Saturday, 4 July 2026

MENGAPA TESTIMONI MENGELIRUKAN? INILAH SEBAB SAINS TIDAK MENGANGGAPNYA SEBAGAI BUKTI YANG KUKUH

 


Setiap hari kita melihat pelbagai testimoni di media sosial. Ada yang mendakwa berjaya menurunkan berat badan, mengawal diabetes, menyembuhkan sakit sendi, mengecutkan ketumbuhan, malah ada yang mendakwa kanser hilang selepas mengambil sesuatu produk.

Apabila melihat ramai individu berkongsi pengalaman yang positif, kita mudah beranggapan bahawa produk tersebut benar-benar berkesan. Hakikatnya, testimoni bukanlah bukti saintifik.

Inilah sebab utama mengapa dalam bidang perubatan dan sains, sesuatu ubat atau produk kesihatan tidak boleh dipasarkan dengan hanya bersandarkan testimoni.

Bayangkan terdapat seramai 50,000 orang yang menggunakan Produk A. Daripada jumlah itu, hanya 1,000 orang memberikan testimoni bahawa mereka berjaya.

Apabila 1,000 testimoni ini dikumpulkan dalam video, poster dan media sosial, orang ramai akan merasakan produk tersebut sangat berkesan. Sedangkan mereka tidak mengetahui bahawa 1,000 orang itu hanyalah 2% daripada keseluruhan pengguna. Bagaimana pula dengan baki 49,000 orang (98%) yang tidak mendapat manfaat? Mereka biasanya tidak ditonjolkan, malah ramai yang tidak berkongsi pengalaman mereka.

Fenomena ini dikenali sebagai survivorship bias, iaitu kita hanya melihat kisah mereka yang kelihatan "berjaya", manakala mereka yang gagal atau tidak mendapat manfaat tidak diberi perhatian. Akibatnya, gambaran yang diterima oleh orang ramai menjadi berat sebelah.

Lebih penting lagi, seseorang yang sembuh selepas mengambil sesuatu produk tidak semestinya sembuh kerana produk tersebut.

Terdapat pelbagai kemungkinan lain. Penyakit itu mungkin sembuh secara semula jadi mengikut peredaran masa. Pesakit mungkin turut mengambil rawatan daripada doktor pada masa yang sama. Mereka mungkin mengubah gaya hidup seperti menjaga pemakanan, bersenam dan tidur dengan lebih baik. Ada juga yang mengalami kesan plasebo, iaitu keadaan di mana seseorang berasa lebih baik kerana mempercayai bahawa rawatan itu berkesan, walaupun produk tersebut sebenarnya tidak mempunyai kesan terapeutik terhadap penyakit berkenaan.

Oleh sebab itulah, sains tidak bergantung kepada testimoni untuk menentukan sama ada sesuatu rawatan benar-benar berkesan.

Sebelum sesuatu ubat diluluskan untuk digunakan, ia perlu melalui proses penyelidikan yang panjang. Kajian biasanya bermula di makmal (praklinikal), diikuti dengan kajian klinikal Fasa 1 untuk menilai keselamatan, Fasa 2 untuk melihat keberkesanan awal dan menentukan dos yang sesuai, serta Fasa 3 yang melibatkan sejumlah besar peserta bagi membandingkan ubat tersebut dengan plasebo atau rawatan standard. Hanya selepas melalui keseluruhan proses ini barulah keberkesanan dan keselamatan sesuatu rawatan dapat dinilai dengan lebih meyakinkan.

Kajian klinikal juga direka dengan teliti untuk mengurangkan pelbagai bentuk bias. Peserta dipilih mengikut kriteria tertentu, dibahagikan secara rawak kepada kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan, malah dalam banyak kajian, peserta dan penyelidik sendiri tidak mengetahui siapa yang menerima ubat sebenar atau plasebo. Pendekatan ini membantu memastikan keputusan yang diperoleh benar-benar berpunca daripada rawatan yang diuji, bukannya disebabkan faktor lain.

Sebaliknya, testimoni tidak mempunyai semua kawalan ini. Ia hanya menceritakan pengalaman individu tanpa dapat membuktikan hubungan sebab dan akibat.

Ini tidak bermaksud setiap individu yang memberikan testimoni berbohong. Ramai yang benar-benar percaya mereka telah mendapat manfaat. Namun, pengalaman peribadi tidak boleh dijadikan bukti bahawa sesuatu produk benar-benar berkesan untuk orang lain.

Sebab itu, pengguna perlu berhati-hati apabila melihat iklan yang dipenuhi testimoni. Lebih banyak testimoni tidak semestinya lebih banyak bukti. Apa yang lebih penting ialah sama ada produk tersebut telah dinilai melalui kajian klinikal yang berkualiti, diterbitkan dalam jurnal saintifik dan disahkan selamat serta berkesan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

Kesimpulannya, testimoni boleh menjadi titik permulaan untuk mencetuskan hipotesis, tetapi ia bukan bukti keberkesanan. Dalam dunia sains, keputusan rawatan tidak dibuat berdasarkan kisah individu, sebaliknya berdasarkan bukti yang dikumpulkan secara sistematik daripada ribuan peserta melalui kajian klinikal yang direka dengan teliti. Kesihatan terlalu berharga untuk dipertaruhkan hanya kerana beberapa testimoni yang kelihatan meyakinkan.

Dato' Dr. Rushdan Noor

4hb Julai 2026



No comments:

Post a Comment