Friday, 30 October 2026

MAKLUMAT PALSU PUNCA STRES

 


Kebanjiran maklumat di era digital kini bertukar menjadi satu bebanan mental yang berat kepada masyarakat. 

Berdasarkan kajian Stress in America 2026 oleh American Psychological Association (APA), sebanyak 64% rakyat Amerika meletakkan penyebaran maklumat palsu atau mengelirukan sebagai punca utama stres mereka. 



Fenomena ini berkait rapat dengan Brandolini's Law (Prinsip Asimetri Nonsen), yang menyatakan bahawa tenaga yang diperlukan untuk membetulkan sesuatu maklumat palsu adalah jauh lebih besar dan memakan masa berbanding dengan mencipta atau menyebarkannya.



Contoh terbaik adalah isu kolesterol dan Statin.

Terdapat naratif viral di media sosial yang mendakwa kolesterol sama sekali tidak berbahaya, serangan jantung hanyalah rekaan, dan ubat penurun kolesterol (statin) adalah konspirasi syarikat farmaseutikal yang merosakkan organ badan. 

Akibatnya, ada pesakit yang bertindak menghentikan ubat secara melulu tanpa nasihat perubatan, sekali gus membahayakan nyawa mereka sendiri. Tidak kurang yang beraleh kepada alternatif yang kurang berkesan dan tidak diketahui kesan jangka panjang.

Begitu juga dengan mitos vaksin punca autisma dan banyak lagi salah faham kesihatan yang disebarkan. Ibubapa jadi takut dan keliru. Sehingga penyakit2 berjangkit yang sudah lama hilang, muncul kembali akibat liputan vaksin yang rendah.

MENGAPA MAKLUMAT PALSU MUDAH TIMBUL DAN DISEBARKAN

Terdapat beberapa faktor utama yang mendorong ekosistem maklumat yang tidak sihat ini:

1. Algoritma Media Sosial: Platform digital direka untuk mengutamakan kandungan yang mencetuskan emosi keterlaluan (seperti takut, marah, atau kejutan). Maklumat palsu selalunya lebih sensasi berbanding fakta sains yang dianggap hambar.

2. Keuntungan Ekonomi dan Pengaruh: Penghasilan berita palsu seumpama ini mampu menjana pulangan iklan yang lumayan serta meningkatkan jumlah pengikut (followers) dengan cepat. Tidak kurang yang menjual produk alternatif yang kononnya lebih baik. Industri wellness menyediakan kek pendapatan yang jauh lebih besar dari apa yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal.

3. Kos Penghasilan yang Rendah: Mengikut Brandolini's Law, sesiapa sahaja boleh menaip satu baris kenyataan palsu dalam masa 5 saat tanpa sebarang rujukan. Sebaliknya, proses semakan fakta secara ilmiah memerlukan pembacaan jurnal berjam-jam lamanya, itupun belum tentu mampu menangkis mitos yang disebarkan.

IMPLIKASI TERHADAP INDIVIDU DAN MASYARAKAT

1. Kelesuan Kognitif ("Cognitive Fatigue"): Otak manusia menjadi penat kerana sentiasa berada dalam mode curiga, takut dan terpaksa memikirkan kesahihan setiap berita yang dibaca.

2. Kehilangan Kepercayaan: Masyarakat mula hilang kepercayaan kepada institusi arus perdana, pakar perubatan, dan badan kerajaan, lalu beralih kepada pengamal alternatif dan percaya kepada teori konspirasi yang tidak berasas.

3. Keputusan Kesihatan yang salah: Kekeliruan maklumat boleh membawa kepada peningkatan kes penyakit kritikal yang sepatutnya boleh dicegah awal atau dirawat jika pesakit mendapat rawatan yang betul.

