Monday 29 June 2020

LEMAK : MANFAAT DAN MUDARAT


KEPERLUAN NUTRIN

Setiap makhluk di dunia ini memerlukan makanan untuk hidup. Di dalam istilah sains, perkataan nutrisi sering digunakan, apakah ertinya nutrisi. Nutrisi adalah pengambilan dan penggunaan bahan makanan ( Practise of consuming and utilizing foods). Sains nutrisi (nutritional science) adalah kajian mengenai bagaimana badan memecahkan makanan dan bagaimana badan bertindakbalas terhadap makanan yang dipecahkan ini termasuk apakah yang berlaku kepada elemen2 yang terdapat di dalam makanan ini apabila ianya masuk ke aliran darah dan bertindak di sel2. Ini termasuk peranan bahan2 nutrisi tadi ke atas metabolisma dan proses fisiologi badan seseorang manusia. Makanan yang kita ambil perlu mengandungi bahan2 nutrisi yang seimbang seperti karbohidrat, protin, lemak, vitamin, mineral dan air. Setiap unsur2 nutrisi ini mempunyai peranan yang sangat khusus ke atas badan kita Ada di antaranya boleh dihasilkan oleh badan dan ada juga yang hanya boleh diperolehi dari makanan. Kita perlu mengambil makanan untuk membesar dengan sempurna, untuk fungsi sistem pembiakan yang normal, makanan juga perlu untuk memberi tenaga fizikal dan juga tenaga minda kita.  Sebahagian dari unsur2 nutrisi di dalam makanan kita sangat perlu untuk tujuan fungsi organ yang normal. Tidak kurang pentingnya adalah makanan yang kita makan perlu untuk memberi kekuatan kepada badan melawan penyakit dan mencegah dari menghidap penyakit berjangkit, penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, kanser dan lain-lain.

KANDUNGAN NUTRIN DI DALAM MAKANAN KITA

Kita perlu mengambil makanan kerana kita berkehendakkan bahan-bahan nutrisi yang terdapat di dalamnya. Bahan-bahan nutrisi ini dikenali sebagai nutrin (nutrient). Nutrin adalah sumber kesihatan dan kesuburan yang terdapat di dalam makanan. Terdapat dua jenis nutrin yang diperlukan oleh badan iaitu :

  1. MAKRONUTRIN (Macronutrients) yang terdiri dari Protin, Karbohidrat dan Lemak. Kita memerlukan makronutrin pada kadar yang banyak. Air dan serat juga dikategorikan sebagai makronutrin tetapi mereka tidak menghasilkan tenaga.

  2. MIKRONUTRIN (Micronutrients) yang terdiri dari vitamin dan bahan mineral yang diperlukan dalam kuantiti yang sedikit tetapi sangat penting.

LEMAK DAN KOLESTEROL

Lemak adalah molekul yang mengandungi atom karbon, hidrogen dan oksigen. Jika asid amino adalah unit asas protin, unit asas yang membentuk lemak adalah asid lemak ( fatty acid). Gabungan asid lemak dengan molekul gliserol akan membentuk trigliserid yang terdiri dari molekul yang lebih kompleks. Lemak seringkali dikaitkan dengan penyakit tetapi tahukah anda bahawa tanpa lemak, kita tidak dapat hidup. Lemak mempunyai banyak peranan termasuk menjadi sumber tenaga badan kita. Setiap pembakaran 1 gram lemak akan menghasilkan 9 kilokalori tenaga. Kajian terbaru menunjukkan bahawa lemak yang baik diperlukan untuk kesihatan badan.

Terdapat 4 jenis lemak iaitu lemak tepu (saturated fat), lemak mono-tidak tepu (monounsaturated fat), lemak poli-tidak tepu ( Polyunsaturated fat) dan  lemak trans (Trans fat). Lemak tidak tepu dianggap lemak yang baik, manakala lemak tepu dan lemak trans dianggap lemak yang tidak baik. Lemak trans adalah paling tidak baik kerana ianya dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit. Jadi di dalam merancang pengambilan lemak, anda digalakkan untuk mengambil lemak tidak tepu, hadkan pengambilan lemak tepu dan elakkan daripada mengambil lemak trans.

LEMAK MONO-TIDAK TEPU (MONOUNSATURATED FAT)

Berbeza dengan lemak tepu, lemak jenis tidak tepu ini kekal di dalam bentuk cecair walaupun di simpan di bawah suhu sejuk. Molekul lemak di dalam lemak jenis ini hanya mengandungi satu ruang untuk satu atom hidrogen. Mengikut pakar nutrisi, kesan lemak mono-tidak tepu ini adalah di pertengahan. Terdapat juga pakar2 pemakanan yang percaya lemak jenis ini sebenarnya mempunyai kelebihan di dalam mengurangkan risiko menghidap penyakit jantung. Penduduk di negara Mediterranean mengambil banyak lemak jenis mono-tidak tepu ini. Contoh minyak mono-tidak tepu ini adalah minyak zaitun, minyak bijirin dan avocados. Kacang seperti badam, hazelnuts dan pecans adalah juga pembekal lemak mono tidak tepu. Di samping itu biji buah labu dan biji buah bijan juga mengandung lemak mono  tidak tepu.

LEMAK POLI-TIDAK TEPU (POLYUNSATURATED FAT)

Berbeza dengan lemak tepu, lemak jenis poli-tidak tepu ini mengandungi banyak ruang2 dan ianya tidak tepu dengan atom hidrogen. Pakar nutrisi berpendapat bahawa lemak jenis ini adalah baik untuk kesihatan terutamanya dari sumber ikan yang dikenali sebagai Omega-3 polyunsaturated fatty acid. Asid lemak Omega-3 tidak dapat dihasilkan oleh badan manusia jadi ia perlu diambil daripada sumber luar. Omega 3 melindungi diri kita dari penyakit jantung kerana ia boleh mengurangkan kandungan kolesterol. Sebahagian pakar2 kesihatan juga percaya bahawa Omega-3 ini dapat mengurangkan penderitaan individu yang mengalami sakit sendi (arthritis) dan setengah penyakit kulit. Sumber lemak poli-tidak tepu ini adalah dari minyak ikan (sardin, trout, salmon, herring, mackerel), minyak bunga matahari, minyak biji anggur, minyak kacang soya, minyak jagung dan marjerin lembut. Minyak kanola mengandungi kedua-dua lemak mono tidak tepu dan poli tidak tepu. Tinggi kandungan asid lemak Omega-3 dikaitkan dengan kurang risiko mendapat sakit jantung dan kematian pra-matang. Pertubuhan Jantung Amerika mengesyorkan kita mengambil 8-10% sumber kalori daripada lemak poli tidak tepu dan terdapat bukti bahawa pengambilan  lebih banyak lemak ini sebagai ganti kepada lemak tepu dapatr mengurangkan risiko  sakit jantung (1)

Kajian daripada pengkaji Belanda yang menganalisa 60 kertas kajian bersangkutan dengan kesan pengambilan karbohidrat dan pelbagai jenis lemak telah mendapati apabila lemak mono tidak tepu dan poli tidak tepu digunakan untuk menggantikan karbohidrat di dalam makanan, kandungan kolesterol tidak baik iaitu LDL menurun, manakala kolesterol baik HDL pula meningkat (2). Kajian randomized yang lebih baru dikenali sebagai Optimal Macronutrient Intake Trial for Heart Health (OmniHeart) telah mendapati apabila makanan yang kaya dengan karbohidrat digantikan dengan makanan yang tinggi lemak tidak tepu terutamanya mono tidak tepu, ia menyebabkan tekanan darah lebih rendah, kandungan lemak darah lebih baik dan risiko menghidap penyakit jantung berkurangan (3)

LEMAK TEPU (SATURATED FAT)

