Ada banyak ciri-ciri produk overclaim dan salah satu daripadanya adalah satu jenis produk boleh merawat banyak jenis penyakit. Disebabkan penyakit yang selalu dihidapi oleh orang ramai adalah sakit jantung, darah tinggi dan diabetes, tiga2 jenis penyakit ini paling popular. Kadangkala jenis penyakit itu pula ditambah dari masa ke semasa. Tujuannya adalah supaya lebih ramai orang boleh diumpan. Satu lagi kemungkinan adalah jika pengeluar memasukkan ubat2an moden ke dalam produk tersebut ataupun dikenali sebagai campur-palsu. KKM seringkali menemui ubat steroid, kencing manis dan lain-lain di dalam produk2 ini.
Lazimnya produk overclaim ini bermusim, apabila sudah tidak ada mangsa baru yang berjaya diperangkap, mangsa sudah tidak ulang membeli, orang ramai sudah sedar ataupun pihak berkuasa mengambil tindakan, produk ini akan hilang dari radarnya. Mungkin founder produk itu sudah kaya raya tetapi apalah ada dengan pendapatan yang diperolehi daripada perniagaan seumpama ini.
Yang malang dan sedihnya adalah sahabat2 kita, ahli keluarga kita atau jiran2 kita yang tertipu. Tertipu wang ringgit satu hal, tertipu sehingga mengancam kesihatan dan nyawa tentu lebih serius. Lebih malanglah jika mangsa kehilangan kedua2nya sekalu. Saya sendiri telah menyaksikan dan mendapat maklumat daripada rakan2 seperjuangan, ramai pesakit yang melengah2kan rawatan daripada hospital ataupun meninggalkan rawatan hospital kerana terpengaruh dengan produk overclaim. Akibatnya apabila datang ke hospital, sudah terlambat.
Kalaulah ada satu produk yang boleh merawat penyakit darah tinggi, sakit jantung dan diabetes sekaligus tentulah pakar2 perubatan akan menggunakannya. Tentulah heboh merata-rata dan saintis2 akan menulis dan bercakap berkenaan dengannya di seluruh dunia. Saya yakin pencipta produk ini juga tentu akan dicalonkan sebagai pemenang Nobel Prize dan memang layak untuk menang. Kalau kita mampu untuk menggunakan kaedah berfikir begini pun sudah cukup baik dan tentu ramai yang terselamat.
DDr Rushdan Noor
29.10.22