benda hidup ini (bakteria), adalah gas phosphine. Tetapi lapisan gas ini terletak pada kedudukan 50 km daripada permukaan planet Zuhrah. Jadi jika adapun kehidupan, ianya mungkin pada kedudukan tersebut. Gas phoshine ini juga boleh dihasilkan oleh  tindakan kimia yang lain (walaupun jarang). 

Penemuan ini bukan bermaksud ada kehidupan di permukaan Zuhrah ataupun manusia boleh pergi ke planet Zuhrah. Planet ini walaupun lebih dekat dengan bumi (saiz lebih kurang dan komposisi planet hampir sama) berbanding dengan planet Marikh, keadaannya jauh lebih mencabar disebabkan oleh kedudukannya yang lebih dekat dengan matahari. Ia adalah planet yang sangat panas dan mempunyai tekanan yang sangat tinggi.


Apakah akan terjadi jika manusia dengan menggunakan kapal angkasa yang canggih cuba mendarat di permukaan planet Zuhrah. Perjalanan dari Bumi ke Zuhrah memakan masa 100 hari tetapi untuk sampai ke permukaan Zuhrah cabarannya tersangat besar. Atmosfera planet ini diliputi oleh awam sulfur dioksida yang beracun. Anda perlu melawan ribut yang berkelajuan 220 batu sejam. Kemudian anda akan memasuki lapisan jelebu bertoksik dengan kandungan asid sulfurik yang sangat tinggi berketebalan 10 batu. Apabila anda melepasi lapisan jelebu ini, suhu di sekeliling anda adalah 315 darjah selsius dengan tekanan 10 kali lebih tinggi daripada di bumi, tekanan ini akan meningkat kepada 92 kali lebih tinggi (tekanan yang sama apabila anda berada setengah batu di dasar laut). Suhu di permukaan Zuhrah pula adalah 465 darjah Selsius, cukup panas sehingga boleh mencairkan plumbum. Tidak ada tempat sejuk di planet Zuhrah, keseluruhannya mempunyai suhu permukaan yang sangat tinggi. Anda juga akan kekurangan bekalan oksigen dengan cepat, atmosfera Zuhrah terdiri dari 96% gas karbon dioksida, 3.5% gas Nitrogen dan kurang dari 1% gas karbon monoksida, sulfur dioksida dan air. Memandangkan tidak ada bidang magnetik di Zuhrah, tubuh anda akan terdedah kepada pancaran radiasi yang tinggi.

Setakat ini NASA tidak ada perancangan untuk menghantar kapal angkasa ke planet Zuhrah walaupun daripada tahun 1970 hingga 1984, Rusia (Soviet Union ketika itu) melalui program Venera telah berjaya mendaratkan 8 kapal angkasa ke permukaan planet Zuhrah. Paling lama kapal angkasa ini boleh berada di permukaan Zuhrah adalah 110 minit. Imej permukaan Zuhrah yang diambil oleh Venera disertakan di bawah. Semenjak dari itu belum ada usaha lanjut untuk menghantar kapal angkasa ke planet Zuhrah. Pakar Astronomi membuat andaian berada di permukaan planet Zuhrah seperti sedang dimasak di dalam “massive pressure cooker” (periuk bertekanan tinggi).

Kalau nak tahu tentang perbezaan Bumi dan Marikh, sila rujuk di pautan ini : 

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10217050932293321&id=1468333443

Dato' Dr. Rushdan Noor

16hb Sep 2020

https://www.cnet.com/news/venus-phosphine-discovery-unexplained-gas-hints-at-potential-for-alien-life/

https://news.yahoo.com/why-nasa-wont-send-humans-203000186.html

https://www.nationalgeographic.com/science/space/solar-system/venus/




https://www.nature.com/articles/s41550-020-1174-4

https://nssdc.gsfc.nasa.gov/photo_gallery/photogallery-venus.html

Monday 14 September 2020

BENARKAH KANAK-KANAK LEBIH KEBAL KEPADA JANGKITAN VIRUS COVID-19 ?