Semua jenis makanan mengandungi campuran beberapa jenis lemak. Malah makanan yang sihatpun seperti daging ayam dan kacang mengandungi lemak tepu walaupun sedikit daripada sumber lemak tepu yang lain. Lemak tepu akan memejal apabila disimpan di bawah suhu sejuk. Setiap molekul lemak sudah tepu dengan atom hidrogen (“pintu sudah tertutup untuk kemasukan sebarang atom hidrogen”). Pengambilan lemak tepu yang berlebihan boleh memudharatkan badan dan menjadi punca peningkatan paras kolesterol dan menyebabkan penyakit salur darah dan jantung. Sumber terbesar lemak tepu adalah dari daging haiwan, produk daging, daging yang diproses, kulit, organ dalam, produk tenusu, ais kerim dan makanan yang diproses seperti kek dan pastri. Makanan daripada sumber tumbuhan seperti buah kelapa, minyak kelapa, minyak kelapa sawit dan minyak palm kernel mengandungi lemak tepu yang tinggi. Pertubuhan jantung Amerika mengesyorkan kita mengambil kurang daripada 7% lemak tepu sebagai sumber tenaga setiap hari, contohnya jika jumlah kalori yang perlu diambil dalam satu hari adalah 1500 Kkal, 7% adalah bersamaan dengan 105 Kkalori yang memerlukan lebih kurang 12 gram lemak ( 1 gram lemak dapat menghasilkan 9 kilokalori tenaga).  (4) Pengambilan karbohidrat menggantikan lemak tepu juga didapati tidak mendatangkan manfaat kepada tubuh badan dan  kesihatan jantung. Di Amerika, sumber makanan yang paling tinggi kandungan lemak tepu adalah Piza, keju, susu berlemak, mentega, produk daging (sosaj, burger, daging lembu, daging khinzir), makanan segera dan pembasuh mulut yang dibuat daripada bijirin (grain based deserts). Kaitan di antara pengambilan lemak tepu dengan risiko penyakit jantung tidak dapat disahkan secara konklusif kerana kajian terkini yang melibatkan lebih 300,000 orang selama 23 tahun menunjukkan bahawa tidak ada cukup bukti daripada kajian epidemiologi yang mengaitkan pengambilan lemak tepu dengan risiko menghidap penyakit jantung koronari, stroke dan penyakit jantung yang lain (5) . Sebaliknya pula beberpa kajian-kajian lain yang dijalankan telah mendapati bahawa kesan penurunan kandungan kolesterol dan risiko penyakit jantung dapat diturunkan jika pengambilan lemak tepu digantikan dengan lemak tidak tepu (6,7). Menggantikan lemak tepu dengan lemak tidak tepu juga dapat menghalang kebal insulin (insulin resistance) yang menjadi tanda awal penyakit diabetes (8). Jadi setakat ini fakta mengenai kebaikan lemak tidak tepu untuk kesihatan jantung dan kandungan  kolesterol di dalam badan adalah kukuh.

LEMAK TRANS

Lemak trans boleh diperolehi secara semulajadi ataupun secara sintetik. Lemak trans semulajadi dihasilkan di dalam usus haiwan dan sebahagian daripada produk makanan yg bersumberkan haiwan seperti susu dan daging mempunyai sedikit lemak trans di dalamnya.  Tidak ada maklumat yang sahih mengenai kesan kesihatan daripada lemak trans semulajadi, jadi apabila kita bercakap mengenai kesan negatif ke atas kesihatan, ianya merujuk kepada lemak trans sintetik. Kebanyakan lemak trans yang dimaksudkan adalah lemak trans yang dihasilkan secara komersial ataupun sintetik. Lemak trans sintetik ini dihasilkan melalui penambahan hidrogen (“hydrogenation”) ke dalam cairan minyak sayuran (vegetable oils) untuk menjadikannya lebih pejal. Jadi lemak trans jenis ini semuanya adalah pada asalnya daripada kategori lemak mono-tidak tepu ataupun lemak poli-tidak tepu. Sumber lemak trans yang paling utama di dalam makanan adalah daripada daging yang diproses. Untuk mengesan kandungan lemak trans, ada perkataan “partially hydrogenated oils” ditulis pada lable produk.

Lemak trans yang dihasilkan secara ini menjadikannya lebih stabil apabila dipanaskan tanpa dipecahkan dan sangat sesuai digunakan untuk menggoreng makanan segera. Lemak trans juga murah, mempunyai tempoh hayat yang lebih panjang dan boleh digunakan semula. Sebab itu ianya menjadi pilihan di restoran-restoran makanan untuk tujuan menggoreng dan  memproses keropok. Walau bagaimanapun, lemak trans bukanlah keperluan kepada badan kita dan tentu sekali ianya tidak memberi sebarang manfaat kesihatan. Mengambil lemak trans yang berlebihan boleh meningkatkan kandungan LDL ( kolesterol tidak baik) dan menurunkan tahap HDL (kolesterol baik). Ini boleh meningkatkan risiko badan anda menghidap penyakit jantung koronari dan angin ahmar. Lemak trans menjadi semakin popular kerana syarikat makanan mendapati ianya mudah dihasilkan serta murah. Ianya juga dapat bertahan lebih lama dan dapat memberi rasa yang lebih enak pada makanan. Berhati2 kerana lemak jenis ini mungkin banyak digunakan di kedai2 makanan segera sekeliling anda. Dimana lemak trans boleh dikesan ? Di antaranya adalah makanan goreng seperti goreng kentang, donat (doughnuts), piza, cookies, crackers, pie. muffins, kek dan stick margerine.  Jika makanan anda mengandungi label “partially hydrogenated oils” maka itulah lemak trans. Persatuan Jantung Amerika ( American Heart Association) membuat kenyataan bahawa anda tidak boleh mengambil lemak trans lebih dari 1% dari jumlah kalori yang diambil. Secara idealnya, kita patut mengelak daripada mengambila lemak trans, tetapi jika dapat mensasarkan kurang daripada 1 gram sehari, ianya sudah memadai. Kajian juga menunjukkan bahawa jika kita dapat menghapuskan penggunakan lemak trans di dalam makanan, ianya akan dapat mencegah serangan jantung dan kematian akibat penyakit jantung sebanyak 6-19% (9)

Lemak trans adalah sangat tidak baik kepada kandungan kolesterol darah berbanding dengan lemak tepu kerana:

 

1.   Lemak trans meningkatkan LDL (kolesterol tidak baik) dan menurungkan HDL (kolesterol baik)

 

2.   Menyebabkan keradangan iaitu tindakbalas yang ada kaitan dengan imuniti, keradangan mempunyai kaitan dengan risiko sakit jantung, stroke, diabetes dan lain-lain penyakit kronik.

 

3.   Lemak trans boleh menyumbang kepada kebal insulin (insulin resistance) (10)

 

4.   Lemak trans boleh meningkatkan risiko penyakit jantung koronari walaupun dengan pengambilan dalam kuantiti yang sedikit. Risiko penyakit jantung koronari meningkat kepada 23% hanya oleh penambahan 2% sumber kalori daripada lemak trans.

Hanya dengan undang-undang yang ketat sahaja pengambilan lemak trans dapat dihapuskan ataupun dikurangkan di dalam makanan. Pada bulan Jun 2015, FDA telah mengumumkan bahawa mereka telah membuat keputusan untuk mengharamkan penggunaan lemak trans tiruan di dalam bekalan makanan. Pengeluar makanan di Amerika diberi masa selama 3 tahun untuk melakukannya. Peraturan seumpama ini tidak terdapat di negara-negara membangun di mana industri makanan segera telah berkembang dengan pesat dan penggunaan lemak trans ini telah menjadi satu masalah yang besar yang mengancam kesihatan penduduk-penduduknya.

