Wednesday, 26 August 2020

MANJAKANI MEMULIHKAN ORGAN PERANAKAN DAN FARAJ : FAKTA ATAU AUTA


MANJAKANI

Pokok yang menghasilkan manjakani dikenali dengan nama saintifiknya sebagai Quercus infectoria. Pokok ini mempunyai ketinggian lebih kurang 2 meter dan ditemui terutamanya di Asia, Greece dan Iran. Manjakani bukan buah yang keluar daripada pokok Quercus infectoria ini sebaliknya adalah bahan asing yang terbentuk apabila dahan pokok ini disengat oleh penyengat ataupun “wasps” yang menyuntik larva nya. Tindakbalas kimia oleh dahan pokok (ranting muda) ini menyebabkan berlaku seperti ketumbuhan berbentuk bulat yang keras, ketumbuhan inilah yang dikenali sebagai manjakani. Manjakani berbentuk bulat dengan garispusat di antara 0.8 hingga 2.5 cm, bewarna kuning kehijauan, sedikit berbau dan sedikit pedas. Kajian ke atas manjakani ini menunjukkan ia mengandungi tinggi asid Gallic dan asid Tannic. Kedua-dua asid ini selamat dimakan tetapi pada kuantiti yang kecil, ia boleh memudaratkan jika diambil pada kuantiti yang tinggi. Ia juga mengandungi asid ellagic.

KEGUNAAN MANJAKANI

Terdapat banyak dakwaan orang ramai terutama kaum tua mengenai khasiat manjakani. Mengikut buku Indian Medicinal Plants yang diterbitkan pada tahun 1995, manjakani digunakan sebagai ubat sakit gigi dan keradangan gusi. Ada juga yang menggunakannya untuk menghasilkan dakwat dan penghasilan pewarna hitam. Orang tua melayu pula percaya manjakani berkhasiat untuk memulihkan organ peranakan wanita terutama selepas bersalin. Dakwaan ini tidak pernah dibuktikan sebaliknya hanya kepercayaan turun menurun.

Ahli sains ada membuat kajian dengan mengekstrak sebatian kimia daripada manjakani dengan kaedah tindakbalas kimia di dalam makmal. Mereka Berjaya mengekstrak keluar sebatian kimia yang terdiri daripada tannin dan phenol. Ekstrak manjakani ini kemudian dihasilkan di dalam kepekatan yang berbeza dan diuji ke atas kulat yang dinamakan Candida. Ahli sains mendapati ektraks ini mempunyai ciri-ciri antifungus. Terdapat juga kajian yang menunjukkan ekstrak manjakani mempunyai kesan antibakteria tetapi kajian ini dilakukan ke atas telur ayam yang dijangkiti oleh bakteria. Banyak lagi kajian makmal yang mendapati ekstrak manjakani juga mempunyai ciri-ciri antikeradangan, antiviral, antioksidan dan lain-lain. Walau bagaimanapun, kajian-kajian tersebut adalah dilakukan ke atas ekstrak manjakani yang dilakukan oleh ahli sains di dalam makmal dan bukan ke atas manjakani yang dijual di pasaran.

Pada hari ini manjakani disediakan sendiri ataupun dibeli daripada kedai. Ada juga yang dijual melalui internet. Tidak kurang yang menyediakan sendiri produk manjakani dengan merebusnya dan meminum air rebusan. Air rebusan ini juga digunakan untuk mencuci faraj. Mungkin ada yang memakannya mentah dengan nasi dan sebagainya. Ada juga yang menghancurkannya dan membentuknya seperti krim untuk disapukan pada bahagian yang dikehendaki. Kaedah penyediaan sendiri ini bukan sahaja tidak mematuhi kaedah yang betul seperti mana yang dilakukan oleh ahli sains, tetapi dengan cara ini kita tidak mengetahui kuantiti sebatian kimia yang terkandung di dalam nya. Di samping itu penyediaan yang tidak bersih boleh menyebabkan punca jangkitan dan keracunan. Manjakani yang dimakan mungkin boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan badan dan kita tidak tahu apakah kesan sampingan jangkapanjang ke atas organ badan manusia.


KESAN MANJAKANI KE ATAS ORGAN WANITA

Kepercayaan bahawa manjakani dapat memulihkan organ peranakan wanita sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh. Ianya dipercayai datang daripada tanggapan orang tua dan amalan turun menurun. Tidak ada kajian saintifik yang kukuh membuktikan bahawa pengambilan manjakani memulihkan Rahim, ovari dan faraj kaum wanita lebih-lebih lagi jika ianya digunakan dalam bentuk yang disediakan oleh orang biasa yang tidak mempunyai kepakaran teknologi makmal. Walaupun terdapat kajian yang dilakukan ke atas wanita-wanita yang mengalami prolapse ataupun rahim/faraj turun, bilangan sampel yang digunakan adalah terhad. Ekstrak manjakani dengan kepekatan berbeza yang digunakan itu dicampurkan dengan gel dan dibandingkan dengan gel yang tidak mengandungi ekstrak manjakani. Kajian ini menunjukkan ada kesan positif ke atas hubungan seks dan pengecutan faraj, walau bagaimana pun kesan yang dikaji adalah untuk jangkamasa pendek dan dilakukan ke atas wanita yang sudah menghadapi masalah. Disebabkan oleh jumlah sampel yang sedikit dan gel digunakan di dalam kajian tersebut, kesan manfaat yang diperolehi itu tidak dapat dipastikan samada daripada gel yang digunakan ataupun daripada ekstrak itu sendiri.  

