Tuesday, 4 November 2025

BENARKAH ANAK-ANAK YANG AMBIL “DARK CHOCOLATE” MEMPUNYAI PRESTASI AKADEMIK LEBIH BAIK ?

 


Belum ada bukti kukuh bahawa pemberian dark chocolate kepada kanak-kanak meningkatkan prestasi akademik mereka, seperti dakwaan sesetengah pihak.

Bukti yang ada banyak datang daripada kajian kecil pada orang dewasa (termasuk warga emas), menunjukkan kesan kecil dan sementara pada tugasan kognitif tertentu selepas pengambilan koko flavanol, bukan peningkatan markah peperiksaan atau prestasi sekolah secara konsisten. 

Dalam kajian terkawal ke atas orang dewasa, minuman koko tinggi flavanol (sejenis polifenol) meningkatkan prestasi beberapa tugasan kognitif dalam 1–2 jam selepas pengambilan, tetapi ini adalah kesan segera yang sementara dan tidak membuktikan manfaat akademik jangka panjang. 

Sebaliknya, kajian 6 minggu tidak menunjukkan peningkatan neuropsikologi yang jelas dengan coklat berbanding kawalan. 

Ada juga kajian intervensi ke atas warga emas yang mendapati pengambilan koko flavanol harian peningkatan beberapa ukuran kognitif dan kawalan tekanan darah/insulin, tetapi populasi ini bukan kanak-kanak sekolah dan hasilnya tidak boleh digeneralisasi sebagai “naik prestasi akademik”. Tambahan pula hubungan ini berkemungkinan hanya korelasi dan bukan sebab-akibat ("causal relationship").

Apa yang lebih terbukti untuk prestasi sekolah anak2 adalah tidur yang cukup, pemakanan seimbang (sarapan berprotein + karbo kompleks), aktiviti fizikal berkala, dan persekitaran pembelajaran/emosi yang baik. Faktor-faktor ini mempunyai asas bukti yang jauh lebih kukuh berbanding “makan dark chocolate untuk jadi pandai.” Tidak ada juga ada istilah pil atau air minda ajaib untuk meningkatkan prestasi akademik anak2.

Walaupun dark chocolate mengandungi bahan bermanfaat seperti flavanol, pengambilannya secara berlebihan dan bergantung kepada bahan lain yang dimasukkan, boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan. Terdapat produk komersial mengandungi gula tambahan, lemak tepu dan kafein yang tinggi (semak fakta nutrisi). Selain itu, coklat yang tidak dikawal kualitinya kadangkala mengandungi logam berat seperti kadmium dan plumbum, yang dalam jangka panjang boleh menjejaskan fungsi saraf dan buah pinggang. 

Polifenol dalam dark chocolate selamat dan bermanfaat dalam kuantiti sederhana, tetapi tidak bebas dari risiko. Pengambilan berlebihan, terutamanya daripada suplemen pekat  boleh mengganggu penyerapan zat besi, menjejaskan penghadaman, atau berinteraksi dengan ubat.

Produk dark chocolate adalah hasil dari memproses koko dan boleh dianggap termasuk dalam kategori makanan yang diproses. Malahan jika ditambah dengan lemak, susu, perisa, pemanis tiruan dan pengemulsi, ianya sudah termasuk dalam kategori makanan ultra proses.

Dato' Dr.Rushdan Noor

5hb Nov 2025

RUJUKAN

1. Scholey AB, French SJ, Morris PJ, et al.. Consumption of cocoa flavanols results in acute improvements in mood and cognitive performance during sustained mental effort. Journal of Psychopharmacology. 2010, doi:10.1177/0269881109106923. 

2. Crews WD Jr, Harrison DW, Wright JW. A double-blind, placebo-controlled, randomized trial of the effects of dark chocolate and cocoa on variables associated with neuropsychological functioning and cardiovascular health in healthy older adults. 2008,American Journal of Clinical Nutrition 87(4):872–880. 

3. Mastroiacovo D, Kwik-Uribe C, Grassi D, et al.. Cocoa flavanol consumption improves cognitive function, blood pressure control and metabolic profile in elderly subjects (CoCoA Study): a randomized controlled trial. 2015, American Journal of Clinical Nutrition 101(3):538–548. 

4. Harvard Health Publishing. (2017). Your brain on chocolate.

5. Harvard Health Publishing (2023). Heavy metals found in popular brands of dark chocolate.

6. Sasaki A, et al. The effects of dark chocolate on cognitive performance during sustained mental workload. Nutrients, 2024, 16(1):41.

No comments:

Post a Comment