CARA BIJAK MENAPIS MAKLUMAT DI MEDIA SOSIAL

Bagi mengurangkan stres dan melindungi diri daripada manipulasi maklumat, kemampuan untuk menapis msklumat amat diperlukan:

1. Semak Label dan Sumber Asal: Apabila menerima sesuatu maklumat kesihatan atau berita penting, pastikan anda menyemak label fizikal ubat, kategori produk, nombor pendaftaran, hologram, merujuk portal rasmi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), atau dapatkan nasihat dari pakar.

2. Gunakan Kaedah Tiga Pilihan (Differential Check): Jika menemui sesuatu dakwaan perubatan yang meragukan di internet, jangan terus membuat kesimpulan. Sentiasa cari sekurang-kurangnya tiga sumber atau pandangan pakar perubatan yang berbeza dan bertauliah untuk mendapatkan gambaran yang seimbang dan berasaskan konsensus sains. Bukan pakar segera ataupun pempengaruh media sosial yang tidak layak. Pilih pakar mengikut kepakaran, contohnya pakar jantung, pakar kanser, pakar endokrin dan seterusnya.

3. Jika terjumpa rencana tentang kesihatan, jangan terus membaca. Selidik dahulu penulis dan kelayakannya. Sumber rujukan penulis dan semak latar belakang portal yang menyiarkan rencana itu. Jangan baca jika identiti penulis tidak diketahui, takut anda terperangkap dalam algoritma maklumat palsu.

4. Amalkan Sikap "Sabar Sebelum Kongsi": Fikirkan impak maklumat tersebut sebelum menekan butang kongsi. Jika maklumat itu tidak mempunyai rujukan daripada jurnal atau pakar yang sahih, hentikan penyebarannya. Jangan share screenshot atau posting pendek yang tidak diketahui penulis dan sumber.


Dato"Dr.Rushdan Noor

1hb Nov 2026



Thursday, 29 October 2026

APABILA KESETIAAN MENGATASI KEWARASAN

 

Seperti yang saya pernah tulis, bersikap non-partisan bukan bermaksud menganggap politik itu tidak penting, tetapi ia memberi peluang kepada kita untuk membuka minda dengan lebih luas. 

Bila terikat dengan mana-mana parti, banyak pertimbangan dan penilaian yang kita buat akan menjadi terbatas. Biarlah mereka yang menjadikan politik sebagai kerjaya dan sumber pendapatan mengemudi parti masing-masing. Kita sebagai rakyat biasa, kekal menjadi pemerhati dan memilih mana yang lebih baik.

Kita sudah cukup lama memerhatikan perjalanan parti-parti politik negara dan semua orang maklum bahawa tidak ada satu pun yang sempurna. Mereka juga tidak mempunyai musuh dan kawan yang sentiasa setia. Prinsip dan pendirian boleh berubah mengikut keadaan, begitu juga dengan cara mereka menjustifikasikan sesuatu tindakan.

Cuma satu perkara yang saya nampak sangat membimbangkan ialah apabila tertanam sikap taksub kepada mana-mana parti atau perjuangan. Garis antara kebenaran dan kebatilan mula menjadi kabur. Tidak hairanlah apabila orang yang cerdik pandai dan pintar boleh bertukar menjadi sebaliknya apabila sudah terlalu taksub kepada parti dan pemimpin.

Sebelum mereka bersama parti politik, kita kagum dengan keilmuan dan kewibawaan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing. Tetapi apabila sudah masuk ke gelanggang politik, mereka kelihatan berbeza. Adakah politik yang mengubah mereka ataupun politik yang membuka tirai karakter sebenar mereka? Saya rasa kedua-duanya, tetapi pengaruh yang pertama itu mungkin lebih kuat.

Pada saya, kualiti pemimpin dan penyokong di bawah merupakan refleksi kepada kualiti kepimpinan di atas. Apa yang paling penting ialah ideologi dan akhlak yang dimiliki oleh pemimpin. 

