Saturday 29 October 2022

PRODUK "OVERCLAIM" (DAKWAAN MELAMPAU) DAN MUDARAT KEPADA PENGGUNA

"Overclaim" ataupun dakwaan melampau adalah dakwaan yang berlebihan tentang satu-satu produk sedangkan perkara yang didakwa itu tidak menepati dakwaan ataupun dakwaan yang menipu kerana perkara yang didakwa itu tidak wujud di dalam produk yang dijual. Sebenarnya istilah produk di sini merangkumi banyak perkara tetapi di dalam tulisan ini saya hanya menumpukan perhatian kepada produk kesihatan.

Ada banyak ciri-ciri produk overclaim dan salah satu daripadanya adalah satu jenis produk boleh merawat banyak jenis penyakit. Overclaim adalah juga salah satu ciri2 produk pseudosains ataupun pseudoperubatan. Disebabkan penyakit yang selalu dihidapi oleh orang ramai adalah sakit jantung, darah tinggi dan diabetes, tiga2 jenis penyakit ini paling popular. Kadangkala jenis penyakit itu pula ditambah dari masa ke semasa. Tujuannya adalah supaya lebih ramai orang boleh diumpan. Satu lagi kemungkinan adalah jika pengeluar memasukkan ubat2an moden ke dalam produk tersebut ataupun dikenali sebagai campur-palsu. KKM seringkali menemui ubat steroid, kencing manis dan lain-lain di dalam produk2 ini.
Lazimnya produk overclaim ini bermusim, apabila sudah tidak ada mangsa baru yang berjaya diperangkap, mangsa sudah tidak ulang membeli, orang ramai sudah sedar ataupun pihak berkuasa mengambil tindakan, produk ini akan hilang dari radarnya. Mungkin founder produk itu sudah kaya raya tetapi apalah ada dengan pendapatan yang diperolehi daripada perniagaan seumpama ini.
Yang malang dan sedihnya adalah sahabat2 kita, ahli keluarga kita atau jiran2 kita yang tertipu. Tertipu wang ringgit satu hal, tertipu sehingga mengancam kesihatan dan nyawa tentu lebih serius. Lebih malanglah jika mangsa kehilangan kedua2nya sekalu. Saya sendiri telah menyaksikan dan mendapat maklumat daripada rakan2 seperjuangan, ramai pesakit yang melengah2kan rawatan daripada hospital ataupun meninggalkan rawatan hospital kerana terpengaruh dengan produk overclaim. Akibatnya apabila datang ke hospital, sudah terlambat.
Kalaulah ada satu produk yang boleh merawat penyakit darah tinggi, sakit jantung dan diabetes sekaligus tentulah pakar2 perubatan akan menggunakannya. Tentulah heboh merata-rata dan saintis2 akan menulis dan bercakap berkenaan dengannya di seluruh dunia. Saya yakin pencipta produk ini juga tentu akan dicalonkan sebagai pemenang Nobel Prize dan memang layak untuk menang. Kalau kita mampu untuk menggunakan kaedah berfikir begini pun sudah cukup baik dan tentu ramai yang terselamat.

Kepada pihak yang terlibat dengan mempromosi dan menjual produk "overclaim" ini, ingatlah bahawa perbuatan ini bukan sahaja tidak baik dan tidak beretika ke atas sesama manusia tetapi juga dimurkai oleh Allah kerana ianya boleh dianggap salah satu bentuk penipuan. Rasulullah pernah bersabda maksudnya:

"Sesiapa yang merawat dalam keadaan dia tidak pernah belajar ilmu perubatan, maka dia menjadi penjamin (membayar ganti rugi jika berlaku musibat kepada orang yang dirawati" (Ibn Majah 2009, no hadith 3466)

Jika berlaku kematian akibat daripada produk overclaim ini, ulamak ada membahaskan tentang hukum ke atas individu yang terlibat di mana mereka berpendapat individu tersebut boleh diqiyaskan dengan pembunuhan melalui racun. Ulamak bersepakat bahawa pembunuhan melalui racun ini adalah berdosa dan termasuk di dalam hukum bunuh walaupun mereka berbeza pendapat dari segi kategori bunuh samada sengaja ataupun tidak sengaja. (1)

Pendapat yang sama diberikan oleh Fatwa Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di dalam Irsyad Al-Fatwa Siri ke-646 hukum melakukan dakwaan melampau (overclaim) dalam pemasaran (2). Perbuatan overclaim atau bersubahat dengannya adalah dilarang dalam Islam memakan harta orang lain dengan cara-cara menipu. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah (188) maksudnya: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah". Imam al-Baghawi menerangkan ayat di atas sebagaimana berikut: Janganlah kamu makan harta sebahagian kamu dengan cara yang batil iaitu daripada cara yang tidak diharuskan Allah. (Rujuk Tafsir al-Baghawi 210/1)

KESIMPULAN

Perbuatan melakukan dakwaan melampau ("overclaim") semasa mempromosi atau menjual produk kesihatan adalah bertentangan dengan etika dan moral yang baik. Ianya adalah satu bentuk penipuan yang boleh memudaratkan orang ramai khususnya pesakit-pesakit kronik, di samping membawa implikasi beban kewangan dan melanggar undang2. Alim ulamak juga sependapat bahawa perbuatan dakwaan melampau ini adalah perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan pengamalnya berdosa jika akibat daripada perbuatan ini memudaratkan kesihatan dan nyawa orang lain.

Dato' Dr Rushdan Noor
5hb Julai 2023

Rujukan

1. Ramli MA, Hamdan MN, Zulkepli MIS. Teknik dakwaan melampau dalam pemasaran Produk Pengguna Menurut Perspektif Hukum Islam. Journal of Contemporary Islamic Law. (2018)Vol. 3(2): 11-19

2. Fatwa Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di dalam Irsyad Al-Fatwa Siri ke-646 hukum melakukan dakwaan melampau (overclaim) dalam pemasaran (klik di sini)

No comments:

Post a Comment