Sunday 30 August 2020

BENARKAH MINUM SUSU BOLEH MERANSANG SEL KANSER?



Salah satu mitos yang berlegar di media sosial dan perbualan orang ramai adalah larangan mengambil beberapa jenis makanan dan minuman secara total (sedikit pun tak boleh) ke atas pesakit kanser. Sumber mitos ini mungkin bermula dari ceramah2 atau tulisan2 individu yang salah faham ataupun menceduk dari orang lain. Ada di antara sumber maklumat ini datangnya daripada doktor perubatan sendiri yang bukan pakar di dalam bidang yang berkenaan. 

Akibat dari mitos ini maka terdapat pesakit kanser  mengamalkan pantang yang keterlaluan sehingga menjejaskan fungsi badan mereka akibat tahap nutrisi yang rendah. Tahap nutrisi yang rendah juga menjejaskan keupayaan untuk menerima rawatan dan melawan penyakit. Pesakit2 ini bukan sahaja menderita akibat penyakit yang mereka hidapi tetapi juga tertekan dengan pantang yang keterlaluan. Di samping itu, kesan maklumat yang tidak tepat ini juga menyebabkan ramai orang samada yang sihat ataupun yang sakit mengamalkan pantang yang tidak betul seperti tidak langsung mengambil susu,telur,gula,daging dan lain-lain.

Umumnya memang terdapat kaitan yang tidak langsung di antara makanan/minuman dan kanser samada kaitan yang positif (meningkatkan risiko) ataupun negatif (mengurangkan risiko). Terdapat juga yang tidak ada kaitan langsung. Kaitan ini ditemui melalui kajian2 pemerhatian ("observational study"), "case control study" dan kajian cohort ( "cohort study") yang walaupun melibatkan sampel yang besar tetapi bukanlah kajian yang terbaik. Memang sangat sukar untuk menjalankan kajian berkualiti tinggi untuk melihat kaitan antara makanan dan kanser kerana terlalu besarnya variasi makanan manusia (kuantiti dan kualiti) dan terlalu banyak faktor2 sampingan lain yang mempengaruhi kaitan tersebut. Tidak hairanlah mengapa hasil dari kajian2 ini memberi keputusan yang bercanggah dan jarang konsisten. Jika ada kaitan sekalipun ianya bukan faktor penyebab utama yang bertindak secara langsung tetapi hubungan tidak langsung ataupun asosiasi sahaja ("association").

Akibat kesilapan merujuk sumber sesuatu maklumat maka akan terceduklah hasil2 kajian yang positif, manakala hasil kajian yang negatif diketepikan ataupun terlepas pandang. Penulis atau penceramah ini hanya nampak satu aspek sahaja tentang makanan atau minuman tersebut. Maka tersebarlah berita yang tidak benar sehingga orang ramai menganggap inilah penyebab penyakit kanser dan terus membuangnya dari menu makanan mereka. Sedangkan prinsip amalan kesihatan yang betul adalah amalan berdasarkan kepada pertimbangan manfaat:mudarat. Ini termasuklah menceduk bulat2 makanan atau minuman yang tersenarai dalam monograph karsinogen IARC tanpa memahami prinsip monograph tersebut dan kekuatan hubungan di antara bahan yang tersenarai dengan kanser. Monograph IARC tidak menilai pertimbangan baik buruk sesuatu bahan sebaliknya hanya memfokuskan ciri2 penyebab kanser bahan2 tersebut walaupun ciri tersebut sangat sedikit ataupun hanya dikesan ke atas haiwan.

Saya ingin mengambil contoh susu yang kebelakangan ini ditularkan sebagai penyebab penyakit kanser. Susu adalah salah satu produk tenusu. Memang terdapat kajian pemerhatian dan kohort yang besar mengkaji kaitan antara produk tenusu termasuk susu dengan penyakit kanser. Kualiti kajian ini bukan terbaik tetapi sederhana sahaja walaupun kajian2 ini dikumpulkan di dalam semakan sistematik dan metaanalisis. Jika anda hanya mengambil satu sahaja hasil kajian tentang susu, maka anda pasti akan menemui maklumat yang berat sebelah. 

Walaupun terdapat kaitan antara pengambilan susu dengan kanser prostat (1,2), namun bukan bermaksud susu itu penyebab kanser prostat sebaliknya ia bermaksud risiko menghidap kanser prostat lebih tinggi dalam kalangan lelaki yang mengambil susu melebihi kadar tertentu. Malahan kaitan yang ada itu pula sangat kecil (3). Disebaliknya pula ada kajian lain di Amerika yang menafikan kaitan susu dengan risiko menghidap kanser prostat (4). Bagaimana pula kaitan antara susu dan produk tenusu dengan kanser-kanser yang lain. Berikut adalah penemuan dari hasil kajian tersebut:

KANSER USUS BESAR: Kajian menunjukkan bahawa pengambilan susu dikaitkan dengan risiko menghidap kanser usus besar yang lebih rendah (5,6). 

KANSER PERUT: Kajian metanalisis terhadap kaitan pengambilan produk tenusu dengan kanser perut telah dilakukan dan mendapati amalan mengambil produk tenusu ini mengurangkan risiko kanser perut (7). Manakala kajian meta-analisis yang lain pula menunjukkan tidak ada kaitan antara pengambilan produk tenusu dengan kanser perut (8,9). 

KANSER PAYUDARA: Semakan metanalisis ke atas kajian2 prospektif kohort telah menunjukkan bahawa pengambilan produk tenusu mengurangkan risiko kanser payudara (10). 

Daripada hasil kajian yang dinyatakan di atas jelas menunjukkan bahawa produk tenusu termasuk air susu mempunyai kaitan yang berbeza-beza mengikut jenis kanser dan majoriti adalah bermanfaat. Satu perkara yang tidak dapat dinafikan adalah susu dan produk2 tenusu mempunyai kebaikan ke atas manusia yakni sebagai sumber nutrient, vitamin, mineral dan air yang baik. Di samping itu terdapat juga hasil kajian yang menunjukkan bahawa ia mengurangkan risiko menghidap beberapa jenis kanser iaitu kanser usus besar dan kanser payudara. Apa yang paling penting adalah mengambil produk-produk ini dalam kuantiti yang berpatutan di samping mengamalkan gaya hidup sihat yang lain, bukan terus meninggalkannya sehingga terpaksa mengikat perut dan kempunan. Keadaan yang sama juga terpakai ke atas lain-lain makanan dan minuman termasuk satay, gula, telur, daging dan lain-lain yang sering ditakut2kan. Setiap makanan dan minuman yang halal dan bersih itu ada manfaatnya jika diambil dalam kuantiti yang sederhana ataupun bersesuaian dengan kemampuan tubuh badan serta penyakit yang dihidapi mengikut nasihat doktor dan pakar pemakanan. Hanya alahan/alergik terhadap makanan sahaja yang memerlukan anda mengelak terus dari mengambil makanan tersebut. 

Semoga dengan penerangan ini dapat memberi pencerahan berkenaan isu hubungan antara makanan/minuman dan kanser khususnya terhadap pihak yang suka menyebarkan maklumat-maklumat salah yang menakutkan tentang makanan kepada orang awam khususnya pesakit-pesakit kanser. Kepada pesakit, rujuklah pakar yang merawat anda untuk maklumat yang lebih tepat.


