Tuesday 2 June 2020

VAKSIN HPV DAN PENCEGAHAN KANSER: BAB 1


HPV adalah singkatan untuk Human Papilloma Virus iaitu sejenis virus yang menjangkiti lapisan kulit manusia termasuk di bahagian kemaluan lelaki dan wanita.

Terdapat lebih daripada 150 jenis HPV yang terdiri daripada 2 kategori besar iaitu HPV berisiko tinggi (HRHPV) dan HPV berisiko rendah (LRHPV).

HPV berisiko tinggi (HRHPV) adalah virus yang dikaitkan dengan penyakit kanser serviks ataupun kanser pangkal rahim. Kajian menunjukkan bahawa 99.7% daripada kanser serviks disebabkan oleh HRHPV. Terdapat sekurang-kurangnya 14 jenis virus HRHPV di antaranya adalah HPV16,HPV18,HPV 31, HPV35 dan lain-lain lagi.

HRHPV yang paling penting adalah HPV 16 dan HPV 18 kerana kedua-duanya adalah penyebab 70-80% daripada kanser serviks.

HRHPV juga dikaitkan dengan beberapa lagi jenis kanser seperti kanser vulva, kanser faraj, kanser penis, kanser dubur (anus) dan kanser leher & tekak. Walau bagaimanapun kaitannya tidak sekuat kanser serviks.

HPV berisiko rendah (LRHPV) pula adalah virus yang TIDAK menyebabkan penyakit kanser tetapi menyebabkan penyakit kutil (ketuat) pada bahagian kemaluan dan juga kulit di bahagian lain badan. Kutil juga boleh berlaku di bahagian peti suara bayi yang baru lahir akibat jangkitan daripada ibu, keadaan yang dikenali sebagai “Respiratory Papillomatosis”. Di antara LRHPV yang penting adalah HPV 6, HPV 11, HPV 16 dan lain-lain.

Hampir semua jangkitan HPV berisiko tinggi (HRHPV) berlaku melalui hubungan kelamin termasuk sek oral, liwat dan lain-lain. Maka wanita yang tidak pernah melakukan hubungan kelamin TIDAK akan dijangkiti oleh virus ini. Kajian di Malaysia menunjukkan bahawa 4% daripada wanita yang pernah melakukan hubungan kelamin mempunyai tanda-tanda jangkitan HRHPV.

Hanya jangkitan HRHPV yang berpanjangan sahaja boleh menyebabkan kanser serviks. Kebanyakan jangkitan HRHPV dapat dihapuskan oleh kaum wanita secara semulajadi dan kebanyakan mereka akan sembuh sepenuhnya selepas 1-2 tahun. Wanita yang tidak dijangkiti oleh HRHPV tidak akan mengalami kanser serviks (kecuali 0.3% daripada kanser serviks yang bukan disebabkan oleh HRHPV).

Jangkitan HRHPV yang berpanjangan akan menyebabkan kerosakan gene pada sel-sel kulit serviks sehingga bertukar menjadi sel prakanser. Sel-sel prakanser ini jika dibiarkan akan menjadi sel kanser di dalam masa 10-15 tahun.

Untuk mencegah penyakit prakanser dan kanser serviks, kaedah yang paling berkesan adalah dengan MENCEGAH JANGKITAN HRHPV. Kaedah yang paling berkesan untuk mencegah jangkitan HRHPV adalah TIDAK MELAKUKAN HUBUNGAN KELAMIN. Tetapi kaedah ini tentu sekali tidak praktikal.

Kaedah yang paling praktikal untuk mencegah jangkitan HRHPV adalah dengan mengambil suntikan vaksin HPV. Vaksin HPV ditemui oleh Professor Ian Frazer dan Dr.Jian Zhou pada tahun 1989 melalui teknologi kejuruteraan genetik. Mereka menghasilkan protin yang sama dengan selaput virus HPV untuk dijadikan bahan vaksin yang mampu meransang sistem pertahanan badan bagi menghasilkan antibodi. Antibodi ini akan bertindak mencegah kemasukan virus HPV ke dalam badan. Untuk menghasilkan vaksin ke atas HPV16, mereka menggunakan keratan DNA virus tersebut dan mengintegrasikannya dengan DNA sistem expresi. Sistem expresi inilah yang akan menghasilkan protin yang sama seperti kulit virus HPV 16. Beginilah caranya juga jika vaksin ke atas HPV daripada jenis lain dihasilkan. Disebabkan protin itu tidak mengandungi DNA virus, maka ianya tidak hidup dan tidak akan menjangkiti penerima vaksin. Setakat ini Ahli Sains telah menghasilkan vaksin ke atas 9 jenis HPV berisiko tinggi.

Memandangkan virus HPV berisiko tinggi (HRHPV) juga menyebabkan penyakit kanser vulva, faraj, penis, anus dan leher & tekak, di samping mencegah kanser serviks vaksin HPV juga dapat mencegah kanser-kanser yang tersebut. Walau bagaimanapun kesan pencegahan ke atas kanser selain daripada kanser serviks adalah lebih rendah. Jadi apabila bercakap tentang Vaksin HPV, kita selalu mengaitkannya dengan pencegahan kanser serviks.

Ikuti tulisan selanjutnya mengenai Vaksin HPV di dalam BAB 2 di sini.

Dato’Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Ahli Medical Mythbusters Malaysia
https://www.facebook.com/rushdan.noor

VIDEO TENTANG HPV DAN KANSER SERVIKS






No comments:

Post a Comment