KOLESTEROL

Kolesterol selalu dikaitkan dengan masalah kesihatan tetapi tahukah anda bahawa kolesterol mempunyai peranan yang penting di dalam badan kita jika ianya tidak berlebihan. Kolesterol adalah bahan berlemak yang terdapat secara semulajadi di dalam badan. Kolesterol adalah penting untuk pembinaan selaput sel, menghadamkan makanan, menghasilkan hormon dan vitamin D. Badan boleh menghasilkan kolesterol. Kolesterol juga boleh didapati dari makanan iaitu dari sumber haiwan seperti hati, limpa, kulit, telor kuning dan daripada produk susu penuh krim termasuk mentega, krim dan keju. Terdapat dua jenis kolesterol yang beredar di dalam aliran darah iaitu HDL (High density lipoprotein) ataupun kolesterol baik dan LDL (low density lipoprotein) iaitu kolesterol tidak baik. Lipoprotin yang mengangkut lemak di dalam darah ini dihasilkan oleh hati, terdapt juga yang dihasilkan oleh sel-sel lapisan usus. Peningkatan LDL dikaitkan dengan risiko menghidap penyakit salur darah , sakit jantung dan sakit angin ahmar. Kolesterol ini boleh mendap di dinding salur darah dan menyumbat bekalan darah ke organ-organ. Kita hendaklah menjaga makanan yang kita ambil supaya tahap HDL tinggi dan LDL kita rendah. Kita hendaklah memastikan jumlah kolesterol di dalam badan kita kurang dari 5.2mmol/L. Di samping itu, tahap HDL hendaklah sentiasa > 1.02 mmol/L untuk lelaki dan > 1.3 mmol/L untuk wanita. Manakala LDL hendaklah sentiasa kurang dari 2.6 mmol/L. Pengambilan makanan yang mempunyai tinggi lemak tepu dapat meningkatkan kandungan kolesterol badan. Untuk mengurangkan kandungan kolesterol badan, kita hendaklah bersenam, mengambil kurang makanan berlemak terutamanya yang mengandungi lemak tepu, lemak trans dan mengambil banyak makanan serta buah-buahan yang mengandungi tinggi serat.


Faktor yang paling utama di dalam menentukan kandungan kolesterol di dalam darah anda adalah jumlah kandungan lemak dan karbohidrat yang ada di dalam makanan anda dan bukan jumlah kolesterol yang anda ambil melalui makanan. Ini disebabkan kerana lemak dan kolesterol yang anda ambil akan melalui sistem pengangkutan di dalam darah melalui dua sistem pengangkut dikenali sebagai LDL dan juga HDL. Lemak dan kolesterol perlukan sistem pengangkutan ini sebab ianya tidak larut di dalam air dan darah. LDL membawa kolesterol daripada hati ke seluruh badan, sel mampu untuk mengektrak lemak dan kolesterol daripada LDL untuk kegunaannya. Jika LDL terlalu tinggi, ia boleh termendap di dinding saluran darah untuk membentuk plag sebab itu LDL juga dikenali sebagai kolesterol tidak baik (“bad cholesterol”). HDL pula berperanan membersihkan darah daripada kolesterol dengan mengambilnya daripada LDL dan dinding saluran darah untuk membawanya balik ke hati supaya dapat dibuang. Bayangkan HDL seperti lori sampah yang mengangkut sampah dan membuangnya ke tempat membuang sampah. Sebab itu HDL juga dikenali sebagai kolesterol baik  (“good cholesterol”).

Jadual 1   : Tahap kolesterol darah dan klasifikasi

HDL and Reverse Cholesterol Transport


TRIGLIDERIDA (TRIGLYCERIDES)

Kebanyakan lemak yang anda makan sebenarnya apabila masuk ke dalam aliran darah adalah di dalam bentuk trigliserid (lebih 95%), selainnya adalah asid lemak, kolesterol dan vitamin yang larut lemak. Seperti juga kolesterol, trigliserid tidak larut di dalam air dan memerlukan sistem pengangkut yang sama. Lemak yang diambil akan dipecahkan oleh enzim di dalam perut, pankreas dan usus supaya komponen kecil mereka dapat diserap ke dalam sel-sel dinding usus. Di dalam sel-sel usus (enterocytes) ini mereka akan dibentuk semula dan akan dibungkus bersama menjadi sejenis lipoprotin yang besar dikenali sebagai chylomicron untuk masuk ke dalam aliran darah menuju ke sel-sel dan hati. Lebih 90% daripada chylomicron akan dipecahkan dan melepaskan Trigliserid untuk kegunaan sel-sel lemak dan sel otot sebagai sumber tenaga. Baki chylomicron yang kaya dengan kolesterol ini akan beredar di dalam edaran darah ke hati di mana ianya akan dibuang. Trigliserid  juga adalah bentuk lemak yang ditukarkan daripada kalori (lemak dan karbohidrat yang berlebihan) yang berlebihan di dalam badan anda dan ianya disimpan di dalam sel. Badan menggunakan trigliserid sebagai sumber tenaga apabila ianya dipecahkan kepada asid lemak melalui proses yang dikenali sebagai lipolisis, anda memerlukan sebahagian trigliserid untuk kesihatan tetapi kandungan trigliserid yang tinggi boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung dan juga petanda seseorang mengalami sindrom metabolik. Kandungan trigliserid yang normal adalah dibawah paras 150 mg/dl, manakala 150-199 mg/dl dianggap borderline dan jika melebihi 200 mg/dl ianya dianggap tinggi. Seseorang yang mempunyai kandungan trigliseride (TG) melebihi 500 mg/dl dianggap mempunyai paras TG yang sangat tinggi. Kandungan TG yang tinggi dikaitkan dengan penyakit jantung, stroke dan serangan sakit jantung. Jika tahap TG terlalu tinggi, ianya juga boleh menyebabkan radang pankreas ataupun pancreatitis. Kandungan TG disebabkan oleh diet yang tinggi lemak, kegemukan, penyakit diabetes jenis 2, hormon tiroksin yang rendah, penyakit hati dan buah pinggang. Ianya juga boleh disebabkan oleh ubat seperti beta blockers, pil perancang, ubat kencing (diuretics) dan steroid.

KESIMPULAN

Kesimpulannya lemak adalah keperluan asas badan anda yang bukan sahaja berperanan menjadi sumber tenaga, ianya juga penting untuk pembinaan struktur-struktur badan dan komponen penting dinding sel. Terdapat juga lemak yang baik untuk kesihatan dan yang tidak baik untuk kesihatan. Anda perlu berusaha supaya anda mempunyai tahap trigliserid yang rendah, LDL yang rendah dan HDL yang tinggi untuk kesihatan badan terutama di dalam mengurangkan kegemukan, penyakit jantung dan stroke.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

RUJUKAN

1.   Mozaffarian, D., R. Micha, and S. Wallace, Effects on coronary heart disease of increasing polyunsaturated fat in place of saturated fat: a systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. PLoS Med, 2010. 7(3): p. e1000252.

2.       Mensink, R.P., et al., Effects of dietary fatty acids and carbohydrates on the ratio of serum total to HDL cholesterol and on serum lipids and apolipoproteins: a meta-analysis of 60 controlled trials. Am J Clin Nutr, 2003. 77(5): p. 1146-55

3.       Appel, L.J., et al., Effects of protein, monounsaturated fat, and carbohydrate intake on blood pressure and serum lipids: results of the OmniHeart randomized trial. JAMA, 2005. 294(19): p. 2455-64.

4.       4.Lichtenstein, A.H., et al., Diet and lifestyle recommendations revision 2006: a scientific statement from the American Heart Association Nutrition Committee. Circulation, 2006. 114(1): p. 82-96.

5.       Siri-Tarino, P.W., et al., Meta-analysis of prospective cohort studies evaluating the association of saturated fat with cardiovascular disease. Am J Clin Nutr, 2010. 91(3): p. 535-46.

