Thursday, 16 July 2026

FIKRAH POLITIK ANWAR IBRAHIM: ANTARA TRADISIONALIS, REFORMIS DAN MODERNIS



Penulis : Dr.Ruzman Md Noor, PhD 

Dalam memahami landskap politik Malaysia, kita sering terperangkap dengan label yang terlalu mudah. Seseorang pemimpin dilihat sama ada "Islamis", "liberal", "sekular" atau "konservatif", sedangkan hakikatnya pemikiran politik jauh lebih kompleks daripada pembahagian tersebut. Spektrum ideologi politik mempunyai banyak titik persilangan dan tidak boleh dipisahkan secara mutlak.

Secara umum, aliran pemikiran politik Islam boleh dilihat dalam beberapa kecenderungan. Golongan tradisionalis berpegang kepada warisan ulama klasik, mazhab fiqh dan disiplin ilmu Islam yang telah lama terbina. Mereka menerima perubahan, tetapi melalui kaedah ijtihad yang diiktiraf. Reformis (islah) pula menekankan pembaharuan umat dengan kembali kepada al-Quran dan Sunnah serta menggalakkan ijtihad bagi menangani cabaran semasa. Modernis berusaha menyesuaikan pemikiran Islam dengan perkembangan dunia moden seperti sains, demokrasi, pendidikan dan tadbir urus, tanpa meninggalkan identiti Islam. Di hujung spektrum yang lain terdapat liberalis, yang lebih menekankan kebebasan individu, hak asasi, kesaksamaan gender dan pluralisme, serta sekularis, yang berpandangan bahawa urusan pemerintahan perlu dipisahkan daripada autoriti agama.

Namun, pembahagian ini bukanlah sempadan yang tegas. Ramai tokoh menggabungkan unsur daripada beberapa aliran mengikut konteks dan isu yang dihadapi.

Pada pandangan saya, Anwar Ibrahim lebih dekat kepada gabungan reformis dan modernis. Beliau menampilkan pemikiran Islam yang mengekalkan asas agama, tetapi pada masa yang sama cuba berinteraksi dengan realiti masyarakat majmuk, demokrasi dan perkembangan dunia moden. Pendekatan inilah yang menyebabkan beliau sering disalahfahami oleh pelbagai pihak. Ada yang menganggap beliau terlalu liberal, manakala sebahagian yang lain pula melihat beliau terlalu Islamis. Hakikatnya, beliau berada di tengah-tengah spektrum tersebut.

Pendekatan inilah juga yang membolehkan beliau berkomunikasi dan bekerjasama dengan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang politik dan ideologi yang berbeza. Bagi sesetengah pihak, keadaan ini dilihat sebagai sikap tidak konsisten. Namun, bagi yang melihat dari sudut kepimpinan dalam sebuah negara majmuk, ia boleh ditafsirkan sebagai keupayaan membina jambatan antara kelompok yang berbeza.

Walaupun Anwar lebih sinonim dengan pemikiran reformis dan modernis, beliau juga mempunyai unsur fikrah tradisionalis, walaupun pada skala yang lebih rendah. Beliau masih mengekalkan hubungan baik dengan beberapa tokoh pondok dan ilmuwan Islam tradisional, termasuk dari Timur Tengah. Hubungan ini memperlihatkan bahawa beliau masih menghargai tradisi keilmuan Islam yang menjadi asas pembentukan tamadun Islam.

Barangkali inilah juga antara faktor yang menyebabkan PAS pernah mempunyai hubungan yang begitu rapat dengan beliau pada suatu ketika dahulu. 

Atas sebab itu, saya pernah menyatakan harapan agar PAS dan Anwar Ibrahim dapat kembali menemukan titik persamaan pada masa hadapan. Walaupun landskap politik semasa memperlihatkan jurang yang ketara antara kedua-dua pihak, persamaan dari sudut akar pemikiran Islam masih wujud. Tidak mustahil, jika keadaan politik berubah dan kedua-dua pihak bersedia mengetepikan perbezaan, kerjasama itu boleh kembali terjalin, mungkin menjelang Pilihan Raya Umum ke-16. Di dalam politik, apa-apa sahaja boleh berlaku.

