Monday, 10 November 2025

RASIONAL DAN ADAB DALAM PERBAHASAN ILMU

 


Dalam isu dakwaan seorang Profesor bahasa Arab yang menyebut bahawa orang Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu

Saya tidak bersetuju jika ada pihak yang mempermainkan dan bahan ejekan di media sosial. Kritikan terhadap idea tidak seharusnya berubah menjadi serangan terhadap individu. Adab berhujah mesti dipelihara.

Namun pada masa yang sama, saya juga tidak setuju terhadap sikap taksub kepada peribadi, sehingga menerima bulat-bulat apa sahaja yang diucapkan tanpa menilai kebenarannya. Begitu juga pihak yang mempertahankan sesuatu dakwaan semata-mata kerana emosi atau sentimen, bukan kerana kekuatan hujah. Dalam hal ilmu, kebenaran diukur dengan menilai metodologi dan bukti yang digunakan.

PANDUAN MENILAI FAKTA DAN DAKWAAN 

Untuk menentukan sama ada sesuatu fakta itu tepat atau tidak, beberapa panduan asas boleh dijadikan rujukan:

1. Kewibawaan orang yang mengemukakan fakta. Lebih-lebih lagi jika dakwaan itu bersifat baharu dan belum pernah disahkan oleh pakar dalam bidang tersebut. Dalam dunia akademik, kewibawaan datang bersama kelayakan, pengalaman, dan pengiktirafan oleh komuniti ilmiah.k

2. Pematuhan kepada disiplin dan metodologi ilmu yang berkenaan. Setiap bidang ilmu mempunyai kaedah tersendiri untuk membuktikan sesuatu. Ini untuk memastikan hujah yang dikemukakan benar-benar kukuh dan sahih.

3. Pengesahan oleh pakar bidang berkenaan. Walaupun seseorang bukan pakar, jika hujahnya selari dengan disiplin dan metodologi bidang tersebut, hujah itu boleh dipertimbangkan, asalkan disemak dan disahkan oleh mereka yang benar-benar ahli. Seperti pepatah, “hanya jauhari yang mengenal manikam.”

STATUS KENYATAAN YANG BERSIFAT HIPOTESIS 

Selain itu, jika sesuatu kenyataan atau maklumat hanya bersifat hipotesis, seelok-eloknya ia dibincangkan atau dibentang terlebih dahulu bersama pakar dalam bidang berkenaan, bukan terus diumum atau disebarkan kepada masyarakat awam.

Masyarakat awam mudah menerima bulat-bulat apa sahaja yang diungkapkan oleh tokoh yang mereka percaya, tanpa membezakan antara fakta, teori dan hipotesis.

Masalahnya, apabila sesuatu hipotesis diumum tanpa disertai konteks ilmiah yang lengkap, ia akan dianggap sebagai kebenaran mutlak oleh orang ramai. Dan apabila kemudian terbukti hipotesis itu salah, persoalannya, adakah mudah untuk diperbetulkan kembali ? Lebih2 lagi jika orang yang mengeluarkan hipotesis itu bertegas tidak menerima kesalahan itu.

Menyampaikan ilmu kepada masyarakat awam menuntut tanggungjawab,  bukan sekadar semangat ingin menonjolkan penemuan baru, tetapi memastikan kebenarannya telah diuji dan disahkan.

PERANAN MASYARAKAT AWAM

Bagi kita sebagai rakyat biasa, janganlah “lebih sudu daripada kuah”. Kita perlu sedar kedudukan dan batas pengetahuan kita. Ikutilah hujah-hujah yang dikemukakan dengan fikiran terbuka dan sikap tidak berat sebelah. 

Jika pakar-pakar dalam bidang berkaitan sudah meneliti dan menolak sesuatu dakwaan berdasarkan bukti kukuh, maka terimalah dengan berlapang dada. Kebenaran ilmu tidak pernah lahir dari ketaksuban, tetapi dari kesediaan untuk diperbetulkan.

Peranan institusi yang menjemput tokoh2 tertentu untuk memberi ceramah atau pendidikan juga penting. Pilihlah tokoh yang betul dengan tajuk yang hendak dikupas, bukan semata2 atas sebab populariti. 

Dato' Dr.Rushdan Noor

12hb Nov 2025

No comments:

Post a Comment