Sesebuah parti politik boleh menyerupai sebuah kultus apabila ideologi perjuangannya menuntut kepatuhan mutlak kepada pemimpin sehingga pemimpin itu seolah-olah mempunyai kedudukan yang tidak boleh dipersoalkan. Apabila sampai ke tahap itu, pemikiran kritis mula mati, kesalahan pemimpin dianggap benar dan teguran pula dilihat sebagai pengkhianatan. Akhirnya, kesetiaan kepada pemimpin mengatasi kesetiaan kepada prinsip dan kebenaran.

Dalam hal ini, kita perlu sentiasa ingat bahawa Islam sendiri tidak mengajar kita supaya mengikut seseorang secara membuta tuli. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 8, mengingatkan kita supaya berlaku adil dan jangan sekali-kali kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong kita berlaku tidak adil. Prinsip ini sangat besar maknanya dalam politik. Jangan kerana terlalu sayangkan parti, kita menutup mata terhadap kesalahannya. Jangan pula kerana terlalu membenci parti lawan, kita menolak kebenaran yang datang daripada mereka.

Akhirnya, parti politik hanyalah wadah dan pemimpin hanyalah manusia biasa. Kedua-duanya bukan agama yang perlu dipertahankan tanpa soal. Kita boleh menyokong sesuatu perjuangan tanpa perlu menjadi pengikut yang taksub. Kita boleh mengakui kebaikan pihak lawan tanpa perlu merasa bersalah dan kita juga boleh mengkritik parti sendiri apabila melakukan kesilapan. Bagi saya, itulah kematangan berpolitik. 

Jangan sampai kerana terlalu setia kepada parti, kita hilang kesetiaan kepada kebenaran. Jangan sampai kerana mahu mempertahankan pemimpin, kita sanggup menggadaikan prinsip, akal dan akhlak. 

Politik sepatutnya menjadi medan untuk memperbaiki kehidupan rakyat, bukannya medan yang merosakkan pertimbangan dan persaudaraan sesama manusia.

Dato' Dr.Rushdan Noor

30hb Okt 2026

Monday, 26 October 2026

PANDAI BERDEBAT BUKAN SYARAT MENJADI PEMIMPIN, TETAPI SATU BONUS



Pandai berdebat bukan syarat utama menjadi pemimpin politik, tetapi satu kelebihan yang boleh membantu seseorang menyampaikan idea, mempertahankan pendirian dan meyakinkan rakyat.

Kita memerlukan lebih ramai tokoh politik yang petah berpidato, bijak berhujah dan mampu menggunakan bahasa yang bernas serta menarik. Pelapis muda yang paling menyerlah tentulah YB Syed Saddiq, bekas pemidato hebat semasa di universiti. Ada lagi beberapa orang yang bakat mereka boleh diasah. Tak ramai yang benar2 menonjol dan dikagumi. Jika muncul bakat baharu seperti saudara Mukhlis Mubin (bekas juara debat antarabangsa) yang menunjukkan minat untuk masuk ke alam politik, berilah peluang untuk berkembang. Jangan memperlekehkan bakat seseorang hanya kerana berbeza parti politik.

Namun, petah berpidato tidak sama dengan pandai memaki hamun. Kita perlu membezakan keberanian berhujah daripada keberanian menghina. Pemimpin yang berwibawa mampu mengkritik tanpa mencaci, bertegas tanpa mengherdik dan berbeza pendapat tanpa menjatuhkan maruah orang lain.

Petah berpidato juga boleh disalahgunakan jika isi pidato itu penuh dengan sentimen kebencian dan perpecahan. Pidato yang hebat bukan sekadar mampu membakar semangat, tetapi juga mampu membuka minda dan mendamaikan perbezaan.

Cara seseorang berkomunikasi mencerminkan disiplin dan kematangan dirinya. Politik tidak sepatutnya mengangkat jeritan, makian dan penghinaan sebagai ukuran keberanian. Sorakan penyokong tidak semestinya membuktikan hujah itu bernas.