Sebelum ini saya pernah berpandangan bahawa PAS sepatutnya mendekati Anwar Ibrahim dan memanfaatkan ketokohan beliau sebagai Perdana Menteri. Peluang tersebut adalah selepas PRU15 apabila PAS ditawarkan untuk bersama kerajaan perpaduan. Bukan kerana PAS perlu meninggalkan prinsipnya, tetapi kerana tokoh yang mampu diterima oleh pelbagai kelompok masyarakat merupakan aset yang sukar dicari dalam politik Malaysia. Pada hemat saya, ketokohan seperti ini tidak mudah ditemui sama ada dalam PAS mahupun UMNO.

Jika dilihat secara umum, PAS mempunyai kecenderungan kepada pendekatan tradisionalis, manakala DAP pula mempunyai ideologi politik yang tersendiri. UMNO pula lebih banyak berkembang sebagai parti pragmatik yang menyesuaikan diri mengikut keadaan semasa dan tidak mempunyai satu kerangka ideologi yang begitu jelas seperti dua parti tersebut.

Cabaran terbesar politik Malaysia ialah mencari titik temu antara ideologi yang berbeza tanpa mengorbankan kestabilan negara. Dalam hal ini, pemimpin yang mampu merentasi sempadan politik, agama dan kaum mempunyai nilai yang sangat tinggi.

Mungkin kita sedang melalui satu fasa penentuan. Disebabkan faktor usia dan pelbagai salah faham terhadap pendekatan politik beliau, Malaysia berkemungkinan terlepas peluang untuk menyaksikan sepenuhnya potensi seorang pemimpin yang mampu menjadi penyatu masyarakat dan politik negara. Sama ada seseorang bersetuju atau tidak dengan dasar-dasar beliau, keupayaan membina jambatan antara kelompok yang berbeza merupakan satu ciri kepimpinan yang jarang dimiliki dan sukar diganti.

Dr.Ruzman Md Noor, PhD (AIKOL) IIUM

TULISAN INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS, TIDAK MEWAKILI MANA2 ORGANISASI DAN TIDAK SEMESTINYA PENDIRIAN ADMIN BLOG INI.


BIOGRAFI DR.RUZMAN MD NOOR


Dr. Ruzman Md Noor ialah seorang Profesor Madya (Bersara) dari Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Bidang kepakaran beliau merangkumi Undang-Undang Keterangan Islam, Undang-Undang Keterangan Perbandingan, Sistem Kehakiman Islam, Undang-Undang Antarabangsa Perbandingan serta Reformasi Undang-Undang Islam. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Malaya (UM), diikuti Ijazah Sarjana Undang-Undang Perbandingan serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

 
Baca juga tulisan beliau bertajuk POLITIK : ANTARA PRINSIP DAN SURVIVAL DI SINI.



 




Monday, 13 July 2026

BERKONVOI MOTOSIKAL ADALAH AKTIVITI BERISIKO



Ada pihak yang mempertahankan aktiviti berkonvoi di jalan raya dengan alasan, "Berkonvoi tidak salah. Yang salah ialah peserta yang tidak mematuhi peraturan. Berkonvoi pun ada manfaat, dinyatakan beberapa manfaat...".

Dalam konteks sikap pengguna, penguatkuasaan undang2 dan keadaan sistem jalanraya kita, saya kurang setuju dengan pendapat ini walaupun ada hujah yang munasabah. Ini pendapat saya...

Keselamatan bukan hanya bergantung kepada sikap manusia, tetapi juga kepada kesesuaian tempat dan sistem jalanraya.

Kita tidak bermain bola di lebuh raya walaupun semua pemain berjanji akan mengikut peraturan dan diawasi oleh pengadil yang cekap. Kita juga tidak membenarkan perlumbaan basikal di jalan yang sesak semata-mata kerana pesertanya berdisiplin. Tempat yang tidak sesuai tetap mendedahkan risiko yang tinggi.

Lebih penting, risiko itu bukan hanya kepada peserta, tetapi turut melibatkan pengguna jalan raya yang lain. Bukan sekadar risiko cedera, tetapi juga cacat dan mati.

Begitu juga dengan konvoi motosikal. Jalan raya kita bukan dibina khusus untuk konvoi motosikal yang besar. Ia dikongsi dengan lori, bas, kereta dan pelbagai pengguna lain. Apabila puluhan atau ratusan motosikal bergerak sebagai satu kumpulan, satu kesilapan kecil sahaja sudah cukup mencetuskan kesan berantai yang meragut banyak nyawa.

