Saturday, 4 February 2023

PENGAJARAN DARI KEMELUT POLITIK NEGARA

 


Semasa kemelut politik berlaku di dalam negara kita beberapa tahun ini, apakah pengajaran yang telah kita perolehi setakat ini? Saya boleh kongsikan beberapa pengajaran yang telah dipelajari.
1. Kedudukan dan jawatan tidak kekal, dulu di atas, sekarang di bawah, begitulah sebaliknya. Yang di atas mesti ingat yang kedudukan itu boleh berubah. Yang di bawah pula, muhasabah dan terimalah ketentuan kerana peluang masa hadapan masih ada.
2. Sukarnya untuk membezakan antara maklumat yang benar dan tidak benar. Maklumat yang disangka benar, rupa2nya salah , begitu juga sebaliknya, mungkin kita gagal menapis dan tidak menggunakan cukup masa untuk menyelidik. Terlalu cepat percaya dan prasangka adalah punca utama salah faham. Kita juga terburu2 berkongsi maklumat yang separa masak. Dalam banyak keadaan, berdiam diri adalah sikap yang lebih bijak.
3. Jangan taksub dan menyanjung seseorang atau kumpulan secara keterlaluan. Begitu juga jangan mengeji dan membenci seseorang atau kumpulan keterlaluan. Disebabkan faktor no 2 di atas, kita seringkali lakukan kesilapan di dalam menilai seseorang. Pendirian dan sikap seseorang seringkali tidak mewakili kumpulan atau parti politik mereka.
4. Menyebar berita palsu atau fitnah adalah senjata yang sangat merbahaya dan boleh menjatuhkan reputasi seseorang malahan boleh menjatuhkan sebuah kerajaan. Berita2 palsu juga boleh mengundang ketegangan dan pergaduhan. Pastikan dulu sebarang dakwaan disertakan bukti yg kukuh. Satu tip yang boleh dijadikan amalan adalah menolak semua maklumat yang tidak dicatitkan sumbernya/penciptanya samada screenshot, infografik, keratan video dan tik tok. Anggap semua ini propaganda dan palsu semata2 kecuali apabila telah disahkan benar.
5. Yang ini selalu kita dengar. Di dalam politik, tidak ada rakan dan lawan yang kekal. Sebagai orang awam, cukuplah sekadar menjalankan tanggungjawab kita sebagai pengundi dan tak perlu bersusah payah turut serta dalam pertikaian pengikut2 orang politik sehingga bermusuhan sesama sendiri. Nanti orang politik berdamai, kita terus bermusuh, kita yg stres tak pasal2. Siapa yang untung dan siapa yang rugi?
6. Hujah dan pendirian orang politik boleh berubah2 mengikut masa dan keadaan. Kuasa politik kadangkala hanya boleh diperolehi melalui gabungan beberapa parti politik. Di dalam situasi ini dan di atas alasan no 5 di atas, pemimpin politik terpaksa menukar pendirian mereka. Mungkin mereka menjustifikasikan sikap ini dengan menggunakan alasan untuk mendapatkan manfaat yang lebih besar ataupun memilih mudarat yang lebih kecil. Orang2 agama menggunakan istilah ijtihad di dalam berpolitik. Kita yang tidak arif dalam politik akan seringkali salah sangka. Saya bukan mempertahankan orang politik tetapi cuba untuk berbaik sangka dengan mereka kerana ramai orang politik ini sebenarnya ikhlas dan baik. Lagipun berubah pendirian tanpa mengorbankan prinsip perjuangan bukanlah satu kesalahan yg besar.
7. Memandangkan no 6 di atas berlaku di dalam semua parti politik, maka kita tak perlulah nak menghentam teruk2 parti lain disebabkan mereka berubah pendirian kerana perkara yang sama pernah berlaku di dalam parti yang kita sokong, mungkin pada masa dahulu ataupun masa akan datang. Silap2 parti yang kita sokong itu lebih kerap buat U-turn.
Semoga pengajaran yang diperolehi beberapa tahun ini dapat meningkatkan ilmu orang ramai (termasuk saya) tentang politik dan mematangkan ahli2 politik sendiri. Apa yang lebih penting adalah dengan pengetahuan dan kematangan ini, politik di negara kita akan lebih sihat di masa hadapan.
Kerajaan sudah dibentuk dan menteri2 sudah dilantik maka pakat2 lah move on dan berharap sesuatu yang lebih baik terhasil dari kerajaan yang baru ini. Jika kita berharap sesuatu yang tidak baik kepada yang sedia ada, adakah jaminan sesuatu yang lebih baik akan mengambil aleh? Jadi berdoalah yang baik2.
Saya bukan seorang yang arif tentang politik jadi anggaplah ini hanya coretan peribadi semata2. Mungkin dengan mengambil pendirian seperti di atas, kita dapat kurangkan stres dan mengikis perasaan benci membenci antara satu sama lain. Lagipun hidup ini sangat singkat, suburkan kesefahaman dan kasih sayang.
DDr Rushdan Noor
6hb Feb 2023

