SALAH FAHAM TENTANG " BANYAK JENIS KANSER SERENTAK"
Orang awam dan media sering tersilap melaporkan pesakit sebagai “menghidap 3–4 jenis kanser sekali gus”, contohnya kanser hati, kanser paru-paru dan kanser buah pinggang serentak. Hakikatnya, dalam majoriti kes, ia bukan banyak jenis kanser, tetapi satu jenis kanser sama yang telah merebak ke organ lain.
Jika kanser itu dari jenis yang sama, kanser utama ataupun yang asal dikenali kanser primer ("Primary Cancer"), manakala organ2 yang telah terlibat akibat kanser itu merebak dikenali kanser sekunder (""secondary cancer"). Apabila satu jenis kanser telah merebak ke banyak organ ia dikenali sebagai kanser metastatik ("metastatic cancer").
Memang boleh berlaku seseorang mendapat dua atau lebih jenis kanser berbeza pada masa yang sama, tetapi ini sangat jarang dan dipanggil kanser serentak ("synchronous cancer").
BAGAIMANA PAKAR MEMBEZAKANNYA?
Caranya bukan dengan melihat organ yang terlibat, tetapi melalui ciri histopatologi iaitu rupa bentuk sel kanser di bawah mikroskop dan ciri2 biologi yang lain termasuk status reseptor hormon dan kajian imunohistokimia (" immunohistochemistry"). Ada juga beberapa kriteria tambahan lain yang turut digunakan.
Jika sampel tisu dari organ berlainan menunjukkan ciri2 sel kanser yang sama jenis, ia bermaksud kanser primer yang sama telah merebak ke organ tersebut.
Jika dua tisu menunjukkan ciri sel yang berbeza, barulah ia dianggap dua kanser berasingan.
APAKAH PERBEZAAN PELUANG UNTUK SEMBUH
1. Kanser yang merebak (kanser metastatik)
Apabila kanser asal sudah merebak ke organ lain, ia automatik dianggap tahap 4 (kecuali beberapa jenis tertentu). Rujuk tulisan saya berkenaan dengan kanser tahap 4 di pautan ini : https://www.facebook.com/share/p/1BgdmvXBak/
Rawatan lebih sukar.
Prognosis atau peluang untuk sembuh lebih rendah, bergantung kepada jenis dan tahap agresif kanser.
2. Dua kanser berbeza yang berlaku serentak (synchronous)
Setiap kanser dinilai secara terpisah, tahap kanser setiap satunya mungkin berbeza.
Jika kedua-duanya masih tahap awal, peluang sembuh biasanya jauh lebih baik.
Contohnya: kanser usus besar tahap 1 dan kanser rahim tahap 1, rawatan lebih terancang dan peluang sembuh lebih baik.
CONTOH KANSER METASTATIK DAN KANSER SYNCHRONOUS
Contoh lain yang mudah: Kanser rahim dan ovari
Dua situasi yang sering mengelirukan:
A. Kanser rahim merebak ke ovari (lebih kerap berlaku)
Dalam keadaan ini kanser primer adalah rahim dan merebak ke ovari, jadi hanya ada satu jenis kanser. Ovari yang terlibat dikatakan kanser sekunder.
Histopatologi menunjukkan ciri2 sel kanser dari kedua-dua organ adalah jenis yang sama. Apabila kanser rahim merebak ke kelenjar ovari, kanser ini dianggap Kanser Rahim tahap 3, BUKAN Kanser Rahim dan Kanser Ovari.
B. Dua kanser berlainan: Kanser Rahim + Kanser ovari (synchronous)
Sangat jarang berlaku. Kajian histopatologi menunjukkan ciri2 sel kanser yang berbeza. Maka, pesakit ini dianggap menghidap 2 jenis kanser iaitu Kanser Rahim dan Kanser Ovari.
Kedua-duanya akan ditentukan ciri2 dan tahap masing-masing.
Jika kedua-duanya tahap awal, contohnya Kanser Rahim tahap 1 dan Kanser Ovari tahap 1 peluang untuk sembuh biasanya lebih baik dari Kanser Rahim tahap 3 seperti di atas.
TUMOUR KRUKENBERG
Tumour krukenberg adalah fenomena kanser yang hanya berlaku pada kaum wanita kerana ianya melibatkan kelenjar ovari.
Apabila kanser dari sistem gastrousus (perut, usus, pankreas, appendik) atau kanser payudara merebak ke kelenjar ovari, kanser di ovari ini dikenali sebagai Tumour Krukenberg ("Krukenberg tumour"). Dalam situasi ini kanser pada asalnya disangka dari jenis berbeza (contoh kanser perut dan kanser ovari), tetapi apabila dianalisa ciri2 kanser di kelenjar ovari, didapati ianya sama seperti kanser di organ2 asalnya contoh kanser perut, kanser usus besar dan lain2. Jadi Tumour Krukenberg adalah salah satu bentuk kanser metastatik, bukan kanser synchronous yang berbeza.
APA PESAKIT PATUT TANYA ?
Apabila diberitahu kanser ditemui di banyak organ, jangan terus anggap anda mempunyai banyak kanser. Tanya doktor:
1. “Adakah ini jenis kanser yang sama yang telah merebak?”
2. “Adakah ini dua kanser yang berbeza (synchronous)?”
3. Apakah tahap kanser atau kanser2 tersebut
4. Apakah rawatan dan peluang sembuh atau prognosis
Majoritinya ialah jenis kanser sama yang sudah merebak.Tetapi dalam sebilangan kecil kes, ia boleh jadi dua kanser berbeza, dan ini membawa implikasi rawatan dan peluang sembuh yang sangat berbeza. Seperti biasa, saya mengesyorkan anda dapatkan penilaian serta rawatan kanser dari pakar onkologi bertauliah dan bukan pengamal rawatan alternatif. Hanya Jauhari mengenal manikam, hanya pakar onkologi memahami dan arif dalam rawatan kanser.
Dato" Dr Rushdan Noor
28hb Nov 2025


No comments:
Post a Comment