Dato' Dr Rushdan Noor 

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

18hb Jan 2020



RUJUKAN


1. Qin LQ, Xu JY, Wang PY,et al. Milk consumption is a risk factor for prostate cancer: meta-analysis of case-control studies. Nutr Cancer, 2004;48(1):22-7

2. Aune D, Navarro Rosenblatt DA, Chan DS, et al. Dairy product, calcium, and prostate cancer risk: a systematic review and meta-analysis of cohort studies. Am J Clin Nutr, 2015;101(1):87-117

3. Gao X, LaValley MP, Tucker KL. Prospective studies of dairy product and calcium intakes and prostate cancer risk: A meta-analysis. J Natl Cancer Inst, 2005 Dec 7;97(23):1768-77

4. Preble I et al. Dairy Product Consumption and Prostate Cancer Risk in the United States. Nutrients. 2019 Jul; 11(7): 1615

5. Cho E, Smith-Warner SA, Spiegelman D, et al. Dairy foods, calcium and colorectal cancer: a pooled analysis of 10 cohort studies. J Natl Cancer Inst, 2004;96(22):1724

6. Aune D, Lau R, Chan DS, et al. Dairy products and colorectal cancer risk: a systematic review and metaanalysis of cohort studies

7. Guo Y, Shan Z, Ren H, Chen W. Dairy consumption and gastric cancer risk:  A meta-analysis of epidemiological studies. Nutr Cancer, 2015;67(4):555-68

8. Sun Y, Lin LJ, Sang LX, et al. Dairy product consumption and gastric cancer risk: A meta-analysis. World J Gastroenterol, 2014; 20(42):15879-98

9. 7. Tian SB, Yu JC, Kang WM. Association between dairy intake and gastric cancer: A meta-analysis of observational studies. PloS One July 9;9(7):e101728

10. Dong JY, Zhang L, He K, Qin LQ. Dairy consumption and risk of breast cancer: A meta-analysis of prospective cohort studies. Breast Cancer Res Treat, 2011 May;127(1):23-31

Wednesday 26 August 2020

MANJAKANI MEMULIHKAN ORGAN PERANAKAN DAN FARAJ : FAKTA ATAU AUTA


MANJAKANI

Pokok yang menghasilkan manjakani dikenali dengan nama saintifiknya sebagai Quercus infectoria. Pokok ini mempunyai ketinggian lebih kurang 2 meter dan ditemui terutamanya di Asia, Greece dan Iran. Manjakani bukan buah yang keluar daripada pokok Quercus infectoria ini sebaliknya adalah bahan asing yang terbentuk apabila dahan pokok ini disengat oleh penyengat ataupun “wasps” yang menyuntik larva nya. Tindakbalas kimia oleh dahan pokok (ranting muda) ini menyebabkan berlaku seperti ketumbuhan berbentuk bulat yang keras, ketumbuhan inilah yang dikenali sebagai manjakani. Manjakani berbentuk bulat dengan garispusat di antara 0.8 hingga 2.5 cm, bewarna kuning kehijauan, sedikit berbau dan sedikit pedas. Kajian ke atas manjakani ini menunjukkan ia mengandungi tinggi asid Gallic dan asid Tannic. Kedua-dua asid ini selamat dimakan tetapi pada kuantiti yang kecil, ia boleh memudaratkan jika diambil pada kuantiti yang tinggi. Ia juga mengandungi asid ellagic.

KEGUNAAN MANJAKANI

Terdapat banyak dakwaan orang ramai terutama kaum tua mengenai khasiat manjakani. Mengikut buku Indian Medicinal Plants yang diterbitkan pada tahun 1995, manjakani digunakan sebagai ubat sakit gigi dan keradangan gusi. Ada juga yang menggunakannya untuk menghasilkan dakwat dan penghasilan pewarna hitam. Orang tua melayu pula percaya manjakani berkhasiat untuk memulihkan organ peranakan wanita terutama selepas bersalin. Dakwaan ini tidak pernah dibuktikan sebaliknya hanya kepercayaan turun menurun.

Ahli sains ada membuat kajian dengan mengekstrak sebatian kimia daripada manjakani dengan kaedah tindakbalas kimia di dalam makmal. Mereka Berjaya mengekstrak keluar sebatian kimia yang terdiri daripada tannin dan phenol. Ekstrak manjakani ini kemudian dihasilkan di dalam kepekatan yang berbeza dan diuji ke atas kulat yang dinamakan Candida. Ahli sains mendapati ektraks ini mempunyai ciri-ciri antifungus. Terdapat juga kajian yang menunjukkan ekstrak manjakani mempunyai kesan antibakteria tetapi kajian ini dilakukan ke atas telur ayam yang dijangkiti oleh bakteria. Banyak lagi kajian makmal yang mendapati ekstrak manjakani juga mempunyai ciri-ciri antikeradangan, antiviral, antioksidan dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kajian-kajian tersebut adalah dilakukan ke atas ekstrak manjakani yang dilakukan oleh ahli sains di dalam makmal dan bukan ke atas manjakani yang dijual di pasaran.

Pada hari ini manjakani disediakan sendiri ataupun dibeli daripada kedai. Ada juga yang dijual melalui internet. Tidak kurang yang menyediakan sendiri produk manjakani dengan merebusnya dan meminum air rebusan. Air rebusan ini juga digunakan untuk mencuci faraj. Mungkin ada yang memakannya mentah dengan nasi dan sebagainya. Ada juga yang menghancurkannya dan membentuknya seperti krim untuk disapukan pada bahagian yang dikehendaki. Kaedah penyediaan sendiri ini bukan sahaja tidak mematuhi kaedah yang betul seperti mana yang dilakukan oleh ahli sains, tetapi dengan cara ini kita tidak mengetahui kuantiti sebatian kimia yang terkandung di dalam nya. Di samping itu penyediaan yang tidak bersih boleh menyebabkan punca jangkitan dan keracunan. Manjakani yang dimakan mungkin boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan badan dan kita tidak tahu apakah kesan sampingan jangkapanjang ke atas organ badan manusia.


KESAN MANJAKANI KE ATAS ORGAN WANITA

Kepercayaan bahawa manjakani dapat memulihkan organ peranakan wanita sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh. Ianya dipercayai datang daripada tanggapan orang tua dan amalan turun menurun. Tidak ada kajian saintifik yang kukuh membuktikan bahawa pengambilan manjakani memulihkan Rahim, ovari dan faraj kaum wanita lebih-lebih lagi jika ianya digunakan dalam bentuk yang disediakan oleh orang biasa yang tidak mempunyai kepakaran teknologi makmal. Walaupun terdapat kajian yang dilakukan ke atas wanita-wanita yang mengalami prolapse ataupun rahim/faraj turun, bilangan sampel yang digunakan adalah terhad. Ekstrak manjakani dengan kepekatan berbeza yang digunakan itu dicampurkan dengan gel dan dibandingkan dengan gel yang tidak mengandungi ekstrak manjakani. Kajian ini menunjukkan ada kesan positif ke atas hubungan seks dan pengecutan faraj, walau bagaimana pun kesan yang dikaji adalah untuk jangkamasa pendek dan dilakukan ke atas wanita yang sudah menghadapi masalah. Disebabkan oleh jumlah sampel yang sedikit dan gel digunakan di dalam kajian tersebut, kesan manfaat yang diperolehi itu tidak dapat dipastikan samada daripada gel yang digunakan ataupun daripada ekstrak itu sendiri.  

Manjakani dianggap sebagai agen pengecut (“astringent agent”). Apa yang agen ini lakukan adalah mengecutkan lapisan sel untuk sementara. Ia tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas bahagian bawah kulit termasuk otot-otot pelvik. Ianya seperti kesan bibir apabila memakan buah yang tidak masak, dimana lapisan kulit bibir menjadi berkedut. Tindakabalas yang sama dilakukan oleh krim dan gel. Apabila disapukan pada bahagian faraj, kesan pengecutan lapisan sel faraj dan pengeringan ini akan membuat seolah-olah faraj menjadi ketat, sedangkan kesan ini adalah kesan sementara. Selepas beberapa ketika kesan ini akan hilang dan lapisan kulit faraj kembali seperti sediakala. Kesan lanjutan akibat daripada pengeringan faraj adalah lapisan kulit faraj menjadi bertambah nipis dan mudah terhakis dan mendedahkan lapisan bawah dinding faraj kepada jangkitan. Di dalam faraj terdapat bakteria normal yang memelihara faraj daripada jangkitan bakteria yang ganas, kesan antibakteria yang berlebihan di dalam manjakani boleh mengganggu proses penjagaan faraj secara semulajadi. Di samping itu kita juga bimbang produk manjakani ini dicampurkan dengan ubat-ubat ataupun sebatian-sebatian kimia lain yang boleh memberi kesan yang lebih serius untuk jangkamasa panjang. Pengguna boleh mengalami alahan, kegatalan dan jangkitan bakteria ataupun organisma yang lebih merbahaya seperti gonorea dan lain-lain. Produk-produk penjagaan faraj ini seringkali dicampurkan dengan pewangi. Memasukkan bahan ataupun krim ke dalam faraj untuk tujuan menghilangkan bau boleh memberi kesan negatif kerana bau adalah petunjuk kepada wujudnya masalah kesihatan di dalam faraj. Apabila petunjuk ini dihalang, maka jangkitan akan berlaku tanpa disedari oleh wanita tersebut. Jangkitan faraj boleh merebak ke rahim, tiub fallopian, ovari dan pelvis. Jangkitan pelvis boleh menyebabkan masalah kesuburan, gangguan hormon dan pembentukan nanah yang memerlukan rawatan pembedahan.

