Friday, 28 November 2025

SALAH FAHAM TERHADAP TAHAP 4 PENYAKIT KANSER



PENDAHULUAN

Salah satu maklumat penting yang perlu diketahui oleh pesakit kanser adalah tahap kanser mereka yakni sejauh mana kanser sudah merebak. Tajuk tentang tahap kanser ini panjang. Ringkasnya terdapat dua sistem utama untuk menyatakan tahap kanser, pertama menggunakan sistem nombor dari 1 hingga 4 di mana tahap 1 adalah peringkat awal dan tahap 4 peringkat paling lewat. Setiap nombor itu ada pula substagenya contoh tahap 2a, 2b dan seterusnya. Sistem kedua dikenali sebagai sistem TNM dan dalam penulisan ini saya akan menulis tentang sistem nombor yang lebih kerap digunakan oleh orang awam.

Ramai orang awam menganggap bahawa apabila seseorang disahkan menghidap kanser tahap 4, itu bermakna penyakit sudah “terminal,” pesakit hanya “menghitung hari,” dan rawatan tidak lagi berguna. Persepsi ini tidak tepat dan boleh memberi kesan buruk kepada psikologi pesakit serta keputusan rawatan.

Hakikatnya, kanser adalah penyakit yang kompleks. Setiap jenis kanser mempunyai tingkah laku biologi yang berbeza. Malah, dua pesakit yang mempunyai kanser yang sama pun boleh bertindak balas secara berbeza terhadap rawatan.

TAHAP KANSER BUKAN SATU-SATUNYA PENENTU NASIB PESAKIT

Walaupun tahap kanser memberi gambaran umum tentang sejauh mana kanser merebak, tetapi prognosis dan peluang untuk sembuh tidak ditentukan oleh tahap semata-mata. Banyak faktor lain turut memainkan peranan besar, antaranya adalah:

a. Jenis kanser

b. Gred kanser (grade)

c. Diferensiasi sel 

d. Biologi tumor (status reseptor seperti ER/PR/HER2, mutasi gen tertentu)

e. Usia pesakit dan tahap kesihatan keseluruhan

f. Wujudnya penyakit lain seperti diabetes, penyakit jantung, buah pinggang dan sebagainya

g. Tindakbalas dan sensitiviti terhadap rawatan (kemo, hormon, targeted therapy, terapi imun)

Contohnya:

Tahap 4 kanser serviks memang lebih teruk berbanding tahap 2 kanser serviks yang sama.

Tetapi tahap 4 kanser serviks tidak semestinya lebih teruk daripada tahap lebih rendah kanser pankreas, yang secara biologi jauh lebih agresif.

Malahan tahap 4 kanser serviks dari jenis "well differentiated" lebih baik dari tahap 4 kanser serviks yang "undifferentiated". Dalam kanser yang sama juga berbeza2 kerana ciri biologi yang berbeza.

Inilah sebabnya tidak wajar menggeneralisasikan “tahap 4 = tidak ada harapan.”

APA MAKSUD 5-YEAR SURVIVAL RATE (KADAR SURVIVAL 5 TAHUN)

Salah satu cara menilai prognosis ataupun peluang untuk sembuh adalah kadar survival (hidup) 5 tahun.

Jika survival rate = 60%, ia bermaksud:

Daripada 100 pesakit, 60 masih hidup selepas 5 tahun dengan rawatan yang diberikan.

Ini bukan jangka hayat maksimum; dalam 60% itu ada yang boleh hidup 10–15 tahun atau lebih lama, malah ada yang sembuh sepenuhnya,  bergantung kepada jenis kanser dan rawatan.

Sebaliknya, peratus survival yang rendah tidak bermaksud pesakit “pasti meninggal dalam masa dekat,” tetapi menunjukkan penyakit tersebut lebih agresif dan rawatan terhad. Pesakit itu mungkin termasuk dalam peratusan lebih kecil yang boleh hidup lebih 5 tahun.

Dengan kaedah rawatan yang lebih berkesan, banyak jenis kanser sudah dapat dikawal dan disembuhkan, sebab itu semakin banyak kanser sudah boleh dinilai dengan kadar survival 10 tahun ("10 year survival rate").

TIDAK SEMUA TAHAP 4 ADALAH SAMA. ADA YANG MASIH TINGGI PELUANG SEMBUH. 

Dengan kemajuan kaedah rawatan dan ubat2 anti-kanser baru seperti terapi sasaran, terapi hormon, terapi imun , kombinasi terapi yang lebih berkesan, banyak kanser tahap 4 kini boleh dirawat seperti penyakit kronik.

