Pengkaji tabiat manusia mengakui wujudnya segelintir orang yang mempunyai tahap keyakinan diri yang sangat tinggi walaupun ilmu dan kemahiran yang dimiliki sangat minima (keyakinan maksima, ilmu minima). Mereka ini tidak sedar yang mereka tidak faham/mahir banyak perkara tetapi perasan tahu segala2nya. Kalau dalam psikologi keadaan ini termasuk di dalam fenomena yang dikenali sebagai "Dunning-Kruger effects". Pakar psikologi berpendapat individu seumpama ini mempunyai tahap kognitif yang rendah dan kesedaran diri yang lemah ("poor self-awareness"), walaupun tidak semestinya mempunyai IQ yang rendah.
Berbekalkan "overconfident" ini mereka akan berkongsi dengan orang ramai tentang sesuatu ilmu yang pada hakikatnya apa yang disampaikan itu tidak betul. Bukan saja ilmu, mereka ini juga "overconfident" mahir melakukan sesuatu perkara dalam bentuk teknikal dan fizikal. Kelebihan "overconfident" inilah juga yang menjadi penarik untuk mengumpul pengikut dan peminat.
Bukan sedikit orang yang mengalami "Dunning Kruger Effect" ini dan sebahagian dari mereka boleh dikesan di dalam media sosial melibatkan pelbagai bidang. Contohnya seorang yang tidak ada asas ilmu perubatan, apatah lagi ilmu sakitpuan dan perbidanan, boleh mengeluarkan pendapat seolah2 dia tahu tentang ilmu kebidanan lebih daripada pakar O&G. Seseorang yang bukan di dalam bidang perubatan bercakap tentang jangkitan penyakit dan vaksin seolah2 lebih arif dari Pakar penyakit berjangkit dan pakar imunologi. Seorang ustaz bercakap dengan yakinnya bagaimana merawat penyakit kanser dan kencing manis. Manakala orang yang tidak ada asas ilmu perundangan, tiba2 dengan yakinnya mengeluarkan pendapat persis seorang pakar undang2. Begitu juga dalam bidang lain seperti ekonomi , agama dan lain2.
Orang ramai khususnya pengguna media sosial perlu cakna tentang keujudan individu yang mengalami "Dunning Kruger Effect", yakni orang bodoh tentang sesuatu perkara tetapi perasan mahir dan pandai. Mereka boleh memudaratkan masyarakat akibat dari penyebaran ilmu yang salah dan tahap kompetensi yang rendah. Mereka juga boleh memudaratkan diri sendiri apabila melakukan sesuatu aktiviti fizikal yang sebenarnya tidak mahir dilakukan.
Orang2 ini sukar dipulihkan kerana mereka tidak berpijak di bumi yang nyata dan mereka yakin dengan pendirian mereka. Pendek kata, mereka tidak ada "insight" tentang kejahilan dan kekurangan diri. Berdebat atau berhujah dengan orang ini juga tidak akan menyelesaikan masalah dan memperbetulkan keadaan. Mungkin tindakan lebih tepat adalah tidak melayani mereka, sebaliknya mendidik masyarakat agar tidak terjerumus ke dalam kumpulan mereka.
Ahli falsafah Inggeris, Bertrand Russel pernah merungut :
" The whole problem with the world is that fools and fanatics are always so certain of themselves, and wiser people so full of doubt"
Imam Shafie pernah berkata: " Aku mampu berhujah dengan 10 orang berilmu, tapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu"
Dato' Dr Rushdan Noor
27hb Nov 2023
No comments:
Post a Comment