Kaedah yang berkesan mengetatkan faraj adalah dengan meningkatkan tona otot pelvik melalui senaman Kegal yang tetap dilakukan 3 kali sehari. Belajar melakukan senaman ini daripada pengamal perubatan ataupun anda boleh mencari di dalam internet. Ia mudah dilakukan. Di samping itu, pelihara kebersihan faraj, jauhi daripada memasukkan bahan-bahan ataupun ubatan ke dalam faraj tanpa nasihat doktor, mengambil makanan yang seimbang, melakukan senaman badan secara tetap dan mengambil hormon gantian oleh wanita-wanita yang sudah putus haid (setelah menjalani pemeriksaan dan nasihat daripada doktor sakitpuan).

KESIMPULAN

Manjakani adalah sejenis ubat herba yang digunakan sejak turun menurun bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain. Seperti juga produk-produk herba yang lain, manjakani yang diamalkan oleh orang awam tidak menjalani proses makmal untuk mengeluarkan ekstraknya sebaliknya disediakan oleh individu ataupun pengilang yang tidak mempunyai kepakaran di dalam teknologi makmal. Walaupun terdapat kajian yang menunjukkan ekstrak manjakani mempunyai ciri-ciri antikeradangan, antibakteria, antifungus, antioksidan dan lain-lain, hampir semua kajian ini adalah kajian makmal oleh ahli sains. Jika pun ada kajian klinikal, ianya adalah kajian yang kecil. Tidak ada bukti kukuh yang menunjukkan manjakani boleh mengembalikan kesihatan organ peranakan wanita untuk jangkamasa panjang. Kesan mengetatkan faraj yang dilakukan oleh manjakani adalah kesan sementara dan tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas otot pelvis. Kesan ini mempunyai serampang dua mata kerana ia boleh menyebabkan kekeringan faraj, jangkitan dan gangguan kepada perlindungan semulajadi di dalam faraj untuk jangkamasa panjang. Sila dapatkan nasihat doktor sakitpuan apabila anda ingin mendapatkan rawatan yang berkaitan dengan organ peranakan termasuk jika mengalami masalah yang berkaitan dengan faraj.

Dato'Dr. Mohd Rushdan Md Noor
21hb Jun 2018

RUJUKAN

1.   Tayel AA, El Sedfy MA, Ibrahim A, Moussa SH. Application of Quercus infectoria extract as a natural antimicrobial agent for chicken egg decontamination. Revista Argentina de Microbiologia, 2018,doi.org/10.1016/j.ram.2017.12.003

2.   Baharuddin NS, Abdullah H, Abdul Wahab WNA. Anti-Candida activity of Quercus infectoria gall extracts against Candida species. J Pharm Bioallied Sci, 2015;7(10): 15-20

3.   Lorzadeh N, Sepavand F, Soleimaninezhad M, Kazemirad N. The effect of extract of Oak Gall for vaginal tightening and rejuvenation in women with vaginal relaxation. Open Journal of Obstetrics and Gynecology, 2016;6:879-887.

4.   https://en.wikipedia.org/wiki/Quercus_infectoria
5.   https://www.curejoy.com/content/side-effects-of-vaginal-tightening-creams/


Monday 24 August 2020

ARABIC GUM : MANFAAT DAN MUDARAT



 
Arabic gum juga dikenali sebagai Acacia gum kerana ianya diperolehi daripada batang dan ranting pokok Acacia. Terdapat beberapa spesis pokok Acacia, yang paling utama adalah pokok Acacia Senegal. Pokok ini ditemui dengan banyaknya di negara Sudan, merupakan pokok berduri dengan ketinggian lebih kurang 15 kaki. Terdapat banyak lagi nama lain yang digunakan selain daripada Arabic gum dan Acacia gum contohnya Acacia Arabica, Acacia Senegal, Acacia verek dan lain-lain lagi.

Arabic Gum ataupun cecair daripada pokok Acacia ini keluar daripada pokok apabila kulit pokoknya merekah semasa musim kemarau. Ia mengering dan membeku tetapi sangat larut di dalam air. Untuk tujuan komersial, cecair pokok acacia yang dikenali sebagai Arabic gum ini diperolehi dengan cara menoreh kulitnya. Arabic gum tidak mempunyai bau dan rasa, ia mengandungi gula yang neutral, asid, kalsium dan lain-lain mineral. Komponen dan ciri-ciri sebenar Arabic gum adalah kompleks dan sebab itulah kita akan mendapati terdapat banyak tulisan yang berbeza mengenai kandungan Arabic gum. Komponen yang paling utama di dalam Arabic gum adalah arabin, iaitu asid arabic polysaccharide, sejenis karbohidrat yang kompleks bercampur dengan garam kalsium, magnesium dan potasium. Ia adalah sedikit berasid ataupun neutral. Gum ini dibina daripada tulang belakang unit D-Galactopyranosyl dengan rantai sisi asid D-glucuronopyranosyl dan dihujungnya oleh unit L-rhamnopyranosyl ataupun L-arabinose. Pendek kata gum ini adalah terdiri daripada karbohidat yang kompleks bercampur dengan garam kalsium, magnesium dan potassium. Berat molekulnya dianggarkan di antara 200,000 hingga 600,000 dalton. Arabic gum sangat larut di dalam air tetapi tidak larut di dalam alkohol. Ia juga mengandungi protin. Terdapat banyak lagi ciri-ciri Arabic gum yang belum diketahui termasuk susunan asid amino yang terdapat di dalamnya. Ada yang melapurkan Arabic gum mengandungi 39-42% galaktosa, 24-27% arabinose, 12-16% rhamnose, 15-16% asid glukononik, 1.5-2.6% protin, 0.22-0.39% nitrogen dan 12.5-16.0% pelembap. Komposisi bahan kimia di dalam Arabic gum berbeza-beza mengikut punca, usia pokok, cuaca dan juga keadaan tanah tempat pokok Acacia itu tumbuh.

Arabic gum selamat dimakan tetapi tidak dihadamkan dan tidak boleh masuk ke dalam aliran darah. Arabic gum menjalani fermentasi oleh bakteria di dalam usus besar menghasilkan beberapa rantai pendek asid lemak, terutamanya asid propionik. Kedua-dua bentuk Arabic gum yang asal dan juga produk hasil daripada fermentasi bakteria mungkin bertanggungjawab memberi kesan positif ke atas kesihatan badan. Ianya dianggap sejenis serat dan semenjak tahun 1970 an lagi, FDA melabel Arabic gum ini sebagai sejenis serat yang selamat dimakan.

Terdapat banyak kegunaan Arabic gum di dalam pelbagai industri termasuk digunakan di dalam bidang Perubatan. Sekurang-kurangnya terdapat 3 gred Arabic gum yang terdapat di pasaran dan kualitinya ditentukan oleh warna, cuaca, tanah dan ciri-ciri cecair yang dikumpulkan. Arabic gum yang paling berkualiti adalah jika ianya diperolehi semasa musim kemarau apabila kulit pokok acacia merekah dan mengeluarkan cecair pokok.