Thursday, 26 January 2023

FENOMENA BOMOH SILAP MATA



FENOMENA BOMOH SILAP MATA

Silap mata ataupun magic/magik dianggap satu cabang seni untuk tujuan berhibur dan ada yang menjadikannya sebagai satu kerjaya. Sehebat mana sekalipun seseorang ahli silap mata, hakikatnya apa yang penonton saksikan itu hanyalah ilusi dan bukan realiti. Untuk menjadi ahli silap mata yang hebat, tidak perlu menggunakan makhluk halus kerana bidang seni ini sudah berkembang begitu pesat sehingga kaedah “menipu” yang digunakan itu sudah cukup canggih, malahan ada yang menggunakan teknologi moden untuk menipu mata penonton seperti menghilangkan objek besar, terapung di udara, berjalan di atas air, bernafas dalam air, kebal dan sebagainya. Pendek kata pada hari ini teknologi moden sudah boleh menggantikan tugas jin dan saka untuk melakukan perkara2 pelik dan luar biasa.

Masyarakat faham dan menerima kewujudan ahli silap mata dan tahu bahawa apa yang dilakukan oleh mereka adalah satu ilusi hasil daripada kemahiran pergerakan tangan, penggunaan alat2an, teknologi moden dan dibantu oleh pembantu yang turut "menipu". Jadi silap mata adalah satu bidang seni untuk menghiburkan penonton melalui “penipuan terancang”. Penonton mengeluarkan wang membayar harga tiket menyaksikan silap mata dan mendapat pulangan dalam bentuk keseronokan.

Terdapat satu lagi golongan manusia yang juga menggunakan kemahiran melakukan silap mata tetapi untuk tujuan menipu orang ramai supaya percaya bahawa mereka memang mampu melakukan sesuatu yang luarbiasa, benar2 pelik, bukan satu ilusi ataupun silap mata. Mangsa golongan ahli silap mata yang menipu ini selalunya adalah pesakit-pesakit dengan pelbagai masalah kesihatan seperti batu karang,ketumbuhan, penyakit kronik dan lain-lain. Ada juga yang sihat fizikal tapi dikatakan berpenyakit ataupun dirasuk jin. 

Disebabkan oleh tanggapan masyarakat kita bahawa apa2 sahaja yang pelik dan tak masuk akal mestilah kerja jin atau makhluk halus, maka penipu2 ini mengambil kesempatan untuk sengaja mengaitkan penyakit dengan serangan makhluk halus ataupun buatan orang. Di atas alasan serangan makhluk halus dan buatan orang inilah maka wujud seribu satu teknik silap mata yang digunakan seperti mengeluarkan kaca, paku, batu, jarum, rambut, haiwan dan lain-lain daripada tubuh badan pesakit. Malahan mereka juga mendakwa boleh melakukan pembedahan untuk mengeluarkan penyakit dengan kaedah yang dikenali sebagai bedah batin. Hakikatnya semua ini dilakukan dengan kaedah silap mata.

