Friday, 1 December 2023

APABILA CIKGU, DOKTOR DAN USTAZ BERBUAL TENTANG PRODUK "OVERCLAIM"

 


Satu hari 3 orang sahabat bertemu iaitu MA, RU dan DA. MA bertugas sebagai seorang guru, RU pula seorang pakar kanser dan DA pula seorang ustaz. Mereka berbincang tentang seorang lelaki BT yang menjual produk kononnya boleh merawat kanser.

MA : Aku ada berjumpa dengan iklan dalam facebook seorang bernama BT yang tengah giat mempromosi produk C kononnya boleh merawat kanser. Sana sini nampak muka dia dan produk dia. KKM tak kata apa2 pula.

Dr RU : Ya aku pun perasan, dia jual Jus yang kononnya boleh rawat kanser. Apa yang si BT tu dakwa sebenarnya tak betul. Produk C tidak ada bukti berkesan merawat kanser. Aku tahu sebab aku Pakar Kanser. Kalau berkesan, tentulah kami pakar2 kanser lebih tahu dan akan gunakan. Lagipun ada banyak jenis kanser yang mempunyai ciri2 berbeza. Mana mungkin ada satu produk boleh rawat semua jenis kanser.

MA : Tapi BT kata berkesan dan katanya yang sembuhkan itu Allah, bukan manusia. Manusia ni berikhtiar saja, dia pun berikhtiar juga la. Apa salahnya ikhtiar.

Ustaz DA : Apa yang BT kata tu memang ada betulnya, tapi ada juga yang tidak betul. Memang betul Allah yang sembuhkan tetapi dengan syarat ikhtiar itu kena betul. Nabi bersabda maksudnya "Setiap penyakit ada ubatnya, apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah" (Riwayat Muslim). Nabi sebut ubat yang betul bermaksud Nabi menyarankan kita mencari ubat yang berkesan untuk merawat penyakit itu. Ikhtiar tu kena betul dulu. Maksudnya jika penyakit itu kanser, perawat yang betul tentulah pakar kanser dan ubat yang betul itu tentulah ubat2 yang disyorkan oleh pakar kanser. Inilah ikhtiar yang betul. Bukan senang nak jadi pakar kanser dan merawat pesakit kanser, ni kerja kami hari2. Ilmu dan kemahiran yg kami ada ni pula, Allah yang bagi.

MA : Pasal apa orang lain selain dari Pakar Kanser tidak layak merawat penyakit kanser DA ? Bukan kah dunia ni luas dan pilihannya banyak.
Ustaz DA : Bukankah Allah berfirman dalam Surah Al-Anbiya, ayat 7 yang berbunyi
فَسْـَٔلُوْٓا اَهْلَ الذِّكْرِ اِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُوْنَ"
Maksudnya "maka bertanyalah orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui". Jadi dalam konteks penyakit kanser, Allah memberi panduan kepada kita untuk mencari perawat yang berilmu di dalam bidang kanser. Nabi sendiri pernah merujuk sahabat baginda yang sakit kepada seorang tabib (dianggap doktor pada ketika itu) yang bernama Al Harith Ibn Kaladah, walaupun beliau bukan beragama Islam. Nabi pun rujuk doktor. Aku nak tanya hang, kalau kereta hang rosak, hang bawa pi jumpa mekanik ke atau hang bawa jumpa doktor di klinik?

MA : Faham. Kalau kereta aku rosak, mestilah aku bawa ke bengkel mekanik. Aku nak tanya pakar kanser pula. Orang yang jual produk tu kata dia sembuh sebab amalkan produk itulah, katanya dia bekas pesakit kanser. Jadi macam mana tu?

Dr. RU: Adakah dia juga dirawat oleh Pakar Kanser ?

MA : Ya, dia kata memang dia dah menjalani rawatan dari pakar kanser.

Dr.RU : Jadi macam mana dia boleh yakin yang kanser dia sembuh sebab produk itu dan bukan rawatan kanser yang diberikan oleh pakar kanser?

MA : Ya tak ya juga RU. Macam lembu punya susu sapi dapat nama.

Dr RU ; Betul. Satu lagi MA, hang kena tahu yang dakwaan seseorang tentang keberkesanan ubat atau produk tu kita panggil testimoni. Dalam prinsip asas ilmu perubatan, kita tidak menerima testimoni sebagai bukti berkesannya sesuatu rawatan. Di dalam hirarki perubatan berasaskan bukti (EBM), testimoni ini terletak paling bawah. Maksudnya paling tak boleh pakai lah. Sesiapa pun boleh mendakwa apa2 sahaja, sedangkan bukti yang objektifnya tidak ada.

