Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, muncul satu fenomena yang semakin ketara di media sosial: kewujudan medical influencer hibrid — individu berkelulusan perubatan, malah ada yang bertaraf pakar, tetapi cara mereka bercakap tentang kesihatan semakin menyerupai pengamal perubatan alternatif.
Istilah seperti “healing”, “detox”, “root cause”, "mitokondria lemah", leaky gut, “anti-inflammatory diet” dan lain2 mula digunakan bercampur-aduk dengan konsep perubatan sebenar. Ramai yang tidak sedar bahawa sebahagian istilah ini diambil terus daripada dunia perubatan alternatif yang tidak disokong bukti kukuh. Banyak istilah2 ini tidak juga ujud dalam ICD dan CPG.
Fenomena ini tidak muncul dengan sendirinya. Selama bertahun-tahun, masyarakat sudah terbiasa dengan bahasa dan naratif pempengaruh pseudo-sains yang pandai menggoreng ayat, penuh janji dan kononnya “rawatan semulajadi”. Walaupun mereka tidak mempunyai kelayakan perubatan, mereka berjaya menguasai media sosial membina kepercayaan, membentuk cita rasa masyarakat, dan mendidik orang ramai mengikut versi “sains” mereka.
Akhirnya, sebahagian doktor perubatan sebenar mula mengikut rentak ini. Bukan kerana mereka tidak tahu, tetapi kerana tekanan populariti. Konten berasaskan sains sebenar sukar mendapat perhatian; konten bersifat “wellness”, “holistik”, dan “natural healing” pula mudah tular. Untuk kekal relevan, sebahagian mereka mula menggabungkan konsep alternatif dalam penyampaian mereka dan garis pemisah antara ilmu perubatan dan pseudo-sains semakin kabur. Saya selalu gunakan istilah 'sains caca merba'.
Saya sebenarnya tidak setuju apabila ada doktor yang mula mengikut istilah perubatan yang dicipta oleh orang awam seperti “sakit urat”, “masuk angin”, atau “makanan panas–sejuk”. Istilah-istilah ini terlalu longgar, tidak ada definisi biologi yang jelas, dan setiap orang pula memahami maksudnya berbeza-beza. Sepatutnya, tugas profesional perubatan ialah mendidik masyarakat dan menjelaskan makna sebenar contohnya “urat” boleh merujuk kepada saluran darah, saraf, otot atau ligamen, bergantung pada konteks. Tetapi kerana mahu mengambil hati pesakit dan mahu nampak “dekat” dengan masyarakat, ada pula doktor yang cuba menjustifikasikan istilah-istilah ini dan menggunakannya dalam penerangan seolah-olah ia memang istilah perubatan. Tindakan ini sebenarnya mengelirukan dan menurunkan standard komunikasi sains.
Lebih membimbangkan, pakar perubatan yang beretika dan kompeten biasanya tidak berminat menjadi pempengaruh. Mereka sibuk dengan tugas klinikal, penyelidikan, pengajaran, pentadbiran hospital, dan tanggungjawab profesional. Mereka tidak hidup dalam dunia “hook”, “branding”, “algorithm”, atau “engagement”. Akibatnya, suara paling berautoriti menjadi semakin perlahan manakala suara paling sensasi menjadi semakin lantang.
Risikonya ialah masyarakat mula menilai kredibiliti berdasarkan populariti, bukan ilmu. Masyarakat tidak lagi bertanya apa kajian menyokong sesuatu dakwaan, tetapi siapa paling meyakinkan, siapa paling petah, dan siapa paling kerap muncul di telefon mereka.
Inilah yang kita bimbangkan: jika keadaan ini berterusan, Malaysia boleh melalui fasa yang sama seperti Amerika Syarikat. Di sana, industri “wellness” yang dipelopori pempengaruh pseudo-sains telah tumbuh menjadi gergasi. Mereka bukan saja mempengaruhi masyarakat, tetapi juga ahli politik dan dasar negara. Pakar perubatan sebenar pula sering dipandang serong, dituduh “anti-semulajadi”, “pro-big pharma”, atau “tidak faham punca penyakit”. Kesannya, ramai pesakit lewat mendapatkan rawatan, mengabaikan terapi berkesan, dan terdedah kepada risiko kesihatan yang lebih serius.
Kita tidak mahu Malaysia menuju ke arah itu. Jika naratif mengatasi bukti, dan kepercayaan awam dimonopoli oleh mereka yang mengejar populariti serta keuntungan, maka integriti perubatan akan terjejas. Yang rugi bukanlah pakar perubatan tetapi masyarakat sendiri. Kesihatan awam tidak boleh ditentukan oleh suara paling kuat di media sosial, tetapi oleh prinsip sains, etika, dan profesionalisma.
Jadi apa solusinya, di samping meningkatkan kesedaran rakyat, sudah tiba masanya pihak berkuasa memainkan peranan lebih tegas dalam mengawal penyebaran maklumat kesihatan palsu. Peraturan yang menetapkan kelayakan jelas bagi sesiapa yang ingin memberi nasihat perubatan perlu digubal, dan undang-undang khusus untuk menghukum individu atau pihak yang menyebarkan maklumat perubatan palsu juga wajar diwujudkan.
Dato' Dr.Rushdan Noor
22hb Nov 2025
No comments:
Post a Comment