Wednesday, 16 October 2024

PERLUKAH MENGAMBIL SUPLEMEN MINYAK ZAITUN?

 


Lemak terdiri daripada lemak tepu dan lemak tidak tepu. Lemak tepu dikaitkan dengan masalah kesihatan jantung dan saluran darah. Manakala lemak tidak tepu pula dianggap sejenis lemak yang baik untuk kesihatan. Lemak adalah salah satu keperluan makronutrien. Mengikut garispanduan diet, 20-35% daripada kalori yang diambil hendaklah daripada lemak. 

Kebanyakan orang mengambil lemak dalam jumlah yang mencukupi tetapi mungkin dari kategori lemak tepu. Mereka tidak mengambil lemak tidak tepu yang mencukupi. Ada dua jenis lemak tidak tepu iaitu PUFA ("polyunsaturated fatty acid") dan MUFA ("monounsaturated fatty acid) yang ditemui dalam beberapa jenis minyak, kacang, bijirin dan juga dari sumber tumbuhan. 


Minyak Zaitun adalah salah satu sumber yang kaya dengan MUFA. MUFA dikaitkan dengan manfaat terhadap kesihatan jantung dan mungkin boleh mengurangkan risiko sakit jantung. Minyak zaitun extra virgin adalah minyak zaitun yang paling kurang diproses, jadi dipercayai mengandungi lebih tinggi kandungan nutrin termasuk antioksidan. MUFA boleh juga ditemui dalam produk haiwan tetapi sumber dari tumbuhan didapati lebih baik. 

MINYAK ZAITUN DAN DIET MEDITERRANEAN

Manfaat mengambil minyak zaitun sebagai sumber lemak MUFA ini diperolehi daripada pemerhatian terhadap diet Meditaranean di mana penduduk negara Mediterranean yang mengamalkan diet ini didapati berusia lebih panjang dan lebih sihat. Ciri2 diet Mediterranean adalah tinggi kandungan buah2an, sayuran dan salad, sereal atau roti whole grain, kentang, kekacang dan bijirin. Makanan dihasilkan sendiri dan kurang diproses. Minyak zaitun adalah salah satu ingredient penting di dalam makanan orang Mediterranean. Jadi sumber lemak dalam makanan mereka datangnya daripada lemak tidak tepu. Penduduk di sini juga mengamalkan gaya hidup sihat dan rajin bersenam. 

KHASIAT MINYAK ZAITUN DAN HASIL KAJIAN

Pengambilan lemak tidak tepu mempunyai kesan langsung dan tidak langsung terhadap melindungi badan daripada penyakit keradangan kronik.

Persoalannya adakah mengambil minyak zaitun dalam bentuk minuman ataupun suplemen boleh memberikan manfaat kesihatan kepada manusia. 

Ahli sains dan pakar pemakanan percaya bahawa untuk mendapat manfaat daripada pengambilan minyak zaitun, seseorang perlu mengamalkannya dalam bentuk pakej seperti yang diamalkan oleh penduduk Mediterranean. Ianya hanya salah satu komponen daripada banyak lagi gayahidup orang2 Mediterranean. Dengan gabungan semua elemen2 ini barulah manfaatnya ke atas sistem imun, antioksidan dan juga anti-keradangan tersebut diperolehi. 

Tidak dapat dinafikan terdapat sangat banyak kajian tentang pengambilan minyak zaitun dengan kesihatan.  Di antara manfaat yang diperolehi adalah mengurangkan masalah sembelit, mengurangkan kolesterol jahat, menurunkan gula darah, meningkatkan kepadatan tulang, antikeradangan, kesihatan kulit, mengurangkan risiko sakit jantung, antikanser dan lain-lain. Banyak kajian2 ini menggunakan "minyak zaitun extra virgin". Walau bagaimanapun kajian2 tersebut didapati mempunyai masalah metodologi seperti kajian bukan klinikal, hanya kajian pemerhatian, saiz sampel yang kecil, kajian ke atas haiwan, kalau RCTs sampelnya kecil, kriteria peserta kajian dan juga kesan faktor penyumbang yang lain. Jenis dan kualiti minyak zaitun juga mempengaruhi hasil kajian di mana kandungan yang tinggi asid phenolic memberi kesan lebih baik.  Penyelidik2 membuat rumusan bahawa kajian lanjut yang lebih berkualiti diperlukan untuk mengesahkan hasil kajian2 tersebut. 

