Bawang putih sering dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan, termasuk menurunkan kolesterol, membersihkan salur darah dan mencegah penyakit jantung. Namun, sejauh manakah dakwaan ini disokong oleh bukti saintifik?
Meta-analisis yang diterbitkan dalam Nutrition Reviews pada tahun 2025, melibatkan 108 kajian rawak terkawal dengan 7,137 peserta, mendapati pengambilan bawang putih dikaitkan dengan purata penurunan LDL-C sebanyak 0.15 mmol/L dan jumlah kolesterol sebanyak 0.26 mmol/L. Walaupun terdapat kesan positif, penurunannya kecil dan dilaporkan dalam kalangan peserta tertentu.
Perlu diingat, kajian tersebut menggunakan pelbagai bentuk bawang putih, termasuk serbuk, ekstrak dan suplemen. Oleh itu, hasilnya tidak boleh terus dianggap sama dengan kesan memakan bawang putih mentah dalam masakan harian.
BERAPA BANYAK BAWANG PUTIH PERLU DIMAKAN ?
Ini persoalan penting yang sering tidak dijelaskan. Dos dalam kajian berbeza-beza. Ada yang menggunakan bawang putih mentah sekitar 4 gram sehari, manakala kajian lain menggunakan serbuk atau ekstrak pada dos tertentu.
Kajian Gardner et al. (2007) melibatkan 192 orang dewasa dengan kolesterol tinggi mendapati pengambilan bawang putih mentah sebanyak kira-kira 4 gram sehari selama enam bulan tidak menghasilkan penurunan LDL-C yang signifikan berbanding plasebo, begitu juga dengan bentuk penyediaan bawang putih yang lain.
Ini menunjukkan bahawa kesan bawang putih terhadap kolesterol tidak konsisten. Setakat ini, belum ada dos bawang putih mentah yang terbukti secara konsisten berkesan menurunkan LDL-C. Dos suplemen juga tidak boleh disamakan secara langsung dengan jumlah bawang putih mentah yang dimakan.
APAKAH KESAN KE ATAS BACAAN API B DAN PENYAKIT JANTUNG?
Bawang putih mengandungi sebatian bioaktif seperti allicin dan sebatian organosulfur lain yang dipercayai mempengaruhi metabolisma lipid. Namun, penurunan bacaan kolesterol tidak semestinya bermakna risiko serangan jantung dan strok turut berkurangan. Sesuatu rawatan lebih bermakna jika dapat mencegah atau merawat penyakit, bukan sekadar memperbaiki bacaan.
Menariknya, meta-analisis 2025 tersebut TIDAK menunjukkan penurunan Apo B yang signifikan. Apo B mencerminkan bilangan zarah lipoprotein aterogenik yang terlibat dalam pembentukan plak aterosklerosis.
Setakat ini, belum ada bukti klinikal kukuh bahawa bawang putih boleh membersihkan plak dalam salur darah, mencegah serangan jantung atau strok, mahupun mengurangkan kematian akibat penyakit kardiovaskular.
BOLEHKAH BAWANG PUTIH MENGGANTIKAN STATIN ATAU UBAT KOLESTEROL LAIN?
Tidak. Bawang putih boleh menjadi sebahagian daripada pemakanan sihat, tetapi bukan pengganti ubat penurun kolesterol seperti statin.
Bagi mereka yang berisiko tinggi, khususnya pesakit diabetes atau individu yang sudah mempunyai aterosklerosis, pengawalan LDL-C melalui rawatan yang terbukti berkesan amat penting. Jangan hentikan atau kurangkan dos statin hanya kerana percaya kepada petua atau suplemen bawang putih.
KESAN SAMPINGAN
Pengambilan bawang putih mentah dalam kuantiti banyak boleh menyebabkan pedih ulu hati, ketidakselesaan perut dan nafas berbau. Ia juga berpotensi meningkatkan risiko pendarahan apabila diambil bersama ubat pencair darah seperti warfarin atau aspirin.
KESIMPULAN
Bawang putih mempunyai sedikit kesan menurunkan kolesterol, tetapi kesannya kecil dan kebanyakan kajian menggunakan pelbagai bentuk bawang putih terutama serbuk atau suplemen. Dos bawang putih mentah yang berkesan masih belum dipastikan, manakala bukti bahawa ia mampu mencegah serangan jantung, strok atau membersihkan salur darah juga belum dapat dipastikan. Bawang putih boleh diamalkan sebagai sebahagian daripada diet sihat, tetapi jangan menganggapnya sebagai ubat atau pengganti rawatan kolesterol yang terbukti berkesan.
Dato'Dr.Rushdan Noor
24 November 2026
RUJUKAN
1. Effects of Garlic Supplementation on Cardiovascular Risk Factors in Adults: A Comprehensive Updated Systematic Review and Meta-Analysis of Randomized Controlled Trials. Nutrition Reviews. 2025. DOI: 10.1093/nutrit/nuaf090.
2. Gardner CD, et al. Effect of Raw Garlic vs Commercial Garlic Supplements on Plasma Lipid Concentrations in Adults With Moderate Hypercholesterolemia. Archives of Internal Medicine. 2007;167(4):346–353.
3. National Center for Complementary and Integrative Health (NCCIH). Garlic: Usefulness and Safety.
4. Effects of Garlic on Glucose Parameters and Lipid Profile: A Systematic Review and Meta-Analysis of Randomized Controlled Trials. 2024



No comments:
Post a Comment