Semasa rencana ini ditulis sedang panas isu ketegangan di antara pihak berkuasa tempatan dengan peniaga di sebuah pusat bandar. Ini bertitik tolak daripada satu video yang mendakwa wujudnya banyak kedai-kedai yang dikendalikan oleh warga asing dan juga premis perjudian tanpa diambil tindakan. Saya tidak mahu untuk memberi komen tentang kesahihan maklumat yang ditularkan kerana ia masih di dalam siasatan. Di dalam rencana ini saya akan menulis secara umum mengenai apakah punca berlakunya konflik yang tidak berkesudahan ini.
Salah satu faktor penting yang menjaga kebajikan sesebuah masyarakat adalah adanya pihak berkuasa. Bila sebut kebajikan, ia melibatkan aspek keselamatan, kesejahteraan, keamanan dan juga kebebasan untuk mencari rezeki serta beribadah. Undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa adalah untuk tujuan tersebut. Maka untuk memastikan bahawa matlamat kebajikan itu tercapai, masyarakat perlu mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Pada waktu yang sama, pihak berkuasa pula hendaklah menguatkuasakan undang-undang tersebut supaya ianya mencapai matlamat.
Di dalam masyarakat, pasti wujudnya individu-individu yang mempunyai masalah akhlak dan sikap. Golongan ini wujud di dalam semua kategori masyarakat termasuk di dalam kalangan pihak berkuasa dan juga peniaga. Walaupun peratusan mereka kecil, namun mereka boleh memberi impak yang besar kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi jika mereka berada pada hirarki yang tinggi di dalam masyarakat.
Di dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pihak berkuasa, mereka terikat dengan etika kerja dan juga peraturan yang wajib dipatuhi. Mereka perlu berintegriti, bertanggungjawab dan tidak rasuah. Begitu juga bagi pihak peniaga, di dalam mengendalikan sesuatu perniagaan, mereka perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti memohon lesen, menjaga kebersihan dan beroperasi di tempat yang dibenarkan. Peniaga juga perlu jujur dan amanah.
Apabila peniaga tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk berniaga, maka pihak berkuasa wajar mengambil tindakan. Ada beberapa sebab mengapa tindakan tidak diambil, iaitu samada ianya terlepas daripada pemantauan ataupun kerana pihak berkuasa tidak menjalankan tanggungjawab mereka. Tindakan juga tidak diambil apabila pihak berkuasa menerima sogokan untuk tidak bertindak. Di dalam keadaan ini kedua-dua pihak melakukan kesalahan. Jika tidak ada pemberi rasuah maka tidak adalah juga penerima rasuah. Apabila tindakan tidak diambil, lama kelamaan melanggar peraturan akan dianggap sebagai satu kebiasaan dan bukan satu kesalahan. Semakin banyak perlanggaran undang-undang, maka ia membuka peluang yang semakin besar kepada segelintir pihak berkuasa untuk mencari pendapatan tambahan melalui rasuah. Begitu juga dengan amalan rasuah, lama kelamaan rasuah ini pula akan dianggap satu kebiasaan dalam urusan harian. Rasuah yang asalnya pendapatan sampingan akan menjadi pendapatan utama perasuah. Ini pula akan membuka peluang kepada wujudnya sindiket yang diterajui oleh organisasi jenayah seperti gangster untuk mengekploitasi budaya rasuah ini untuk kepentingan mereka. Ia umpama satu bentuk "viscous cycle" di mana selagi tidak diputuskan kitaran ini, fenomena kedai-kedai haram, perniagaan barang seludup, peniaga yang bukan warganegara dan perniagaan tanpa lesen akan terus wujud. Hanya apabila peraturan dan undang-undang dipatuhi, barulah kita dapat memutuskan kitaran tersebut dan dengan ini tidak ada ruang kepada perasuah serta penerima rasuah untuk mengambil kesempatan.
Titik tolak kepada fenomena yang disebutkan di atas adalah akhlak. Melanggar undang-undang, merasuah, menyalahguna kuasa dan tidak berintegriti adalah ciri-ciri keruntuhan akhlak. Ia merentasi semua latarbelakang dan agama, semua agama mengajar akhlak yang baik kepada penganutnya. Akhlak tidak terbatas kepada satu-satu penganut agama. Masyarakat akan dianggap rosak jika ramai ahli-ahli di dalamnya mengalami masalah keruntuhan akhlak. Akhlak juga merangkumi sikap toleransi dan tidak bertindak secara gelojoh serta beremosi. Akhlak yang baik juga termasuk kemampuan mengawal perasaan dan menangani perbezaan pendapat dengan baik. Di samping itu, di dalam menguatkuasakan peraturan ataupun undang-undang, perlu ada budi bicara dan tolak ansur yang boleh mengharmonikan kedua-dua belah pihak. Jika budi bicara dan tolak ansur ini wujud pada kadar yang munasabah, konflik antara pihak berkuasa dan peniaga dapat dielakkan.
Akhlak yang baik zahir daripada hati yang baik, maka hati itu ibarat raja bagi anggota badan dan ketua dalam segala bentuk kehidupan manusia. Orang yang hatinya subur dengan kebaikan terserlah melalui akhlak yang indah. Benarlah seperti sabda Rasulullah "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika ia baik, baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya ia rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging dimaksudkan ialah hati." (HR Bukhari dan Muslim)
Di samping masalah akhlak yang disebutkan di atas, satu lagi punca konflik adalah ketidakcekapan di dalam urusan khidmat pelanggan dan terlalu banyak birokrasi sehingga menyusahkan orang yang ingin berniaga. Masalah ini berlaku akibat kepimpinan organisasi, polisi yang tidak dikemaskini dan kelemahan kakitangan. Apabila terlalu banyak birokrasi maka ia akan mengujudkan kecederungan untuk berlakunya perlanggaran undang-undang oleh pihak peniaga dan menyuburkan amalan rasuah untuk tujuan memudahkan kelulusan. Kelemahan urustadbir juga disebabkan oleh kekangan pihak berkuasa seperti kekurangan kakitangan, masa, alatan serta kenderaan yang terhad dan lain-lain. Ada di antaranya boleh diatasi dan ada juga yang tidak boleh diatasi dengan mudah.
KESIMPULAN
Konflik yang berlaku antara pihak berkuasa dengan peniaga dapat ditangani jika setiap pihak memainkan peranan mereka berteraskan kepada akhlak yang terpuji dan tadbir-urus yang cekap. Ketidakcekapan dan birokrasi yang keterlaluan juga boleh menjadi punca konflik yang akan diambil kesempatan oleh individu yang tidak berakhlak. Apabila berlaku konflik, kita tidak boleh menyalahkan sebelah pihak, kedua-dua pihak ada saham yang menyebabkan konflik itu berlaku. Selagi masalah akhlak, tadbir urus dan kecekapan perkhidmatan tidak ditangani, selagi itulah kita akan terus melihat konflik seumpama ini berlaku dari masa ke semasa berulangkali. Ia akan reda selepas beberapa ketika dan seolah-olah keadaan sudah kembali seperti biasa, tetapi sebenarnya jalan penyelesaian sebenarnya masih jauh.
Dato' Dr. Rushdan Noor
17hb Ogos 2020
No comments:
Post a Comment