Statin merupakan ubat yang digunakan secara meluas untuk menurunkan paras kolesterol dan mengurangkan risiko serangan jantung serta strok.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, timbul persoalan sama ada statin turut memberi kesan terhadap kesihatan otak, khususnya dalam mengurangkan risiko demensia dan penyakit Alzheimer.
Satu systematic review dan meta-analisis yang diterbitkan pada tahun 2025 telah menghimpunkan 55 kajian pemerhatian melibatkan lebih 7 juta peserta bagi menilai persoalan ini. Ini adalah kajian meta-analisis terbesar setakat ini mengenai hubungan statin dan dementia.
Hasil kajian menunjukkan bahawa penggunaan statin dikaitkan dengan pengurangan risiko dementia sebanyak 14% berbanding individu yang tidak mengambil statin (HR 0.86; 95% CI 0.82–0.91). Risiko penyakit Alzheimer pula didapati berkurang sebanyak 18% (HR 0.82; 95% CI 0.74–0.90).
Menariknya, kesan perlindungan ini didapati lebih ketara dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2, mereka yang mengambil statin melebihi tiga tahun, serta dalam populasi Asia. Analisis juga menunjukkan rosuvastatin mempunyai hubungan paling kuat dengan pengurangan risiko demensia berbanding statin lain.
Bagaimanakah statin mungkin membantu? Walaupun mekanismanya masih belum dipastikan sepenuhnya, statin dipercayai dapat mengurangkan keradangan dan tekanan oksidatif, memperbaiki fungsi salur darah otak, mengurangkan risiko strok, serta mungkin mempengaruhi metabolisme protein beta-amyloid yang dikaitkan dengan penyakit Alzheimer.
Walau bagaimanapun, dapatan ini perlu ditafsirkan dengan berhati-hati. Semua kajian yang dianalisis ialah kajian pemerhatian (observational studies). Ini bermaksud kajian tersebut hanya menunjukkan hubungan (association) dan tidak semestinya membuktikan ada hubungan sebab-akibat (causation). Masih terdapat kemungkinan faktor lain seperti gaya hidup, tahap kesihatan dan akses kepada rawatan turut mempengaruhi keputusan.
Oleh itu, statin tidak sepatutnya dimulakan semata-mata untuk mencegah dementia berdasarkan bukti yang ada pada masa ini. Sebaliknya, statin perlu terus digunakan mengikut indikasi yang telah terbukti, iaitu untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Jika akhirnya kajian klinikal rawak (RCT) mengesahkan manfaat terhadap demensia, ia akan menjadi satu manfaat tambahan yang amat dialu-alukan.
Kesimpulannya, kajian ini memberikan berita yang menggalakkan. Selain melindungi jantung dan salur darah, statin mungkin turut membantu melindungi otak dan ia menolak dakwaan statin meningkatkan risiko dementia. Namun, lebih banyak kajian berkualiti tinggi masih diperlukan sebelum kita boleh membuat kesimpulan bahawa statin benar-benar mencegah demensia.
Dato'Dr.Rushdan Noor
22hb Julai 2026
RUJUKAN
Westphal Filho, F. L., Moss Lopes, P. R., de Almeida, A. M., Sano, V. K. T., Tamashiro, F. M., Gonçalves, O. R., de Moraes, F. C. A., Kreuz, M., Kelly, F. A., & Feitoza, P. V. S. (2025). Statin use and dementia risk: A systematic review and updated meta-analysis. Alzheimer's & Dementia: Translational Research & Clinical Interventions, 11(1), e70039. https://doi.org/10.1002/trc2.70039
Pautan artikel penuh (Open Access): https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC11736423/



No comments:
Post a Comment