Terdapat satu video yang sudah tersebar luas mengenai dakwaan bahawa rawatan kemoterapi menyebabkan kanser merebak lebih cepat. Kalau anda menonton video tersebut memang akan cepat terpengaruh kerana ia merujuk kepada kajian dan cara bagaimana ianya disampaikan. Ini adalah salah satu dari banyak video serangan golongan yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan kaedah perubatan moden. Sebelum saya menjawab dakwaan ini ingin saya jelaskan siapakah di sebalik video tersebut dan apakah agenda mereka.
Individu yang menghasilkan video tersebut adalah MIKE ADAM yang merupakan admin kepada laman web NATURAL NEWS terkenal dengan laman web konspirasi yang menjual pelbagai suplemen dan mempromosikan rawatan alternatif, amalan pemakanan yang kontroversi, antivaksin dan banyak pseudoperubatan yang tidak bertanggungjawab. Pendek kata Mike Adam bukan doktor perubatan sebaliknya seorang yang mempromosikan naturopati yang anti-perubatan moden. Beliau tidak percaya kepada perubatan moden sebaliknya mempromosikan pseudosains dan selalu mencari jalan untuk menjatuhkan reputasi perubatan moden demi untuk kepentingan perniagaan beliau. Pendek kata kalau di Malaysia, Mike Adam ini adalah “sekapal” dengan golongan antivaksin, pengamal naturopati, bumi leper dan kelahiran alami. Teori konspirasi adalah salah satu hujah yang tidak pernah lekang daripada mulut beliau.
Kembali kepada isi video yang disiarkan tersebut, Mike Adam menyatakan bahawa kemoterapi bukan merawat kanser sebaliknya menyebabkan kanser merebak dengan lebih cepat. Beliau mendakwa ini adalah dakyah syarikat farmaseutikal untuk mengaut keuntungan lebih dengan menghasilkan ubat kemoterapi. Bukti tuduhan beliau tersebut adalah berasaskan kepada satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal SCIENCE TRANSLATIONAL MEDICINE. Dakwaan Mike Adam itu boleh dipatahkan hanya dengan menilai kualiti kajian tersebut dan tujuan sebenar kajian itu dilakukan.
Rawatan kemoterapi adalah satu kaedah rawatan kanser yang diiktiraf oleh semua pakar kanser di seluruh dunia. Walaupun ia mempunyai kesan sampingan tersendiri namun peranannya di dalam rawatan kanser tidak dapat dinafikan. Banyak jenis kanser yang sukar dirawat pada masa dahulu telah dapat dipulihkan oleh rawatan kemoterapi samada sebagai rawatan utama ataupun rawatan sampingan. Data jelas menunjukkan bahawa kadar kematian akibat kanser telah menurun sebanyak 26% berbanding dengan 20 tahun yang lalu. Penurunan kadar kematian kanser ini terus berlaku setiap tahun khususnya di negara maju. Kadar kematian kanser paru-paru, payudara, prostat dan usus besar telah menurun di Amerika (1). Walaupun tidak semua kanser boleh dirawat dengan kemoterapi, namun terdapat kanser yang sangat sensitif kepada kemoterapi contohnya kanser koriokarsinoma, kanser germ cells, leukemia, limfoma dan lain-lain di mana dengan rawatan kemoterapi, pesakit boleh sembuh. Kanser darah (leukaemia dan limfoma) yang hanya berkesan dengan rawatan kemoterapi telah menunjukkan kadar hidup 5 tahun yang jauh lebih baik pada hari ini iaitu 83% berbanding dengan 58% 20 tahun yang lampau.
Kajian yang diwar-warkan oleh Mike Adam tersebut adalah kajian kecil peringkat pra-klinikal (2) yang dilakukan ke atas TIKUS yang diransang untuk menghidap kanser payudara. Kajian itu pula tertumpu kepada hanya satu jenis kanser iaitu KANSER PAYUDARA. Manakala rawatan kemoterapi pula hanya melibatkan salah satu teknik dikenali sebagai “NEOADJUVANT CHEMOTHERAPY” iaitu memberi rawatan kemoterapi sebelum rawatan utama dilakukan (pembedahan). Kaedah rawatan neoadjuvant ini bukan kaedah utama sebaliknya adalah satu kaedah yang disyorkan kepada pesakit-pesakit yang terpilih. Kaedah rawatan ini sememangnya satu kaedah yang kontroversial semenjak dahulu lagi. Hasil kajian ini hanya memberi andaian tentang punca mengapa setengah pesakit kanser payudara tidak bertindakbalas dengan baik terhadap kemoterapi neoadjuvan. Ianya bukan bertujuan untuk memberi gambaran buruk dan menolak kemoterapi sebaliknya mencari punca mengapa wujud kelemahan supaya rawatan ini dapat diperbaiki terutama di dalam menangani masalah rintangan kemoterapi. Tambahan pula kajian ke atas tikus tidak sama sekali boleh mewakili apa yang akan berlaku ke atas manusia kerana fungsi organ badan manusia yang jauh lebih kompleks.
Dakwaan liar yang dilakukan Mike Adam tidak lain adalah untuk mengelirukan masyarakat supaya takut kepada kemoterapi dan beraleh kepada kaedah rawatan naturopati dan pseudoperubatan yang dijadikan produk perniagaan beliau. Walaupun rawatan kemoterapi mempunyai kelemahan, namun jika ianya dipilih untuk merawat pesakit kanser, inilah kaedah terbaik yang ada setakat ini berdasarkan kepada kajian saintifik dan bukti yang kukuh. Sedangkan produk dan kaedah rawatan alternatif yang dipromosikan oleh Mike Adam tidak pernah dibuktikan oleh kajian-kajian klinikal sebaliknya hanya omong kosong yang dibawa oleh golongan yang berkepentingan. Jauhi Mike Adam dan jauhi laman web Natural News beliau yang LEBIH AUTA DARI FAKTA. Jika beliau muncul di dalam mana-mana video ataupun tulisan, anggaplah beliau sama sahaja dengan golongan antivaksin, bumi leper, doula terlampau, pengamal kelahiran alami dan lain-lain pejuang naturopati dan pseudoperubatan.
Dato' Dr Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
17hb Mei 2019
RUJUKAN
1. https://www.cancer.org/latest-news/facts-and-figures-2018-rate-of-deaths-from-cancer-continues-decline.html.
2. Karagiannis GS, Pastoriza JM, Wang Y, et al. Neoadjuvant chemotherapy induces breast cancer metastasis through a TMEM-mediated mechanism. Science Translational Medicine, 2017;9(397)
3. https://sciencebasedmedicine.org/does-chemotherapy-cause-cancer-to-spread/
4. https://en.wikipedia.org/wiki/Natural_News
No comments:
Post a Comment