Apabila anda diserang penyakit, saya umpamakan anda sedang berada di medan perang. Jika penyakit itu ringan, anda mudah menang, hatta dengan menggunakan senjata tangan dan kaki. Penyakit ringan boleh disembuhkan sendiri oleh sistem pertahanan badan kita (dengan izin Allah swt).
Apabila anda diserang penyakit serius seperti penyakit kronik atau serangan jangkitan yang teruk, anda umpama sedang berada di medan peperangan yang besar, berhadapan dengan lawan yang kuat dengan peralatan perang yang canggih. Pada ketika ini, anda tidak boleh melawan dengan tangan dan kaki atau panah dan tombak, tetapi perlu menggunakan peralatan canggih dan senjata yang berkesan.Jika tidak, anda akan tewas. Samada anda mati ataupun mengalami kecederaan. Jika kaedah rawatan kurang berkesan, penyakit yang tidak terkawal boleh menyebabkan kematian ataupun komplikasi kepada organ badan.
Rawatan konvensional ataupun moden bolehlah dianggap umpama senjata perang yang canggih kerana kaedah ini sudah melalui kajian keberkesanan dan keselamatan. Ini adalah salah satu hasil dari perkembangan teknologi sains dan perubatan. Ubat2 yang dihasilkan pula ditentukan dos yang berkesan, kekerapan diambil dan juga lulus ujian keselamatan. Ubat darah tinggi contohnya diberikan dalam dos yang betul dan mengikut kekerapan yang ditetapkan agar kandungan ubat di dalam darah sentiasa berada pada tahap terapeutik sepanjang masa (tidak terlalu tinggi atau rendah) untuk menstabilkan tekanan darah walaupun ketika pesakit tidur.
Malangnya, ramai ahli masyarakat yang masih percaya kepada rebusan air herba, tumbuhan, daun kayu, makjun dan suplemen untuk merawat penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes, sakit jantung, kanser dan lain2, sedangkan kaedah alternatif ini sewajarnya dianggap senjata yang sudah ketinggalan. Kaedah ini belum diuji keberkesanannya, apatah lagi keselamatannya. Kalau dahulu kita menggunakan tangan untuk membasuh pakaian, tetapi hari ini sudah ada mesin basuh. Talipon, kereta, kapalterbang dan roket adalah hasil dari ilmu dan teknologi yang lebih maju anugerah Allah kepada manusia. Hari ini manusia memanfaatkannya, begitu jugalah sepatutnya sikap ke atas perubatan moden.
Sudah banyak kajian menunjukkan bahawa pengubatan moden adalah kaedah terbaik untuk mengawal penyakit kronik. Contohnya penyakit darah tinggi, NCCIH (National Centre for Complementary and Integrative Health) telah membuat kenyataan bahawa setakat ini belum ada kaedah alternatif yang lebih berkesan daripada rawatan konvensional untuk merawat tekanan darah tinggi. Walaupun air halia, omega 3 dan teh hijau mungkin ada sedikit kesan penurunan tekanan darah, kajian mengenainya sangat terhad dan ianya tidak berkesan seperti ubat darah tinggi yang disyorkan oleh doktor. Kaedah2 komplementari hanya boleh diamalkan sebagai kaedah sampingan dan bukan pilihan (alternatif).
AKIBAT MENGUTAMAKAN RAWATAN ALTERNATIF
Terdapat 2 masalah besar yang dihadapi oleh pesakit yang mengamalkan kaedah alternatif untuk merawat penyakit kronik:
1. Keberkesanan dan keselamatan kaedah ini belum disahkan. Maklumat tentangnya hanya dari khabar mulut ke mulut dan pengalaman peribadi.
2. Kecenderungan lebih besar pesakit untuk meninggalkan ubat yang diberikan oleh doktor, menyebabkan kandungan ubat di dalam darah tidak dapat dipertahankan dan pesakit mengalami komplikasi daripada penyakit kronik yang tidak terkawal.
