Friday 4 September 2020

PENYAKIT SINDROM KONGENITAL RUBELA : MENAKUTKAN TETAPI BOLEH DICEGAH

 


Salah satu manfaat yang diperolehi daripada pengambilan vaksin adalah ke atas ibu hamil dan anak yang dikandung. Terdapat jangkitan penyakit yang dialami oleh ibu boleh merebak kepada anak di dalam kandungan. Sesiapa sahaja boleh dijangkiti oleh virus Rubela, jadi dengan pengambilan vaksin, jangkitan ini boleh dicegah. Kejadian pandemik Rubela telah direkodkan dalam tahun 1962-1965, di mana 12.5 juta kes jangkitan rubella telah direkodkan hanya di Amerika Syarikat. Akibat daripada wabak Rubela tersebut, 2000 kes keradangan otak, keguguran, 2100 kematian bayi baru lahir dan lebih 20,000 kes bayi yang dilahirkan dengan Sindrom Rubela Kongenital di Amerika Syarikat.

Kebanyakan jangkitan Rubela berlaku secara senyap di mana pesakit tidak mengalami sebarang gejala. Jika mengalami gejala, mereka akan demam, nodus limfa leher membengkak dan ruam badan (sukar untuk dibezakan dengan campak) yang bermula di bahagian muka dan kemudian merebak ke seluruh badan (rujuk foto di bawah). Kesan ke atas anak di dalam kandungan bergantung kepada usia kehamilan. Ibu boleh mengalami keguguran jika jangkitan berlaku ketika dua bulan pertama kehamilan. Risiko menjangkiti anak di dalam kandungan adalah tertinggi ketika 12 minggu pertama kehamilan. Dikatakan jika ibu dijangkiti virus Rubela ketika tempoh ini, 90% daripada mereka akan melepaskan virus Rubela kepada bayi dalam kandungan. Di dalam tempoh ini, proses kejadian organ badan bayi sedang berlaku. Maka jika bayi itu dapat hidup, ia akan mengalami pelbagai kecacatan dan keadaan ini dinamakan Sindrom Rubela Kongenital.

Di antara kecacatan bayi akibat Sindrom Rubela Kongenital ini adalah katarak, glaucoma, penyakit jantung kongenital, pekak, penyakit retina, bengkak hati serta limpa, jaundis, kepala kecil (microcephaly) dan radang selaput otak. Anak ini mungkin akan mengalami masalah tumbesaran dan terencat akal.


Tanda-tanda Sindrom Rubela Kongenital

Kaedah paling berkesan mencegah Sindrom Rubela Kongenital adalah pengambilan vaksin. Vaksin Rubela dimasukkan di dalam vaksin MMR (Measle, Mump, Rubela) iaitu untuk mencegah penyakit demam campak, beguk dan Rubela. MMR diberikan di dalam dua dos iaitu ketika bayi berusia 9 dan 12 bulan. Vaksin Rubella juga boleh diambil secara berasingan. Perlindungan daripada jangkitan Rubella yang diberikan adalah sangat panjang sehingga lebih daripada 20 tahun. Memandangkan di Malaysia, vaksin MMR adalah rutin kepada semua bayi yang dilahirkan, maka kemungkinan besar ibu-ibu yang hamil akan kebal terhadap jangkitan rubela. Seseorang yang tidak pasti samada pernah menerima vaksin Rubela boleh melakukan ujian antibodi. Jika antibodi virus Rubela dikesan maka badan mereka sudah dianggap kebal kepada jangkitan ini. Seseorang wanita yang bakal hamil dan didapati tidak mempunyai kekebalan ke atas jangkitan Rubela, mungkin beliau tidak pernah mengambil vaksin, maka disyorkan untuk mengambil vaksin Rubela. Suntikan vaksin Rubela hendaklah diambil selewat-lewatnya 3 bulan sebelum hamil. Dengan perkataan lain, jika anda mengambil vaksin rubella, anda patut menunggu sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum boleh hamil. Jika status kekebalan ini hanya diketahui semasa hamil, maka pengambilan vaksin hendaklah ditangguhkan selepas melahirkan anak.

Kesimpulannya, vaksin MMR yang dimasukkan ke dalam jadual imunisasi kebangsaan bukan sahaja memanfaatkan kanak-kanak tetapi juga memberi perlindungan kepada mereka daripada dijangkiti oleh virus Rubela apabila mereka dewasa dan hamil kelak. Penyakit Rubela seringkali berlaku secara senyap tanpa disedari oleh si-ibu. Jika si-ibu menghidap penyakit Rubela ketika awal tempoh kehamilan (3 bulan pertama), risiko anak dijangkiti dan cacat adalah sangat tinggi. Anak yang mendapat kesan jangkitan Rubela ini jika tidak gugur akan mengalami pelbagai kecacatan badan seperti yang disebutkan di atas. Patuhi arahan kerajaan untuk membawa anak anda mendapatkan vaksin MMR demi masa depan mereka. Jika anda tidak pernah menerima vaksin Rubela, vaksin ini boleh diperolehi sebelum anda merancang untuk hamil. 

Dato' Dr Rushdan Noor 
Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi
Medical Mythbusters Malaysia







No comments:

Post a Comment