KEGUNAAN PERUBATAN

Arabic gum telah lama digunakan di dalam pelbagai kegunaan harian dan juga salah satu amalan perubatan tradisional. Ada yang menggunakannya sebagai gam, bahan pemekat, pengemulsi (“imulsifier”), asas untuk membuat bahan pemegang ubat sapu, bahan perisa tambahan dalam makanan (“food addictive”), penstabil warna dalam cat, agen membuat filem mask muka dan lain-lain.

Salah satu manfaat Arabic gum adalah ciri-ciri prebiotik. Prebiotik adalah makanan kepada bacteria-bakteria yang baik di dalam usus manusia. Bakteria-bakteria yang baik ini dikenali sebagai Probiotik, jadi Prebiotik adalah makanan kepada probiotik. Kajian kecil yang dijalankan menunjukkan  bahawa pengambilan Arabik gum sebanyak 10 gram sehari selama 4 minggu meningkatkan kandungan probiotik seperti Bifidobacteria, Lactobacteria dan Bacteroides. (1)

Kajian keatas haiwan dan sebilangan kecil manusia juga menunjukkan potensi Arabic gum untuk mengurangkan kolesterol, antikanser dan kesan antioksidan. (2,3)

Beberapa kajian kecil menunjukkan pengambilan Arabic gum sebanyak 30 gram sehari menurunkan kolesterol, LDL dan VLDL. Tidak ada kesan ke atas kolesterol jenis HDL dan trigliserida. Mekasnisma bagaimana Arabic gum menurunkan kandungan kolesterol tidak diketahui dengan jelas, berkemungkinan melalui ikatannya dengan asid bile dan mengurangkan penyerapan semula di usus kecil dan ini menyebabkan lebih banyak asid bile dikeluarkan melalui najis. Akibatnya lebih banyak kolesterol digunakan untuk menghasilkan asid bile. Terdapat beberapa lagi mekanisma yang dipercayai bertanggungjawab mengurangkan tahap kolesterol.

Kajian kecil juga menunjukkan bahawa Arabic gum mengurangkan gejala kegagalan buah pinggang ke atas manusia walaupun kajian lanjut perlu dijalankan untuk mengesahkan dakwaan ini (4,5,6). Pengurangan gejala penyakit buat pinggang bukanlah bermaksud buah pinggang yang gagal telah dapat dipulihkan tetapi kesan tidak langsung mengurangkan kandungan urea dan kreatinin di dalam darah melalui tindakan Arabic gum di dalam usus. Kajian ini juga telah dilakukan ke atas sebilangan pesakit dan memandangkan ia bukan kajian yang besar dan randomized control trial, dakwaan manfaat terhadap penyakit buah pinggang ini tidak dapat disahkan.(7)

Terdapat juga kajian ke atas haiwan yang menunjukkan bahawa Arabic gum melindungi buah pinggang ke atas pesakit kanser yang dirawat dengan cisplatin dan gemcitabine, mengurangkan kesan toksik jantung pesakit yang mengambil doxorubicin dan melindungi hati ke atas pesakit yang mengambil paracetamol. (8,9) Walau bagaimanapun ke semua kajian ini adalah kajian ke atas haiwan dan kajian semula oleh penyelidik lain tidak menunjukkan kesan yang sama.(10)

Kajian epidemiologi juga menunjukkan manfaat mengambil makanan berserat termasuk Arabic gum ke atas metabolisma lemak.  Makanan berserat mempercepatkan rasa kenyang, mengubah indek glisemik makanan lain yang mempunyai indek glisemik yang tinggi, melambatkan proses pengosongan perut, kawalan hormon di dalam usus dan ini dipercayai boleh membantu mengurangkan berat badan.(11,12,13)

Kajian randomized placebo controlled trial telah dijalankan ke atas 120 orang wanita yang sihat oleh sekumpulan penyelidik untuk melihat manfaat pengambilan Arabic gum ke atas berat badan dan peratusan lemak badan. Kumpulan kajian mengambil Arabic Gum sebanyak 30 gram sehari selama 6 minggu. Pengambilan Arabic gum didapati menurunkan BMI dan juga peratusan lemak badan ke atas wanita-wanita sihat. Walau bagaimanapun penurunan berat badan yang berlaku hanyalah 1.24%. Kajian ini dianggap masih kecil dan  penyelidik mencadangkan supaya kajian yang lebih besar dijalankan. (14)

Kesan Arabic gum ke atas gula darah belum dapat disahkan kerana kajian yang dijalankan adalah ke atas haiwan dan haiwan tersebut pula tidak menghidap diabetes. Kajian awal yang tidak dapat disahkan ada mengaitkan amalan mengunyah bola-bola getah Arabic gum dengan pengurangan plug pada gusi dan gigi.

Dos Arabic gum yang perlu diambil bergantung kepada beberapa faktor seperti usia, kesihatan dan lain-lain. Pada ketika ini belum terdapat cukup kajian saintifik yang dapat memberi maklumat mengenai apakah dos Arabic gum yang sesuai. Dengan sebab ini, pengamal Arabic gum perlu mendapatkan nasihat daripada Pakar Farmasi ataupun doktor jika ingin mengambil Arabic gum dalam jangkamasa panjang.

KESAN SAMPINGAN ARABIC GUM

Umumnya Arabic gum adalah selamat diambil, kesan sampingan jarang berlaku. FDA mengkategorikan Arabic gum sebagai “generally recognized as safe”. Terdapat lapuran kesan alahan ataupun hipersensitiviti ke atas Arabic gum di mana pengguna mengalami gatal kulit dan serangan asma. Jika diambil dengan banyak ia boleh menyebabkan loya, muntah, kembong perut, cirit, najis lembek dan penghasilan gas yang banyak di dalam usus (kembung perut). Disebabkan tidak ada data keselamatan Arabic gum diambil wanita hamil, bayi dan kanak-kanak, ketiga-tiga golongan ini tidak digalakkan mengambil Arabic gum. Kesan pengambilan Arabic gum oleh ibu yang menyusu juga tidak digalakkan di atas sebab yang sama. Terdapat bukti bahawa boleh berlaku interaksi Arabic gum dengan penyerapan ubat antibiotik Amoxicillin. Arabic gum boleh mencegah penyerapan ubat Amoxicillin dan mengurangkan kesan ubat antibiotik ini ke atas pesakit. Untuk mencegah kesan ini, disyorkan mengambil Arabic gum sekurang-kurangnya 4 jam sebelum Amoxicillin.

KESIMPULAN

Arabic gum ataupun Acacia gum adalah cecair yang diperolehi daripada batang dan ranting pokok Acacia Senegal yang banyak terdapat di Negara Afrika terutamanya di Sudan. Arabic gum adalah polysakarida yang mempunyai kandungan serat yang tinggi. Kesan manfaat daripada pengambilan Arabic gum ini adalah daripada ciri-ciri tinggi serat, mineral dan kandungan antioksidan. Arabic gum digunakan untuk pelbagai kegunaan sebagai bahan tambahan di dalam makanan, gula-gula getah, penambat ubat dan lain-lain. Di dalam bidang perubatan, banyak kajian dijalankan tetapi kajian tersebut adalah kecil dan banyak daripadanya adalah kajian ke atas haiwan. Kesan sebenar ke atas kesihatan belum dapat disahkan walaupun terdapat petunjuk yang ia mungkin boleh bertindak sebagai prebiotik, mengurangkan kolesterol, menurunkan berat badan dan menurunkan peratusan lemak badan. Semua potensi manfaat ini masih memerlukan kajian yang lebih besar untuk disahkan. Kesan manfaat ke atas buah pinggang, jantung dan hati hanya ditemui melalui kajian ke atas haiwan dan belum disahkan ke atas manusi. Setakat ini tidak ada bukti kukuh ia boleh merawat diabetes dan mencegah kanser. Arabic gum diakui selamat diambil oleh manusia dan ia tidak dihadamkan oleh usus tetapi menjalani proses fermentasi oleh bakteria di dalam usus besar. Walau bagaimanapun keselamatan ini hanya terjamin jika ianya tidak diambil berlebihan. Apa yang menjadi persoalan besar adalah apakah dos yang sesuai diambil samada untuk tujuan kesihatan ataupun untuk mencegah dos berlebihan. Kajian lanjut yang lebih besar perlu dijalankan untuk melihat kesan sebenar Arabic gum terhadap kesihatan manusia.