MA : Dia boleh menipu atau buat2 cerita kan ? Supaya orang yakin dan produk dia laris.

Dr RU: Betul. Kadang2 kesan positif yg dia alami tu tak ada kena mengena dengan produk tu. Maksudnya, kalau tanpa ambil produk tu pun dia boleh sembuh.

MA: Satu lagi RU, yang jual produk ni kata, apa masalahnya untuk ambik pil atau jus, bahan semulajadi, kalau tak berkesan pun tak apa, tak ada kesan sampingan.

Dr RU: Yang ini salah besar MA. Produk2 seperti ini di bawah kategori ubat tradisional atau makanan tambahan tidak dipantau seperti ubat2 hospital. Kelulusan yang KKM beri bukan di atas alasan ianya berkesan, tetapi atas alasan tidak tercemar dari beberapa bahan yang ditetapkan. KKM juga sering memgesan produk yang dicampur-palsu dengan ubat2 lain yang sepatutnya dikawal. Satu perkara lagi, pesakit seringkali salahfaham hingga meninggalkan ubat hospital dan tidak mendapatkan rawatan susulan. Harganya juga mahal. Semua ini boleh memudaratkan dan merugikan pesakit.

MA: I see, baru aku tahu. Kelulusan KKM bukan bermaksud ianya berkesan.

MA: Soalan ni aku nak tuju pula pada ustaz kita ni. Apa pendapat hang tentang merawat penyakit guna ayat2 quran ?

Ustaz DA : Quran adalah mukjizat dan betul, ayat2 quran ni boleh digunakan untuk merawat penyakit. Ini disebut oleh Allah dalam surah Al Israq, ayat ke 82. Rawatan guna ayat quran ni kita panggil ruqyah. Untuk pengetahuan hang MA, aku dapat maklumat ni dari RU juga bahawa ada 4 jenis penyakit iaitu penyakit fizikal, penyakit mental, penyakit kerohanian dan penyakit akibat makhluk halus. Penyakit fizikal dan mental ni penyakit yang memang ada pakar dan kaedah rawatan yang berkesan. Penyakit fizikal ni seperti kanser, kencing manis, sakit jantung dan lain2. Penyakit mental pula macam bipolar, kemurungan dan lain2. Ayat Quran boleh merawat kesemua jenis penyakit ini tetapi pada pendapat aku, jika seseorang mengalami penyakit fizikal dan mental yang diketahui punca, ada pakar dan rawatannya, maka seelok2nya pergilah dapatkan rawatan dari pakar2 ini dahulu. Ini selari dengan hadith nabi yang aku sebut mula2 tadi. Pada waktu yang sama, boleh lah gunakan rawatan ruqyah sebagai kaedah sampingan. Jika selepas penyiasatan lengkap, jenis penyakit masih tak dapat dikesan, maka kaedah ruqyah ini akan dijadikan rawatan utama. Pesakit ini berkemungkinan mengalami penyakit kerohanian ataupun akibat perbuatan makhluk halus. Ini dinyatakan oleh Allah dalam quran surah Yunus, ayat 57. Apabila sudah berikhtiar sebaik mungkin, barulah kita berdoa dan bertawakal kpd Allah.

MA : Alhamdulillah, banyak juga yang aku belajar hari ini. Tak sia2 aku ada kawan seorang Ustaz dan seorang lagi Pakar Kanser.

Ustaz DA : Sama2, aku pun belajar banyak juga daripada hampa berdua. Hang ni memang cikgu yang hebat, soalan2 hang semuanya bagus.

Dr RU: Aku pun sama. Kalau hang rajin, tulislah isi perbualan kita ni dalam facebook hang untuk mendidik masyarakat. Manalah tahu, yang jual produk overclaim tu pun terbaca juga. Semoga dia sedar apa yang dia lakukan boleh memudaratkan orang lain. Sudahlah kita tak tahu apa kandungan produk itu, harga pun boleh tahan. Takut pesakit hilang duit dan dapat pula kesan sampingan. Wang yang diperolehi dari perniagaan macam ini, aku rasa kurang berkat la kot. Betul kan DA?

Ustaz DA : Ya betul, kalau dia diingatkan dan sedar yang dia sedang menipu, tapi diteruskan juga, tentulah berdosa. Menipu seperti ini dilarang oleh Islam, seperti firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 188 bermaksud:
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah"
Ketiga2 sahabat ini pun bersurai dan pulang ke rumah masing2.
Dato' Dr Rushdan Noor
30hb Nov 2023
Cerita di atas tidak ada kena mengena dengan sesiapa samada yang hidup ataupun yang sudah meninggal. Ianya terpakai untuk apa2 sahaja jenis produk yang termasuk dalam kategori produk "overclaim".

No comments:

Post a Comment