Bukan niat saya untuk menafikan kewujudan makhluk halus seperti jin dan iblis, tetapi untuk menyedarkan masyarakat bahawa sebelum kita meletakkan sebab sesuatu perkara itu ke atas makhluk halus, sepatutnya cari terlebih dahulu punca-punca yang boleh diterangkan oleh akal fikiran dan lojik. Jika ianya adalah gejala kesihatan, berjumpalah dengan doktor terlebih dahulu dan jalani pemeriksaan serta ujian yang lengkap sebelum menyalahkan makhluk halus ataupun buatan orang. Faktor2 penyebab penyakit ini apabila dikesan akan dapat dirawat dengan kaedah yang betul dan jika ianya penyakit yang serius, rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa seseorang. 

Sebahagian ulamak berpendapat tidak berdosa melakukan permainan silap mata selagi tidak ada unsur2 sihir dan syirik. Walau bagaimanapun menggunakan silap mata untuk tujuan menipu dengan mendakwa boleh mengubati penyakit bukan saja berdosa tetapi juga satu bentuk jenayah penipuan. Nampaknya apa sahaja yang asalnya baik boleh saja disalahgunakan untuk tujuan yang tidak baik oleh orang2 yang tidak baik. Orang ramai yang kurang berpengetahuan dan tidak teliti pasti akan jadi mangsa.

Di bawah ini saya sertakan pautan2 video yang menunjukkan rahsia di sebalik silap mata dan penipuan2 menggunakan kemahiran silap mata.

1. Rahsia bedah batin :

            https://youtu.be/k4fU0Swt4pI

2. Rahsia ilmu kebal: 

         https://youtu.be/mGVEn_vYg-A

3. Rahsia keluarkan santau ke dalam telur :         

         https://youtu.be/yI09PxPQ9jM

4. Contoh2 persembahan silap mata dan bagaimana ianya menipu mata manusia:

         https://youtu.be/Avo6gkVveaM

         https://youtu.be/mAFY-DRQS04

         https://youtu.be/Aaehd9xrdBQ

         https://youtu.be/dgFy7jasnU8

Kredit kepada En.Alif (gambar bawah), ahli silap mata yang membongkarkan rahsia penyalahgunaan silap mata

DDr Rushdan Noor 

19hb Disember 2019






Sunday, 22 January 2023

KELAHIRAN SELAMAT, PETUGAS/ANGGOTA KESIHATAN TERLATIH DAN DOULA

 


Isu kelahiran selamat memang menjadi salah satu tumpuan utama perkhidmatan O&G kerana isu ini sangat rapat kaitannya dengan kadar kematian ibu dan anak. Kajian menunjukkan dengan jelas kadar kematian ibu akan menurun apabila kadar kelahiran selamat meningkat (rujuk geraf).
MAKSUD KELAHIRAN SELAMAT
Kelahiran selamat didefinasikan sebagai kelahiran yang disambut oleh petugas/anggota yang terlatih dengan kelengkapan yang mencukupi. Untuk tujuan mengumpulkan data, peringkat kedua proses kelahiran (second stage) diambil sebagai titik penentu (critical point) kepada kelahiran selamat. Jadi kelahiran dianggap selamat apabila petugas yang terlatih mengendalikan proses kelahiran sekurang2nya pada peringkat kedua (dari serviks terbuka sepenuhnya hingga kelahiran anak yang lengkap). Dengan perkataan lain, jika peringkat kedua ini tidak dikendalikan oleh petugas terlatih, maka kelahiran tersebut tidak dianggap sebagai kelahiran selamat.