Dalam keselamatan jalan raya, kita tidak boleh bergantung kepada harapan bahawa semua orang akan sentiasa memandu atau menunggang dengan sempurna. Manusia tetap melakukan kesilapan.

Sebab itu, langkah yang paling berkesan bukan sekadar mengingatkan peserta supaya berhati-hati, tetapi mengelakkan aktiviti berisiko tinggi daripada dilakukan dalam persekitaran yang memang tidak direka untuknya.

Kadang-kadang, keputusan yang paling bijak bukanlah mencari cara untuk mengurangkan risiko, tetapi memilih untuk tidak mengambil risiko itu sejak awal.


Catatan: Tulisan di atas tidak merangkumi konvoi kenderaan resmi yang dipantau pergerakannya oleh pihak berkuasa.


DDrRN

13hb Julai 2026

Sunday, 12 July 2026

POLITIK : ANTARA PRINSIP DAN SURVIVAL

 

Penulis : Dr.Ruzman Md Noor

Ramai melihat politik hanya melalui kaca mata siapa kawan dan siapa lawan. Hakikatnya, politik juga adalah soal survival.

PAS mempunyai fikrah politik yang jelas. Matlamat besarnya ialah memastikan pengaruh politik Islam dan Melayu terus kekal. Samada versi Islam mereka itu betul ataupun tidak, bukan skop perbincangan di sini. UMNO pula, walaupun sering dikritik dengan pelbagai kelemahannya, masih menjadikan survival politik Melayu sebagai naratif utamanya.

PAS sedar bahawa dalam sistem politik Malaysia yang berbilang kaum dan parti, peluang untuk memerintah secara bersendirian amat tipis. Sebab itu PAS sentiasa mencari ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang dianggap boleh membantu mencapai sebahagian daripada matlamatnya. Dalam realiti ini, agenda seperti pelaksanaan hudud bukan lagi keutamaan yang sering dilaungkan kerana mereka sendiri memahami kekangan politik yang wujud.

Jika PAS memilih bekerjasama dengan BN, ia sebenarnya memberi nafas baharu kepada UMNO. Dalam senario itu, tidak mustahil selepas PRU-16, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri, PAS menyertai kerajaan dan memperoleh beberapa portfolio Kabinet.

Namun, jika melihat sejarah politik negara, hubungan itu mungkin tidak kekal lama. Apabila kepentingan politik berubah atau berlaku pertembungan, mereka boleh berpisah semula. PAS kembali menjadi pembangkang, UMNO meneruskan haluannya, dan mungkin akan muncul pula gabungan politik yang baharu.

Begitulah politik Malaysia. Tiada kawan yang kekal, tiada musuh yang kekal. Yang kekal hanyalah kepentingan politik dan kelangsungan parti.

Pada pandangan saya, sekiranya PAS memilih untuk bekerjasama dengan DS Anwar Ibrahim (DSAI) sejak awal pembentukan Kerajaan Perpaduan, landskap politik negara mungkin berbeza. Kehadiran PAS berpotensi mewujudkan keseimbangan yang lebih baik dalam kerajaan, memberi lebih banyak ruang kepada agenda Islam dan Melayu, mengurangkan kebergantungan kepada parti-parti lain, serta sekali gus menepis persepsi sebahagian rakyat bahawa DSAI terlalu dipengaruhi oleh rakan-rakan gabungannya, termasuk parti yang majoriti penyokongnya bukan Melayu. Ini cuma ramalan saya.

UMNO tidak banyak berubah. PAS juga tidak banyak berubah. Yang berubah ialah susunan kerusi di meja rundingan.

Rakyat pula tidak berada di meja rundingan. Tugas kita hanyalah memerhati, menilai dan membuat pilihan apabila tiba hari mengundi.

Seperti kata seorang politikus "Kepelikan politik, berlawan di negeri, berkawan di pusat". Itu hanya satu daripada banyak paradoks politik Malaysia. Jangan terkejut jika esok lawan menjadi kawan, dan lusa kawan kembali menjadi lawan atau berkawan dengan kawan lawan.

Dr.Ruzman Md Noor

13hb Julai 2026


BIOGRAFI DR.RUZMAN MD NOOR

Dr. Ruzman Md Noor ialah seorang Profesor Madya (Bersara) dari Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Bidang kepakaran beliau merangkumi Undang-Undang Keterangan Islam, Undang-Undang Keterangan Perbandingan, Sistem Kehakiman Islam, Undang-Undang Antarabangsa Perbandingan serta Reformasi Undang-Undang Islam.


Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Malaya (UM), diikuti Ijazah Sarjana Undang-Undang Perbandingan serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Tuesday, 7 July 2026

BEKAM : APA PENDAPAT PERUBATAN MODEN

 



Bekam Dari Perspektif Perubatan Moden

Bekam atau hijama merupakan kaedah rawatan tradisional yang telah diamalkan sejak lebih 5,000 tahun lalu di pelbagai tamadun. Secara umum, terdapat dua jenis bekam, iaitu bekam kering yang hanya menggunakan sedutan pada kulit dan bekam basah yang melibatkan torehan kecil untuk mengeluarkan sedikit darah. Amalan ini turut dikenali dalam sejarah Islam, namun ia juga telah lama diamalkan sebelum kedatangan Islam.

Pengamal bekam mendakwa rawatan ini mampu merawat pelbagai penyakit seperti darah tinggi, diabetes, migrain, asma, penyakit sendi, strok, masalah kesuburan dan banyak lagi. Pelbagai teori dikemukakan bagi menerangkan mekanisme bekam, termasuk meningkatkan aliran darah, merangsang sistem imun, membuang toksin dan "darah kotor". Walau bagaimanapun, kebanyakan teori ini masih belum disokong oleh bukti saintifik yang kukuh.

Daripada perspektif perubatan moden, keberkesanan sesuatu rawatan perlu dibuktikan melalui kajian klinikal yang berkualiti tinggi, seperti randomized controlled trial (RCT) dan systematic review. Testimoni, pengalaman individu serta kajian makmal semata-mata tidak memadai untuk membuktikan sesuatu rawatan benar-benar berkesan.

Semakan terhadap kajian-kajian saintifik mengenai bekam menunjukkan bahawa majoriti kajian yang diterbitkan mempunyai kelemahan dari segi metodologi. Kebanyakannya melibatkan bilangan peserta yang kecil, tiada kumpulan kawalan, tiada kaedah blinding, dan berisiko tinggi menghasilkan keputusan yang berat sebelah (bias). Oleh itu, banyak dakwaan mengenai manfaat bekam masih belum dapat disahkan secara saintifik.

Bukti terbaik yang ada pada masa ini menunjukkan bekam mungkin memberikan kelegaan jangka pendek terhadap beberapa jenis kesakitan seperti sakit leher, sakit belakang, sakit bahu, sakit kepala dan kesakitan akibat herpes zoster (kayap). Namun, keberkesanannya adalah sederhana dan masih sukar dipastikan sama ada ia benar-benar disebabkan oleh bekam atau sebahagiannya berpunca daripada kesan plasebo.

Bagi penyakit lain seperti diabetes, hipertensi, penyakit jantung, strok, penyakit buah pinggang, kanser dan pelbagai penyakit kronik lain, sehingga kini belum terdapat bukti saintifik yang kukuh bahawa bekam mampu merawat atau menyembuhkan penyakit-penyakit tersebut. Justeru, bekam tidak boleh dijadikan pengganti kepada rawatan moden yang terbukti berkesan.

Dari aspek keselamatan, bekam secara amnya selamat jika dilakukan oleh pengamal yang terlatih dan mematuhi prosedur kebersihan serta kawalan jangkitan. Namun, bekam basah tetap mempunyai risiko seperti lebam, pendarahan, jangkitan, parut, kekurangan darah dan penularan penyakit bawaan darah seperti hepatitis dan HIV jika prosedur tidak dilakukan dengan betul. Oleh itu, terdapat beberapa keadaan di mana bekam perlu dielakkan atau dilakukan dengan berhati-hati, termasuk pada pesakit yang mengambil ubat pencair darah, mengalami gangguan pembekuan darah atau mempunyai penyakit tertentu.

Dalam perubatan moden, pengeluaran darah hanya digunakan bagi beberapa penyakit tertentu melalui prosedur phlebotomy yang dilakukan di bawah pengawasan pakar. Prosedur ini tidak sama dengan bekam dan tidak boleh digantikan sesuka hati kerana mempunyai petunjuk, kaedah dan pemantauan yang berbeza.

