Monday 29 June 2020

MENGAPA KANSER SUKAR DIRAWAT

Walaupun kadar kematian akibat kanser semakin menurun pada hari ini berbanding dengan 30 tahun dahulu, masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan oleh Ahli2 Sains serta Penyelidik untuk mencari kaedah rawatan kanser yang lebih berkesan terutama kes kanser yang berada pada peringkat lewat. Seperti yang pernah saya nyatakan di dalam tulisan2 yang lalu, sel-sel normal bertukar menjadi kanser apabila berlaku mutasi/kelainan DNA yang berulang2 akibat daripada serangan agen penyebab kanser yang juga dikenali sebagai karsinogen. Individu yang normal mampu untuk memperbaiki kerosakan DNA ataupun mematikan sel-sel yang sudah rosak. Tetapi individu yang lemah tidak mampu untuk memperbaiki kerosakan DNA sehingga kerosakan itu berlaku secara berulang2 dan akhirnya sel2 yg tidak normal itu menjadi sel2 asing (sel mutan) yang mampu untuk hidup sendiri menggunakan tubuh badan pesakit sebagai tempat membiak.Terdapat sekurang2nya 5 sebab mengapa kanser sukar dirawat:

 

1. MASALAH PENYELIDIKAN KANSER. Hari ini ubat antikanser diuji dengan menggunakan haiwan ataupun lapisan sel-sel kanser manusia yang dibiak di dalam makmal. Walaupun ubat antikanser ini didapati berkesan mematikan sel-sel kanser di dalam makmal, apabila ianya diuji ke atas tubuh badan manusia, ubatan ini didapati tidak berkesan kerana tubuh badan manusia jauh lebih kompleks. Inilah salah satu punca mengapa banyak kajian2 praklinikal yang berjaya gagal melepasi kajian klinikal ke atas manusia. Penyelidik perlu mencari kaedah penyelidikan yang lebih baik dan lebih tepat untuk mewakili tubuh badan manusia.

2. SEL-SEL KANSER SANGAT UNIK DAN PINTAR. Ahli sains mendapati terdapat kanser yang mampu menghasilkan beberapa populasi sel kanser yang berbeza dengan setiap satunya mempunyai ciri2 berbeza. Rawatan antikanser mungkin berkesan menghapuskan satu populasi tetapi gagal menghapuskan populasi lain. Populasi sel2 kanser ini dikenali sebagai subklon. Contohnya kanser otak yang dikenali sebagai Glioblastoma, pesakit kanser ini boleh mempunyai 5-6 subklon di dalam diri mereka sehingga rawatan menjadi sangat sukar. Sebab itulah apabila menerima rawatan, ada ketulan yang hilang dan ada yang kekal ataupun lebih besar.

3. SEL-SEL KANSER MAMPU MENGWUJUDKAN EKOSISTEM MEREKA SENDIRI, di mana di dalam ekosistem itu mereka dapat berhubung sesama sendiri dan juga berhubung dengan sel-sel normal yang berdekatan. Sel-sel kanser ini mampu untuk meransang sel-sel normal di sekitar mereka untuk menghasilkan saluran darah baru yang dapat membekal nutrisi kepada mereka serta mengeluarkan bahan kumuh.

4. SEL-SEL KANSER MAMPU BERADAPTASI ataupun mengubahsuaikan diri sendiri dengan perubahan yang berlaku di sekitarnya sehingga ia boleh menjadi kebal kepada ubat antikanser dan sukar untuk dihapuskan. Apabila ia diserang oleh ubat antikanser, ia mampu menangkis serangan dengan mekanisma pertahanan diri seperti seorang askar yang menggunakan perisai menangkis serangan musuh.

5. KANSER MAMPU MENGABUI/MELINDUNGI DIRI MEREKA DARIPADA DIKESAN OLEH SISTEM PERTAHANAN BADAN. Akibatnya sistem pertahanan badan manusia tidak dapat mengenal sel-sel kanser sebagai sel asing untuk dihapuskan, sebaliknya ia menganggap sel-sel kanser ini seperti sebahagian daripada sel2 yang normal.

 

Penyelidikan mengenai sifat dan kaedah rawatan kanser sedang giat dijalankan oleh ahli2 sains dan dari masa ke semasa. Strategi2 baru melawan kanser sudah ditemui dan ada di antaranya sudahpun digunakan keatas pesakit. Penemuan2 terbaru ini termasuklah targeted therapy, terapi imun dan terapi gene yang bakal digunakan bersama rawatan2 yang sedia ada. Hasil kajian menggunakan pendekatan ini telah menunjukkan bahawa kadar sembuh dan kadar hidup pesakit kanser dapat dipertingkatkan, sekurang-kurangnya ke atas beberapa jenis kanser. Kaedah2 rawatan ini tentu akan diperbaiki dari masa ke semasa sehingga ianya dapat menggantikan kaedah rawatan kanser yang sedia ada. Apa2 pun kaedah terbaik untuk melawan kanser adalah dengan mencegah penyakit kanser melalui amalan hidup sihat, menjalani saringan, pemakanan yang sempurna dan menjadi masyarakat yang lebih berilmu pengetahuan. Di samping itu, kanser yang dikesan pada peringkat awal lebih mudah dirawat dan kebanyakannya mempunyai kadar sembuh yang lebih tinggi. Jadi, disamping kajian pesat dilakukan untuk mencari kaedah rawatan yang terbaik, kaedah pencegahan dan pengesanan awal yang berkesan adalah pendekatan yang paling berkesan untuk mengurangkan kadar kejadian kanser dan juga meningkatkan keberkesanan rawatan. Usaha-usaha pencegahan dan pengesanan awal ini sangat bergantung kepada sikap orang ramai.

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
KKM

No comments:

Post a Comment