6.       Astrup, A., et al., The role of reducing intakes of saturated fat in the prevention of cardiovascular disease: where does the evidence stand in 2010? Am J Clin Nutr, 2011. 93(4): p. 684-8

7.       Farvid MS, Ding M, Pan A, Sun Q, Chiuve SE, Steffen LM, Willett WC, Hu FB. Dietary Linoleic Acid and Risk of Coronary Heart Disease: A Systematic Review and Meta-Analysis of Prospective Cohort Studies. Circulation, 2014

8.       Riserus, U., W.C. Willett, and F.B. Hu, Dietary fats and prevention of type 2 diabetes.Prog Lipid Res, 2009. 48(1): p. 44-51

9.       Mozaffarian, D., et al., Trans fatty acids and cardiovascular disease. N Engl J Med, 2006. 354(15): p. 1601-13).

10.   Riserus, U., W.C. Willett, and F.B. Hu, Dietary fats and prevention of type 2 diabetes.Prog Lipid Res, 2009. 48(1): p. 44-51.

 

TIDAK DIBENARKAN SESIAPA ATAUPUN MANA-MANA PIHAK MENGAMBIL BAHAN DI DALAM  RENCANA INI TANPA KEBENARAN PENULIS

MENGAPA KANSER SUKAR DIRAWAT

Walaupun kadar kematian akibat kanser semakin menurun pada hari ini berbanding dengan 30 tahun dahulu, masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan oleh Ahli2 Sains serta Penyelidik untuk mencari kaedah rawatan kanser yang lebih berkesan terutama kes kanser yang berada pada peringkat lewat. Seperti yang pernah saya nyatakan di dalam tulisan2 yang lalu, sel-sel normal bertukar menjadi kanser apabila berlaku mutasi/kelainan DNA yang berulang2 akibat daripada serangan agen penyebab kanser yang juga dikenali sebagai karsinogen. Individu yang normal mampu untuk memperbaiki kerosakan DNA ataupun mematikan sel-sel yang sudah rosak. Tetapi individu yang lemah tidak mampu untuk memperbaiki kerosakan DNA sehingga kerosakan itu berlaku secara berulang2 dan akhirnya sel2 yg tidak normal itu menjadi sel2 asing (sel mutan) yang mampu untuk hidup sendiri menggunakan tubuh badan pesakit sebagai tempat membiak.Terdapat sekurang2nya 5 sebab mengapa kanser sukar dirawat:

 

1. MASALAH PENYELIDIKAN KANSER. Hari ini ubat antikanser diuji dengan menggunakan haiwan ataupun lapisan sel-sel kanser manusia yang dibiak di dalam makmal. Walaupun ubat antikanser ini didapati berkesan mematikan sel-sel kanser di dalam makmal, apabila ianya diuji ke atas tubuh badan manusia, ubatan ini didapati tidak berkesan kerana tubuh badan manusia jauh lebih kompleks. Inilah salah satu punca mengapa banyak kajian2 praklinikal yang berjaya gagal melepasi kajian klinikal ke atas manusia. Penyelidik perlu mencari kaedah penyelidikan yang lebih baik dan lebih tepat untuk mewakili tubuh badan manusia.

2. SEL-SEL KANSER SANGAT UNIK DAN PINTAR. Ahli sains mendapati terdapat kanser yang mampu menghasilkan beberapa populasi sel kanser yang berbeza dengan setiap satunya mempunyai ciri2 berbeza. Rawatan antikanser mungkin berkesan menghapuskan satu populasi tetapi gagal menghapuskan populasi lain. Populasi sel2 kanser ini dikenali sebagai subklon. Contohnya kanser otak yang dikenali sebagai Glioblastoma, pesakit kanser ini boleh mempunyai 5-6 subklon di dalam diri mereka sehingga rawatan menjadi sangat sukar. Sebab itulah apabila menerima rawatan, ada ketulan yang hilang dan ada yang kekal ataupun lebih besar.

3. SEL-SEL KANSER MAMPU MENGWUJUDKAN EKOSISTEM MEREKA SENDIRI, di mana di dalam ekosistem itu mereka dapat berhubung sesama sendiri dan juga berhubung dengan sel-sel normal yang berdekatan. Sel-sel kanser ini mampu untuk meransang sel-sel normal di sekitar mereka untuk menghasilkan saluran darah baru yang dapat membekal nutrisi kepada mereka serta mengeluarkan bahan kumuh.

4. SEL-SEL KANSER MAMPU BERADAPTASI ataupun mengubahsuaikan diri sendiri dengan perubahan yang berlaku di sekitarnya sehingga ia boleh menjadi kebal kepada ubat antikanser dan sukar untuk dihapuskan. Apabila ia diserang oleh ubat antikanser, ia mampu menangkis serangan dengan mekanisma pertahanan diri seperti seorang askar yang menggunakan perisai menangkis serangan musuh.

5. KANSER MAMPU MENGABUI/MELINDUNGI DIRI MEREKA DARIPADA DIKESAN OLEH SISTEM PERTAHANAN BADAN. Akibatnya sistem pertahanan badan manusia tidak dapat mengenal sel-sel kanser sebagai sel asing untuk dihapuskan, sebaliknya ia menganggap sel-sel kanser ini seperti sebahagian daripada sel2 yang normal.

 

Penyelidikan mengenai sifat dan kaedah rawatan kanser sedang giat dijalankan oleh ahli2 sains dan dari masa ke semasa. Strategi2 baru melawan kanser sudah ditemui dan ada di antaranya sudahpun digunakan keatas pesakit. Penemuan2 terbaru ini termasuklah targeted therapy, terapi imun dan terapi gene yang bakal digunakan bersama rawatan2 yang sedia ada. Hasil kajian menggunakan pendekatan ini telah menunjukkan bahawa kadar sembuh dan kadar hidup pesakit kanser dapat dipertingkatkan, sekurang-kurangnya ke atas beberapa jenis kanser. Kaedah2 rawatan ini tentu akan diperbaiki dari masa ke semasa sehingga ianya dapat menggantikan kaedah rawatan kanser yang sedia ada. Apa2 pun kaedah terbaik untuk melawan kanser adalah dengan mencegah penyakit kanser melalui amalan hidup sihat, menjalani saringan, pemakanan yang sempurna dan menjadi masyarakat yang lebih berilmu pengetahuan. Di samping itu, kanser yang dikesan pada peringkat awal lebih mudah dirawat dan kebanyakannya mempunyai kadar sembuh yang lebih tinggi. Jadi, disamping kajian pesat dilakukan untuk mencari kaedah rawatan yang terbaik, kaedah pencegahan dan pengesanan awal yang berkesan adalah pendekatan yang paling berkesan untuk mengurangkan kadar kejadian kanser dan juga meningkatkan keberkesanan rawatan. Usaha-usaha pencegahan dan pengesanan awal ini sangat bergantung kepada sikap orang ramai.

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
KKM

Sunday 21 June 2020

PRA-KANSER SERVIKS DAN BAGAIMANA MERAWATNYA (VIDEO)

VIDEO 1 : PENGENALAN TENTANG PRAKANSER SERVIKS (PRAKANSER PANGKAL RAHIM)





VIDEO 2 : KAEDAH MERAWAT PRAKANSER SERVIKS








PRA-KANSER


APAKAH PRAKANSER

Sel yang normal di dalam tubuh badan manusia boleh bertukar menjadi sel kanser apabila terdedah kepada karsinogen. Karsinogen adalah agen yang meransang sel menjadi kanser. Karsinogen merosakkan bahan baka ataupun DNA di dalam sel yang mengawal pembiakan sel. Kerosakan DNA ini dinamakan mutasi. Apabila mutasi ini berlaku kepada bahagian DNA yang mengawal pembiakan sel maka sel boleh membiak di luar kawalan dan boleh bertukar menjadi kanser. Perubahan sel normal kepada sel kanser dinamakan transformasi sel kanser, lebih tepat lagi dinamakan “malignant transformation”. Proses transformasi sel kanser ini berlaku melalui proses yang sangat kompleks dan berperingkat-peringkat, apabila terdedah kepada karsinogen dalam masa yang panjang.