Kesimpulannya, berdasarkan bukti saintifik semasa, bekam boleh dipertimbangkan sebagai rawatan pelengkap (complementary therapy) bagi membantu mengurangkan kesakitan atau memberikan rasa relaks kepada sesetengah individu. Namun, ia tidak sepatutnya menggantikan rawatan moden yang telah terbukti berkesan. Dakwaan bahawa bekam mampu merawat pelbagai penyakit kronik tanpa bukti saintifik yang kukuh merupakan overclaim yang boleh mengelirukan masyarakat dan menyebabkan pesakit menangguhkan rawatan yang sepatutnya.

Pendekatan yang paling wajar ialah mengamalkan perubatan berasaskan bukti (evidence-based medicine), iaitu menerima manfaat bekam yang telah disokong oleh kajian, tetapi pada masa yang sama menolak dakwaan yang belum dibuktikan secara saintifik. Dengan cara ini, bekam boleh terus diamalkan secara lebih selamat, beretika dan memberi manfaat kepada pesakit tanpa menjejaskan rawatan perubatan moden.

Dato' Dr.Rushdan Noor


RUJUKAN


El Sayed, Baghdad H, Taleb AA, et al. Al hijamah and oral honey for treating thalasaemia, condition of iron overload, and hyperferremia: toward improving the therapeutic outcomes Journal of Blood Medicine, 2014:5:219-237)


El Sayed Sm, Mahmoud HS, Nabo MMH. Medical and Scientific Bases of Wet Cupping Therapy (Al-hijamah):in Light of Modern Medicine and Prophetic Medicine, Alternative and integrative Medicine, 2013;2:5


Alshowafi FK. Effecct of Blood Cupping on Some Biochemical Parameter, Med J.Cairo Univ.,2010, 78(1):311-315


Ahmed SM, Madbouly NH, Maklad SS, Abu-Shady EA. Immunomodulatory effects of blood letting cupping therapy in patients with rheumatoid arthritis. Egypt J Immunol, 2005;12(2):39-51


Zhang CQ, Liang TJ, Zhang W. Effects of drug cupping therapy on immune function in chronic asthmatic bronchitis patients during protracted period, Zhonqquo Zhong Xi Yi Jie He Za Zhi, 2006;26(11):984-7)


Tagil SM, Celik HT, Ciftci S, et al. Wet-cupping removes oxidants and decreases oxidative stress. Complement Ther Med, 2014;22(6):1032-6


Cao H,Li Xun, Yan X, et al. Cupping therapy for acute and chronic pain management: a systematic review of randomized clinical trials. Journal of Traditional Chinese Medical Sciences, 2014;1:49-61


Chen B, Li MY, Liu PD, Guo Y, Chen ZL. Alternative medicine: an update on cupping therapy, Commissioned Review. Q J Med, 2014, Nov 20, doi:10.1093/qimed/hcu227


Cao H, Han M, Li Xun, et al. Clinical research evidence of cupping therapy in China: A systematic literature review, BMC Complementary and Alternative Med, 2010:70


Cao H, Li Xun, Liu J. An Update Review of the Efficacy of Cupping Therapy. PLos ONE, 2012;7(2):e31793.doi:10.1371/journal.one.0031793



3Kim JI, Lee MS, Lee DH, Boddy K, Ernst E. Review Article: Cupping for treating Pain: A systematic Review. Evidence based Complementary and Alternative Medicine, 2011;Article 11, 1-7. Doi:10.1093/ecam/nep035


   Lee MS, Choy TS, Shin BC, et al. Cupping for stroke rehabilitation: a systematic review. Journal of the neurological sciences, 2010;294(1-2):70-73)


   Ranaei-siadat SO, Kheirandish H, Niasari et al. The effect of cupping (hejamat) on blood biochemical and immunological parameters. Iranian Journal of Pharmaceutical Research, 2004;3(Sup 2):31-32).