Umpama anda berperang menggunakan senapang yang diselang-selikan dengan penumbuk dan penendang. Senjata utama adalah senapang, tetapi apabila asyik menggunakan penumbuk dan penendang, senapang terlepas dari tangan dan anda tewas oleh tembakan lawan. Sepatutnya penumbuk dan penendang digunakan sekali sekala, senapang yang mesti sentiasa dalam tangan dan mengarah ke hadapan.
CERITA BENAR
Seorang pesakit darah tinggi bernama Encik K telah dikesan mengidap penyakit darah tinggi oleh doktor pada usia 52 tahun, disyorkan mengambil ubat darah tinggi dan membuat rawatan susulan. Akibat daripada pengaruh rakan dan pembacaan sendiri, Encik K ingin cuba mengambil rebusan air halia dan asam jawa. Pada peringkat awal, ubat darah tinggi itu diambil secara tetap, tetapi lama kelamaan, beliau mula menjarakkan ubat ubat darah tinggi. Umpama "lembu punya susu, sapi dapat nama", rebusan air halia dan asam jawa yang dapat pujian sedangkan ubat darah tinggi itulah yang menurunkan tekanan darah. Encik K juga tidak meneruskan rawatan susulan. Selepas 6 bulan mengamalkan air halia dan asam jawa, satu hari beliau merasa pening dan tidak mampu untuk mengangkat kaki dan tangan kiri. Sebelah muka merasa kebas dan pertuturan sukar difahami. Beliau dibawa ke Unit Kecemasan, dan didapati tekanan darah 200/120mmHg. Ujian CT scan otak menunjukkan pendarahan berlaku di bahagian kanan otak. Beliau dirawat di ICU dan menjalani pembedahan otak untuk mengeluarkan darah beku. Nasib beliau baik, dapat diselamatkan tetapi kekal mengalami masalah pertuturan dan lemah anggota kiri hingga ke hari ini.
Kes yang saya ceritakan di atas sebenarnya adalah selari dengan dapatan daripada banyak kajian yang mencari hubungan antara amalan rawatan alternatif dengan kawalan penyakit darah tinggi. Kajian2 ini secara konsisten menunjukkan bahawa pesakit yang mengamalkan rawatan alternatif mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami komplikasi penyakit darah tinggi dan juga kematian. Di antara komplikasi darah tinggi adalah angin ahmar, penyakit jantung, kerosakan buah pinggang dan juga kematian. Saya percaya, kesan yang sama juga akan dialami oleh pesakit yang menghidap penyakit2 kronik yang lain.
TANGGAPAN UBAT MODEN LEBIH MEMUDARATKAN ADALAH TIDAK TEPAT
Ubat2an moden yang disyorkan oleh doktor sudah melalui ujian keselamatan ke atas manusia. Jadi ianya selamat diambil dengan syarat atas nasihat dan pemantauan doktor. Komplikasi yang dialami oleh pesakit bukan disebabkan oleh ubat, tetapi komplikasi dari penyakit yang tidak terkawal. Di sebaliknya pula, herba, akar kayu, jamu, suplemen dan lain2 rawatan alternatif tidak menjalani kajian keberkesanan dan keselamatan, jadi sepatutnya ini lebih membimbangkan. Apa yang dianggap semulajadi atau bebas kimia itu tidak semestinya lebih selamat.