Pada peringkat awal transformasi sel, sel kelihatan tidak normal di mana saiznya menjadi lebih besar, nukleus di tengah sel menjadi lebih pekat dan berbentuk ganjil. Sel-sel ini juga dinamakan “atypical cells” ataupun “dysplastic cells”. Pada waktu yang sama terdapat juga tanda-tanda kadar pembiakan sel yang tinggi di mana banyak di antara sel-sel ini kelihatan sedang membahagi. Pembahagian sel ini dinamakan mitosis. Pada peringkat awal, sel-sel yang ganjil ini masih kekal di dalam lapisan kulit ataupun selaput pada dinding organ. Sel-sel ini belum menembusi lapisan kulit dan belum berupaya untuk merebak jauh ke tempat lain. Jadi sel-sel yang ganjil ini belum mempunyai ciri-ciri sel kanser. Peringkat ini juga dikenali sebagai PRAKANSER ataupun PRAINVASIF. Ada juga yang menamakanya sebagai “CARCINOMA IN-SITU”. Prakanser TIDAK dianggap sebagai kanser. Seseorang yang mengidap Prakanser tidak dianggap sebagai pesakit kanser. Kebanyakan pesakit prakanser tidak mempunyai gejala dan peringkat ini dikesan melalui ujian saringan contohnya ujian pap smear untuk mengesan prakanser pangkal rahim. Kanser yang berbeza mempunyai nama prakanser yang berbeza, contohnya prakanser pangkal Rahim dikenali sebagai CIN (“Cervical intraepithelial neoplasm”), prakanser rahim dikenali sebagai EIN (“Ëndometrial Intraepithelial Neoplasm”), dan lain-lain lagi. Peringkat prakanser hanya boleh disahkan melalui ujian biopsi dan pemeriksaan makmal oleh Pakar Patologi.



Memandangkan prakanser belum lagi menjadi kanser, maka ada kemungkinan ia boleh pulih dengan sendiri tanpa rawatan. Walau bagaimanapun ADA JUGA PRAKANSER YANG BOLEH BERTUKAR MENJADI KANSER. Apa yang menjadi masalah kepada pakar kanser adalah tidak ada cara untuk mengenalpasti siapakah yang akan pulih dan siapakah yang akan menghidap kanser. Maka semua pesakit prakanser seelok-eloknya dirawat untuk tujuan mencegah daripada sel-sel itu bertukar menjadi kanser.

Proses transformasi sel yang normal menjadi sel kanser memakan masa yang lama, mungkin bertahun-tahun. Daripada sel normal menjadi sel prakanser, tempoh masanya berbeza-beza mengikut jenis organ yang terlibat, daripada beberapa bulan hingga beberapa tahun. Manakala tempoh masa perubahan daripada peringkat prakanser bertukar menjadi kanser selalunya lebih lama, contohnya prakanser pangkal rahim mengambil masa 10-15 tahun untuk menjadi kanser pangkal rahim.

Tidak semua jenis kanser mempunyai peringkat prakanser. Di antara kanser yagn mempunyai peringakat prakanser adalah kanser pangkal rahim, kanser rahim, kanser ovari, kanser payudara, kanser kulit dan lain-lain. Apabila peringkat prakanser ini dikesan, pesakit akan dirawat. Kebanyakan peringkat prakanser ini dirawat dengan kaedah pembedahan ataupun dengan kaedah memusnahkannya dengan menggunakan aliran elektrik, sinaran laser ataupun kaedah sejukbeku (“cryotherapy”). Dengan merawat peringkat prakanser, maka seseorang itu akan dapat dihindarkan daripada menghidap penyakit kanser. Jadi salah satu kaedah mencegah kanser adalah dengan mengesan dan merawat peringkat prakanser.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
6hb Jun 2018
https://www.facebook.com/rushdan.noor


VIDEO PRAKANSER SERVIKS






KANSER DAN KEMOTERAPI

KANSER DAN RAWATAN KEMOTERAPI

Dalam status yang lalu saya telah menerangkan apakah perbezaan di antara sel normal dengan sel kanser. Salah satu kaedah untuk mematikan sel kanser adalah dengan kaedah rawatan kemoterapi. Rawatan kemoterapi tergolong di dalam rawatan sistemik yakni ubat yang diberikan akan pergi ke seluruh badan. Terdapat 3 tujuan rawatan ini diberikan iaitu samada untuk menyembuhkan, memanjangkan hayat ataupun untuk mengurangkan gejala. Ubat yang digunakan di dalam rawatan ini juga dikenali sebagai sitotoksik ("cytotoxic") ataupun "chemotherapeutic agents". Banyak daripada ubat sitotoksik ini sebenarnya diekstrak daripada daun kayu, contohnya Paclitaxel yang diperolehi daripada pokok Yew. Ada juga yang dihasilkan secara sintetik.

Terdapat lebih 100 jenis ubat sitotoksik yang digunakan untuk merawat kanser. Ubat sitotoksik yang digunakan untuk merawat kanser ini dikumpulkan ke dalam kumpulan-kumpulan tertentu di mana setiap kumpulan mempunyai kaedah mematikan sel kanser dengan cara yang tersendiri.Ianya diberikan samada melalui suntikan, kemopot, makan ataupun dimasukkan ke dalam rongga.

Dua sifat sel kanser (berbeza dengan sel normal) yang menjadi asas kepada keberkesanan ubat sitotoksik adalah sel kanser membiak dengan sangat cepat dan sel kanser kurang berkemampuan untuk memulihkan diri mereka sendiri. Terdapat beberapa kaedah bagaimana ubat sitotoksik membunuh sel kanser di antaranya adalah merosakkan DNA, mengikat DNA, memotong DNA, merencat pembentukan unit asas DNA, menghalang pembahagian sel kanser dan lain-lain. Apabila ini dilakukan, sel kanser gagal membiak dan akan mati. Sel kanser tidak dapat pulih kerana tidak mampu memulihkan diri mereka sendiri. Disebabkan sasaran ubat sitotoksik ini adalah kepada proses pembahagian sel kanser, maka hanya sel-sel yang membiak dengan cepat sahaja yang akan dapat dimatikan dengan berkesan.

Apabila ubat sitotoksik diberikan kepada seluruh badan, maka sel-sel yang normal juga akan terdedah kepadanya. Kebanyakan sel-sel yang normal di dalam badan anda sudah tidak membiak dan terselamat daripada kesan ubat sitotoksik. Walau bagaimanapun terdapat beberapa jenis sel normal yang masih membiak dengan cepat seperti sel rambut, sel lapisan usus dan sel darah di dalam sum-sum tulang. Sel-sel inilah yang selalunya akan terkesan apabila ubat sitotoksik diberikan, sebab itulah seseorang pesakit boleh mengalami keguguran rambut, kurang sel darah dan juga masalah sistem gastrousus (loya,muntah, luka pada mulut, cirit). Terdapat juga kesan sampingan ke atas organ-organ tertentu seperti buah pinggang, saraf, jantung dan lain-lain bergantung kepada jenis ubat yang digunakan. Memandangkan sel normal boleh memperbaiki diri mereka, maka kesan sampingan ini bersifat sementara sebab itu perlu ada tempoh rehat daripada 1-3 minggu selepas rawatan.