RUJUKAN

1.   Calame W, Weseler AR, Viebke C, Flynn C, Siemensma AD. Gum Arabic establishes prebiotic functionality in healthy human volunteers in a dose-dependent manner. Br J Nutr. 2008;100(6):1269–1275. doi: 10.1017/S0007114508981447
2.   Sharma RD. Hypocholesterolemic effect of gum acacia in men. Nutr Res. 1985;5(12):1321–1326. doi: 10.1016/S0271-5317(85)80042-7
3.   Nasir O, Wang K, Föller M. et al. Downregulation of angiogenin transcript levels and inhibition of colonic carcinoma by Gum Arabic (Acacia senegal) Nutr Cancer. 2010;62(6):802–810. doi: 10.1080/01635581003605920
4.   Ali BH, Al-Salam S, Al-Husseni I. et al. Effects of Gum Arabic in rats with adenine-induced chronic renal failure. Exp Biol Med (Maywood) 2010;235(3):373–382.,
5.   Ali BH, Ziada A, Blunden G. Biological effects of Gum Arabic: a review of some recent research. Food Chem Toxicol. 2009;47(1):1–8,
6.   Glover DA, Ushida K, Phillips AO, Riley SG. Acacia(sen) SUPERGUM™ (Gum Arabic): an evaluation of potential health benefits in human subjects. Food Hydrocolloids. 2009;23(8):2410–2415
7.   Ali, A.A., Ali, K.E., Fadlalla, A., Khalid, K.E., 2008. The effects of G.A. oral treatment on the metabolic profile of chronic renal failure patients under regular haemodialysis in Central Sudan. Nat. Prod. Res. 22, 12–21
8.   Al-Majed, A.A., Mostafa, A.M., Al-Rikabi, A.C., Al-Shabanah, O.A., 2002. Protective effects of oral arabic gum administration on gentamicin-induced nephrotoxicity in rats. Pharmacol. Res. 46, 445–451
9.   Abd-Allah, A.R., Al-Majed, A.A., Mostafa, A.M., Al-Shabanah, O.A., Din, A.G., Nagi,M.N., 2002. Protective effect of arabic gum against cardiotoxicity induced by doxorubicin in mice: a possible mechanism of protection. J. Biochem. Mol.Toxicol. 16, 254–259
10.        Al-Majed, A.A., Abd-Allah, A.R., Al-Rikabi, A.C., Al-Shabanah, O.A., Mostafa, A.M., 2003. Effect of oral administration of Arabic gum on cisplatin-induced nephrotoxicity in rats. J. Biochem. Mol. Toxicol. 17, 146–153)
11.        Ali BH, Ziada A, Blunden G. Biological effects of Gum Arabic: a review of some recent research. Food Chem Toxicol. 2009;47(1):1–8,
12.        Glover DA, Ushida K, Phillips AO, Riley SG. Acacia(sen) SUPERGUM™ (Gum Arabic): an evaluation of potential health benefits in human subjects. Food Hydrocolloids. 2009;23(8):2410–2415
13.        Slavin J. Why whole grains are protective: biological mechanisms. Proc Nutr Soc. 2003;62(1):129–134
14.        Babiker R, Merghani TH, Elmusharaf K, et al. Effects of gum Arabic ingestion on body mass index and body fat percentage in healthy adult females: two-arm randomized, placebo controlled, double-blind trial. Nutr. J , 2012;11:111).
15.        Ali BH, Ziada A, Blunden. Review: Biological effects of gum arabic: A review of some recent research. Food and Chemical Toxicology, 2009; 47:1-8.

Sunday 23 August 2020

GERAKAN ANTI-VAKSIN : LANGKAH KE BELAKANG DUNIA PERUBATAN


ANTI-VAKSIN ADALAH REGRESI PERUBATAN MODEN Bagi pengamal perubatan moden dan ahli-ahli sains/saintis yang mengkaji tentang penyakit, secara konsensus tanpa keraguan, vaksin adalah salah satu penemuan saintifik ("scientific discovery") yang terbesar kurun ini. WHO juga telah menegaskan bahawa vaksin adalah intervensi kesihatan awam kedua paling utama selepas air yang bersih di dalam memperbaiki mutu kesihatan manusia di seluruh dunia. BMJ mengiktiraf vaksin sebagai salah satu penemuan perubatan paling maju dalam masa 160 tahun, di mana beratus juta nyawa telah diselamatkan semenjak ianya ditemui. Sekarang ini media sosial Medical Mythbusters Malaysia sedang giat mendidik masyarakat tentang vaksin, ciri2 antivaksin dan bahaya ideologi anti-vaksin. Bersungguh2 golongan antivaksin datang menyerang posting tersebut. Jika orang awam tidak faham atau enggan menerima vaksin bukan luar biasa. Tetapi jika pengamal perubatan, atau jika ada yang mengaku saintis sekali pun menjadi penggerak ideologi antivaksin, memang menghairankan dan tentulah tidak beretika. Saintis dan Antivaksin (atau lebih luas Antiperubatan moden) adalah dua perkataan yang tidak serasi dan boleh dikatakan "oxymoron", macam perkataan TEH AIS PANAS. Kalau sebut ais, ia tentulah tidak panas. Jadi saintis yang antivaksin adalah gabungan perkataan yang janggal dan bertentangan. Ianya sama seperti gabungan "orang cerdik yang jahil", "orang benar yang sesat". Maaf, jika saya katakan seorang antivaksin tidak layak untuk digelar doktor perubatan ataupun saintis. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan antivaksin adalah golongan yang anti-perubatan moden yang ada kaitan dengan fahaman naturopati, pengamal kelahiran alami / lotus, pro teori konspirasi dan pendokong pseudosains. Mereka ini adik beradik sepupu sepapat. Bukan berniat menghina tetapi supaya masyarakat mengenali mereka dan menjauhkan diri.Jadi seorang anti-vaksin tidak layak menggelar diri mereka doktor perubatan apatah lagi saintis. Doktor perubatan yang menyebarkan ideologi anti-vaksin wajar diambil tindakan oleh MMC kerana ia jelas bertentangan dengan dasar badan ini dalam memberi lesen untuk amalan perubatan kepada doktor2 perubatan di Malaysia.
Saya dapati pengamal2 perubatan dan individu2 yang menyebar ideologi antivaksin ini terus bebas secara terbuka melaksanakan dakyah mereka dengan bangga tanpa batasan. Ada di antara mereka bukan sahaja antivaksin dari segi mentaliti, tetapi juga sengaja memburuk2 vaksin dan perubatan moden dengan cara "cherry picking" maklumat2 yang berat sebelah untuk menghasut masyarakat menolak vaksin. Ini jelas bertentangan dengan dasar KKM dan saranan Mufti. Kita berharap pihak yang bertanggungjawab akan melihat masalah ini dengan serius dan menguatkuasakan apa sahaja akta atau peruntukan undang2 yang sesuai bagi mengekang gerakan antivaksin dan antiperubatan moden. Mungkin boleh disediakan talian atau email khas yang boleh digunakan untuk melapurkan individu2 yang menyebarkan ideologi yang terpesong ini. Kemudian disusuli dengan tindakan yang tegas. Akhirnya, walaupun mengambil vaksin tidak diwajibkan, tindakan tegas keatas golongan antivaksin ini akan dapat memudahkan usaha mendidik masyarakat dan mengurangkan salah faham tentang vaksin. Dato' Dr.Rushdan Noor 22hb Ogos 2020 https://www.who.int/bulletin/volumes/86/2/07-040089/en/ https://pulse.seattlechildrens.org/vaccines-save-lives/ https://www.livescience.com/next-decade-biggest-scientific-advances.html https://www.smithsonianmag.com/science-nature/top-ten-scientific-discoveries-decade-180973873/ https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6122668/giat https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2069-30 https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3129-bayan-linnas-siri-ke-166-kewajiban-mengambil-vaksin-mengikut-jadual-imunisasi-kebangsaan-daripada-perspektif-islam