KESAN SAMPINGAN AMALAN MENGAMBIL MINYAK ZAITUN

Amalan mengambil minyak zaitun samada dalam bentuk suplemen ataupun ramuan dalam makanan mempunyai masalah yang tersendiri. Minyak zaitun mengandungi kalori yang tinggi iaitu 150 kalori di dalam 15 ml. Pengambilan jumlah kalori dari diet keseluruhannya perlu dipantau supaya tidak berlebihan. Pengambilan kalori yang berlebihan dikaitkan dengan masalah lain pula termasuk kegemukan.  Mengamalkan minyak zaitun tanpa mengambil makanan2 yang seimbang, tinggi serat (diet Mediterranean) dan senaman tidak akan memberi kesan besar kepada kesihatan badan.  Makanan dalam bentuk asal menyediakan nutrin yang lebih lengkap. Terdapat individu yang mengalami masalah alahan (alergik) selepas mengambil minyak zaitun. 

Ketulinan minyak zaitun juga perlu dipastikan kerana terlalu banyak produk minyak zaitun di pasaran dengan persaingan yang sengit. Penggunaan racun serangga di ladang2 tanaman pokok zaitun dibimbangi boleh mencemarkan minyak yang dihasilkan. Banyak dakwaan kebaikan minyak zaitun untuk pelbagai masalah kesihatan tidak disokong oleh hasil kajian tetapi diwar-warkan oleh syarikat yang mengeluarkan minyak zaitun. Persoalan samada mengambil minyak zaitun secara minum ataupun digunakan dalam masakan masih menjadi tajuk perdebatan, kajian lanjut diperlukan.

BUKAN MINYAK ZAITUN SAHAJA SUMBER LEMAK TIDAK TEPU

Menggantikan jenis lemak dari lemak tepu kepada lemak tidak tepu di dalam diet adalah juga saranan yang dinyatakan di dalam buku garispanduan amalan klinikal untuk rawatan darah tinggi dan penyakit jantung. Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan secara spesifik apakah sumber lemak tersebut. Jadi, tidak kira sama ada sumber lemak tidak tepu tersebut dari minyak zaitun, minyak kelapa, minyak avocado, minyak bijan ataupun lain2, tetap ada kesan manfaatnya kepada kesihatan, dengan syarat2 yang dinyatakan di atas. Cadangan ini pula hanya merujuk kepada makanan dan bukan suplemen.


KESIMPULAN

Minyak zaitun merupakan sumber lemak tidak tepu yang baik dan sesuai dijadikan sumber lemak yang utama di dalam makanan. Maklumat tentang kebaikan minyak zaitun diketahui melalui pemerhatian diet yang diamalkan oleh orang2 Mediterranean. Walau bagaimanapun kesihatan dan jangkahayat yang panjang penduduk2 di negara ini diperolehi dari amalan dan gayahidup yang lebih menyeluruh termasuk jenis makanan, tabiat makan dan juga aktiviti2 fizikal. Kajian2 terhadap suplemen minyak zaitun memang banyak dijalankan tetapi kajian2 lanjut yang lebih besar dan berkualiti perlu dilakukan untuk mengesahkan hasil kajian tersebut. Untuk mendapat manfaat mengambil minyak zaitun ataupun lain2 sumber minyak tidak tepu, seseorang perlu menggabungkannya dengan amalan gaya hidup sihat yang lain. Setakat ini belum ada bukti kukuh untuk memilih mana yang lebih baik antara  minyak zaitun yang diambil dalam bentuk suplemen ataupun sebagai ramuan dalam masakan. Pengambilan minyak zaitun yang berlebihan boleh mendatangkan masalah kesihatan yang lain.

Dato Dr. Mohd Rushdan Md Noor

17hb Okt 2024


https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6949890/

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6770785/

https://www.healthline.com/nutrition/drinking-olive-oil?fbclid=IwY2xjawF8a-9leHRuA2FlbQIxMQABHVQo3W1kex8cG1pjSve-7NyfZjTsVqkcEadkV4ToDVlNGuxPd2NIqxc6ZA_aem_vZFoGyx3zLpXwsZvt7YeVw#downsides

No comments:

Post a Comment