Justeru, pupuklah keberanian berucap, bukan keberanian mencaci. Hargailah kepetahan berhujah, bukan kekasaran bahasa. Berilah peluang kepada bakat baharu tanpa mengira parti yang diwakili, dan nilailah mereka berdasarkan potensi, akhlak, integriti serta kemampuan.

Saya sangat suka kalau kita dapat mulakan budaya debat antara pemimpin2 politik agar kita dapat menilai kemampuan dan idea mereka di dalam mentadbir negara ini.

Kita mahu melahirkan pemimpin yang bukan sahaja pandai bekerja dan mentadbir, tetapi juga mampu menyampaikan pandangan secara profesional, tersusun dan berhemah, sama ada di pentas politik, Parlimen mahupun forum antarabangsa.

Dato'Dr.Rushdan Noor

27hb Okt 2026

Tuesday, 6 October 2026

PLAGUE: PENYAKIT YANG PERNAH MEMBUNUH JUTAAN MANUSIA

 


Seorang saintis berusia 28 tahun yang bekerja di Irkutsk Anti-Plague Research Institute, Siberia, Rusia, meninggal dunia pada 2 Oktober 2026 selepas mengalami pneumonia teruk. Beliau dipercayai mungkin terdedah kepada bakteria Yersinia pestis ketika bekerja di makmal, tetapi punca kematian akibat plague belum disahkan. Terdapat khabar yang mengatakan kematian kedua telah direkodkan setakat ini.

Plague atau wabak sampar ialah penyakit berjangkit serius yang disebabkan oleh bakteria Yersinia pestis. Walaupun sering dikaitkan dengan sejarah Zaman Pertengahan, penyakit ini masih wujud hingga hari ini, tetapi kini boleh dirawat dengan antibiotik jika dikesan dan dirawat dengan segera. 

SEJARAH: DARIPADA BLACK DEATH KEPADA ZAMAN MODEN 

Plague telah menyebabkan beberapa pandemik besar dalam sejarah manusia. Yang paling terkenal ialah Black Death pada abad ke-14, yang mengorbankan lebih 50 juta orang di Eropah menurut WHO. Wabak tersebut mengubah demografi, ekonomi dan kehidupan sosial Eropah secara mendalam. 

Namun, plague bukan penyakit yang hanya terdapat dalam sejarah. Bakteria Y. pestis masih beredar secara semula jadi dalam populasi mamalia kecil dan kutunya di beberapa kawasan dunia, terutama di sebahagian Afrika dan Asia serta beberapa kawasan di Amerika Syarikat. 

APAKAH PENYEBABNYA

Penyebabnya ialah bakteria Yersinia pestis, iaitu bakteria zoonotik yang biasanya hidup dalam haiwan kecil seperti rodensia (tikus) dan kutu yang menjangkiti haiwan tersebut. Manusia menjadi hos secara tidak sengaja apabila terdedah kepada bakteria berkenaan. 

BAGAIMANA IA MEREBAK ?

Cara penularan bergantung kepada bentuk penyakit:

Gigitan kutu yang dijangkiti – merupakan laluan paling biasa dan menyebabkan bubonic plague.

Sentuhan dengan haiwan yang dijangkiti atau tisu/cecair badannya.

Menyedut masuk titisan pernafasan daripada pesakit atau haiwan yang mengalami pneumonic plague  ialah kaedah transmisi yang boleh merebak dari manusia kepada manusia. 

GEJALA

Terdapat tiga bentuk utama:

1. Bubonic plague

Bentuk paling lazim. Pesakit mengalami demam yang datang secara tiba-tiba, menggigil, sakit kepala, sakit badan, lemah, loya dan muntah. Ciri yang paling terkenal ialah bengkak kelenjar limfa yang sangat sakit, dikenali sebagai bubo. 