Saluran pernafasan bawah adalah sasaran utama virus penyakit Covid-19 yang dikenali sebagai SARS-CoV-2. Ia menyerang sel-sel paru-paru yang mengandungi reseptor ACE-2. Pada permukaan virus ini pula terdapat sejenis protein yang dikenali sebagai Protein S.  Protein S ini bolehlah dianggap seperti kunci, manakala reseptor ACE-2 pula adalah mangga. Apabila kunci (Protein S) bertemu dengan mangga ACE-2, maka pintu sel pun terbuka dan virus masuk ke dalam sel untuk menyerang sel. Jadi Protein S dan reseptor ACE-2 adalah faktor yang paling utama di dalam menentukan keberkesanan virus menyerang sel manusia.



Menurut lapuran CDC and Prevention China, daripada 44,672 kes Covid-19 setakat bulan Februari 2020, hanya 0.9% pesakit berusia kurang daripada 10 tahun, manakala 1.2% berusia di antara 10 hingga 19 tahun. Sedangkan golongan berusia kurang daripada 18 tahun merangkumi 20% daripada keseluruhan populasi. Kanak-kanak juga didapati mengalami gejala yang lebih ringan dan risiko kematian yang lebih rendah. Lebih daripada 90% daripada kanak2 tidak mempunyai gejala ataupun gejala yang ringan. Punca sebenar mengapa Covid-19 kurang menyerang kanak-kanak belum diketahui sepenuhnya, tetapi terdapat beberapa pendapat,  di antaranya adalah:

1. Kanak-kanak ini jarang keluar dari rumah dan berinteraksi dengan orang lain. Mereka juga jarang keluar negara menyebabkan mereka kurang terdedah kepada penyebaran virus ini.

2. Paru-paru kanak-kanak kurang terdedah kepada toksin seperti asap rokok, pencemaran udara, bahan alahan (alergan) dan lain-lain. Paru-paru mereka juga belum terdedah kepada penyakit paru2 seperti yang dihidapi oleh orang dewasa. Pendek kata paru-paru mereka lebih bersih dan sihat.

3. Kerosakan akibat daripada serangan virus Covid-19 adalah berpunca daripada reaksi sistem imun yang berlebihan. Paru-paru kanak-kanak lebih jarang terdedah kepada bahan2 alahan dan di samping itu sistem imun mereka yang belum matang sepenuhnya menyebabkan reaksi sistem imun yang berlaku lebih ringan berbanding dengan orang dewasa.

4. Memandangkan reseptor ACE-2 adalah salah satu faktor yang mempengaruhi risiko jangkitan dan kejayaan virus menyerang sel, maka reseptor ini juga mungkin memainkan peranan melindungi kanak-kanak. Berkemungkinan bilangan reseptor atau kematangan reseptor ACE-2 pada sel paru-paru kanak-kanak lebih rendah ataupun kurang serasi dengan protein S virus Covid-19. Penyelidik belum dapat menjawab persoalan ini dengan tepat.

5. Kajian systematic review melibatkan 90 wanita hamil yang dijangkiti oleh Covid-19 menunjukkan kadar jangkitan vertikal kepada anak adalah rendah (5%). Terdapat sistem perlindungan yang kuat yang mencegah jangkitan dari ibu dengan anak di dalam kandungan. Anak juga mungkin memiliki sistem imun tidak spesifik yang berkesan mencegah jangkitan Covid-19.

Majoriti jangkitan Covid-19 adalah disebarkan oleh orang dewasa yang dijangkiti. Tidak ada data yang tepat tentang keberangkalian kanak-kanak yang dijangkiti boleh menyebarkan virus kepada orang dewasa. Ada yang berpendapat bahawa gejala yang lebih ringan dan ketahanan kanak2 yang lebih tinggi terhadap jankitan virus Covid-19, berkemungkinan beban virus ataupun bilangan virus Covid-19 yang disebarkan oleh mereka adalah lebih rendah. Tetapi fakta ini belum dapat disahkan kerana data2 yang diperolehi mungkin bukan gambaran sebenar bilangan kanak2 yang dijangkiti.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh memandang remeh tentang kemungkinan kanak-kanak menjangkiti orang lain kerana terdapat kajian yang menunjukkan bilangan virus yang ditemui di hidung dan tekak kanak-kanak tidak jauh berbeza dengan orang dewasa. Malahan kajian yang disiarkan oleh jurnal JAMA Pediatrics melapurkan pesakit daripada kalangan kanak-kanak mempunyai beban virus yang lebih tinggi, walaupun penyelidik tidak dapat memastikan adakah penemuan ini adalah “reproducible” dan ada kaitan dengan risiko menjangkiti orang lain. Jadi faktor kemampuan kanak-kanak menjangkiti orang lain tidak boleh diketepikan.