Cabaran yang terbesar dihadapi oleh pakar kanser adalah bagaimana menentukan dos dan kekerapan ubat sitotoksik supaya ianya berkesan membunuh sebanyak mungkin sel kanser dan meminimakan kesan sampingan ke atas sel yang normal. Pakar kanser juga perlu menentukan jenis ubat sitotoksik yang hendak diberikan. Selalunya ubat sitotoksik diberikan dalam bentuk gabungan dua ataupun lebih jenis ubat yang bertindak dengan cara yang berbeza. Cabaran ini dapat diatasi dengan pengetahuan dan kemahiran ahli-ahli sains farmakologi yang mampu menentukan dos dan kekerapan ubat sitotoksik diberikan. Pesakit kanser juga akan menjalani persediaan sebelum rawatan diberikan dan akan menerima ubat-ubat pencegah kesan sampingan selepas selesai rawatan. Ada juga ubat-ubat yang boleh melindungi organ-organ badan seperti buah pinggang , jantung dan lain-lain daripada kesan ubat sitotoksik. Ubat-ubat pelindung ini dinamakan "cytoprotector".

Tidak semua kanser boleh dirawat dengan rawatan kemoterapi. Kebanyakan kanser menggunakan rawatan kemoterapi selepas menjalani rawatan utama untuk mengurangkan kejadian kanser berulang dan juga memanjangkan hayat. Ini dikenali sebagai kemoterapi adjuvant. Ada juga yang menerima rawatan kemoterapi sebelum rawatan utama diberikan untuk mengecilkan saiz kanser, rawatan ini dikenali sebagai kemoterapi neoadjuvan. Manakala golongan ketiga menerima rawatan kemoterapi sebagai rawatan utama.

Kajian masih diteruskan untuk mencari ubat-ubat sitotoksik yang lebih berkesan dan menggunakan gabungan ubat yang berbeza-beza. Ahli sains juga mengkaji kaedah-kaedah lain bagaimana ubat ini diberikan supaya ianya lebih berkesan dan pada waktu yang sama dapat mengurangkan kesan sampingan. Kita akan belajar mengenai ubat-ubat antikanser yang lain seperti terapi hormon, terapi sasaran ("targeted therapy") dan terapi imun di dalam status yang akan datang.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
https://www.facebook.com/rushdan.noor

Saturday 20 June 2020

KEKEBALAN ATAU RINTANGAN UBAT ANTI-KANSER


Setiap pesakit kanser mempunyai keunikan tersendiri. Di samping itu kanser daripada jenis yang sama kadangkala memiliki ciri-ciri yang berbeza di dalam tubuh pesakit yang berbeza. Jadi ada faktor dalaman pesakit itu sendiri dan juga sifat kanser yang menentukan samada penyakit kanser itu dapat dirawat dengan rawatan kemoterapi.

Seseorang pesakit kanser boleh mengalami kekebalan  atau rintangan kemoterapi yakni sel-sel kanser tidak dapat dimatikan dengan ubat antikanser. Terdapat banyak sebab mengapa ini berlaku. Umumnya seseorang itu dikatakan mengalami kekebalan ubat antikanser jika tidak ada sebarang kesan pengurangan kanser semasa rawatan diberikan. Ia juga dikatakan kebal jika kanser datang kembali tidak sampai 6 bulan selesai menjalani rawatan kemoterapi).

Terdapat banyak sebab mengapa seseorang pesakit kanser mengalami kekebalan ubat antikanser, di antaranya adalah:

1. Ubat antikanser tidak dapat sampai ke lokasi kanser disebabkan oleh sistem pengangkutan yang terjejas (contoh: kurang bekalan darah) ataupun ada halangan.

2. Ubat antikanser perlu berinteraksi dengan protin tertentu di permukaan sel kanser. Ia perlu masuk ke dalam sel dan mematikan sel kanser. Jika ubat antikanser tidak dapat masuk ataupun hanya dapat masuk dalam masa yang singkat, ia tidak dapat mematikan sel kanser dengan berkesan. Untuk mematikan sel kanser, kadar kemasukan ubat antikanser ke dalam sel hendaklah lebih cepat daripada kadar pengeluaran.

3. Sel-sel kanser dapat memperbaiki kecederaan memulihkan diri mereka akibat ubat anti-kanser. Kebanyakan sel-sel kanser tidak mampu memperbaiki dirinya apabila diberikan ubat antikanser sebab itu sel-sel ini mati. Proses kematian sel dinamakan apoptosis. Sel kanser yang kebal ini mempunyai keupayaan untuk menghalang apoptosis dengan menghasilkan bahan anti-apoptotik.

4. Sel kanser boleh menghasilkan banyak salinan gene yang menghasilkan enzim untuk merencat proses metabolisma ubat antikanser sehingga bentuk aktif ubat tersebut tidak dapat dihasilkan.

5. Sel-sel kanser yang sudah terdedah kepada ubat sitotoksik boleh mengubah dirinya menjadi kebal melalui proses penyesuaian diri. Salah satu punca berlakunya keadaan ini adalah apabila rawatan kemoterapi tergendala dan pesakit berhenti menerima rawatan di tengah jalan. Ianya juga boleh berlaku jika dos dan kekerapan rawatan tidak diberikan dengan betul. Ini memberi masa kepada sel-sel kanser untuk menjadi kebal.

6. Sel-sel kanser dapat mencari jalan ataupun mekanisma melemahkan ubat sitotoksik ("drug inactivation") yang sampai kepada mereka.

Terdapat banyak lagi mekanisma bagaimana seseorang pesakit kanser boleh mengalami kekebalan ubat antikanser. Selalunya kanser pada peringkat yang lewat ataupun sudah merebak ke banyak anggota badan lebih mudah mengalami kekebalan ubat antikanser. Begitu juga jika kanser tersebut daripada jenis yang ganas.

Rawatan kemoterapi oleh pakar kanser yang terlatih juga akan dapat mengurangkan kadar kejadian kekebalan antikanser. Menggunakan lebih daripada satu jenis ubat antikanser juga adalah salah satu cara mengurangkan kadar kekebalan. Kanser yang dikesan pada peringkat awal mempunyai risiko kekebalan ubat antikanser yang lebih rendah.

Jika seseorang pesakit mengalami kekebalan ubat antikanser, pakar kanser akan mempertimbangkan untuk memberi ubat antikanser yang lain ataupun dikenali sebagai "second line chemoterapy". Banyak kajian sedang dilakukan oleh Ahli Sains untuk mengkaji dengan lebih mendalam mengenai mekanisma kekebalan terhadap ubat antikanser dan bagaimana mengatasinya. Hari ini Ahli Sains sudah berupaya menghasilkan beberapa jenis ubat antikanser yang lebih berkesan untuk merawat pesakit yang mengalami kekebalan kemoterapi.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Kementerian Kesihatan Malaysia

23hb Julai 2018

https://www.facebook.com/rushdan.noor


Pautan : https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10211739162302391




BENARKAH KOPI BOLEH MENYEBABKAN KANSER ?


Kopi adalah minuman yang paling digemari oleh manusia, dikatakan setiap hari sejumlah 2.25 bilion cawan kopi diminum oleh manusia di seluruh dunia. Sekarang ini sedang hangat diperkatakan tentang kopi dan risiko lebih tinggi menghidap kanser. Apakah dakwaan ini benar? Berikut adalah beberapa fakta mengenai kopi dan penyakit kanser.

1. Setakat ini belum ada bukti kukuh bahawa meminum kopi meningkatkan risiko menghidap kanser. Malahan terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kopi boleh mengurangkan risiko menghidap beberapa jenis kanser seperti kanser rahim, kanser hati , kanser mulut dan kanser prostat. Beberapa kajian meta-analisis telah mendapati bahawa meminum kopi pada kadar 1-2 cawan sehari tidak meningkatkan risiko penyakit kanser keseluruhannya. Jika pun ada data yang menunjukkan ujudnya kaitan dengan risiko menghidap kanser, ianya lebih tertumpu kepada peminum yang mempunyai tabiat lain seperti merokok (orang yang ketagih rokok selalunya juga ketagih kopi), kegemukan dan lain-lain, mungkin faktor inilah yang bertanggungjawab meningkatkan risiko menghidap kanser. Lain-lain jenis kanser tidak mempunyai kaitan yang konsisten dengan pengambilan kopi(1). Terdapat meta-analisis yang menilai 59 kajian kohot mendapati risiko keseluruhan menghidap kanser lebih rendah dalam kalangan peminum kopi, di mana risiko kanser menurun sebanyak 3% untuk setiap cawan kopi yang diminum setiap hari (2).