SIAPAKAH ANGGOTA KESIHATAN TERLATIH
Mengikut WHO, anggota kesihatan terlatih adalah petugas yang telah dilatih serta dikawal selia dalam penjagaan kesihatan ibu hamil dan bayi baru lahir mengikut piawaian kebangsaan dan antarabangsa. Dalam konteks negara kita Malaysia, Petugas terlatih adalah Pengamal Perubatan yang didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971 (Akta 50) atau Bidan yang berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia serta Jururawat Kebidangan dan Jururawat Masyarakat. Definasi Bidan berdaftar ini dinyatakan di dalam Akta Bidan 1966, di seksyen 9-11 yang dikepilkan di bawah. Saya juga pernah menulis tentang bidan terlatih di pautan ini : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10212819610792928&id=1468333443&mibextid=Nif5oz
KADAR KELAHIRAN SELAMAT DI MALAYSIA
Persoalan seterusnya adalah apakah kadar kelahiran selamat di Malaysia? Memandangkan kadar kelahiran selamat adalah salah satu kayu ukur yang penting bagi menilai keberkesanan penyampaian kesihatan ibu dan anak, data tentang kadar ini dipantau setiap tahun bagi memastikan ianya mencapai sasaran. Kadar kelahiran selamat diukur dalam bentuk peratusan kelahiran selamat yang dinisbahkan dengan jumlah kelahiran pada tahun tersebut. Pada tahun 1990, kadar kelahiran selamat di negara kita adalah 92.8%. Kadar ini meningkat perlahan-lahan di mana pada tahun 2015 ianya mencapai 99% dan data terakhir pada tahun 2019 adalah 99.83% (rujuk geraf). Ini adalah satu pencapaian yang sangat baik jika dibandingkan dengan negara-negara lain (rujuk geraf kadar kelahiran selamat oleh UNICEF di bawah). Jadi pada tahun 2019, kelahiran tidak selamat adalah 0.17%.


