Thursday, 19 November 2026

AKHLAK: ASAS KEPADA SETIAP PERJUANGAN

 


Kita boleh mempunyai ilmu yang tinggi, pegangan yang kuat, ideologi yang hebat dan kepakaran dalam pelbagai bidang. Tetapi semua itu boleh hilang nilainya apabila tidak disertai akhlak yang baik.
Ilmu dan ideologi sebenarnya hanyalah alat. Akhlaklah yang menentukan bagaimana alat itu digunakan. Di tangan orang yang berakhlak, ilmu dan kuasa boleh membawa manfaat kepada masyarakat.
Tetapi di tangan orang yang tidak berakhlak, perkara yang sama boleh disalahgunakan untuk kepentingan diri, kelompok dan kedudukan sendiri. Akhirnya umat berpecah belah, akhlak yang buruk jadi ikutan dan penyakit moral menjadi wabak dalam masyarakat.
POLITIK
Dalam politik, kita melihat bagaimana sesuatu perjuangan yang pada asalnya membawa cita-cita yang baik boleh tercemar akibat sikap pemimpin dan penyokongnya. Ideologi yang sepatutnya menjadi panduan untuk membangunkan negara akhirnya digunakan untuk mempertahankan kuasa, menyerang pihak lawan dan memecahbelahkan rakyat.
Lebih menarik lagi apabila agama turut dijadikan pendekatan untuk mendapatkan kuasa politik. Tidak salah menjadikan agama sebagai panduan dalam pemerintahan. Malah, nilai agama seperti amanah, keadilan dan kejujuran amat diperlukan dalam kepimpinan. Tetapi apabila nama agama digunakan untuk kepentingan politik, sedangkan tingkah laku pemimpin dan penyokongnya tidak mencerminkan akhlak yang dituntut oleh agama, akhirnya imej agama itu sendiri turut tercalar.
Kita boleh berbeza parti dan ideologi. Tetapi mengapa perbezaan itu perlu sampai menyebabkan kita bermusuhan, menghina, memfitnah dan memutuskan hubungan sesama manusia? Apakah kesetiaan kepada parti lebih penting daripada kejujuran dan kebenaran?
PENDEKATAN AGAMA
Dalam agama pula, kita juga berhadapan dengan perkara yang hampir sama. Islam mempunyai pelbagai mazhab, aliran pemikiran dan pendekatan dalam memahami serta mengamalkan ajarannya. Perbezaan pandangan bukan sesuatu yang asing dalam sejarah perkembangan ilmu Islam.
Malangnya, ada yang terlalu taksub dengan aliran atau kelompok sendiri sehingga merasakan hanya pendekatan merekalah yang betul. Orang yang berbeza pandangan mudah dilabel, dihukum dan dipandang rendah. Ada yang begitu bersemangat mempertahankan pendapat agama, tetapi dalam masa yang sama tidak teragak-agak menghina, memfitnah dan menjatuhkan maruah orang lain.
Bukankah ini sesuatu yang perlu kita fikirkan? Kita begitu sibuk mempertahankan pandangan masing-masing sehingga terlupa nilai akhlak yang agama itu sendiri ajarkan. Kita boleh berbeza pendapat tanpa perlu membenci. Kita boleh mempertahankan pendirian tanpa merendahkan orang lain.
PERSAMAAN
Sebenarnya, kedua-dua keadaan ini mempunyai persamaan. Apabila seseorang terlalu taksub kepada parti, pemimpin, aliran atau kelompoknya, pertimbangan tentang baik dan buruk boleh mula diketepikan. Kesalahan kelompok sendiri dipertahankan, sedangkan kesalahan orang lain diperbesar-besarkan.

Samada sebab politik ataupun pendekatan agama, jika akhlak tidak diletakkan pada tempat yang betul dalam memperjuangkan kedua-duanya, umat Islam berpecah belah dan masyarakat huru hara.

MESEJ
Pada saya, inilah antara masalah besar dalam masyarakat kita. Kita terlalu menilai manusia berdasarkan apa yang mereka perjuangkan, tetapi kurang memberikan perhatian kepada bagaimana mereka berkelakuan dan melayan orang lain.
Kita perlu ingat bahawa tidak semua orang yang berilmu itu berakhlak. Tidak semua orang yang bercakap tentang agama itu menghayati akhlak agama. Dan tidak semua orang yang melaungkan perjuangan rakyat benar-benar meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.
Apa pun ideologi, fahaman atau pegangan yang kita pilih, akhlak tidak boleh diketepikan. Jangan sampai kita terlalu sibuk membuktikan bahawa perjuangan kitalah yang paling benar, sehingga kita sendiri gagal menunjukkan akhlak yang sepatutnya menjadi bukti kepada kebenaran perjuangan tersebut.
Akhirnya, orang mungkin berbeza pandangan tentang politik dan agama, tetapi nilai kejujuran, amanah, keadilan dan menghormati sesama manusia sepatutnya menjadi pegangan kita bersama.
Dato' Dr.Rushdan Noor
20hb Nov 2026

No comments:

Post a Comment