Manjakani dianggap sebagai agen pengecut (“astringent agent”). Apa yang agen ini lakukan adalah mengecutkan lapisan sel untuk sementara. Ia tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas bahagian bawah kulit termasuk otot-otot pelvik. Ianya seperti kesan bibir apabila memakan buah yang tidak masak, dimana lapisan kulit bibir menjadi berkedut. Tindakabalas yang sama dilakukan oleh krim dan gel. Apabila disapukan pada bahagian faraj, kesan pengecutan lapisan sel faraj dan pengeringan ini akan membuat seolah-olah faraj menjadi ketat, sedangkan kesan ini adalah kesan sementara. Selepas beberapa ketika kesan ini akan hilang dan lapisan kulit faraj kembali seperti sediakala. Kesan lanjutan akibat daripada pengeringan faraj adalah lapisan kulit faraj menjadi bertambah nipis dan mudah terhakis dan mendedahkan lapisan bawah dinding faraj kepada jangkitan. Di dalam faraj terdapat bakteria normal yang memelihara faraj daripada jangkitan bakteria yang ganas, kesan antibakteria yang berlebihan di dalam manjakani boleh mengganggu proses penjagaan faraj secara semulajadi. Di samping itu kita juga bimbang produk manjakani ini dicampurkan dengan ubat-ubat ataupun sebatian-sebatian kimia lain yang boleh memberi kesan yang lebih serius untuk jangkamasa panjang. Pengguna boleh mengalami alahan, kegatalan dan jangkitan bakteria ataupun organisma yang lebih merbahaya seperti gonorea dan lain-lain. Produk-produk penjagaan faraj ini seringkali dicampurkan dengan pewangi. Memasukkan bahan ataupun krim ke dalam faraj untuk tujuan menghilangkan bau boleh memberi kesan negatif kerana bau adalah petunjuk kepada wujudnya masalah kesihatan di dalam faraj. Apabila petunjuk ini dihalang, maka jangkitan akan berlaku tanpa disedari oleh wanita tersebut. Jangkitan faraj boleh merebak ke rahim, tiub fallopian, ovari dan pelvis. Jangkitan pelvis boleh menyebabkan masalah kesuburan, gangguan hormon dan pembentukan nanah yang memerlukan rawatan pembedahan.

Kaedah yang berkesan mengetatkan faraj adalah dengan meningkatkan tona otot pelvik melalui senaman Kegal yang tetap dilakukan 3 kali sehari. Belajar melakukan senaman ini daripada pengamal perubatan ataupun anda boleh mencari di dalam internet. Ia mudah dilakukan. Di samping itu, pelihara kebersihan faraj, jauhi daripada memasukkan bahan-bahan ataupun ubatan ke dalam faraj tanpa nasihat doktor, mengambil makanan yang seimbang, melakukan senaman badan secara tetap dan mengambil hormon gantian oleh wanita-wanita yang sudah putus haid (setelah menjalani pemeriksaan dan nasihat daripada doktor sakitpuan).

KESIMPULAN

Manjakani adalah sejenis ubat herba yang digunakan sejak turun menurun bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain. Seperti juga produk-produk herba yang lain, manjakani yang diamalkan oleh orang awam tidak menjalani proses makmal untuk mengeluarkan ekstraknya sebaliknya disediakan oleh individu ataupun pengilang yang tidak mempunyai kepakaran di dalam teknologi makmal. Walaupun terdapat kajian yang menunjukkan ekstrak manjakani mempunyai ciri-ciri antikeradangan, antibakteria, antifungus, antioksidan dan lain-lain, hampir semua kajian ini adalah kajian makmal oleh ahli sains. Jika pun ada kajian klinikal, ianya adalah kajian yang kecil. Tidak ada bukti kukuh yang menunjukkan manjakani boleh mengembalikan kesihatan organ peranakan wanita untuk jangkamasa panjang. Kesan mengetatkan faraj yang dilakukan oleh manjakani adalah kesan sementara dan tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas otot pelvis. Kesan ini mempunyai serampang dua mata kerana ia boleh menyebabkan kekeringan faraj, jangkitan dan gangguan kepada perlindungan semulajadi di dalam faraj untuk jangkamasa panjang. Sila dapatkan nasihat doktor sakitpuan apabila anda ingin mendapatkan rawatan yang berkaitan dengan organ peranakan termasuk jika mengalami masalah yang berkaitan dengan faraj.

Dato'Dr. Mohd Rushdan Md Noor
21hb Jun 2018

RUJUKAN

1.   Tayel AA, El Sedfy MA, Ibrahim A, Moussa SH. Application of Quercus infectoria extract as a natural antimicrobial agent for chicken egg decontamination. Revista Argentina de Microbiologia, 2018,doi.org/10.1016/j.ram.2017.12.003

2.   Baharuddin NS, Abdullah H, Abdul Wahab WNA. Anti-Candida activity of Quercus infectoria gall extracts against Candida species. J Pharm Bioallied Sci, 2015;7(10): 15-20

3.   Lorzadeh N, Sepavand F, Soleimaninezhad M, Kazemirad N. The effect of extract of Oak Gall for vaginal tightening and rejuvenation in women with vaginal relaxation. Open Journal of Obstetrics and Gynecology, 2016;6:879-887.

4.   https://en.wikipedia.org/wiki/Quercus_infectoria
5.   https://www.curejoy.com/content/side-effects-of-vaginal-tightening-creams/


No comments:

Post a Comment