2. Septicaemic plague

Bakteria merebak ke dalam aliran darah. Ia boleh menyebabkan demam tinggi, menggigil, kelemahan teruk, sakit abdomen, renjatan dan pendarahan pada kulit atau organ. Tisu pada jari tangan, jari kaki atau hidung boleh menjadi gelap dan mati. 

3. Pneumonic plague

Bakteria menyerang paru-paru. Pesakit boleh mengalami demam, sakit kepala, batuk, sakit dada, sesak nafas dan kadangkala kahak berdarah. Ia merupakan bentuk paling serius dan boleh merebak daripada manusia kepada manusia melalui titisan pernafasan. Tanpa rawatan segera, ia boleh membawa maut dengan cepat. 

RAWATAN

Plague boleh dirawat dengan antibiotik. Rawatan perlu dimulakan secepat mungkin apabila penyakit disyaki. Doktor tidak sepatutnya menunggu keputusan ujian makmal sebelum memulakan rawatan jika gambaran klinikal sangat mencurigakan. Antibiotik seperti gentamicin dan fluoroquinolone merupakan antara pilihan rawatan yang digunakan, bergantung kepada jenis penyakit dan keadaan pesakit. 

Diagnosis boleh disahkan melalui pemeriksaan makmal terhadap sampel seperti darah, kahak atau bahan daripada bubo. 

PENCEGAHAN

Pencegahan terutama melibatkan pengurangan pendedahan kepada sumber jangkitan:

1.Elakkan sentuhan dengan rodensia yang sakit atau mati.

2.Elakkan mengendalikan bangkai haiwan tanpa perlindungan.

3. Kurangkan pendedahan kepada kutu, khususnya di kawasan yang diketahui mempunyai plague.

4. Kawal populasi rodensia dan kutu.

5. Dapatkan rawatan segera jika mengalami gejala selepas berada di kawasan berisiko.

6. Pesakit pneumonic plague perlu diasingkan dan kontak rapat mungkin memerlukan penilaian serta antibiotik pencegahan. 

KESIMPULAN

Plague bukan lagi hukuman mati seperti pada zaman Black Death. Ia masih merupakan penyakit yang sangat serius, tetapi perbezaan terbesar antara dahulu dan sekarang ialah kita mempunyai antibiotik, diagnosis makmal dan sistem kawalan jangkitan. Jika dikesan dan dirawat awal, peluang untuk sembuh adalah jauh lebih baik. 

Dato' Dr.Rushdan Noor

6hb Okt 2026

RUJUKAN

1. World Health Organization (WHO). Plague. 29 September 2026. 

2. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). About Plague. Updated 24 August 2026. 

3. CDC. How Plague Spreads. 

4. CDC. Signs and Symptoms of Plague. 

5. CDC. Clinical Care of Plague.  

Sunday, 4 October 2026

STATIN: ANTARA RISIKO SEBENAR DAN CERITA YANG DIBESARKAN



STATIN: ANTARA RISIKO SEBENAR DAN CERITA YANG DIBESARKAN


Statin sering menjadi sasaran dalam media sosial.

Ada yang mendakwa statin merosakkan hati, buah pinggang dan otak. Ada yang mengaitkannya dengan dementia, kemurungan, gangguan tidur, masalah seksual, neuropati dan pelbagai penyakit lain. Ada pula yang menggambarkan statin seolah-olah ubat yang lebih banyak membawa mudarat daripada manfaat.

Masalahnya bukan kerana kita tidak boleh mengkritik statin.

Masalahnya ialah apabila dakwaan tentang ubat dibuat tanpa melihat kekuatan bukti yang menyokong dakwaan tersebut.

KAJIAN CTT ("CHOLESTEROL TREATMENT TRIALISTS COLLABORATION") TERBITAN THE LANCET 2026.

Satu kajian besar yang diterbitkan dalam The Lancet pada 2026 memberikan perspektif yang sangat menarik tentang isu ini.

Bila dakwaan diuji dengan kaedah yang lebih ketat.