Dato' Dr Rushdan Noor

Pakar Perunding Kanser Ginekologi

Medical Mythbusters Malaysia

14hb Sep 2020



Lee PI, Hu YL, Chen PY, Huang YC, Hsueh PR. Are children less susceptible to Covid-19? J Microbiol Immunol Infect, 2020;53(3):371-372

https://time.com/5816239/children-coronavirus/?fbclid=IwAR1aSAqHlxdtiS5UPLeNdmQfNibDHcJqabpXdwoAkmrCT9Ivr27OQkBVznA

https://www.theguardian.com/world/2020/may/13/are-children-less-susceptible-to-coronavirus

https://pediatrics.aappublications.org/content/146/2/e2020004879

https://www.the-scientist.com/news-opinion/children-often-carry-more-coronavirus-than-adults-study-67785

Ashraf MA, Keshavarz P, Hosseinpour P, et al. Coronavirus Disease 2019: A systematic Review of pregnancy and the possibility of vertical transmission. J Reprod Infertility, Jul-Sep 2020; 21(3):157-168

Friday 4 September 2020

GULA : PAHIT DI SEBALIK MANIS

 


Pada hari ini Ahli Sains dan Pakar Perubatan sudah menyedari tentang bahayanya gula yg berlebihan ke atas tubuh badan manusia. Pada masa lampau, manusia hanya mengaitkan lemak sebagai punca masalah sakit jantung dan angin ahmar dan bermulalah era penghasilan produk makanan dan minuman rendah lemak. Disebabkan oleh rasa yang kurang enak, maka untuk menjadikan produk kurang lemak ini lebih menyelerakan, gula ditambah ke dalamnya. Maka daripada saat itu kadar penggunaan gula telah meningkat di dalam hampir semua jenis minuman dan makanan. Akibatnya pada hari ini ( di samping pengambilan lemak, kurang senaman dll) kita sedang menyaksikan krisis kesihatan yang melanda manusia di dunia akibat daripada penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, sakit jantung, angin ahmar, kanser dan lain-lain yang menjadi beban utama kepada penduduk dunia. Rencana ini adalah rumusan yang saya tulis berkenaan dengan isu pengambilan gula yang berlebihan oleh masyarakat kita sebagai panduan.

1.Karbohidrat adalah salah satu makronutrin yang diperlukan oleh tubuh badan terutamanya untuk tujuan membekalkan tenaga.

2.Karbohidrat dibina oleh unit asas yang orang awam kenali sebagai gula. Terdapat sekurang2nya 3 jenis molekul gula yang menjadi unit asas iaitu Glukosa, Fruktosa dan Galaktosa. Apabila Glukosa bergabung dengan Fruktosa ia dinamakan Sukrosa, Glukosa bergabung dengan Galaktosa dinamakan Laktosa. Dua molekul glukosa membentuk Maltosa.

3.Umumnya terdapat dua jenis gula iaitu gula yang wujud semulajadi di dalam bentuk asal buah-buahan, tumbuhan/bijirin dan susu. Jenis kedua adalah gula yang manusia tambah di dalam makanan dan minuman (“added sugar”), selalunya berbentuk karbohidrat yg ringkas. Sebenarnya gula tambahan ini bukan keperluan tubuh badan tetapi hanya untuk tujuan menyedapkan lidah. Tambahan pula gula dari jenis fruktosa yg sering digunakan sebagai gula tambahan boleh memudaratkan jika diamalkan utk jangkamasa yg panjang.

