BENARKAH JUMLAH KOLESTEROL TIDAK PENTING?
Apabila kita melakukan ujian darah untuk memeriksa profil lipid, salah satu bacaan yang biasanya tertera ialah Total Cholesterol (TC) atau jumlah kolesterol. Namun, adakah bacaan ini benar-benar penting dalam menentukan risiko seseorang mendapat penyakit jantung dan strok?
Jawapannya memerlukan sedikit penjelasan.
Total cholesterol bukan ukuran khusus risiko aterosklerosis. Ini kerana TC merupakan jumlah kolesterol yang dibawa oleh beberapa jenis lipoprotein dalam darah, termasuk LDL, HDL, VLDL dan remnant particles. Sedangkan tidak semua lipoprotein ini mempunyai sifat aterogenik yang sama.
Sebagai contoh, seseorang mungkin mempunyai TC yang tinggi kerana HDL-C (sering disebut kolesterol baik) juga tinggi, sedangkan LDL-C tidak meningkat. Sebaliknya, seseorang boleh mempunyai TC yang masih dalam julat normal tetapi LDL-C sudah tinggi. Oleh itu, TC sahaja tidak mencukupi untuk menentukan sama ada seseorang mempunyai risiko aterosklerosis yang tinggi atau rendah.
Jadi, apakah parameter yang lebih penting?
Kita perlu memberi perhatian kepada lipoprotein aterogenik, khususnya partikel yang mengandungi Apolipoprotein B (ApoB). Ini termasuk LDL, IDL, VLDL remnants dan Lp(a). Partikel-partikel ini boleh memasuki serta tertahan dalam dinding arteri, lalu mencetuskan proses pembentukan plak aterosklerosis.
Antara parameter yang berguna ialah:
1.LDL-C: Mengukur jumlah kolesterol yang dibawa oleh partikel LDL.
2.Non-HDL-C: Mengukur jumlah kolesterol dalam semua lipoprotein bukan HDL yang berpotensi aterogenik. Ia dikira dengan menolak HDL-C daripada TC.
3.ApoB: Memberikan gambaran tentang jumlah partikel lipoprotein aterogenik yang beredar dalam darah.
ApoB amat berguna apabila terdapat ketidakpadanan antara LDL-C dengan jumlah partikel aterogenik. Contohnya, seseorang mungkin mempunyai LDL-C yang tinggi tetapi ApoB yang normal. Ini menunjukkan bahawa bilangan partikel mungkin tidak setinggi yang disangkakan berdasarkan LDL-C sahaja. Walau bagaimanapun, LDL-C yang tinggi tetap tidak boleh diabaikan kerana kolesterol dalam partikel LDL juga mempunyai peranan dalam aterosklerosis.
Adakah ini bermakna kita tidak perlu melihat Total Cholesterol?
Tidak sepenuhnya. TC masih digunakan dalam sesetengah kalkulator risiko kardiovaskular. Sebagai contoh, kalkulator PREVENT-ASCVD yang digunakan dalam garis panduan ACC/AHA 2026 menggunakan TC bersama HDL-C dan beberapa faktor klinikal lain untuk menganggarkan risiko kejadian kardiovaskular dan strok ke atas individu yang tidak pernah mengalami penyakit ini ("primary prevention"). TC juga diperlukan untuk mengira non-HDL-C dan digunakan dalam sesetengah formula anggaran LDL-C.
Namun, kita perlu membezakan antara parameter yang digunakan untuk menganggarkan risiko dengan parameter yang menggambarkan beban lipoprotein aterogenik.
Skor ASCVD ini penting sebagai garispanduan untuk menentukan kaedah pencegahan yang perlu dilakukan termasuk keperluan untuk mengambil ubat kolesterol.
Kesimpulannya, jangan terlalu taksub dengan angka Total Cholesterol. TC yang tinggi tidak semestinya bermaksud seseorang mempunyai beban aterogenik yang tinggi, begitu juga TC normal tidak menjamin seseorang bebas daripada risiko aterosklerosis.
Dalam penilaian dan pencegahan penyakit kardiovaskular, perhatian lebih wajar diberikan kepada LDL-C, non-HDL-C dan ApoB, di samping faktor risiko klinikal yang lain.
Jadi, kita perlu ambil pendirian yang betul iaitu jumlah kolesterol masih ada kepentingannya dan tidak boleh diabaikan begitu saja.
Kita bukan sekadar mahu mengetahui berapa banyak kolesterol yang ada dalam darah. Kita mahu memahami berapa banyak partikel aterogenik yang beredar, bagaimana ia menyumbang kepada pembentukan plak dan bagaimana risiko penyakit kardiovaskular dapat dikurangkan berdasarkan bukti saintifik.
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
4hb Nov 2026



No comments:
Post a Comment