Kajian oleh Cholesterol Treatment Trialists' (CTT) Collaboration menganalisis data individu daripada 23 kajian rawak terkawal (RCTs) yang dijalankan secara double-blind, melibatkan 154,664 peserta.

Dalam kajian double-blind, pesakit dan penyelidik tidak mengetahui siapa menerima statin dan siapa menerima placebo atau rawatan perbandingan. Dengan cara ini, pengaruh persepsi dan jangkaan pesakit terhadap ubat dapat dikurangkan.

Penyelidik kemudian menilai 66 jenis kesan sampingan yang pernah dikaitkan dengan statin. 

Dan hasilnya agak mengejutkan.

Daripada 66 kesan sampingan tersebut, hanya empat (4) menunjukkan lebihan risiko yang signifikan secara statistik selepas mengambil kira masalah multiple testing.

Empat perkara itu ialah:

1. Peningkatan enzim hati,

2. Beberapa abnormaliti ujian fungsi hati,

3. Perubahan tertentu dalam komposisi urin, dan

4. Edema atau bengkak.

Tetapi kadar kesan sampingan ini adalah kecil, secara amnya kurang daripada 0.1% setahun. Peningkatan enzim hati juga menunjukkan hubungan dengan intensiti rawatan statin. 

STATIN DAN KESAN KE ATAS OTAK, SISTEM SARAF DAN INGATAN

Ini bahagian yang sangat relevan kerana antara dakwaan yang kerap kita dengar di media sosial ialah:

 "Statin menyebabkan dementia."

Kajian ini tidak menemui bukti hubungan sebab-akibat antara statin dengan kemerosotan kognitif.

Begitu juga bagi beberapa dakwaan lain seperti kemurungan, gangguan tidur dan neuropati periferi (gangguan saraf periferi). Data daripada RCT double-blind tidak menyokong hubungan sebab-akibat tersebut. 

Ini tidak bermakna seseorang yang mengambil statin tidak mungkin mengalami gejala tersebut.

Itu dua perkara yang berbeza.

Seseorang boleh mengalami sakit otot, masalah tidur atau lupa ketika mengambil statin. Tetapi untuk mengatakan "statin menyebabkan masalah itu", kita memerlukan bukti yang menunjukkan bahawa kejadian tersebut berlaku lebih kerap apabila mengambil statin berbanding apa yang akan berlaku tanpa statin (plasebo).

Korelasi tidak semestinya kausaliti (sebab-akibat).

STATIN TIDAK BEBAS DARI KESAN SAMPINGAN

Ini bukan menafikan statin itu ada kesan sampingan.

Ini juga penting supaya kita tidak pergi ke hujung yang satu lagi sebab statin seperti ubat2an lain tidak sempurna. Kita perlu nilainya dengan adil.

Statin memang mempunyai beberapa risiko yang telah disokong oleh bukti, termasuk masalah berkaitan otot dan sedikit peningkatan risiko new-onset diabetes. Kedua-dua perkara ini telah dikaji secara khusus dalam analisis CTT terdahulu dan bukan merupakan fokus 66 dapatan dalam analisis ini. 

Jadi, mengatakan "statin tiada langsung kesan sampingan" juga tidak tepat.

Tetapi mengatakan "statin adalah ubat berbahaya yang menyebabkan pelbagai penyakit" juga tidak disokong oleh bukti kajian ini.

SALAM FAHAM DALAM MEDIA SOSIAL

Di sinilah kita perlu berhati-hati dengan media sosial. Terlalu ramai yang jadi pakar segera dan tidak kurang yang jadi taksub kepada mereka. Doktor2 pun ada yang terjebak dan menyebarkan salah faham.

Satu perkara yang saya perhatikan dalam perbincangan kesihatan hari ini ialah kecenderungan mengambil satu pengalaman, satu kajian pemerhatian, satu testimoni atau satu mekanisme biologi lalu menjadikannya seolah-olah bukti muktamad.

