PENDAHULUAN
Sejak pelaksanaan vaksinasi terhadap COVID‑19, pelbagai kajian dan spekulasi telah muncul mengenai kesan jangka panjang vaksinasi termasuk dakwaan bahawa vaksin mungkin meningkatkan risiko kanser.
Satu kajian di Korea Selatan menerbitkan hasil yang menarik perhatian ramai kaitan antara vaksin Covid-19 dengan risiko menghidap kanser. Kertas kajian ini digunakan sepenuhnya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan orang ramai. Namun, adakah benar kajian itu mengesahkan “vaksin penyebab kanser”? Ataupun umpama payung dan hujan, payung bukan penyebab turunnya hujan? Mari kita teliti secara kritikal.
INTIPATI KAJIAN
Kajian oleh Kim et al. menggunakan data daripada pangkalan data insurans kesihatan negara di Korea Selatan, meliputi 8 ,407 ,849 individu antara tahun 2021–2023. Satu kajian retrospektif population-based cohort.
Peserta dikelompokkan berdasarkan status vaksinasi COVID-19, dan penilaian risiko kanser keseluruhan serta jenis-jenis kanser spesifik (29 jenis kanser).
Hasil kajian menyatakan bahawa selepas satu tahun menerima vaksin, terdapat kadar yang lebih tinggi secara statistik untuk 6 sahaja jenis kanser (dari 29 jenis kanser yang dikaji) dalam kumpulan yang divaksin berbanding yang tidak divaksin. Maksudnya, tidak ada risiko yang sama ke atas 23 lagi jenis kanser.
Kajian turut membezakan risiko mengikut jenis vaksin (mRNA, cDNA, heterologous) dan mengaitkan beberapa jenis vaksin dengan jenis kanser tertentu.
Penulis kajian sendiri menyimpulkan bahawa terdapat “association” (perkaitan) antara vaksinasi COVID-19 dengan insiden kanser dan BUKAN vaksin penyebab kanser. Penulis menyarankan perlu ada kajian lanjut.
KELEMAHAN KAJIAN
Terlalu banyak kelemahan yang ditemui dari kajian ini dan menjadi punca utama pengkritik menolak dakwaan vaksin Covid-19 penyebab kanser. Berikut adalah beberapa kelemahan utama kajian yang perlu diberi perhatian:
1. Metodologi kajian yang lemah untuk mengesan hubungan sebab-akibat. Ini bukan kajian prospektif RCT, sebaliknya adalah retrospektif population based cohort. Data2 dikumpulkan dari masa lalu.
2. Tempoh pemerhatian terlalu singkat: Hanya sekitar satu tahun selepas vaksinasi diberikan, sedangkan majoriti kanser memerlukan masa lebih lama untuk berkembang dari sel normal, pra-kanser dan kanser.
3. Kemungkinan pemilihan berat sebelah dan pemantauan: Sebagai contoh, kumpulan tidak divaksin mungkin kurang menggunakan sistem kesihatan atau saringan kanser menyebabkan perbezaan dalam pengesanan (“surveillance bias”). Kebetulan, enam jenis kanser yang tersebut adalah kanser2 yang ada kaedah saringan dan memang aktif dilakukan. Sebahagian dari mereka mungkin sudah menghidap prakanser atau kanser yang terlepas dari pengesanan sebelum terlibat dalam kajian. Ini ada kaitan dengan no 4 di bawah.
4. "Immortal time bias": Perbezaan masa mula penglibatan antara kumpulan vaksin/tiada vaksin boleh menyebabkan kumpulan vaksin menunjukkan lebih banyak diagnosis hanya kerana masa pengamatan lebih panjang atau cara perhitungan yang memihak. Kumpulan tidak menerima vaksin telah ditetapkan satu tarikh yang sama bermulanya kajian, sedangkan kumpulan yang menerima vaksin bergantung kepada suntikan terakhir. Ujud "gap" masa di mana peserta mungkin sudah mengidap kanser sebelum menerima vaksin.
5. Kemungkinan pembandingan yang tidak seimbang: Bilangan subjek yang menerima vaksin sangat besar (2.3 juta) berbanding dengan subjek yang tidak menerima vaksin (0.59 juta). Walaupun penyesuaian telah dibuat (propensity score matching), masih wujud faktor yang mungkin tidak dikawal seperti gaya hidup, kesihatan asas, riwayat saringan kanser, perilaku kesihatan, dan motivasi vaksinasi. Ini adalah kelemahan ketara mana2 kajian yang bukan prospective RCT.
6. Bias analisis dari segi statistik yang membandingkan terlalu banyak jenis kanser (29 jenis) melibatkan banyak nilai HR dan ini terdedah kepada kemungkinan keputusan yang significant dari segi statistik berlaku secara rawak. Faktor ini dapat diminimakan dengan kaedah "Bonferroni correction" atau "False Discovery Rate (FDR)", malangnya tidak ada petunjuk penyelidik melakukannya.