   Bilal M, Alam Khan R, Ahmed A & Afroz S. Partial evaluation of technique used in cupping. Journal of Basic and Applied Science,2011;7:65-68,


   Mahdavi Vaez MR, Ghazanfari T, Aghani M, et al. Evaluation of the effects of traditional cupping on the biochemical, haematological and immunological factors of human venous blood.A Compendium of Essays on Alternative Therapy


  Greenstone G. The history of bloodletting. BC Medical Journal, 2010;52(1):12-14


  Chun ZJ, Ao YJ, Jing XC, Kai S, Jin LJ. Burn induced by cupping therapy in a burn center in Northeast China. Wounds, 2014;26(7):214-220


   Moon Sh, Han HH, Rhie JW. Factitious panniculitis induced by cupping therapy. J Craniofac Surg, 2011; 22(6):2412-4, doi: 10.1097/SCS.0b013e318231fed6


   https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1521-irsyad-al-hadith-siri-ke-36-berbekam

     

   Al Bedah A, et al. The medical perspective of cupping  therapy: Effects and mechanism of action. Journal of Traditional and Complementary Medicine. Volume 9, Issue 2, April 2019, Pages 90-97


  https://www.rcpe.ac.uk/sites/default/files/thomas_0.pdf

http://www.bcmj.org/sites/default/files/BCMJ_52Vol1_bloodletting-premise.pdf










Monday, 6 July 2026

KAJIAN TERBARU: SELEPAS 13 BILLION DOS VAKSIN COVID-19 - APA KATA SAINS TENTANG VAKSIN mRNA ?

Selepas lebih 13 bilion dos vaksin COVID-19 mRNA diberikan di seluruh dunia, para penyelidik telah menghimpunkan bukti daripada ujian klinikal, kajian dunia sebenar dan sistem pemantauan keselamatan global. Kesimpulan mereka jelas: vaksin mRNA mempunyai profil keselamatan yang baik dan sangat berkesan dalam mengurangkan risiko COVID-19 yang teruk.

Kajian ini turut menjelaskan bahawa mRNA tidak mengubah DNA manusia. Sebaliknya, ia hanya memberi arahan sementara kepada sel untuk menghasilkan protein yang membantu sistem imun mengenali virus. Molekul mRNA kemudiannya akan diuraikan secara semula jadi dalam tempoh yang singkat.

Dari segi keberkesanan, vaksin mRNA didapati memberikan kira-kira 93% perlindungan terhadap kemasukan ke hospital dan 94% perlindungan terhadap kematian dalam tempoh awal selepas vaksinasi. Walaupun perlindungan terhadap jangkitan boleh berkurang mengikut masa dan kemunculan varian baharu, perlindungan terhadap penyakit yang serius kekal tinggi, terutama dalam kumpulan berisiko.

Dari aspek keselamatan pula, kesan sampingan serius seperti miokarditis dan perikarditis adalah sangat jarang berlaku, dianggarkan sekitar 12.6–35.6 kes bagi setiap sejuta dos. Kajian juga menyatakan bahawa risiko mengalami keradangan otot jantung adalah lebih tinggi akibat jangkitan COVID-19 berbanding selepas menerima vaksin.

Selain pandemik COVID-19, teknologi mRNA kini sedang dibangunkan untuk pelbagai kegunaan lain termasuk vaksin influenza, RSV, rawatan kanser yang diperibadikan dan beberapa penyakit lain. Ini menunjukkan bahawa teknologi mRNA berpotensi menjadi salah satu platform penting dalam perkembangan perubatan moden.

Dato' Dr.Rushdan Noor

7hb Julai 2026

RUJUKAN

Blakney A, Top KA, Cowling BJ, et al. (2026). Safety and efficacy of mRNA vaccines: a mechanistic and public health perspective. The Lancet, 407(10561): 1–20. https://doi.org/10.1016/S0140-6736(26)00512-X




Saturday, 4 July 2026

MENGAPA TESTIMONI MENGELIRUKAN? INILAH SEBAB SAINS TIDAK MENGANGGAPNYA SEBAGAI BUKTI YANG KUKUH

 


Setiap hari kita melihat pelbagai testimoni di media sosial. Ada yang mendakwa berjaya menurunkan berat badan, mengawal diabetes, menyembuhkan sakit sendi, mengecutkan ketumbuhan, malah ada yang mendakwa kanser hilang selepas mengambil sesuatu produk.

Apabila melihat ramai individu berkongsi pengalaman yang positif, kita mudah beranggapan bahawa produk tersebut benar-benar berkesan. Hakikatnya, testimoni bukanlah bukti saintifik.

Inilah sebab utama mengapa dalam bidang perubatan dan sains, sesuatu ubat atau produk kesihatan tidak boleh dipasarkan dengan hanya bersandarkan testimoni.

Bayangkan terdapat seramai 50,000 orang yang menggunakan Produk A. Daripada jumlah itu, hanya 1,000 orang memberikan testimoni bahawa mereka berjaya.

