Sunday, 12 July 2026

POLITIK : ANTARA PRINSIP DAN SURVIVAL

 

Penulis : Dr.Ruzman Md Noor

Ramai melihat politik hanya melalui kaca mata siapa kawan dan siapa lawan. Hakikatnya, politik juga adalah soal survival.

PAS mempunyai fikrah politik yang jelas. Matlamat besarnya ialah memastikan pengaruh politik Islam dan Melayu terus kekal. Samada versi Islam mereka itu betul ataupun tidak, bukan skop perbincangan di sini. UMNO pula, walaupun sering dikritik dengan pelbagai kelemahannya, masih menjadikan survival politik Melayu sebagai naratif utamanya.

PAS sedar bahawa dalam sistem politik Malaysia yang berbilang kaum dan parti, peluang untuk memerintah secara bersendirian amat tipis. Sebab itu PAS sentiasa mencari ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang dianggap boleh membantu mencapai sebahagian daripada matlamatnya. Dalam realiti ini, agenda seperti pelaksanaan hudud bukan lagi keutamaan yang sering dilaungkan kerana mereka sendiri memahami kekangan politik yang wujud.

Jika PAS memilih bekerjasama dengan BN, ia sebenarnya memberi nafas baharu kepada UMNO. Dalam senario itu, tidak mustahil selepas PRU-16, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri, PAS menyertai kerajaan dan memperoleh beberapa portfolio Kabinet.

Namun, jika melihat sejarah politik negara, hubungan itu mungkin tidak kekal lama. Apabila kepentingan politik berubah atau berlaku pertembungan, mereka boleh berpisah semula. PAS kembali menjadi pembangkang, UMNO meneruskan haluannya, dan mungkin akan muncul pula gabungan politik yang baharu.

Begitulah politik Malaysia. Tiada kawan yang kekal, tiada musuh yang kekal. Yang kekal hanyalah kepentingan politik dan kelangsungan parti.

Pada pandangan saya, sekiranya PAS memilih untuk bekerjasama dengan DS Anwar Ibrahim (DSAI) sejak awal pembentukan Kerajaan Perpaduan, landskap politik negara mungkin berbeza. Kehadiran PAS berpotensi mewujudkan keseimbangan yang lebih baik dalam kerajaan, memberi lebih banyak ruang kepada agenda Islam dan Melayu, mengurangkan kebergantungan kepada parti-parti lain, serta sekali gus menepis persepsi sebahagian rakyat bahawa DSAI terlalu dipengaruhi oleh rakan-rakan gabungannya, termasuk parti yang majoriti penyokongnya bukan Melayu. Ini cuma ramalan saya.

UMNO tidak banyak berubah. PAS juga tidak banyak berubah. Yang berubah ialah susunan kerusi di meja rundingan.

Rakyat pula tidak berada di meja rundingan. Tugas kita hanyalah memerhati, menilai dan membuat pilihan apabila tiba hari mengundi.

Seperti kata seorang politikus "Kepelikan politik, berlawan di negeri, berkawan di pusat". Itu hanya satu daripada banyak paradoks politik Malaysia. Jangan terkejut jika esok lawan menjadi kawan, dan lusa kawan kembali menjadi lawan atau berkawan dengan kawan lawan.

Dr.Ruzman Md Noor

13hb Julai 2026

No comments:

Post a Comment