4.Gula semulajadi yang wujud di dalam buah-buahan, tumbuhan/bijirin (beras,gandum) dan susu ini adalah kurang memudaratkan, malahan jika diambil secara sederhana boleh memanfaatkan kerana ianya juga mengandungi nutrin-nutrin lain dan serat untuk kesihatan. Contohnya buah2an mengandungi gula sukrosa (glukosa + fruktosa) tetapi disebabkan oleh adanya lain-lain nutrin, serat dan antioksida di dalamnya, unsur2 yang bermanfaat ini mengatasi kesan negatif fruktosa. Makanan semulajadi ini adalah juga sumber karbohidrat yang kompleks dan perlu dipecahkan kepada unit-unit asas gula yang membentuknya sebelum diserap ke dalam aliran darah. Proses penyerapannya lebih lambat jika dibandingkan dgn gula ringkas. Petunjuk betapa cepatnya penyerapan ini diukur dengan melihat nilai indek glisemik masing-masing. 

5.Gula yang membawa masalah kesihatan kepada manusia adalah gula yang ditambah ("added sugar") di dalam minuman dan makanan yang kebanyakannya dalam bentuk karbohidrat yang lebih ringkas. 

6.Gula yang paling utama digunakan sebagai penyedap lidah ini adalah daripada jenis sukrosa iaitu gabungan glukosa dan fruktosa. Gula jenis inilah yang menghasilkan gula pasir, kebanyakannya dibuat daripada ektraks air tebu. Banyak lagi sumber-sumber sukrosa yang dijelmakan di dalam pelbagai bentuk dan nama. Rujuk gambar yang dikepilkan mengenai jenis-jenis lain gula ringkas.

7.Pengambilan gula yang berlebihan mempunyai 4 kesan penyakit ke atas manusia iaitu (a) Penyakit radang gusi dan sakit gigi, (b) Diabetes jenis 2, (c) Penyakit saluran darah jantung serta otak dan (d) Kegemukan. Kerosakan gigi yang awal menyebabkan kesukaran untuk mengunyah dan ini mengganggu proses pengambilan makanan yang berserat. Diabetes pula menyebabkan pelbagai masalah kesihatan kepada hampir semua organ badan, manakala sakit jantung merupakan punca kematian yang utama manusia. Kegemukan dikaitkan dengan seribu satu masalah kesihatan termasuk risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser. 

8.Gula yang mengandungi fruktosa pula lebih memudaratkan kerana tidak seperti glukosa, hampir semua fruktosa yang dimakan akan pergi ke hati dan menjalani proses metabolisma yang menukarkannya kepada pelbagai bahan termasuk asid urik, asid lemak dan juga trigliserida. Lama kelamaan hati menjadi berlemak dan rosak (sirosis), kandungan trigliserida yang tinggi meningkatkan risiko penyakit jantung dan angin ahmar. Peningkatan asid urik menyebabkan gout dan darah tinggi. Metabolisma fruktosa juga menghasilkan 7 kali lebih tinggi kandungan bahan yang dinamakan AGE yang mempercepatkan proses penuaan dan penyakit degeneratif. Metabolisma fruktos tidak meransang insulin dan tidak menekan selera makan. Anda sukar merasa kenyang dan boleh mengalami rintangan insulin. Pendek kata pengambilan fruktosa yang berpanjangan boleh menyebabkan “sindrom metabolik”.

9.Ahli Sains hampir sebulat suara menyatakan bahawa pengambilan gula terutamanya dalam bentuk fruktosa mempunyai kaitan yang rapat dengan peningkatan  kadar kegemukan, diabetes jenis 2, penyakit jantung dan sindrom metabolik yang  dihadapi oleh manusia zaman ini berbanding dengan masa lampau. Kesannya lebih serius apabila amalan ini dilakukan semenjak zaman kanak-kanak.

10.Terdapat ahli sains yang percaya bahawa gula terutamanya fruktosa mempunyai kesan-kesan negatif yang hampir sama dengan alcohol. Ada yang berpendapat penggemar gula boleh mengalami ketagihan (addiction) dan gian/tabiat (habitual) kepada gula.