2. Titik tolak bermulanya berita heboh mengaitkan minum kopi dengan risiko kanser adalah kes yang dibicarakan di mahkamah di California di mana Hakim menyebelahi Council of Education and Research on Toxics (CERT) menyaman beberapa syarikat penjual kopi terkemuka dunia kerana tidak meletakkan tanda amaran risiko kanser pada produk mereka termasuk kopi yang dikaitkan dengan keujudan sejenis sebatian kimia yang dikenali sebagai Acrylamide (3). Maka punca asal mengaitkan kopi dengan kanser adalah satu sebatian kimia yang bernama Acrylamide yang terhasil semasa proses penyediaan kopi. Sebenarnya isu ini bukan hanya tertumpu kepada kopi tetapi juga minuman dan makanan lain yang berkaitan.

3. Kopi dan Acrylamide bukanlah benda yang sama kerana sebatian kimia ini boleh ditemui di dalam banyak lagi jenis makanan. Tambahan pula bahan ini hanya terhasil apabila manusia memproses bahan makanan dengan teknik2 tertentu. Sebenarnya makanan dan asap rokok adalah 2 sumber paling utama Acrylamide. Makanan yang menjadi sumber utama Acrylamide kepada manusia adalah makanan berkanji (bersumberkan kentang) yang diproses termasuk kentang goreng dan kerepek kentang. Malahan Acrylamide juga terdapat di dalam roti bakar, cookies, bijirin, biskut, jus prun dan lain-lain makanan segera. Kandungan Acrylamide di dalam makanan bergantung kepada tempoh pemanasan dan proses memasak. Ia terbentuk apabila makanan berkanji dipanaskan pada suhu melebihi 120 darjah celcius, dipercayai akibat tindakbalas gula dan sejenis asid amino dikenali sebagai Asparagine. Kajian menunjukkan bahawa mengurangkan masa memasak, tidak menjadikan makanan terlalu garing dan tidak menyimpan kentang di dalam peti sejuk mengurangkan kandungan Acrylamide (4). Asap rokok adalah punca pendedahan Acrylamide yang paling utama kepada manusia berbanding dengan makanan dan kopi. Kandungan Acrylamide di dalam kopi terhasil akibat pemanasan keterlaluan dalam jangkamasa panjang ("roasted coffee bean"). Di samping itu, penghasilan bahan ini tidak terhad kepada kopi sahaja, tetapi juga minuman alternatif kopi (“coffee substitute”) yang lain.

4. Kaitan antara Acrylamide dan kanser sebenarnya hanya ditemui di dalam KAJIAN KE ATAS TIKUS di dalam makmal. Itupun dengan menggunakan Acrylamide tulin yang diekstrak daripada sumber aslinya. Apabila Acrylamide masuk ke dalam badan tikus ianya akan ditukarkan kepada sejenis kompoun yang dinamakan glycidamide yang dikatakan boleh menyebabkan mutasi kepada DNA. Walau bagaimanapun banyak kajian epidemiologi yang besar ke atas manusia belum lagi menemui kaitan antara pengambilan makanan dan kopi yang mengandungi Acrylamide dengan mana-mana jenis kanser. Ini mungkin disebabkan tindakbalas badan manusia terhadap Acrylamide berbeza dengan tikus(5). Di samping itu manusia mengambil sumber asal yang mengandungi banyak lagi bahan-bahan yang ada diantaranya bermanfaat kepada kesihatan, bukan hanya Acrylamide. IARC* mengklasifikasikan Acrylamide sebagai “probable human carcinogen” BERDASARKAN KAJIAN KE ATAS HAIWAN.

Sukar untuk mengurangkan kandungan Acrylamide di dalam makanan kerana kebanyakannya adalah makanan ruji dan diamalkan oleh ramai penduduk dunia. FDA ada menyarankan beberapa langkah berkaitan dengan diet untuk mengurangkan kesan Acrylamide seperti mengambil lebih sayuran,susu, ikan, telur, kacang dan makanan yang rendah lemak tepu, kurang lemak trans dan kurang gula. Kaedah memasak yang betul juga dapat mengurangkan Acrylamide. Memasak kentang dengan kaedah memanggang menghasilkan kurang Acrylamide berbanding dengan menggoreng. Merebus dan menggunakan ketuhar gelombang mikro dengan tidak membuang kulit kentang boleh mencegah penghasilan Acrylamide. Roti yang dibakar di dalam toaster dalam jangkamasa panjang sehingga menjadi warna perang gelap mengandungi lebih Acrylamide berbanding dengan warna yang lebih cerah. Kopi yang tidak digoreng kering (“roasted”) terlalu lama mengandungi kurang Acrylamide. Semakin lama kopi digoreng (roasted), warnanya menjadi semakin hitam. Bertentangan dengan tanggapan orang ramai, sebenarnya kandungan kafein di dalam kopi berkurangan apabila digoreng dalam masa yang lebih panjang. Biji kopi yang tidak dipanaskan terlalu lama mempunyai warna yang lebih cerah. Jadi kopi putih tulin sebenarnya mengandungi lebih kandungan kafein dan kurang Acrylamide berbanding dengan kopi hitam. Kopi putih yang tulin bukan kopi hitam yang diputihkan dengan memasukkan bahan lain seperti susu, krimer dan lain-lain. Kopi putih tulin dihasilkan dengan pemanasan yang kurang dan warnanya keperangan berbanding dengan kopi hitam. Kopi putih mengandungi lebih tinggi kafein, kurang pahit dan kurang berasid. Rasa pahit disebabkan pemanasan yang keterlaluan dan menghasilkan bahan yang dikenali sebagai chlorogenic acid lactones dan phenylindanes. Jadi lagi hitam kopi, lagi pahit rasanya. Keasidan kopi dapat dikurangkan dengan mencampurkannya dengan susu ataupun krim.

5. Tidak ada mana-mana pertubuhan kanser antarabangsa yang mengesahkan adanya kaitan rapat antara kopi dan risiko menghidap kanser. Kopi mengandungi banyak manfaat-manfaat lain yang memberi kesan net yang positif kepada kesihatan badan keseluruhannya. Kopi yang diambil secara sederhana mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan seperti mengurangkan risiko angina ahmar, boleh mengawal gula darah dengan lebih baik ke atas penghidap diabetes, kesan positif ke atas kognitif, mengurangkan gejala kemurungan, mengurangkan kerosakan hati dan terdapat kajian epidemiologi yang menunjukkan kopi menurunkan kadar kematian akibat semua jenis penyakit. Pendek kata lebih banyak manfaat daripada mudarat jika kopi diambil pada kadar yang disyorkan (1-2 cawan sehari) (6).

6. KESIMPULANNYA, teruskan kegemaran anda meminum kopi yang tulin pada kadar yang disyorkan kerana kopi mempunyai banyak manfaat kesihatan. Tidak ada bukti kukuh yang mengaitkan kopi dengan risiko lebih tinggi menghidap kanser. Malahan terdapat bukti yang menunjukkan meminum kopi mengurangkan risiko menghidap beberapa jenis kanser. Walau bagaimanapun, kopi yang diambil dalam kuantiti yang tinggi, dengan campuran gula yang banyak dan kopi pracampuran yang mengandungi pelbagai ramuan akan memudaratkan kesihatan anda disebabkan oleh ramuan tambahan tersebut. Sebenarnya gaya hidup yang lebih penting untuk kesihatan adalah jangan merokok, jangan minum alkohol, ambil makanan yang seimbang, kurang pengambilan gula dan lemak trans, banyakkan buah2an serta sayuran dan lakukan senaman yang tetap.