RAWATAN HERBA DAN REBUSAN TIDAK BERKESAN SEPERTI RAWATAN KONVENSIONAL
Belum ada kajian yang menunjukkan kaedah rawatan alternatif di atas lebih berkesan merawat penyakit kronik berbanding dengan kaedah rawatan konvensional. Penemuan ini tidak menghairankan kerana ubat2an moden telah melalui kajian klinikal yang besar dari fasa praklinikal hingga fasa 3. Ubat yang dihasilkan sudah ditentukan kandungan sebatian kimia yang aktif dan kuantiti yang diperlukan oleh pesakit. Farmakologi ubat ini juga dikaji yakni berapa banyak yang akan masuk ke dalam darah, tempoh berada di dalam darah dan dinyahkan dari badan. Kekerapan mengambil ubat ini ditentukan bagi memastikan kandungan ubat ini kekal di dalam darah pada tahap yang tertentu agar dapat mengawal penyakit sepanjang masa, di samping tidak terlalu tinggi untuk mengelak komplikasi. Berbeza dengan rawatan alternatif yang tidak melalui proses yang sama. Kita tidak tahu tentang farmakologikalnya, kandungan bahan aktif, kuantiti bahan aktif, berapa dos optimal dan kekerapan yang perlu diambil bagi mengekalkan kandungannya di dalam darah. Kajian klinikal juga tidak langsung dijalankan
KESIMPULAN
Apabila mengidap penyakit kronik, bertemulah dengan doktor, dapatkan pemeriksaan, lakukan ujian dan ambil ubat yang disyorkan oleh doktor secara tetap. Ketaatan mematuhi arahan mengambil ubat adalah faktor yang sangat penting untuk mengawal penyakit dan mengurangkan risiko mendapat komplikasi. Setakat ini belum ada kaedah rawatan alternatif yang lebih berkesan dari rawatan konvensional (moden) untuk merawat penyakit kronik. Sila dapatkan nasihat doktor jika ingin mengamalkan kaedah2 lain samada herba, suplemen, air rebusan, akar kayu, akupunktur, aromaterapi, urutan dan lain-lain rawatan komplementari. Jika doktor membenarkan amalan komplementari ini, lakukannya sebagai kaedah sampingan dan jangan tinggalkan ubat2 yang telah disarankan oleh doktor.
Dato' Dr Rushdan Noor
5hb Okt 2024
RUJUKAN
Lassale C, Gaye B, Diop IB, et al Use of traditional medicine and control of hypertension in 12 African countries. Link: https://gh.bmj.com/content/7/6/e008138
https://www.nccih.nih.gov/health/providers/digest/complementary-health-approaches-for-hypertension
Kim S, Shin DW, Yun JM, et al. Medication Adherence and the Risk of Cardiovascular Mortality and Hospitalization Among Patients With Newly Prescribed Antihypertensive Medications.
Hypertension, Volume 67, Number 3
https://doi.org/10.1161/HYPERTENSIONAHA.115.06731
Law MR, Morris JK, Wald NJ. Use of blood pressure lowering drugs in the prevention of cardiovascular disease: meta-analysis of 147 randomised trials in the context of expectations from prospective epidemiological studies. BMJ. 2009;338:b1665.
Law M, Wald N, Morris J. Lowering blood pressure to prevent myocardial infarction and stroke: a new preventive strategy. Health Technol Assess. 2003;7:1–94.
Macquart de Terline D, Kane A, Kramoh KE, Ali Toure I, Mipinda JB, et al. (2019) Factors associated with poor adherence to medication among hypertensive patients in twelve low and middle income Sub-Saharan countries. PLOS ONE 14(7): e0219266. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0219266
Thangsuk P, Pinyopornpanish K, Jiraporncharoen W et al. Is the Association between Herbal Use and Blood-Pressure Control Mediated by Medication Adherence? A Cross-Sectional Study in Primary Care. Int J Environ Res Public Health. 2021 Dec; 18(24): 12916. Published online 2021 Dec 7. doi: 10.3390/ijerph182412916
Marie A, Mubtner P, Joyce CJ et al. Adverse effects of Complementary and Alternative Medicine Use on Antihypertensive Medication Adherence: Findings from CoSMO. J Am Geriatr Soc. 2010 Jan; 58(1): 54–61. doi: 10.1111/j.1532-5415.2009.02639.x