7. Kesimpulan yang boleh disalahertikan oleh orang awam: Walaupun penulis menyatakan “association”, liputan media dan media sosial telah mengeksploitasi kajian ini sebagai bukti “vaksin sebabkan kanser”, yang boleh menimbulkan ketakutan yang tidak berasas. Ini bukan kelemahan kajian tetapi masalah komunikasi.
ADAKAH INI BUKTI VAKSIN COVID-19 MENYEBABKAN KANSER ?
Tidak, tidak sama sekali. Walaupun hasil statistik menunjukkan peningkatan risiko relatif untuk beberapa jenis kanser dalam kumpulan yang divaksin, tetapi tidak bermakna secara automatik bahawa vaksin COVID-19 menyebabkan kanser. Terdapat beberapa faktor penting yang perlu diterangkan:
1. Perbezaan antara korelasi dan sebab-akibat – Kajian jenis ini (retrospektif, berdasarkan data rekod kesihatan) hanya menunjukkan korelasi, bukan hubungan sebab-akibat (causal). Penulis sendiri tidak mendakwa “vaksin menyebabkan kanser”. Analogi mudah adalah hubungan payung dan hujan, kadar penggunaan payung lebih tinggi bila musim hujan, ujud kolerasi antara payung dan hujan, tetapi payung bukan penyebab turunnya hujan.
2. Tempoh pengamatan yang singkat – Kebanyakan kanser padat ("solid tumours") mempunyai tempoh latensi (masa antara pendedahan kepada faktor risiko dan diagnosis) yang lama, sering beberapa tahun hingga dekad. Dalam kajian ini hanya satu tahun selepas vaksinasi diberikan, terlalu singkat.
3. Kelemahan kajian yang sangat ketara seperti yang tersenarai di atas.
4. Walaupun data yang diperolehi menunjukkan peningkatan sedikit risiko 6 jenis kanser tetapi nampaknya risiko untuk 6 jenis kanser lain pula menurun walaupun tidak significant.Tetapi memandangkan kelemahan yang ujud di dalam metodologi kajian ini, apa2 pun jenis kaitan antara vaksin dan kanser masih tidak dapat diputuskan.
5. Ketiadaan mekanisme biologi yang kukuh. Penyelidik membangkitkan hipotesis mengenai potensi penyebab kanser vaksin atau virus SARS-CoV-2, namun hingga kini tiada bukti kukuh bahawa vaksin mRNA atau cDNA mencetuskan kanser melalui mekanisme yang difahami.
Justeru, berdasarkan bukti semasa, kita tidak boleh menyimpulkan bahawa vaksin COVID-19 menyebabkan kanser. Bukti menunjukkan hubungan statistik yang memerlukan kajian lanjut.
KESIMPULAN
Ringkasnya, kajian Korea Selatan oleh Kim et al. menunjukkan kolerasi lemah antara vaksinasi COVID-19 dan risiko 6 jenis kanser (dari 29 jenis yang dikaji) dalam masa satu tahun, tetapi ia tidak membuktikan bahawa vaksin menyebabkan kanser. Kelemahan metodologi seperti kajian retrospektif, bukan RCT, tempoh pemerhatian yang singkat, potensi bias pengesanan dan pemilihan, serta ketiadaan mekanisme biologi yang kukuh menjadikan kesimpulan “vaksin penyebab kanser” sebagai tidak wajar dan jauh tersasar.
Berdasarkan pandangan pakar2 dan pertubuhan2 kesihatan antarabangsa yang berwibawa (WHO, NCI, ACS, ASCO, ESMO), vaksinasi terhadap Covid-19 tetap disarankan sebagai salah satu strategi kesihatan awam yang penting dan tidak ada kenyataan baru tentang vaksin penyebab kanser setakat ini. Pendirian bahawa manfaat vaksin Covid-19 melebihi kesan sampingan masih kekal dipertahankan.
Dato' Dr.Rushdan Noor
12hb Nov 2025
RUJUKAN
Kim HJ, Kim MH, Choi MG, Chun EM. (2025). 1-year risks of cancers associated with COVID-19 vaccination: a large population‐based cohort study in South Korea. Biomarker Research, 13(1):114. DOI:10.1186/s40364-025-00831-w
“South Korea study isn’t evidence that COVID-19 vaccines cause cancer.” Science Feedback. (2025, Oct 23). (https://science.feedback.org/review/south-korea-study-not-evidence-covid-vaccines-cause-cancer/?utm_source=chatgpt.com)
COVID Vaccines and Cancer Risk: Experts Dissect Flawed Study
Retrospective study from Korea proves nothing about COVID shots and cancer, experts say (https://www.medpagetoday.com/infectiousdisease/covid19vaccine/117731)
Evidence based medicine.
Here we go again: Another study is being misrepresented as evidence that COVID vaccines cause cancer.
(https://sciencebasedmedicine.org/another-study-misrepresented-as-evidence-covid-vaccines-cause-cancer/)

No comments:
Post a Comment