*IARC : International Agency Research In Cancer

Dato’ Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Ahli Medical Mythbuster Malaysia
https://www.facebook.com/rushdan.noor

RUJUKAN

1. Alicandro G, Tavani A, La Vecchia C. Coffee and cancer risk: a summary overview. Eur J Cancer Prev. 2017, 26(5):424-432)

2. Yu X, Bao Z, Zou J, Dong J. Coffee consumption and risk of cancers: a meta-analysis of cohort studies. BMC Cancer, 2011;11:96 doi: 10.1186/1471-2407-11-96

3. https://oag.ca.gov/

…/files/…/settlements/2010-00692S3278.pdf
4. https://www.cancer.gov/

…/c…/risk/diet/acrylamide-fact-sheet…
5. https://www.cancer.gov/

…/c…/risk/diet/acrylamide-fact-sheet…
6. https://www.cancer.org/

…/coffee-and-cancer-what-the-researc…

PESAKIT KANSER YANG DIRAWAT DENGAN KAEDAH ALTERNATIF MEMPUNYAI KADAR KEMATIAN YANG LEBIH TINGGI


Kepercayaan masyarakat Malaysia terhadap rawatan alternatif untuk merawat kanser adalah tinggi. Satu kajian telah dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Malaya ke atas 400 orang pesakit kanser payudara yang baru dirujuk. Kajian ini  mendapati 34.8% daripada pesakit ini mengamalkan kaedah rawatan alternatif dan komplementari (CAM) sebelum mendapatkan rawatan di hospital. Suplemen ("dietary supplement") adalah kaedah paling utama iaitu sebanyak 77% daripada pesakit yang mengamalkan CAM. Ini diikuti dengan kaedah spiritual (28.8%) dan Perubatan Traditional China (23%). Berkenaan dengan taburan ethnik, orang melayu meliputi 44%, diikuti dengan bangsa Cina (41%) dan India (14.4%) daripada pengamal CAM (1). 

Trend amalan perubatan alternatif untuk merawat kanser adalah serupa di luar negara. Semakin banyak kajian menunjukkan bahawa memilih kaedah rawatan alternatif sebagai rawatan utama kanser dan mengenepikan kaedah rawatan moden/konvensional akan mempercepatkan perebakan kanser, meningkatkan kadar kejadian semula kanser dan memendekkan jangkahayat. Saya paparkan 3 daripada kajian-kajian tersebut.

Pertamanya hasil kajian yang disiarkan di dalam Journal of the NCI keluaran 2018. Analisis dilakukan ke atas pesakit kanser payudara, kanser prostat, paru-paru dan usus besar. Pesakit-pesakit ini enggan menerima rawatan kanser moden sebaliknya mengamalkan rawatan alternatif. Tempoh kajian ini adalah sehingga 7 tahun, dengan median 5 tahun. Keseluruhannya kadar kematian meningkat sebanyak 2.5 kali ganda (250%) ke atas semua pesakit kanser yang memilih rawatan alternatif. Apabila diasingkan jenis-jenis kanser, kadar kematian meningkat sebanyak 5.68 kali lebih tinggi dalam kalangan pesakit kanser payudara, 2.17 kali kanser paru2 dan 4.57 kali ke atas kanser usus besar (2). Walaupun perbezaan kadar hidup bagi kanser prostat tidak menunjukkan perbezaan yang diketara namun ini memang sudah dijangka kerana lebih 70% pesakit yang dikaji adalah pesakit yang berada pada peringkat awal. Kanser prostat diketahui merebak pada kadar yang perlahan dan memakan masa yang panjang, kajian ini tidak cukup panjang untuk melihat perbezaan yang ketara. Jika tempuh kajian ini dilanjutkan lebih dari 7 tahun, kita akan dapati kesan mudarat rawatan alternatif akan menjadi lebih besar daripada apa yang dipaparkan. 

Kajian kedua adalah oleh Chang EY, et al mendapati rawatan alternatif yang digunakan sebagai rawatan utama kanser payudara menyebabkan meningkatnya kadar kejadian kanser berulang dan kematian.Penggunaan homeopati sebagai rawatan utama kanser menyebabkan kebanyakan pesakit kanser payudara mengalami kanser yang merebak dengan cepat ("progressive disease")(3).

Manakala kajian ketiga adalah oleh Han E, et al membuat kajian retrospektif ke atas dua kumpulan pesakit kanser payudara yang mengamalkan rawatan alternatif. Kumpulan pertama enggan menjalani rawatan pembedahan dan kumpulan kedua enggan menjalani rawatan susulan (adjuvan). Lebih 96% daripada kumpulan pertama mengalami kanser yang merebak (progression) dan 50% daripada mereka mati akibat kanser. Manakala kumpulan kedua pula hampir 70% daripada mereka mengalami kanser merebak dan 36.4% mati akibat kanser.(4). Banyak lagi kajian-kajian yang sama dilakukan dan disiarkan di dalam jurnal-jurnal yang memberi kesimpulan bahawa memilih kaedah rawatan alternatif untuk merawat kanser menyebabkan kadar kematian akibat kanser meningkat berbanding dengan rawatan konvensional.

KESIMPULAN

Kepercayaan terhadap perubatan alternatif untuk merawat penyakit kanser masih lagi tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. Kadar sebenar amalan CAM dalam kalangan pesakit kanser mungkin lebih tinggi daripada yang dilapurkan kerana ramai yang menyembunyikan tindakan mereka. Kajian yang dijalankan di luar negara menunjukkan bahawa kadar kematian dan kejadian semula kanser lebih tinggi dalam kalangan pesakit yang mengamalkan rawatan perubatan alternatif berbanding dengan kaedah rawatan konventional. Kemudaratan yang lebih besar mungkin akan ditemui jika tempoh kajian dipanjangkan lagi.






Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

RUJUKAN

1. Zulkifli AF, Islam T, Mohd Taib NA, et al. Use of Complementary and Alternative Medicine Among Newly Diagnosed Breast Cancer Patients In Malaysia: An Early Report from the MyBCC study. Integrative Cancer Therapy, 2018;17(2):312-321

2. Johnson SB, et al. Use of Alternatif Medicine for Cancer and Its Impact on Survival.Journal of the National Cancer Institute, Volume 110, Issue 1, 1 January 2018, djx145, https://doi.org/10.1093/jnci/djx145.Published August 2017.

3. Chang EY, et al. Outcomes of breast cancer in patients who use alternatif therapies as primary treatment. Am J Surg. 2006 Oct;192(4):471-3.

4. Han E, et al. Alternatif therapy used as primary treatment for breast cancer negatively impacts outcomes. Ann Surg Oncol. 2011 Apr;18(4):912-6. doi: 10.1245/s10434-010-1487-0. Epub 2011 Jan 12

5. https://www.quackwatch.org/01QuackeryRelatedTopics/harmquack.html?fbclid=IwAR1ETaid3wrIZ-ePAAU8QXKr0m7HTQSXKFA_JAafB8LT7Pq1foE8uLwfQlU

6. https://www.bangkokpost.com/news/special-reports/570851/cancer-patients-find-hope-and-hazard-in-china?fbclid=IwAR1sDoRmbKlX3eWilgUCvFfiEemqrskPkpxi9dt_lU37yiGotqKkm3ud_7k

7. https://sciencebasedmedicine.org/the-deadly-false-hope-of-german-cancer-clinics/?fbclid=IwAR1pYS29Iv-7D_KVt2_gW7oIJhb7gSZyZgReqoYglXGiROv0e2DC2L-5MHc

8. https://health.spectator.co.uk/quacks-are-everywhere-here-is-how-to-spot-them/