Apabila 1,000 testimoni ini dikumpulkan dalam video, poster dan media sosial, orang ramai akan merasakan produk tersebut sangat berkesan. Sedangkan mereka tidak mengetahui bahawa 1,000 orang itu hanyalah 2% daripada keseluruhan pengguna. Bagaimana pula dengan baki 49,000 orang (98%) yang tidak mendapat manfaat? Mereka biasanya tidak ditonjolkan, malah ramai yang tidak berkongsi pengalaman mereka.

Fenomena ini dikenali sebagai survivorship bias, iaitu kita hanya melihat kisah mereka yang kelihatan "berjaya", manakala mereka yang gagal atau tidak mendapat manfaat tidak diberi perhatian. Akibatnya, gambaran yang diterima oleh orang ramai menjadi berat sebelah.

Lebih penting lagi, seseorang yang sembuh selepas mengambil sesuatu produk tidak semestinya sembuh kerana produk tersebut.

Terdapat pelbagai kemungkinan lain. Penyakit itu mungkin sembuh secara semula jadi mengikut peredaran masa. Pesakit mungkin turut mengambil rawatan daripada doktor pada masa yang sama. Mereka mungkin mengubah gaya hidup seperti menjaga pemakanan, bersenam dan tidur dengan lebih baik. Ada juga yang mengalami kesan plasebo, iaitu keadaan di mana seseorang berasa lebih baik kerana mempercayai bahawa rawatan itu berkesan, walaupun produk tersebut sebenarnya tidak mempunyai kesan terapeutik terhadap penyakit berkenaan.

Oleh sebab itulah, sains tidak bergantung kepada testimoni untuk menentukan sama ada sesuatu rawatan benar-benar berkesan.

Sebelum sesuatu ubat diluluskan untuk digunakan, ia perlu melalui proses penyelidikan yang panjang. Kajian biasanya bermula di makmal (praklinikal), diikuti dengan kajian klinikal Fasa 1 untuk menilai keselamatan, Fasa 2 untuk melihat keberkesanan awal dan menentukan dos yang sesuai, serta Fasa 3 yang melibatkan sejumlah besar peserta bagi membandingkan ubat tersebut dengan plasebo atau rawatan standard. Hanya selepas melalui keseluruhan proses ini barulah keberkesanan dan keselamatan sesuatu rawatan dapat dinilai dengan lebih meyakinkan.

Kajian klinikal juga direka dengan teliti untuk mengurangkan pelbagai bentuk bias. Peserta dipilih mengikut kriteria tertentu, dibahagikan secara rawak kepada kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan, malah dalam banyak kajian, peserta dan penyelidik sendiri tidak mengetahui siapa yang menerima ubat sebenar atau plasebo. Pendekatan ini membantu memastikan keputusan yang diperoleh benar-benar berpunca daripada rawatan yang diuji, bukannya disebabkan faktor lain.

Sebaliknya, testimoni tidak mempunyai semua kawalan ini. Ia hanya menceritakan pengalaman individu tanpa dapat membuktikan hubungan sebab dan akibat.

Ini tidak bermaksud setiap individu yang memberikan testimoni berbohong. Ramai yang benar-benar percaya mereka telah mendapat manfaat. Namun, pengalaman peribadi tidak boleh dijadikan bukti bahawa sesuatu produk benar-benar berkesan untuk orang lain.

Sebab itu, pengguna perlu berhati-hati apabila melihat iklan yang dipenuhi testimoni. Lebih banyak testimoni tidak semestinya lebih banyak bukti. Apa yang lebih penting ialah sama ada produk tersebut telah dinilai melalui kajian klinikal yang berkualiti, diterbitkan dalam jurnal saintifik dan disahkan selamat serta berkesan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Kesimpulannya, testimoni boleh menjadi titik permulaan untuk mencetuskan hipotesis, tetapi ia bukan bukti keberkesanan. Dalam dunia sains, keputusan rawatan tidak dibuat berdasarkan kisah individu, sebaliknya berdasarkan bukti yang dikumpulkan secara sistematik daripada ribuan peserta melalui kajian klinikal yang direka dengan teliti. Kesihatan terlalu berharga untuk dipertaruhkan hanya kerana beberapa testimoni yang kelihatan meyakinkan.

Dato' Dr. Rushdan Noor

4hb Julai 2026