Monday 3 August 2020

TOPENG MUKA TIDAK MENYEBABKAN KERACUNAN KARBON DIOKSIDA DAN KEKURANGAN OKSIGEN


Apabila bernafas, manusia menyedut gas oksigen dan melepas gas karbon dioksida. Jadi gas karbon dioksida adalah salah satu bahan buangan yang boleh memudaratkan kesihatan jika disedut dalam kuantiti yang tinggi.

Ramai yang salah anggap bahawa apabila memakai topeng muka, gas karbon dioksida akan berkumpul di dalam topeng muka dan pada waktu yang sama gas oksigen dari luar tidak dapat masuk. Mereka mendakwa ini boleh  menyebabkan keracunan karbon dioksida ("hypercapnia") dan kekurangan oksigen ("hypoxia").  Ini adalah MITOS.

1. Molekul karbon dioksida dan oksigen sangat kecil dan boleh melepasi liang2 pada topeng muka. Jadi pergerakan gas2 ini tidak terganggu. 

2. Topeng muka yang kita pakai tidak 100% kedap udara kerana ada ruang2 yang terbuka di bahagian tepi. Jadi pergerakan gas oksigen dan karbon dioksida  boleh berlaku samada terus menembusi topeng muka ataupun di bahagian tepi yang tidak kedap udara.

3. Jikapun ada sedikit peningkatan gas karbon dioksida pada bahagian dalam topeng muka, sistem pernafasan dan proses metabolik dalam badan kita sangat berkesan menstabilkan kandungan karbon dioksida, oksigen dan pH darah.

4. Pemakaian surgical mask sudah diamalkan oleh petugas perubatan sekian lama dan menjadi standard di dalam bilik bedah. Pakar2 bedah di seluruh dunia menggunakan surgical mask dan kadangkala N95 semasa melakukan pembedahan. Kadangkala pembedahan yang dilakukan memakan masa berjam-jam, ada yang dari pagi sampai malam. Jika benar topeng muka menyebabkan keracunan karbon dioksida dan kekurangan oksigen, maka ramailah pakar2 bedah yang pengsan, keliru dan mati ketika melakukan pembedahan. Ramai lah pula pesakit2 yang gagal dibedah atau mendapat komplikasi.

5. Jika surgical mask tidak menyebabkan keracunan gas karbon dioksida dan kekurangan oksigen, maka topeng muka buatan sendiri juga selamat. Cuma surgical mask yang mengandungi 3 lapisan lebih berkesan mencegah penularan Covid-19.

6. Mudarat pemakaian topeng muka boleh berlaku apabila ianya tidak dipakai dengan betul di tempat2 risiko penularan jangkitan Covid-19. Topeng muka pakai buang yang dipakai berulang2kali ataupun topeng muka buatan sendiri yang tidak dibasuh akan dicemari oleh kotoran dan kuman.

7. Jadi topeng muka buatan sendiri dan surgical mask 3 lapisan tidak menyebabkan keracunan karbon dioksida dan kekurangan oksigen. Manfaat pemakaian topeng muka semasa pandemik Covid-19 jauh lebih besar. Jika anda mengidap penyakit paru2 yang serius, kegemukan melampau dan menghidap sleep apnea perlu mendapat nasihat doktor jika ingin menggunakan topeng muka jenis N95.

Dato' Dr. Rushdan Noor
4hb Ogos 2020

https://www.healthline.com/health-news/no-face-masks-cant-cause-co2-poisoning

https://www.google.com/amp/s/www.health.com/condition/infectious-diseases/coronavirus/does-wearing-face-mask-increase-co2-levels%3famp=true

1 comment:

  1. As the country has opened back up and cases are spiking in many states, President Trump and the CDC strongly recommend that everyone wear a face mask when they leave their home. connexions-tech.com/product/ffp2-face-mask Here are five easy-to-make face masks that will remove redness from your skin.

    ReplyDelete