Tuesday 16 June 2020

STEROID : "RAJA UBAT" DAN "RAJA PENYAKIT"


Terdapat banyak jenis steroid. Dexamethasone adalah sejenis steroid yang kerap ditemui di dalam produk-produk kesihatan yang dijual di pasaran samada di dalam bentuk pil,kapsul dan juga jus. Penemuan ini berlaku apabila ada aduan daripada pengguna yang mengalami kesan sampingan. Apabila menerima aduan, pihak penguasa ubatan akan melakukan siasatan dan ujian makmal ke atas produk2 ini untuk mengesan kehadiran racun/ubat terkawal. Penemuan ini juga berlaku apabila pihak penguasa ubatan menjalankan pemantauan secara rambang ke atas produk-produk yang telah diluluskan oleh KKM. Ada juga aduan yang datangnya daripada pengamal perubatan sendiri.

Dexamethasone adalah sejenis steroid yang sangat poten, maksudnya dengan dose yang rendah ia memberi kesan yang besar berbanding dengan jenis-jenis steroid yang lain. Dexamethasone adalah 5 kali lebih poten daripada Prednisolone. Dexamethasone boleh dikatakan di antara ubat steroid yang paling poten. Dexamethasone tergolong di dalam kategori katabolik steroid berbeza dengan anabolik steroid yang digunakan untuk tujuan meningkatkan saiz dan kekuatan otot. Katabolik steroid mempunyai ciri-ciri antikeradangan.

Dexamethasone dan lain-lain jenis steroid hanya boleh diberikan oleh doktor untuk merawat gejala penyakit tertentu disebabkan oleh keradangan dan alahan. Ia juga boleh digunakan sebagai ubat mencegah alahan dan loya/muntah. Ubat ini tidak boleh diberikan di dalam jangkamasa yang panjang (kecuali penyakit-penyakit tertentu) dan dos yang diberikan juga perlu betul. Kaedah untuk memberhentikan ubat steroid juga ada caranya kerana ia tidak boleh dihentikan secara mendadak (jika diambil lebih daripada 1 minggu). Seseorang boleh mengalami gejala "steroid withdrawal" jika berhenti secara mendadak seperti lemah badan, sakit badan, loya, hilang selera, sakit kepala, cirit dll sehingga boleh mengancam nyawa. Kesimpulannya steroid adalah sejenis ubat terkawal ataupun racun berjadual yang memerlukan kepakaran doktor untuk menentukan siapakah yang sesuai diberikan,dos,tujuan dan berapa lama perlu diambil.

Mengapa ubat steroid sering ditemui di dalam produk-produk kesihatan yang dijual? Steroid bolehlah dianggap sebagai"RAJA UBAT" yakni ia boleh mengurangkan gejala banyak jenis penyakit seperti keradangan (sakit sendi,sakit otot, sakit badan,bengkak dll), dan mencegah/mengurangkan alahan seperti resdong,ekzema dan asma, pendek kata gejala2 yang seringkali dialami oleh orang ramai. Maka produk yang mengandungi steroid akan dianggap produk ajaib untuk melegakan seribu satu gejala penyakit, WALAUPUN PENYAKIT YANG HENDAK DIRAWAT ITU SEBENARNYA TIDAK SEMBUH, HANYA GEJALA YG KURANG. Ia juga memberi kesan ke atas sistem saraf pusat (otak) dan peredaran hormon badan. Memandangkan ia boleh memberi banyak kesan ke atas sistem badan manusia, maka di samping gelaran "raja ubat", steroid juga adalah "RAJA PENYAKIT" sebab jika disalahgunakan, ia boleh menyebabkan seribu satu jenis penyakit. Maka orang yang menyalahgunakan steroid memang betul2 cari penyakit. Dengan adanya perniagaan atas talian, ubat2 ini boleh dibeli oleh orang ramai dengan harga yang murah tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Jika saya senaraikan kesan sampingan pengambilan steroid yang diambil tanpa pengawasan doktor, maka rencana ini akan menjadi terlalu panjang. Jadi pembaca2 boleh melihat imej yang saya sertakan di bawah untuk mengetahuinya. Salah satu kesan sampingan yang serius adalah sejenis penyakit yang dikenali sebagai "Cushing's syndrome". Hampir semua kesan sampingan steroid boleh dilihat daripada penghidap "Cushing's syndrome". Pengamal steroid juga boleh mengalami satu, dua ataupun lebih kesan-kesan sampingan yang ditunjukkan.

NOTA: Jika berlaku kesan sampingan ubat/produk kesihatan, anda boleh membuat aduan melalui online:

Pengamal perubatan: http://npra.moh.gov.my/index.php/reporting-healthcare-professional

Orang awam: http://npra.moh.gov.my/index.php/reporting-consumer

Dato' Dr Rushdan Noor   
Ahli Medical Mythbusters Malaysia
24 hb Sep 2018





No comments:

Post a Comment