Thursday 20 August 2020

BUMI VERSUS MARIKH : BOLEHKAH MARIKH MENAMPUNG KEHIDUPAN MANUSIA


Masa yang diperlukan untuk sampai ke planet Marikh dengan roket adalah selama 7 bulan. NASA baru sahaja melancarkan roket dari bumi membawa kenderaan robotik bernama Preserverence Rover untuk menerokai dan mengambil sampel dari planet Marikh. Sebelum ini, mereka menghantar Curiosity Rover yang sudah berada di sana selama lebih 7 bulan. Kalau kita menonton video rakaman planet marikh di bawah (diambil oleh Curiosity Rover), seolah-olah manusia boleh hidup di sana kerana terdapat kawasan di bumi yang kelihatan seperti itu. Apakah akan terjadi kepada manusia apabila mereka mendarat di planet Marikh dan keluar daripada kapal angkasa tanpa memakai pakaian angkasa lepas. Kita lihat dahulu perbezaan antara Bumi dan Marikh.



  Video permukaan Marikh

1. SAIZ: Bumi dua kali ganda lebih besar dari Marikh


2. GRAVITI: Marikh mempunyai graviti yang lebih rendah (38%) daripada graviti Bumi. Jika berat badan anda 100 kg di bumi, berat badan anda adalah 38kg di Marikh.


3. ORBIT : 1 tahun di bumi 365 hari, 1 tahun di Marikh 687 hari bumi (earth days)


4. KETUMPATAN (DENSITY): Ketumpatan Marikh hanya 70% daripada ketumpatan Bumi. Sebanyak 6 planet Marikh boleh mengisi isipadu 1 Bumi.


5. STRUKTUR PERMUKAAN :
a. BUMI: 70% permukaan bumi diliputi oleh air.
b. MARIKH: Permukaan Marikh adalah kering, berhabuk dan diliputi oleh kekotoran yang kaya dengan ferous oxide (karat) menyebabkan ianya kelihatan kemerahan.


6. ATMOSFERA:
a. BUMI: Bumi mempunyai atmosfera yang lebih padat berbanding dengan Marikh. Atmosfera bumi mengandungi 78% nitrogen, 21% oksigen dan sedikit wap air, karbon dioksida dan molekul gas.
b. MARIKH: Marikh pula mengandungi 96% karbon dioksida, gas Argon 1.93% dan nitrogen 1.89% dengan sedikit oksigen dan wap air.


7. SUHU:
a. BUMI: Purata suhu di permukaan bumi adalah 14 degree selsius (julat 70.7 darjah selsius hingga -129 darjah selsius). Bumi mempunya atmosfera yang lebih padat kaya dengan oksigen dan wap air, umumnya lebih panas dan lebih sesuai untuk hidup
b. MARIKH: Disebabkan oleh atmosfera yang jauh lebih nipis dan jarah yang lebih jauh daripada matahari, purata suhu permukaan Marikh adalah -46 darjah selsius (julat -143 darjah selsius hingga 35 darjah selsius). Marikh sangat sejuk, tapi boleh menjadi panas pada masa dan tempat tertentu, ia sangat kering dan berdebu.


8. BIDANG MAGNETIK (MAGNETIC FIELD):
a. Bumi mempunyai bidang magnetik yang unik dihasilkan oleh pergerakan struktur di pusat bumi. Bidang magnetik ini penting untuk melindungi kehidupan di bumi kerana ia dapat menghalang kemasukan radiasi yang merbahaya termasuk sinar UV yang berlebihan.
b. Marikh pula mempunyai bidang magnetik yang lemah jadi radiasi lebih mudah sampai ke planet ini.


Kesimpulannya, Marikh adalah planet yang tidak sesuai untuk manusia kerana ianya kering, berdebu, udaranya beracun, tinggi kandungan radiasi dan sangat sejuk. Jika manusia tidak memakai sebarang pakaian angkasalepas, mereka boleh hidup hanya 1-5 minit sahaja (purata 80 saat). Untuk hidup di planet Marikh, manusia memang tidak mampu tanpa peralatan sokongan kecuali mereka menjalani evolusi menjadi makhluk lain yang berbeza.






Dato' Dr Rushdan Noor
21hb Ogos 2020


Rujukan : https://mars.nasa.gov/all-about-mars/facts/

Monday 17 August 2020

MEMBUAT DUIT DENGAN PRODUK KELAS MEMBIMBING ("COACHING")

Isu yang kontroversial dan sedang panas sekarang ini. Menjadi coach ataupun pembimbing kepada orang lain untuk berjaya di dalam sesuatu perkara adalah satu bentuk kerjaya yang menarik tetapi tidak terlepas dari exploitasi. Ada yang memanggilnya produk "air liur" tapi saya kurang setuju kerana bukan semudah itu. Di antara contoh coaching tersebut adalah teknik untuk menjadi kaya, berjaya dalam perniagaan, sihat tubuh badan, bahagia/senang hati,  berjaya dalam peperiksaan, temuduga dan lain-lain. 

Tidak salah untuk menceburi bidang coaching sebagai sumber pendapatan dengan syarat tidak menganiaya pelanggan dengan caj yang melampau, bukan satu bentuk scam ataupun membimbing orang lain melakukan sesuatu yang tidak betul/palsu (contoh: merawat penyakit kanser hanya dengan makanaan, tanpa ubat, suntikan dan pembedahan). Di samping itu adalah lebih berkesan jika coach tersebut adalah seseorang yang terbukti berjaya dalam perkara yang dibimbing. Pepatah melayu kata "Jangan seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul".

Seorang yang gagal berniaga mee tidak sesuai menjadi coach bagaimana untuk berjaya berniaga mee kecuali kalau dia berjaya selepas gagal. Seorang yang gagal dalam peperiksaan SPM  tidak sesuai menjadi coach bagaimana nak cemerlang dalam peperiksaan SPM. Seorang yang gemuk tidak sesuai jadi coach yang mengajar orang bagaimana nak kuruskan badan dan seterusnya. Ini common sense.

Apa2 pun semuanya kembali kepada orang ramai ataupun pelanggan. Berhati2 memilih coach anda , kaji latar belakang mereka dan kredibiliti mereka, jika tidak anda akan kehilangan wang dengan sia2. Masyarakat kita bukan sahaja berhabisan wang untuk produk2 kesihatan yang tidak bermanfaat tetapi juga berhabisan hanya untuk mendengar bagaimana menjadi kaya. Mereka bersemangat, menyanyi, menari dan melompat meniru couch mereka, tetapi apabila pulang ke rumah, mereka adalah diri mereka sendiri.

Seorang Pakar Psikologi perniagaan, sukan dan keibubapaan yang juga Pensyarah di University of San Francisco, Dr.Jim Taylor berpendapat bahawa ucapan, tulisan, program motivasi dan coaching hanya memberi kesan jangka pendek. Program ini dianggap hanya seperti jam locing pengejut tidur dan apabila kita bangun, apa yang akan dilakukan seterusnya adalah datangnya daripada kehendak dan kesungguhan dalam diri masing2. Kita perlu mempunyai perancangan dan arah tuju yang betul. Untuk berubah, kita memerlukan kekuatan dalaman dan keinginan yang kuat. Beliau  berkata "if you want real inspiration, the kind that will consume every pore of your body, sustain itself not only through the next morning, but many mornings to come, and drives you to achieve your goals, look deep inside and see if you can find it in you".

Saya harap tulisan ini tidak mematahkan semangat coach2 yang ikhlas dan jujur mendidik orang lain untuk berjaya kerana ada yang berjaya melalui program coaching yang berkesan. 


Dato' Dr Rushdan Noor

18hb Ogos 2020


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10209929193894312&id=1468333443

ADAKAH PROGRAM DAN UCAPAN MOTIVASI BERKESAN ?