PUNCA KELAHIRAN TIDAK SELAMAT DAN PENGARUH "DOULA PALSU"
Punca berlakunya kelahiran tidak selamat (0.17%) adalah ibu yang mengalami "precipitate labour" di mana proses kelahiran berlaku terlalu cepat hingga tidak sempat dikendalikan oleh petugas terlatih, kelahiran yang berlaku semasa ibu dalam perjalanan ke fasiliti kesihatan dan ada juga ibu yang mengambil keputusan untuk bersalin sendirian di rumah. Malangnya kita tidak mempunyai data terperinci tentang ibu-ibu yang sengaja bersalin di rumah kerana kesukaran untuk mendapatkan maklumat yang betul kerana ibu-ibu ini akan memberi jawapan tidak sempat untuk bersalin di fasiliti kesihatan. Dalam kalangan mereka ini tentu ada yang terpengaruh dengan pengamal ilmu kelahiran sesat (cth Lotus birth dll ) yang tidak berdaftar/terlatih ataupun "Doula Palsu"(Individu yang mengaku seorang Doula tetapi tidak memiliki sijil latihan yang diiktiraf/sah di samping membuat amalan menyimpang dari tugas sebenar seorang Daola).
Doula bukan petugas kesihatan terlatih dan TIDAK layak untuk mengendalikan kelahiran anak. Jadi jika Doula mengendalikan kelahiran ataupun ibu itu bersalin sendiri, kelahiran yang berlaku itu dianggap kelahiran yang tidak selamat walaupun Doula tersebut memiliki sijil latihan Doula dari luar negara. Individu yang bukan petugas terlatih/berdaftar termasuk "Doula Palsu" yang sengaja menyambut kelahiran anak boleh diambil tindakan di bawah Akta Bidan 1966 (seksyen 14) di mana mereka boleh didenda tidak melebihi RM2000 ataupun dipenjarakan selama tidak lebih 1 tahun ataupun kedua2nya sekali. Berdasarkan kepada data yang saya bentangkan di atas, pengaruh "Doula Palsu" ini boleh dikatakan sangat kecil dan apa yang disiarkan oleh mereka dalam media sosial adalah umpama "ayam bertelur sebiji riuh sekampung".
Walaupun negara kita mempunyai kadar kelahiran selamat yang sangat tinggi, namun adalah penting untuk sekurang2nya mengekalkan status ini ataupun lebih baik lagi mencapai kadar yang lebih tinggi. KKM sedang giat menjalankan aktiviti pendidikan kesihatan, meningkatkan kemudahan tempat bersalin, bilangan kakitangan dan pemantauan ke atas semua ibu hamil bagi memastikan mereka mendapat perkhidmatan yang sempurna.
Ibu-ibu yang sengaja memilih untuk bersalin sendiri di rumah tanpa kehadiran petugas terlatih dan aktiviti "Doula Palsu" ataupun lain-lain pengamal yang tidak berdaftar sedang dalam radar KKM. Wanita2 yang sengaja memilih kelahiran tidak selamat ini nanti akan mengalami kesukaran untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka di Pejabat Pendaftaran. Kerjasama dalam bentuk membuat aduan (sebagai bukti) atau membantu siasatan oleh ibu2 yang terlibat sangat penting agar tindakan dapat diambil ke atas golongan yang tidak bertanggungjawab. Buat masa ini negara kita belum lagi mempunyai persatuan ataupun badan ataupun pengendali latihan yang diiktiraf untuk melatih Doula, sebab itu saya menggunakan istilah "Doula Palsu". Sememangnya ada cadangan untuk mengujudkan program latihan dan proses pengiktirafan Doula agar kita dapat menghasilkan Doula yang bertauliah, berdaftar dan tahu peranan sebenar mereka.
TAHAP KESEDARAN MASYARAKAT SEMAKIN TINGGI
Daripada perbincangan semasa mesyuarat ini dan juga maklumbalas daripada kakitangan KKM, kesedaran masyarakat Malaysia sudah semakin tinggi berkenaan dengan amalan kelahiran selamat dan semakin ramai yang sedar tentang mudarat yang dibawa oleh "Doula Palsu". Ini dibuktikan oleh kadar kelahiran selamat yang semakin meningkat. Kesedaran ini bukan sahaja hasil usaha oleh kakitangan KKM tetapi adalah juga usaha yang bersepadu oleh perkhidmatan swasta dan NGO seperti Medical Mythbusters Malaysia, MedTweetMY dan juga MedSos Influencer2. Pihak Jabatan mufti juga mengeluarkan fatwa tentang hukum menggunakan perkhidmatan pengendali kelahiran yang tidak terlatih termasuk "Doula Palsu". Semoga kerjasama ini dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa. Di samping kesedaran ibu-ibu, suami juga memainkan peranan dan perlu menjadi sasaran pendidikan kesihatan.

Tuesday, 3 January 2023

HUKUMAN MENAMPAR MUKA DARI SUDUT PERUBATAN DAN AGAMA


















Menampar menurut takrifan Wikipedia adalah membuat pukulan ke bahagian muka dengan tapak tangan ataupun bahagian belakang tangan di mana jari-jari tangan dibuka sepenuhnya. Berbeza dengan perbuatan menumbuk yang menggunakan genggaman tangan.

Selain dari merotan, menampar merupakan salah satu kaedah menghukum yang sering digunakan samada oleh ibu-bapa ataupun mungkin guru-guru di sekolah dan asrama. Mungkin kejadian menampar lebih sering berlaku dan kebanyakannya disembunyikan oleh anak-anak dan murid-murid. Menampar sering menjadi pilihan utama untuk menghukum kerana mudah dilakukan dan mungkin si pelaku merasa lebih puas melepaskan geram ke bahagian kepala dengan niat untuk memberi pengajaran. Niat si pelaku mungkin baik,  tetapi adakah menampar ini satu kaedah menghukum yang sesuai dan bertepatan dengan peraturan serta kehendak agama kita?

