Thursday, 13 November 2025

AIR BEROKSIGEN TIDAK MEMBERI MANFAAT TAMBAHAN

 


Air telah menjadi produk kesihatan yang popular semenjak dahulu lagi. Ada air beralkali, air reverse osmosis, air hidrogen, air nano, air jampi, dan banyak lagi. Bermacam dakwaan dibuat oleh penjual air termasuk dakwaan melampau seperti merawat penyakit kanser dan penyakit kronik yang lain. Air beroksigen adalah salah satu lagi produk air yang akan kita bincang.

Gas oksigen memang sudah sedia ujud dalam air pada kadar yang rendah kerana ia sukar larut dalam air. Walaupun dimasukkan oksigen ke dalam air, apabila tudung botol dibuka, ia akan terlepas keluar dengan cepat. Mungkin belum pun sempat diminum, oksigen sudah hilang di persekitaran, lebih2 lagi jika mulut botol dibiar terbuka.

Persoalannya adakah kelebihan tambahan orang yang minum air beroksigen tinggi ? 

SUMBER UTAMA OKSIGEN DARAH

Tubuh manusia mendapat oksigen melalui sistem pernafasan, bukan sistem pencernaan.

Oksigen disedut ke paru-paru, diikat oleh hemoglobin dan dibawa ke seluruh badan.

Ini ialah laluan fisiologi utama, dan air tidak mampu menggantikan mekanisme semula jadi ini.

GAS OKSIGEN DISERAP SANGAT SEDIKIT MELALUI USUS

Oksigen dalam air wujud dalam jumlah yang sangat kecil (sekitar 10–40 mg/L), jauh lebih rendah berbanding oksigen di udara. Walaupun dimasukkan oksigen tambahan, kuantiti oksigen dalam air relatifnya masih rendah dan kesannya ke atas kandungan oksigen darah tersangat minima.

Kajian menunjukkan usus manusia menyerap oksigen dalam kuantiti yang terlalu kecil untuk memberi apa-apa kesan bermakna kepada oksigen darah.

Malah perubahan kecil yang dicatatkan dalam kajian biasanya disebabkan pencairan darah ("haemodilution"), bukan peningkatan oksigen sebenar. Jadi SpO₂ (peratusan Hb yang terikat dengan oksigen) seolah2 lebih tinggi, sedangkan denominator yang turun. Tambahan pula keadaan ini ditemui dalam keadaan hipoksia, bukan persekitaran yang normal.

MITOS AIR BEROKSIGEN 

Berdasarkan kepada penerangan di atas, tidak hairan lah setakat ini belum ada bukti kukuh air beroksigen ini boleh memberi manfaat tambahan. Walaupun ada kajian2 dilakukan, banyak yang negatif  dan jika ada yang positif, kajian2 itu kecil dan berkualiti rendah. 

Seperti juga produk2 air yang lain, banyak mitos yang dicipta untuk mengaitkan air beroksigen dengan manfaat kesihatan, antaranya adalah seperti di bawah:

Mitos 1: Memberi tenaga segera.

Tiada bukti ia meningkatkan tenaga atau metabolisma secara langsung.

Mitos 2: Menambah prestasi sukan.

Kajian mendapati tiada perbezaan prestasi antara air beroksigen dan air biasa.

Mitos 3: Lebih “detoks”.

Detoks dilakukan oleh hati, buah pinggang dan hidrasi yang mencukupi  bukan oksigen dalam air.

Mitos 4: Baik untuk otak.

Oksigen untuk otak datang daripada pernafasan, bukan minuman.

KESIMPULAN

Air beroksigen tidak memberikan kelebihan kesihatan yang bermakna berbanding air biasa.. Ia selamat diminum, tetapi tidak menambah oksigen darah dan tidak memberi manfaat prestasi seperti yang sering diiklankan.

Bagi pengguna, minum air mencukupi, makan seimbang, tidur berkualiti dan bersenam adalah jauh lebih penting daripada membeli air beroksigen yang mahal tanpa bukti kukuh.

Dato' Dr.Rushdan Noor

14hb Nov 2025

No comments:

Post a Comment