Friday 24 November 2023

BAGAIMANA MENGENAL MADU YANG ASLI


BAGAIMANA MENGENAL MADU YANG ASLI

Terdapat lebih daripada 300 jenis madu di dunia. Kualiti madu berbeza-beza mengikut jenis bunga, iklim,geografi dan juga bagaimana ianya diproses serta disimpan. Bahan paling banyak di dalam madu adalah gula, manakala air hanya merangkumi 18% sahaja. Inilah yang menyebabkan wujudnya ciri-ciri madu asli yang pekat.

BEBERAPA MAKLUMAT TENTANG MADU YANG ANDA PATUT TAHU

1. Seekor lebah menghasilkan 1 sudu kecil nektar sepanjang hayatnya. Seekor lebah terbang dengan kelajuan 12 batu sejam dan dalam satu trip mereka akan hinggap di 50-100 kuntum bunga untuk mengutip nektar.

2. Madu asli mempunyai banyak khasiat kesihatan sebab mengandungi air (18%), gula (40% fruktosa dan 30% glukosa) dan 12% lain2 bahan seperti vitamin, mineral, asid organik, fitonutrin, asid amino dan sebagainya.

3. Madu adalah berasid dengan PH 3.2-4.5. Ciri2 ini dapat merencat beberapa jenis bakteria.

4. Madu asli yang terbaik adalah madu yang tidak diproses, tidak dipanaskan dan diperolehi daripada kawasan yang tidak tercemar. Madu asli boleh menjadi kurang berkhasiat jika diproses dan disimpan dengan cara yang tidak betul.

5. Malangnya hampir 80% madu yang dijual di pasaran BUKAN madu asli

6. Madu tiruan adalah madu yang telah dicampurkan dengan lain-lain bahan seperti sirap, gula, kanji dan lain-lain.

7. Kaedah paling tepat untuk mengukur ketulinan madu adalah melalui ujian makmal menggunakan alat bernama HPLC MS MS** (ketepatan 98%).
** High Performance Liquid Chromatography Mass Spectrometry

10 KAEDAH (KURANG TEPAT) UNTUK MENGENAL MADU ASLI YANG BOLEH DILAKUKAN DI RUMAH

1. Madu asli mempunyai bau (mengikut jenis bunga yang menghasilkannya) dan tekstur yang unik (lembut)

2. Apabila menelan madu asli terasa kepanasan pada tekak.

3. Disebabkan oleh kandungan airnya sedikit tetapi gulanya tinggi, madu asli adalah pekat dan tidak menitis bila dituang, sebaliknya membentuk aliran yang tidak putus.

4. Titiskan madu atas kertas tisu dan madu asli lazimnya tidak meresap, sebaliknya madu yang dicairkan akan meresap ke dalam kertas tisu. Tetapi madu tiruan yang dipekatkan dengan gula tambahan juga kelihatan seperti madu asli.

5. Jika anda mecampurkan 2-3 titis cuka ke dalam madu dan berbuih, madu tersebut tidak seasli yang anda sangka.

6. Madu tiruan mengandungi lebih air dan boleh membeku (frozen) apabila disimpan pada suhu tahap beku, berbanding dengan madu asli, kandungan air juga membuatkan madu tiruan berbuih.

7. Madu asli boleh menjadi berkristal (crystallization) disebabkan oleh kandungan gula (fruktosa dan glukosa) yang tinggi apabila dipanaskan.

8. Semut tidak suka kepada madu asli sebab bau dan juga kepekatan madu asli yang membuat semut melekat padanya. Apabila madu menerima kelembapan dan kandungan air meningkat, kepekatannya menurun dan pada masa itu semut mula menghurung.

9. Ujian air (“water test”) dapat mengesan kandungan air yang tinggi di dalam madu tiruan. Penuhkan air di dalam gelas, tambah satu sudu madu ke dalam gelas, madu tiruan akan larut di dalam air dan kelihatan di sekeliling gelas. Madu asli akan mendap ke dasar gelas.

10. Ujian api ("flame test"). Tidak ramai yang mengetahui bahawa madu asli boleh menyalakan api. Ambil hujung mancis atau putik kapas ("cotton bud") dan celupkan di dalam madu, letakkan pada api, madu asli akan terbakar sedangkan madu tiruan tidak terbakar.

Banyak lagi petua dan ujian-ujian menguji ketulinan madu tetapi tidak ada satupun yang mempunyai ketepatan yang tinggi. Pakar madu mengesyorkan buat beberapa ujian berbeza untuk meningkatkan ketepatan ramalan.

Madu yang dicampurkan dengan sarang lebah BUKAN jaminan ketulinan, itu adalah strategi perniagaan.

DDr Rushdan Noor
26hb Nov 2023

https://bigislandbees.com/blogs/bee-blog/14137349-interesting-bee-honey-facts

https://food.ndtv.com/food-drinks/how-to-check-if-your-honey-is-pure-or-adulterated-1690779

https://www.wikihow.com/Verify-the-Purity-of-Honey

https://newzealandhoneyco.com/blogs/honey-articles/how-to-tell-if-honey-is-pure







Dato' Dr. Rushdan Noor
26hb Nov 2023

No comments:

Post a Comment