11.Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)  mengesyorkan pengambilan gula tambahan ini tidak melebihi 5% daripada jumlah kalori yang diperlukan di dalam sehari. Katakan pengambilan kalori sehari untuk seorang dewasa adalah 2,000 kalori, maka gula tambahan ini tidak boleh lebih daripada 5/100 X 2000 ataupun 100 kalori. 1 gram gula menghasilkan 4 kalori, maka 100 kalori adalah bersamaan dengan 100/4 ataupun 25 gram gula. 1 sudu teh gula bersamaan dengan 4.2 gram gula, maka 25 gram bersamaan dengan 6 sudu teh. Maka WHO mengesyorkan pengambilan gula tambahan tidak lebih daripada 6 sudu teh untuk wanita dan 9 sudu teh untuk lelaki di dalam satu hari.

12.Cabaran utama yang dihadapi oleh masyarakat kita adalah bagaimana untuk mengira dan memantau jumlah gula tambahan ini kerana ianya bukan sahaja dalam bentuk gula pasir yg ditambah ke dalam minuman, tetapi juga dimasukkan ke dalam hampir semua jenis makanan. Malahan ada juga produk minuman yang disediakan oleh kedai2 dengan menambah susu pekat manis. Tukang masak suka menambah gula ke dalam masakan mereka termasuk ke dalam hidangan pencuci mulut. Jus buah-buahan pula tidak tulin dan ditambah dengan gula yang banyak. Malahan di dalam sayuran dan salad pun ditambah dengan gula untuk menyedapkannya. Pendek kata hampir semua minuman dan makanan yang kita makan mengandungi gula yang terlindung. Dan gula itu pula daripada jenis sukrosa iaitu gabungan glukosa dan fruktosa yang diketahui lebih memudaratkan.

13.Di dalam label fakta nutrisi produk-produk pula tidak diperincikan jumlah gula tambahan yang ada di dalam produk mereka. Menyedari hakikat ini FDA telah mengenakan syarat kepada semua pengeluar produk makanan dan minuman untuk memperbaiki maklumat di dalam Nutrition Facts termasuk menambah maklumat mengenai jumlah gula tambahan yang terkandung di dalam produk tersebut. Peraturan ini berkuatkuasa mulai tahun 2018. Lihat imej yang dikepilkan.

14.Penduduk Malaysia mempunyai kadar obesiti dan diabetes yang sangat tinggi di Asia. Lapuran daripada Persatuan Pengguna Malaysia juga menyatakan bahawa purata pengambilan gula oleh rakyat Malaysia adalah 26 sudu teh sehari iaitu jauh lebih tinggi daripada yang disyorkan oleh WHO iaitu 6-9 sudu teh sehari.

15.Setiap rakyat Malaysia patut menghadkan pengambilan gula dan tahu membaca label “Nutritional Facts” pada produk-produk minuman dan makanan supaya mereka dapat mengelak ataupun menghadkan pengambilan produk tersebut. Apa yang lebih penting adalah jumlah gram gula yang diambil dan bukan peratusan gula kerana walaupun peratusan gulanya rendah, jika diambil dalam isipadu yang besar, jumlah gula yang masuk ke dalam badan adalah juga tinggi. Jangan terpengaruh dengan dakwaan yang berlebihan daripada syarikat2 penjual produk minuman. PALING SELAMAT ADALAH MENGAMBIL AIR KOSONG SETIAP KALI MAKAN kerana pada ketika makan, gula ringkas bukanlah keperluan sebaliknya hanya untuk menyedapkan rasa.

Sebahagian daripada fakta-fakta mengenai gula ini adalah berdasarkan kepada pembentangan yang dilakukan oleh Prof Dr. Robert H Lustig, Pakar Pediatrik dari Jabatan Endokrinologi, UCSF dan juga perbincangan yang dijalankan oleh beberapa orang pakar di dalam bidang pemakanan dan juga nutrisi. Pautan pembentangan Prof Lustig serta perbincangan tersebut boleh diperolehi daripada senarai rujukan. Semoga bermanfaat.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Hospital Sultanah Bahiyah

7hb Feb 2018

RUJUKAN

https://www.youtube.com/watch?v=dBnniua6-oM&t=4420s

https://www.youtube.com/watch?v=XM0vyUUvO9E&t=380s

https://www.vox.com/science-and-health/2017/1/13/14219606/sugar-intake-dietary-nutrition-science














.'