Seorang Pakar Psikologi perniagaan, sukan dan keibubapaan yang juga Pensyarah di University of San Francisco, Dr.Jim Taylor berpendapat bahawa ucapan, tulisan dan program motivasi ataupun inspirasional hanya memberi kesan jangka pendek. 

Ucapan dan program2 motivasi ini memang mengujakan semasa ianya dijalankan tetapi selepas peserta pulang, keadaan kembali seperti sediakala. Pada pendapat beliau di antara puncanya adalah motivasi itu adalah dicipta dari luar oleh orang lain, sedangkan apa yang diperlukan adalah kekuatan dan perubahan diri setiap orang. Program inspirasi ataupun motivasi sememangnya dicipta untuk memaksimakan keterujaan peserta ketika itu (inilah produk pakar motivasi), tetapi kajian menunjukkan bahawa ia tidak mampu untuk melakukan perubahan jangka panjang ke atas majoriti peserta. Selepas peserta pulang, selepas sehari apabila bangun dari tidur, mereka adalah orang yang sama. 

Program motivasi ini dianggap hanya seperti jam locing pengejut tidur dan apabila kita bangun, apa yang akan dilakukan seterusnya adalah datangnya daripada kehendak dan kesungguhan dalam diri masing2. Kita perlu mempunyai perancangan dan arah tuju yang betul. Untuk berubah, kita memerlukan kekuatan dalaman dan keinginan yang kuat.

Beliau setuju bahawa program motivasi mungkin ada manfaat tetapi bukan untuk kesan jangka panjang. Program ataupun ucapan motivasi hanya berkesan jika ianya dilakukan ke atas orang2 yang sedang melakukan sesuatu seperti sekumpulan pemain bola sepak yang bersedia untuk turun ke padang, atlit yang sedang bersedia untuk bertanding, askar yang bersedia untuk berperang dan lain2. Persediaan diri dan kekuatan diri sudah ada, hanya perlu lonjakan akhir. Program motivasi bukan untuk individu yang tidak ada persediaan dan tidak ada arah tuju di dalam hidupnya.

Dr. Jim Taylor berkata "if you want real inspiration, the kind that will consume every pore of your body, sustain itself not only through the next morning, but many mornings to come, and drives you to achieve your goals, look deep inside and see if you can find it in you".

Dato' Dr.Rushdan Noor

KONFLIK ANTARA PIHAK BERKUASA DENGAN PENIAGA : DI MANA SILAP KITA


Semasa rencana ini ditulis sedang panas isu ketegangan di antara pihak berkuasa tempatan dengan peniaga di sebuah pusat bandar. Ini bertitik tolak daripada satu video yang mendakwa wujudnya banyak kedai-kedai yang dikendalikan oleh warga asing dan juga premis perjudian tanpa diambil tindakan. Saya tidak mahu untuk memberi komen tentang kesahihan maklumat yang ditularkan kerana ia masih di dalam siasatan. Di dalam rencana ini saya akan menulis secara umum mengenai apakah punca berlakunya konflik yang tidak berkesudahan ini.

Salah satu faktor penting yang menjaga kebajikan sesebuah masyarakat adalah adanya pihak berkuasa. Bila sebut kebajikan, ia melibatkan aspek keselamatan, kesejahteraan, keamanan dan juga kebebasan untuk mencari rezeki serta beribadah. Undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa adalah untuk tujuan tersebut. Maka untuk memastikan bahawa matlamat kebajikan itu tercapai, masyarakat perlu mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Pada waktu yang sama, pihak berkuasa pula hendaklah menguatkuasakan undang-undang tersebut supaya ianya mencapai matlamat.

Di dalam masyarakat, pasti wujudnya individu-individu yang mempunyai masalah akhlak dan sikap. Golongan ini wujud di dalam semua kategori masyarakat termasuk di dalam kalangan pihak berkuasa dan juga peniaga. Walaupun peratusan mereka kecil, namun mereka boleh memberi impak yang besar kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi jika mereka berada pada hirarki yang tinggi di dalam masyarakat.

Di dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pihak berkuasa, mereka terikat dengan etika kerja dan juga peraturan yang wajib dipatuhi. Mereka perlu berintegriti, bertanggungjawab dan tidak rasuah. Begitu juga bagi pihak peniaga, di dalam mengendalikan sesuatu perniagaan, mereka perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti memohon lesen, menjaga kebersihan dan beroperasi di tempat yang dibenarkan. Peniaga juga perlu jujur dan amanah.

Apabila peniaga tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk berniaga, maka pihak berkuasa wajar mengambil tindakan. Ada beberapa sebab mengapa tindakan tidak diambil, iaitu samada ianya terlepas daripada pemantauan ataupun kerana pihak berkuasa tidak menjalankan tanggungjawab mereka. Tindakan juga tidak diambil apabila pihak berkuasa menerima sogokan untuk tidak bertindak. Di dalam keadaan ini kedua-dua pihak melakukan kesalahan. Jika tidak ada pemberi rasuah maka tidak adalah juga penerima rasuah. Apabila tindakan tidak diambil, lama kelamaan melanggar peraturan  akan dianggap sebagai satu kebiasaan dan bukan satu kesalahan. Semakin banyak perlanggaran undang-undang, maka ia membuka peluang yang semakin besar kepada segelintir pihak berkuasa untuk mencari pendapatan tambahan melalui rasuah. Begitu juga dengan amalan rasuah, lama kelamaan rasuah  ini pula akan dianggap satu kebiasaan dalam urusan harian. Rasuah yang asalnya pendapatan sampingan akan menjadi pendapatan utama perasuah. Ini pula akan membuka peluang kepada wujudnya sindiket yang diterajui oleh organisasi jenayah seperti gangster untuk mengekploitasi budaya rasuah ini untuk kepentingan mereka. Ia umpama satu bentuk "viscous cycle" di mana selagi tidak diputuskan kitaran ini, fenomena kedai-kedai haram, perniagaan barang seludup, peniaga yang bukan warganegara dan perniagaan tanpa lesen akan terus wujud. Hanya apabila peraturan dan undang-undang dipatuhi, barulah kita dapat memutuskan kitaran tersebut dan dengan ini tidak ada ruang kepada perasuah serta penerima rasuah untuk mengambil kesempatan.

Titik tolak kepada fenomena yang disebutkan di atas adalah akhlak. Melanggar undang-undang, merasuah, menyalahguna kuasa dan tidak berintegriti adalah ciri-ciri keruntuhan akhlak. Ia merentasi semua latarbelakang dan agama, semua agama mengajar akhlak yang baik kepada penganutnya. Akhlak tidak terbatas kepada satu-satu penganut agama. Masyarakat akan dianggap rosak jika ramai ahli-ahli di dalamnya mengalami masalah keruntuhan akhlak. Akhlak juga merangkumi sikap toleransi dan tidak bertindak secara gelojoh serta beremosi. Akhlak yang baik juga termasuk kemampuan mengawal perasaan dan menangani perbezaan pendapat dengan baik. Di samping itu, di dalam menguatkuasakan peraturan ataupun undang-undang, perlu ada budi bicara dan tolak ansur yang boleh mengharmonikan kedua-dua belah pihak. Jika budi bicara dan tolak ansur ini wujud pada kadar yang munasabah, konflik antara pihak berkuasa dan peniaga dapat dielakkan.

Akhlak yang baik zahir daripada hati yang baik, maka hati itu ibarat raja bagi anggota badan dan ketua dalam segala bentuk kehidupan manusia. Orang yang hatinya subur dengan kebaikan terserlah melalui akhlak yang indah. Benarlah seperti sabda Rasulullah  "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika ia baik, baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya ia rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging dimaksudkan ialah hati." (HR Bukhari dan Muslim)

Di samping masalah akhlak yang disebutkan di atas, satu lagi punca konflik adalah ketidakcekapan di dalam urusan khidmat pelanggan dan terlalu banyak birokrasi sehingga menyusahkan orang yang ingin berniaga. Masalah ini berlaku akibat kepimpinan organisasi, polisi yang tidak dikemaskini dan kelemahan kakitangan. Apabila terlalu banyak birokrasi maka ia akan mengujudkan kecederungan untuk  berlakunya perlanggaran undang-undang oleh pihak peniaga dan menyuburkan amalan rasuah untuk tujuan memudahkan kelulusan. Kelemahan urustadbir juga disebabkan oleh kekangan pihak berkuasa seperti kekurangan kakitangan, masa, alatan serta kenderaan yang terhad dan lain-lain. Ada di antaranya boleh diatasi dan ada juga yang tidak boleh diatasi dengan mudah. 