Contohnya:

"Statin dikaitkan dengan dementia."

Kemudian ia berubah menjadi:

"Statin menyebabkan dementia."

Kemudian lebih jauh lagi:

 "Statin merosakkan otak."

Tiga ayat ini nampak hampir sama, tetapi dari sudut sains maknanya sangat berbeza.

Begitu juga dengan buah pinggang, hati, seksualiti dan pelbagai lagi.

MENGAPA KEKUATAN BUKTI SAINTIFIK ITU PENTING

Apabila sesuatu penyakit berlaku selepas seseorang mengambil ubat, itu belum membuktikan ubat tersebut menjadi penyebabnya.

Sebab itulah RCT, khususnya RCT double-blind, sangat penting dalam menilai kesan ubat. Kajian yang disiarkan di The Lancet ini sangat berguna kerana memilih kajian2 seumpama ini untuk mencari kebenaran.

JANGAN TAKUT KEPADA STATIN. JANGAN JUGA TAKSUB KEPADA STATIN.

Saya tidak fikir kita perlu menjadikan statin sebagai "ubat suci".

Statin bukan ubat yang sempurna.

Tetapi kita juga tidak sepatutnya menjadikan statin sebagai "ubat jahat" hanya kerana kita menemui senarai panjang kemungkinan kesan sampingan pada risalah ubat atau di internet atau cerita2 pengalaman peribadi dari pengguna ataupun doktor sendiri.

Kajian CTT ini malah menyimpulkan bahawa maklumat kesan sampingan dalam label statin mungkin melebih-lebihkan sesetengah risiko, sehingga berpotensi menyebabkan pesakit dan doktor membuat keputusan yang kurang tepat. 

Dan ini bukan perkara kecil.

Jika seseorang yang sebenarnya mendapat manfaat daripada statin berhenti mengambilnya kerana takut kepada dakwaan yang tidak mempunyai asas bukti yang kukuh, akibatnya mungkin jauh lebih serius.

STATIN BUKAN UNTUK JADIKAN SIHAT SERTA MERTA

Statin diberikan bukan untuk menjadikan seseorang "sihat pada hari ini".

Ia diberikan untuk mengurangkan risiko serangan jantung dan strok pada masa hadapan.

Bukti daripada kajian rawak menunjukkan bahawa rawatan statin yang berkesan ke atas golongan yang terpilih boleh mencegah sejumlah besar kejadian vaskular utama, dengan manfaat yang bergantung kepada risiko asal seseorang. 

APA YANG PESAKIT PATUT LAKUKAN

Akhirnya, kita kembali kepada prinsip asas perubatan.

Pesakit berhak mengetahui risiko ubat.

Tetapi pesakit juga berhak mengetahui saiz risiko tersebut, kekuatan bukti yang menyokongnya dan manfaat yang diperoleh daripada rawatan.

Jangan hanya bertanya:

"Apa kesan sampingan statin?"

Tanya juga:

"Berapa kerap ia berlaku?"

"Adakah ia benar-benar disebabkan oleh statin?"

"Seberapa kuat bukti yang menyokong dakwaan itu?"

Dan yang paling penting:

"Jika saya tidak mengambil statin, apakah risiko saya mendapat serangan jantung atau strok?"

Itulah cara kita membuat keputusan perubatan.

Bukan berdasarkan ketakutan.

Bukan berdasarkan testimoni.

Bukan berdasarkan siapa yang paling banyak pengikut dan populariti.

Tetapi berdasarkan bukti.

Dato' Dr.Rushdan Noor

4hb Okt 2026


RUJUKAN

Cholesterol Treatment Trialists' (CTT) Collaboration. Assessment of adverse effects attributed to statin therapy in product labels: a meta-analysis of double-blind randomised controlled trials. Lancet. 2026;407(10529):689–703. doi:10.1016/S0140-6736(25)01578-8.