KESAN FIZIKAL DAN PSIKOLOGIKAL

Saya lebih suka untuk membincangkan apakah kesan menampar ke atas kanak-kanak, kerana bukan sahaja ianya kerap diamalkan tetapi disebabkan oleh potensi kesan samping yang boleh timbul akibat tamparan. Di dalam keadaan ini, si-penampar adalah seorang dewasa yang mampu melepaskan tamparan yang mempunyai kekuatan yang sangat besar terhadap anak yang masih kecil. 

Selama ini anda mungkin menganggap bahawa menampar itu adalah sesuatu yang tidak serius dan bukanlah satu isu yang besar, malah anda sendiri pun pernah ditampar pada satu ketika dahulu dan ramai dalam kalangan anda yang beranggapan bahawa disebabkan kena penampar inilah, anda pada hari ini lebih baik dan berjaya. Mengapa tidak ada yang mahu berfikir bahawa jika tidak kerana kena tampar, mungkin anda akan menjadi orang yang lebih baik dari hari ini. 

Tahukah anda bahawa perbuatan menampar itu boleh memberi kecederaan yang serius terutama ke atas kanak-kanak. Dari sudut perubatan, kita mengetahui bahawa kanak-kanak mempunyai organ-organ yang masih berkembang dan menjalani proses kematangan. Organ-organ ini juga merupakan organ yang rapuh, mudah tercedera dan berpotensi mendatangkan kesan negatif jangkamasa panjang. Organ-organ di bahagian muka seperti mata, telinga, mulut, lidah, saraf tunjang di leher dan juga otak merupakan organ-organ penting yang berpotensi tercedera jika bahagian muka dan kepala dijadikan tempat membuat pukulan atau tamparan. 

Kalau kita membaca mengenai kesan kecederaan muka dan kepala terutama ke atas kanak-kanak yang didera, kita akan dapati bahawa kebanyakan kecederaan tersebut adalah disebabkan oleh tindakan menampar ataupun menumbuk di bahagian muka.  

Orang yang menampar mungkin memakai cincin atau gelang dan kesan yang diakibatkan oleh tangan ini tentu sekali lebih serius. Apabila melakukan tamparan terutama di dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, kita tidak dapat mengawal dan menentukan dengan tepat bahagian muka yang akan terkena tamparan. Ini menyebabkan tamparan bahagian muka kadangkala boleh terkena leher, mata dan telinga. Tamparan yang dilakukan berulangkali tentu sekali memberi kesan yang lebih serius. 

Tamparan yang kuat bahagian kepala boleh mencederakan tulang leher ("cervical spine") dan saraf tunjang kerana anjakan kepala yang mendadak dan cepat . Otot-otot leher kanak-kanak belum cukup kuat untuk mempertahankan diri dari pergerakan kepala yang seumpama itu.  Anjakan cepat bahagian kepala ini juga boleh menggoncang otak dan ini boleh memecahkan salur darah,mengoyak selaput otak dan boleh berlaku pendarahan di dalam otak. Pada waktu yang sama jika kepala terhentak ke dinding atau apa-apa sahaja benda keras akibat momentum pergerakan kepala semasa ditampar, kecederaan yang berlaku boleh menjadi lebih serius dan mungkin boleh mengancam nyawa. Tamparan juga boleh mencederakan mata dan telinga. Jika tamparan ditujukan tepat pada cuping telinga dan menutup lubang telinga, maka tekanan kuat akan disalurkan ke dalam rongga telinga dan sampai ke gegendang , gegendang telinga boleh pecah dan ini akan menyebabkan gangguan pendengaran yang mungkin kekal jika rawatan tidak diberikan dan bahagian dalam telinga dijangkiti kuman. Pesakit yang mengalami pecah gegendang telinga perlu menjalani rawatan susulan untuk memantau perkembangan dan pendengaran. (https://www.bcm.edu/healthcare/care-centers/otolaryngology/conditions/tympanic-membrane-perforation) . 


 Jangkitan dalam telinga dikenali sebagai otitis media akibat gegendang telinga yang pecah dan tidak dirawat dan dipantau. Mangsa boleh kehilangan pendengaran.