KESIMPULAN

Konflik yang berlaku antara pihak berkuasa dengan peniaga dapat ditangani jika setiap pihak memainkan peranan mereka berteraskan kepada akhlak yang terpuji dan tadbir-urus yang cekap. Ketidakcekapan dan birokrasi yang keterlaluan juga boleh menjadi punca konflik yang akan diambil kesempatan oleh individu yang tidak berakhlak. Apabila berlaku konflik, kita tidak boleh menyalahkan sebelah pihak, kedua-dua pihak ada saham yang menyebabkan konflik itu berlaku. Selagi masalah akhlak, tadbir urus dan kecekapan perkhidmatan tidak ditangani, selagi itulah kita akan terus melihat konflik seumpama ini berlaku dari masa ke semasa berulangkali. Ia akan reda selepas beberapa ketika dan seolah-olah keadaan sudah kembali seperti biasa, tetapi sebenarnya jalan penyelesaian sebenarnya masih jauh.


Dato' Dr. Rushdan Noor 

17hb Ogos 2020


Saturday 15 August 2020

MUTASI VIRUS SARS-CoV-2 DARIPADA D614 KEPADA G614 : APAKAH IMPAK KE ATAS MANUSIA



Ketua Pengarah Kesihatan telah mengumumkan bahawa hasil daripada kajian ke atas virus Covid-19 yang diambil daripada 3 pesakit dari kluster PUI Sivagangga dan seorang pesakit dari kluster Ulu Tiram mengesahkan bahawa jenis virus yang menjangkiti mereka adalah daripada jenis G614 (ataupun D614G). Kajian ini dilakukan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Secara ringkasnya, virus yang menyebabkan penyakit Covid-19 dikenali sebagai SARS-CoV-2 dan virus ini terdiri daripada selaput luar dan RNA (membawa gene) di bahagian dalam. Pada selaput luar virus ini terdapat sejenis protein yang dikenali sebagai “spike protein” ataupun protein S. Protein S ini penting seperti kunci yang akan membuka pintu sel untuk masuk dan menyerang sel-sel manusia. Pendek kata tanpa protein S ini, virus tidak boleh menyerang sel manusia. Protein S dibina oleh banyak asid amino yang merupakan binaan asas (“building block”). Ahli sains telah mengkaji struktur protein S ini dan mendapati berlaku perubahan di dalam susunan asid amino dari masa ke semasa dan ini disebabkan oleh mutasi yang berlaku ke atas gene yang terdapat di dalam RNA virus.


Sebelum bulan Feb 2020, ahli sains mendapati bahawa jenis virus SARS-CoV-2  yang mendominasi penyakit Covid-19 di seluruh dunia adalah daripada jenis D614 . Ia dikenali sebagai D614 kerana asid amino jenis Asid Aspartat terletak pada kedudukan ke 614 asid amino di dalam protein S. Virus jenis D614 ini telah menjalani mutasi di mana Asid Aspartat pada kedudukan ke 614 ini telah digantikan kepada Glycine dan virus yang baru ini dikenali sebagai G614 (ataupun D614G). Kesimpulannya virus G614 adalah mutasi daripada D614 dan pada hari ini virus G614 adalah jenis yang mendominasi jangkitan Covid-19 di seluruh dunia.


Apakah perbezaan di antara virus jenis G614 dengan D614. Hasil kajian masih lagi terhad kerana banyak penemuan mengenai sifat virus G614 ini adalah berdasarkan kepada kajian makmal.

1.       Daripada segi muatan virus (“viral load”), pesakit yang dijangkiti oleh virus jenis G614 mempunyai kandungan virus yang lebih banyak berbanding dengan D614. Kajian ini dilakukan ke atas pesakit yang mempunyai gejala.

2.       Kajian makmal menunjukkan bahawa G614 mempunyai kadar jangkitan 10 kali lebih tinggi daripada virus asal dari Wuhan. Walau bagaimanapun kajian makmal ini tidak semestinya sama dengan apa yang akan berlaku ke atas manusia kerana sistem badan manusia lebih kompleks. Kesimpulannya kadar jangkitan yang sebenar ke atas manusia belum dapat dipastikan lagi.

3.       Kajian ke atas manusia mendapati, walaupun muatan virus lebih tinggi, pesakit yang dijangkiti dengan virus G614 tidak lebih serius daripada dijangkiti oleh virus jenis D614. Pendek kata kedua-dua kumpulan pesakit ini menunjukkan kesan klinikal yang sama. Jadi walaupun G614 mungkin lebih mudah berjangkit, kadar kematian tidak lebih tinggi. Ini mungkin memberi gambaran bahawa, virus ini bermutasi kepada jenis yang lebih mudah berjangkit tetapi kurang ganas sebab itu kadar kematian tidak berubah berbanding dengan D614. Tambahan pula kadar kematian Covid-19 pada era G614 sekarang ini lebih kurang sama dengan era D614 dahulu iaitu sekitar 1% ataupun kurang.

4.       Kaedah rawatan juga sama ke atas virus G614 walaupun Pakar Perubatan agak ragu-ragu dengan keberkesanan ubat yang bertindak merencat protein S kerana mutasi ini berlaku ke atas protein S. Keberkesanan ubat-ubat lain seperti Dexamethasone, Medrol, Remdesivir dan lain-lain adalah sama dengan yang digunakan ke atas virus jenis D614.

5.       Walaupun berlaku perubahan kepada protein S, setakat ini Ahli Sains berpendapat bahawa vaksin yang sedang dihasilkan adalah juga berkesan ke atas virus jenis G614. Ini kerana mutasi ataupun kelainan yang berlaku itu tidak melibatkan bahagian yang paling penting pada protein S yang dikenali sebagai RBD (Receptor binding domain). RBD adalah juga sasaran utama serangan sistem imun manusia untuk melawan virus Covid-19. Jadi setakat ini Ahli Sains berpendapat mutasi yang berlaku ini tidak memberi impak yang besar ke atas keberkesanan vaksin yang sedang dihasilkan.

KESIMPULAN

Pandemik Covid-19 sedang berdepan dengan cabaran mutasi virus SARS-CoV-2 yang menjadi penyebab penyakit Covid-19 daripada jenis D614 kepada G614 akibat daripada perubahan asid amino pada kedudukan ke 614 protein S ataupun “Spike protein”.  Pada hari ini virus jenis G614 sedang mendominasi jangkitan Covid-19 di seluruh dunia dan sekarang ini sudah sampai ke Malaysia melalui kajian ke atas sampel dari pesakit kluster Sivagangga dan Ulu Tiram. Muatan virus (viral load) dari jangkitan virus G614 lebih tinggi daripada D614. Walaupun kajian makmal menunjukkan virus G614 lebih mudah berjangkit, namun ini belum terbukti benar ke atas manusia. Setakat ini, kadar kematian akibat jangkitan G614 juta tidak lebih tinggi daripada D614. Ahli sains percaya melalui maklumat dan bukti yang ada setakat ini, perubahan jenis virus daripada D614 kepada G614 ini tidak memberi impak yang besar ke atas  kaedah rawatan dan keberkesanan vaksin Covid-19.

 

Dato' Dr Rushdan Noor

16hb Ogos 2020 


https://www.sciencedaily.com/releases/2020/07/200702144054.htm

https://medium.com/microbial-instincts/what-the-d614g-mutation-means-for-covid-19-spread-fatality-treatment-and-vaccine-7dda1c066f0d