CONTOH TAHAP 4 KANSER YANG BERBEZA DAN KADAR SURVIVAL 5 TAHUN

Cuba kita perhatikan contoh2 kanser tahap 4 yang berbeza dari segi jenis dan peluang untuk survival atau sembuh. Saya bahagikan kepada 2 kumpulan:

A. Kanser Tahap 4 yang Kurang Agresif / Lebih Responsif

“Masih Ada Peluang Sembuh atau Hidup Lama”

Jenis Kanser dan 5-Year Survival Tahap 4 (anggaran)

Choriocarcinoma (GTN) 80–95% 

Kanser Testis  70–90% 

Kanser Tiroid Papillary- hingga 78%

Limfoma Low-Grade (Follicular) 80–90%

Kanser Payudara ER+/PR+/HER 2 + 46%

Kanser Prostat  30–65%

Melanoma (Dengan immunoterapi) 40–50%

Choriocarcinoma (di bawah kategori GTN) ialah contoh klasik, di mana walaupun tahap 4, sehingga 95% pesakit masih hidup selepas 5 tahun, dan majoritinya sembuh sepenuhnya.

Jadi, memang ada pesakit kanser tahap 4 boleh sembuh sepenuhnya jika menghidap kanser jenis ini.

B. Kanser Tahap 4 yang Agresif / Sukar Dirawat

“Survival Rendah Kerana Biologi Penyakit Sangat Ganas Tetapi Masih Ada Harapan”

Jenis Kanser dan 5-Year Survival Tahap 4 (anggaran)

Kanser Pankreas 1–5%

Small Cell Lung Cancer (SCLC) 2–5% (hingga 10% dalam subset tertentu)

Glioblastoma Multiforme (GBM) 5–10%

Kanser Hati (Hepatocellular carcinoma) 3–5%

Kanser Perut (Gastric adenocarcinoma) 4–6%

Kanser Tiroid Anaplastik 4%

Kanser Payudara Triple Negative 12-15 %

Kanser dalam kumpulan ini bukan sahaja kerana “tahap 4,” tetapi kerana sifatnya memang agresif, cepat merebak dan kurang sensitif terhadap rawatan. Ataupun sukar dikesan peringkat awal. Meskipun begitu, peluang untuk hidup lebih lama masih ada walaupun peratusannya kecil. Contoh, 12-15% dari pesakit kanser payudara tahap 4 dari jenis ganas ("triple negative") boleh hidup sekurang2nya 5 tahun. 

MENGAPA PENTING UNTUK TIDAK MENYEBARKAN NARATIF SEMUA TAHAP 4 KANSER TAK ADA HARAPAN

Naratif negatif boleh menyebabkan pesakit menolak rawatan yang masih bermanfaat serta cepat putus asa, keluarga hilang harapan lalu kurang menyokong rawatan, pesakit lewat mendapatkan rawatan lanjutan dan stigma serta diskriminasi terhadap pesakit kanser. Lebih parah lagi pesakit mencari kaedah rawatan lain yang bukan saja tidak berkesan, tetapi datang dengan kos yang tinggi.

Padahal dalam banyak keadaan, walaupun kanser tidak dapat dihapuskan sepenuhnya,  rawatan terkini mampu mengurangkan saiz tumor, mengawal gejala, menghalang perebakan, mengembalikan pesakit kepada rutin harian dan memberi peluang hidup bertahun-tahun (rawatan paliatif).

KESIMPULANNYA KANSER TAHAP 4 BUKAN HUKUMAN MATI

Tahap 4 bermaksud merebak, bukan "tiada harapan". Banyak kanser tahap 4 boleh dikawal dan dirawat dengan berkesan. Ada juga kanser tahap 4 yang survivalnya lebih tinggi berbanding kanser tahap awal jenis lain yang agresif. Dengan rawatan moden, ramai pesakit tahap 4 hidup lebih 5–10 tahun, dan ada yang sembuh.

Apa yang penting dapatkan penilaian dan rawatan dari pakar onkologi, kerana setiap kanser adalah unik. Jangan terpengaruh dengan pengamal perubatan alternatif kerana kajian mendapati pesakit yang dirawat dengan kaedah alternatif mempunyai kadar kanser berulang lebih tinggi dan jangkahayat lebih pendek.

Harapan tetap ada dan ia bukan sekadar slogan, tetapi fakta perubatan. Berikhtiar dengan kaedah yang betul dan berdoa semoga anda termasuk dalam peratusan pesakit yang hidup panjang dan sembuh.

Dato'Dr Rushdan Noor

21hb Nov 2025

No comments:

Post a Comment