Pada tahun 2020, The New England Journal of Medicine (NEJM) menerbitkan kajian pertama yang membuktikan bahawa vaksin HPV bukan sahaja mengurangkan jangkitan HPV atau lesi prakanker, malah mengurangkan kejadian kanser serviks invasif. Kajian ini melibatkan hampir 1.7 juta wanita Sweden yang diikuti dari tahun 2006 hingga 2017. Mereka yang menerima vaksin sebelum umur 17 tahun mengalami pengurangan risiko kanser serviks sebanyak 88%, manakala mereka yang divaksin pada umur 17–30 tahun masih menikmati pengurangan risiko sekitar 53% berbanding wanita yang tidak divaksin.
Namun begitu, pada waktu itu satu persoalan masih belum terjawab:
Adakah perlindungan vaksin akan berkekalan atau akan semakin berkurang (waning immunity) selepas 10–15 tahun?
Kajian BMJ Menjawab Persoalan Itu
Kajian susulan yang diterbitkan dalam BMJ menggunakan data yang lebih panjang sehingga tahun 2023, melibatkan 926,362 wanita dengan tempoh susulan sehingga 18 tahun selepas vaksinasi.
KEPUTUSAN KAJIAN
Wanita yang divaksin sebelum umur 17 tahun mempunyai risiko kanser serviks 79% lebih rendah berbanding wanita yang tidak divaksin (IRR 0.21).
Perlindungan tersebut kekal sehingga sekurang-kurangnya 13–15 tahun selepas vaksinasi.
Tiada bukti bahawa keberkesanan vaksin semakin berkurang sepanjang tempoh susulan.
Mereka yang menerima vaksin pada umur 17 tahun atau lebih juga masih mendapat perlindungan yang signifikan walaupun tidak setinggi kumpulan yang divaksin lebih awal.
KESAN PROGRAM VAKSINASI KEBANGSAAN
Kajian BMJ turut menunjukkan bahawa program vaksinasi HPV berasaskan sekolah memberi impak yang besar kepada populasi.
Wanita yang tergolong dalam kohort program vaksinasi sekolah mempunyai 72% risiko lebih rendah mendapat kanser serviks berbanding kohort yang hanya menerima vaksin secara individu atau "opportunistic vaccination". Ini menunjukkan bahawa liputan vaksin yang tinggi di peringkat populasi menghasilkan manfaat kesihatan awam yang nyata.
APAKAH MAKSUD KEDUA-DUA KAJIAN INI ?
Jika kajian NEJM merupakan bukti pertama bahawa vaksin HPV mencegah kanser serviks invasif, maka kajian BMJ mengesahkan bahawa:
Perlindungan tersebut berkekalan sekurang-kurangnya sehingga 18 tahun selepas vaksinasi.
Tiada tanda keberkesanan vaksin semakin menurun.
Program vaksinasi kebangsaan benar-benar mengurangkan kejadian kanser serviks di peringkat populasi.
Semakin awal vaksin diberikan, semakin besar perlindungan yang diperoleh.
KESIMPULAN
Gabungan kedua-dua kajian ini memberikan bukti epidemiologi yang sangat kukuh bahawa vaksin HPV:
Mengurangkan kejadian kanser serviks invasif, bukan sekadar jangkitan HPV.
Memberikan perlindungan jangka panjang tanpa bukti kehilangan keberkesanan sehingga sekurang-kurangnya 18 tahun.
Paling berkesan apabila diberikan sebelum umur 17 tahun, iaitu sebelum kebanyakan remaja terdedah kepada HPV.
Menyokong strategi WHO untuk menghapuskan kanser serviks melalui vaksinasi meluas dan saringan berkala.
Dato' Dr.Rushdan Noor
26hb Julai 2026
RUJUKAN
1. Lei J, Ploner A, Elfström KM, et al. HPV Vaccination and the Risk of Invasive Cervical Cancer. N Engl J Med. 2020;383:1340–1348.
2. Wu S, Deng Y, Lepp T, et al. Extended follow-up of invasive cervical cancer risk after quadrivalent HPV vaccination: nationwide, register based study. BMJ. 2026;392:e087326.


No comments:
Post a Comment