Sebenarnya banyak lagi kesan-kesan fizikal akibat tamparan seperti lebam, pecah bibir, lidah, kepatahan gigi dan lain-lain yang tidak perlu saya terangkan dengan terperinci (lihat video di bawah). Apa yang penting adalah menampar bukan sesuatu perbuatan yang boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi jika ianya digunakan sebagai kaedah untuk menghukum ke atas kanak-kanak. Kesan fizikal yang diakibatkan oleh perbuatan menampar ini mungkin hanya akan dikesan atau dialami  beberapa ketika selepas perbuatan itu dilakukan. Di samping kesan fizikal yang dialami oleh kanak-kanak atau pelajar-pelajar yang ditampar ini, kesan psikologi merupakan salah satu akibat yang tidak kurang seriusnya. 

Menampar dikatakan salah satu kaedah yang boleh menjatuhkan maruah seseorang lebih-lebih lagi jika ianya dilakukan di hadapan khalayak ramai. Kanak-kanak atau pelajar-pelajar yang ditampar akan merasa terhina dan seringkali menaruh perasaan dendam ke atas orang yang menampar. Tidak hairan jika kajian menunjukkan kesan psikologi dan ingatan akibat menerima tamparan ini boleh kekal lama di dalam ingatan seseorang. Tidak hairanlah mengapa kita sering terdengar atau terbaca testimoni ramai orang awam yang masih ingat peristiwa mereka ditampar dan guru yang menampar ketika zaman persekolahan. Jika mereka berjaya pada hari ini, mereka akan kaitkan kejayaan mereka itu dengan peristiwa ditampar ataupun dirotan.

MENAMPAR PADA PANDANGAN ISLAM
 
Saya menyeru kepada semua pihak samada ibu-bapa dan guru-guru supaya mengelakkan diri dari menggunakan tamparan muka sebagai kaedah menghukum , hatta, apa sahaja bentuk pukulan ke bahagian leher ke atas adalah sangat-sangat ditegah dari aspek perubatan. Malah di dalam Islam, Rasulullah pernah menegah memukul bahagian muka sebagai kaedah mendidik, baginda bersabda maksudnya “Apabila sesorang kamu hendak memukul saudaranya (dengan tujuan dibenarkan syara') hendaklah dia menjauhi dari memukul mukanya (Hadis sahih Bukhari dan Muslim) (rujukan) 

Imam Nawawi pula berkata Ini adalah tegahan yang jelas terhadap memukul muka kerana:
1.   Muka adalah anggota lembut serta menghimpunkan segala kebaikan.
2.   Anggota yang ada padanya sangat bernilai
3.   Anggota yang ada padanya ada anggota panca indera seperti mata
4.   Pukulan boleh merosakkan anggota penting ini, mengurangkannya, menghodohkannya atau cacat.
5.   Kerosakan akibat pukulan di muka tidak boleh disembunyikan kerana ia adalah anggota yang jelas.

Pengarang kitab Subulus  Salam iaitu Imam Ash-Shan’ani ada menulis “Pengharaman pukulan dan tamparan di muka ini merangkumi semua keadaaan samaada untuk mendidik atau sebagainya."

KESIMPULAN

Kesimpulannya, apabila kita menghukum terutama ke atas anak-anak atau pelajar-pelajar, maka hukumlah dengan kaedah yang sesuai serta berhikmah dengan tujuan untuk mendidik dan penuh kasih sayang supaya ianya dapat menjadi pengajaran berguna dan bertujuan menjadikan mereka seorang insan yang lebih baik di masa hadapan. Memukul di bahagian muka dan kepala jelas bukan sahaja boleh membawa kemudaratan emosi dan fizikal kepada anak-anak, malah ianya juga dilarang oleh agama kita.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI DAN TIDAK MEWAKILI MANA2 PIHAK ATAU ORGANISASI.