Friday, 14 November 2025

LEBIH SEPARUH DARI PRODUK SUPLEMEN YANG DIKAJI TIDAK MENEPATI KANDUNGAN INGREDIEN YANG TERCATAT PADA LABEL

 


Inilah kebimbangan yang selalu saya tekankan apabila mengambil suplemen, pertama, adakah kita tergolong dalam kategori orang yang perlu ambil suplemen dan yang kedua adakah ingredien di dalam suplemen itu sama seperti yang tertera di label. Isu mengenai perbezaan dos, saya telah tulis di pautan ini: https://www.facebook.com/share/p/17euPy3toz/

Satu kajian diterbitkan dalam JAMA Network Open pada tahun 2022 mendedahkan masalah besar dalam industri suplemen, khususnya produk yang dipasarkan untuk “menyokong” atau “meningkatkan” sistem imun. 

Kajian ini menganalisis 30 produk suplemen imun yang dijual di platform e-dagang terkenal, dan hasilnya amat membimbangkan. Satu sampel setiap produk dibeli dan dianalisis menggunakan kaedah "liquid chromatography-mass spectrometry (LC-MS)" untuk menyemak sama ada bahan yang tersenarai pada label benar-benar dikesan, dan sama ada terdapat bahan tambahan yang tidak tersenarai (“hidden”) pada label. 

Lebih separuh (56%) daripada produk yang diuji tidak menepati kandungan sebenar seperti yang tertera pada label. 

Ada produk yang menyenaraikan bahan tertentu tetapi bahan itu langsung tidak dikesan dalam analisis makmal, manakala sebahagian lagi mengandungi bahan yang tidak pernah dinyatakan pada label (campur-palsu), situasi yang boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna.

Kajian menggunakan teknik makmal berketepatan tinggi (LC-MS), dan mendapati :

1. Sejumlah 17 daripada 30 produk mempunyai isu pelabelan. 

2. Daripada jumlah itu, 13 produk “misbranded” kerana kandungan sebenar tidak sepadan dengan label.

3. Manakala 9 produk mengandungi bahan tersembunyi (campur palsu) yang tidak didedahkan kepada pengguna. 

Walaupun kajian ini kecil tetapi boleh dijadikan titik mula untuk kajian lebih besar dan menyeluruh kerana keputusan dari kajian ini memang membimbangkan. Jika kajian melibatkan lebih banyak sampel produk, mungkin lebih banyak ketidakpatuhan dan ingredien tambahan ditemui. Masalah kawal selia dan pemantauan adalah isu besar. Sudahlah pengguna sering terpedaya dengan tuntutan pemasaran yang melampau ("overclaim"), kandungan sebenar produk mungkin tidak seperti yang diiklankan. 

Bayangkan jika produk itu dihasilkan sendiri oleh penjual.

Dalam konteks kesihatan awam, ini menunjukkan perlunya pengguna lebih berhati-hati bila memilih produk suplemen dan rujuk profesional kesihatan. Paling selamat dan murah adalah mengutamakan sumber nutrisi daripada makanan sebenar.

Nota tambahan: Ubat2 di bawah kategori ubat terkawal atau racun berjadual perlu mengesahkan keujudan bahan aktif (ujian identiti), dos (assay), ujian ketulinan dan lain2 syarat sebelum diluluskan. Syarat untuk produk suplemen dan ubat tradisional jauh lebih longgar dan tidak perlu sertakan bukti keberkesanan.

Dato' Dr.Rushdan Noor

15hb Nov 2025

RUJUKAN

Crawford C, Hurst R, Berry SH, et al. Analysis of Select Dietary Supplement Products Marketed to Support or Boost the Immune System. JAMA Network Open. 2022;5(8):e2226040. doi:10.1001/jamanetworkopen.2022.26040.






No comments:

Post a Comment